Kalau ikutkan memang dah banyak kes anak tertelan objek, jadi mak-mak kena ambil tahu apa tanda-tanda yang berlaku dan apa yang patut dibuat.
Haaa… jangan kalut dan ragu-ragu sebab situasi ini akan jadi lebih buruk kalau mak ayah tak belajar tentang simpton anak-anak yang dah masukkan sesuatu dalam mulut.
Nak tahu lebih jauh, jemput baca perkongsian Dr Ezairy M.Sallih…
JANGAN BIAR ANAK ANDA TERTELAN OBJEK
Siapa berisiko tertelan objek? Bagaimana nak tahu anak kita tertelan objek asing? Apa tanda-tanda objek tersebut telah menyebabkan sekatan pada salur pemakanan? Adakah ia berbahaya kepada pesakit?
“Doktor, anak saya ni tiba-tiba saja mengadu tak boleh nak telan makanan. Sekarang ni air liur berkumpul dalam mulut dia, meleleh-leleh keluar. Saya perasan dia ada main dengan duit syiling dalam tabung dia tadi,” keluh si ibu.
Perkara seperti ini bukanlah asing dan jarang berlaku di kalangan masyarakat kita. Selalu pun dijumpai di klinik-klinik dan hospital.
Siapa yang berisiko menelan objek asing?
Kanak-kanak dan bayi merupakan suatu peringkat umur dimana mereka sering meneroka dan belajar tentang perkara-perkara baru. Jangan terkejut kerana salah satu daripadanya adalah dengan memasukkan sesuatu objek ke dalam mulut mereka. Kebanyakan mereka yang menelan objek asing berada di bawah umur 3 tahun.
Risiko menelan sesuatu di kalangan kanak-kanak adalah lebih tinggi apabila mereka ditinggalkan keseorangan atau tiada pengawasan. Risiko juga meningkat apabila objek tersebut berada dalam jangkauan mereka. Saya beri beberapa contoh yang biasa ditemui :
1. syiling
2. bateri kecil
3. butang
4. skru
5. pin
6. magnet kecil
Berhati-hatilah apabila anda menjumpai atau sedang menggunakan objek seperti di atas. Pastikan ia berada jauh daripada anak-anak anda.
Bagaimanakah saya tahu jika objek asing telah ditelan?
Gejala objek asing yang tertelan biasanya boleh dikenalpasti sejak di rumah lagi. Anda akan melihat tanda-tanda jika objek tersebut menghalang dan menyekat salur pernafasan. Simptom yang paling umum termasuk:
1. tersedak
2. kesukaran bernafas
3. batuk
4. berdeham
Sekiranya seorang kanak-kanak menelan objek dengan mudah dan tidak terperangkap dalam tekak dan berjaya sampai ke bahagian perut, ia biasanya tidak ada tanda-tanda membahayakan kepada pesakit. Objek itu biasanya akan terus melalui dalam saluran pencernaan. Ia akan bergerak secara semulajadi.
Gejala hanya akan muncul kemudian jika badan mempunyai masalah ketika melalui salah satu bahagian salur pencernaan tersebut.
Oleh itu, bagaimana mengenalpasti jika sesuatu objek yang tertelan itu tersekat pada bahagian bawah tekak dan salur pencernaan?
Gejala-gejala yang mungkin berlaku apabila sesuatu barang itu tersekat dalam esofagus atau usus termasuk:
1. muntah
2. air liur meleleh
3. sakit dada atau tekak
4. keengganan makan
5. sakit perut
6. demam jika jangkitan telah berlaku
Adalah penting untuk berunding dengan doktor jika anda atau anak anda menelan objek asing.
Menelan objek seperti bateri dan magnet adalah dikira sebagai perkara kecemasan. Dapatkan rawatan perubatan segera jika anda atau seseorang yang anda kenal telah menelan objek magnetik.
#SHARE kepada orang yang anda sayang. Moga bermanfaat. Semoga kita semua diberi kesihatan berpanjangan.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI