Jadilah Wanita ‘Bebas’ Merdeka Bermula Dari Rumah Sendiri

Share

“Tanggal 31 bulan lapan, lima puluh tujuh”, tarikh keramat negara tercinta kita mencapai kemerdekaan bebas daripada cengkaman penjajah. Tahun ini juga genap 65 tahun, ulang tahun negara kita bebas merdeka.

Menyebut mengenai kemerdekaan.. pastinya memberi makna mendalam dalam pelbagai perkara. Melihat pencapaian hebat wira-wira negara mahupun ikon wanita-wanita berjaya dalam bidang masing-masing dengan mengharumkan nama negara, membuatkan kita tersenyum bangga dan secara tak langsung menjadikan mereka sumber inspirasi.

Jika berjaya dapat menjadi seperti mereka itu memang terbaik. Namun paling penting kejayaan kecil juga boleh dapat dicapai dengan menjadi seorang wanita yang ‘bebas’ merdeka bermula dari rumah sendiri. ‘Merdekakanlah’ diri kita sebagai wanita, isteri dan seorang mak.

Merdeka Dalam Erti Kata ‘Bebas’

Merdeka dalam erti kata ‘bebas’ ada pendapatan, simpanan dan ‘pegang’ duit sendiri. Tak kiralah bekerja tetap atau sekadar sambilan berniaga kecil-kecilan di rumah. Kepuasan dapat dirasai dan rasa ‘bebas’ bila mana kita dapat membeli apa sahaja yang kita sukai, memiliki simpanan mahupun beri duit pada mak ayah dengan duit sendiri, tanpa perlu hanya bergantung harap pada duit suami.

Merdeka dalam erti kata ‘bebas’ berdikari. Ambil tahu, belajar dan mampu uruskan pelbagai perkara seorang diri. Boleh memandu ke sana sini tanpa perlu menunggu suami, menghantar dan mengambil nanti. Bukan kata tak perlukan suami, sekurang-kurangnya bila ditakdir suami tiada lagi, kita tak ‘patah kaki’ uruskan kehidupan dan anak-anak seorang diri.

Merdeka dalam erti kata ‘bebas’ membentuk acuan yang terbaik untuk anak-anak dan keluarga. Tidak lagi terlalu bergantung dan hanya ‘menurut’ pada cara lama didikan anak-anak zaman dahulu. Tradisi ‘merajakan’ anak lelaki pada masa yang sama ‘menghambakan’ anak perempuan sendiri.

Sebaliknya, peranan mak-mak zaman kini mampu mengubah perkara ini menjadi lebih baik.Menjadikan anak-anak lelaki lebih bertanggungjawab pada anak dan isteri setelah berkahwin nanti. Malah membentuk anak-anak perempuan agar lebih berdikari, berani mengejar impian, mencapai cita-cita sendiri dan tidak hanya menyerahkan ‘untung nasib’ ditangan suami.

Kupasan erti kemerdekaan membawa maksud yang luas. Paling penting tanya pada diri kita apa sumbangan dan pencapaian kita pada negara tercinta. Jika masih belum mampu untuk mencapai sumbangan yang besar, memadai mulakan kejayaan yang kecil bermula dari rumah sendiri.

Baca Lagi Di Sini :

Istimewa Merdeka – Beruntunglah Berada Di Bumi Malaysia

DIBEBASKAN Selepas 20 Tahun Meringkuk Dalam Penjara, Atas Kesalahan TIDAK Dilakukan

Follow kami di Facebook , Website , Instagram, YouTube , Twitter , Telegram MW dan TikTok Mingguan Wanita untuk mendapatkan info, berita terkini serta artikel-artikel menarik.

 

 

 

 

Published by
Suhaidah Abd Wahab