Bersyukur. Perkataan itu cukup mudah diluahkan di bibir, namun sejauh mana terkesan di hati? Bukan mudah untuk didik hati untuk bersyukur. Ikuti perkongsian ini daripada Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Pengurus Perundingan Zakat, Lembaga Zakat Selangor. FB: https://www.facebook.com/abuiqbalhakim
Ketika ini saya sedang mengetik komputer riba di perkarangan kampus Universiti Indonesia. Beberapa kali saya didatangi anak-anak kecil. Berusia lingkungan 10 tahun. Mereka menjual tisu muka. Harganya murah. Sebungkus RM1.50 sahaja.
Cari Rezeki Dengan Seragam Sekolah
Sewaktu saya menaiki jejantas, saya temui lagi anak-anak ini. Ada yang berusia remaja. Masih berseragam sekolah. Menjaja tisu juga. Isteri saya berkata, sebelum remaja lelaki berseragam sekolah menjual di situ, ada seorang anak kecil lelaki di tempatnya. Barangkali, mereka adik-beradik. Menjaja tisu demi segenggam rupiah. Demi bisa ke sekolah.
Bukan sekadar itu. Di sini, jika menaiki kereta di jalan yang jem, kita pasti berpapasan dengan para penjual ini. Bukan sekadar tisu, mereka menjual apa sahaja. Dari air mineral sehinggalah makanan ringan. Biar panas, mereka tahan. Ada ibu yang menggendong anak kecil, meraih simpati dengan wajah sayu. Juga nenek tua yang hitam. Ada yang mengecat diri sendiri lalu beraksi bagai ‘patung bernyawa’, sambil menghulurkan kotak minta simpati.
Ads
Bersyukur Kita Lahir Di Malaysia
Kita mungkin tidak dapat melihat senario berkenaan di Malaysia. Jika ada pun yang mencari derma, mereka bukan anak-anak kita. Wajah mereka wajah Myanmar. Namun, di sini (Indonesia), jauh di sudut hati saya merasa pilu. Ya, anak-anak kecil penjual tisu. Mencari belanja sekolah. Dengan seragam yang kusam. Di tepian jalan berjam-jam.
Di sinilah saya sering berpesan kepada diri, juga anak-anak. Betapa kita bertuah dilahirkan di bumi yang namanya Malaysia. Benar, ada kalanya kita diuji. Riak-riak politik yang menjentik. Pasaran saham yang menukik (menjunam). Harga barangan yang menanjak. Itu dan ini. Namun percayalah, kita masih amat jauh beruntung.
Rezeki Menanti
Kehidupan kita berjalan indah. Tidak ada anak-anak tertinggal sekolah. Benar, kita bising dengan pinjaman pengajian yang tinggi. Namun percayalah. Sehabis belajar, pekerjaan banyak menanti. Asal jangan malas atau memilih. Kita tidak perlu mengintai jauh ke luar negeri. Mencari rezeki, meninggalkan ibu bapa, anak isteri.
Ads
Kehidupan kita sedari anak berjalan mulus. Benar semuanya memerlukan fulus. Namun keluar sahaja rumah, pasti sore nanti kita bawa wang. Namun sedarkah kita, beberapa teman saya dari tanah seberang berkata. “Di negara kami, keluar pagi, sore nanti belum tentu saku terisi.”
Kehidupan kita memang mencabar. Namun kita masih mampu tersenyum. Banyak bantuan dihulurkan kerajaan. Khususnya golongan miskin (B40), banyak institusi yang menjamin. Pusat zakat, JKM dan apa sahajalah. Sedangkan ada orang lain, di belahan dunia lain, ada yang terlantar kerana segalanya tiada di sisi mereka. Biar pintar, belum tentu bisa belajar. Natijahnya apa?
Didik Diri Untuk Bersyukur
Ya, ia mendidik kita untuk bersyukur. Rasa syukur yang wajib dipamerkan. Bukan sekadar disimpan. Zahirkan dengan perbuatan. Menjadi umat yang lebih prihatin. Saling menjaga. Tidak bertelingkah. Menegakkan keadilan. Menjauhi rasuah. Tanpa kecuali. Rakyat atau pemerintah.
Kita boleh mulakan. Ya, dengan langkah paling mudah. Misalnya, tidak membuang sampah merata-rata. Atau tidak merasa malu mengutip sampah di depan mata. Mematuhi lampu merah di jalan raya. Menjimatkan elektrik dan air. Menebarkan senyum dan salam. Membantu membuka pintu. Menolong mengangkat barangan. Hatta mengucapkan terima kasih. Jua senyum di wajah.
Ads
Menyumbang Untuk Kebaikan
Ya. Kita hendaklah berusaha menjadi rakyat Malaysia yang membanggakan. Menjadi rakyat Malaysia yang menyumbang. Ia adalah tuntutan. Jangan sampai kita tersedar dengan keamanan, saat bangunan sudah berantakan. Marilah menyintai rasa kesatuan. Menyintai watan. Kata Ibnu Khaldun di dalam kitabnya al-Muqaddimah, itulah pra syarat kemajuan.
Percayalah, kita ditakdirkan menjadi rakyat Malaysia bukanlah sesuatu yang sia-sia. Pasti ada banyak perkara yang patut menjadi tujuan. Menyumbang untuk kebaikan. Membanggakan. Paling tidak pun, tidak menyusahkan. Wallahuallam.
Catatan ringkas di Depok, Indonesia pada 4 Mac 2020.
Setiap orang memiliki impian dan cita-cita sama ada untuk berjaya dalam karier, mengumpul harta atau menjelajah dunia. Sebaiknya setiap daripada kita harus bijak menyeimbangkan antara keutamaan duniawi dan juga akhirat agar hidup kita diredhai Allah selalu.
Kisah kali ini berkisar tentang seorang bapa yang angkuh dengan kemewahan yang diperolehinya selama hidupnya. Menurut anaknya, Zaim, ayahnya merupakan kontraktor berjaya di utara tanah air. Tidak dinafikan sejak kecil Zaim sendiri dilambakkan dengan kesenangan, setiap permintaan anak-anak pasti ditunaikan.
Ayahnya sangat disenangi anak-anak kerana jarang memarahi anak-anak dan pemurah dalam membeli jiwa anak-anak. Keempat-empat anaknya juga berjaya dalam bidang akademik dan kesemuanya lulusan universiti. Satu kekurangan bapa Zaim ialah dirinya tidak mahu menunaikan perintah agama.
Bukan hanya tidak mahu mendirikan solat yang merupakan tiang agama, malahan dia tidak menunaikan kewajipannya untuk berpuasa, apatah lagi membayar zakat. Ketika masih mentah, Zaim tidak nampak kekurangan ayahnya daripada mata kasar.
Setelah makin meningkat usia, Zaim mula belajar agama di sekolah dan ustaz-ustaz, membuatkan dia sedar bahawa betapa jauh bapanya dari agama Islam. Zaim cuba menasihati bapanya secara halus dengan langkah mengajak ayahnya menunaikan umrah.
Tetapi hampa, bapanya sekeras-kerasnya menolak permintaan Zaim dan membuat keputusan untuk membawa keluarganya bercuti ke luar negara sahaja. Ayahnya makin menjadi-jadi apabila kematian ibu. Ayahnya seolah-olah hilang malu apabila bercinta dengan wanita yang terlalu muda.
Hilang Punca
Akibat terlalu cintakan wanita yang hanya mahukan wang dan harta ayah, mereka berdua ditangkap khalwat di sebuah hotel mewah. Sebagai anak, Zaim merasa malu dan mula mencari alternatif lain untuk mengubah bapanya.
Akhirnya Zaim berjumpa imam masjid di kawasan perumahannya dan meminta dia bersemuka dengan ayah. Tetapi malangnya imam itu diherdik dan dihalau bapa Zaim kerana mencampuri urusannya.
Paling menggusarkan hati Zaim apabila ayahnya mempersendakan kehidupan imam yang hidup sederhana biar pun menjaga solat lima waktu serta taat dengan setiap perintah agama. Bagi ayah Zaim, sepatutnya orang yang alim hidupnya senang bukannya susah.
Walhal, dirinya dengan bongkak mengakui bahawa tidak pernah solat sepanjang hidup, apatah lagi menunaikan zakat dan bersedekah, tetapi Allah tetap kurniakan kemewahan dan kesenangan yang tidak berbelah bahagi di dunia.
Balasan Sekelip Mata
Siapa sangka tidak lama selepas bapa Zaim memaki imam, dirinya tiba-tiba diserang strok. Sepanjang dia sakit, dia langsung tidak mahu bertemu anak-anak. Dia lebih rela tinggal bersama isteri mudanya daripada dijaga anak-anak.
Selaku anak sulung, hati Zaim dilanda resah apabila tidak mengetahui tentang perkembangan kesihatan ayahnya. Setelah berbincang bersama adik-adiknya mereka ingin ke rumah isteri muda ayahnya dan akan membawa balik bapa mereka.
Setibanya mereka di sana, amat mengejutkan apabila mereka mencium bau yang amat busuk. Setelah berkali-kali memberi salam tidak menjawab, mereka cuba memecah pintu dan bau yang busuk itu datang daripada dalam rumah.
Lebih menyedihkan apabila mereka melihat jenazah ayah mereka yang mulai membusuk dan berulat berada di dalam bilik tidur utama. Rupa-rupanya ibu muda meninggalkan bapa sendirian dan tidak sedar bahawa suaminya telah meninggal dunia.
Ternyata kekhilafan bapa Zaim membuatkan pengakhiran hidupnya amat menyedihkan. Bayangkan tidak ramai jemaah yang ingin turut serta ketika solat sunat jenazah ditunaikan akibat tak tertahan bau busuk. Zaim sendiri hampir termuntah, namun ditahan kerana inilah penghormatan terakhir buat ayahnya.
Oleh itu sebagai hamba-Nya, kita harus ingat kekayaan dan kemewahan tidak menjanjikan apa-apa di mata Allah. Sebaliknya amal soleh yang menjadi bekalan kita di akhirat kelak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Hukum suami isteri berkongsi gambar/video bercumbu di media sosial. Apakah hukum sekiranya suami dan isteri bercumbu di khalayak ramai dan media sosial bagi menzahirkan kemesraan mereka?
Sejak kebelakangan ini semakin ramai suami isteri tanpa segan silu berkongsi gambar dan juga video bermesraan dengan pasangan masing-masing. Mungkin ada yang kata, “halah, tak apalah, bukan orang lain, suami dia sendiri, isteri dia sendiri,….”Persoalannya bolehkah sebenarnya kemesraan ini ‘dikongsi’ secara terbuka?
Bermesraan antara suami dan isteri setelah berkahwin adalah sesuatu yang dihalalkan. Ia adalah anugerah Allah SWT kepada hamba-hambaNya yang mempunyai naluri untuk memiliki dan dimiliki. Justeru, menzahirkan rasa cinta kepada pasangan masing-masing melalui sentuhan dan kata-kata adalah perkara biasa.
Walaubagaimanapun, Islam amat memberi perhatian terhadap isu kehormatan dan maruah suami dan isteri. Sabda Nabi SAW:
Maksudnya: “Iman itu ada tujuh puluh lebih cabang. Dan rasa malu salah satu cabang dari iman.” (Riwayat Muslim, no. 35)
Rasa malu menurut Imam an-Nawawi rahimahullah adalah: “Akhlak terpuji yang mendorong seseorang untuk meninggalkan sesuatu yang buruk dan mencegahnya dari kelalaian dalam memenuhi hak para pemiliknya.”
Dalam hal lain, beliau juga menyebutkan antara perkara yang menjatuhkan maruah adalah mencium isteri di khalayak ramai. (Lihat Minhaj al-Talibin, m. 345)
Justeru, perbuatan suami isteri bercumbu hendaklah dielakkan di khalayak umum dan juga di media sosial kerana ia bukannya akhlak Muslim dan jauh sekali daripada adab ketimuran yang kita junjung selama ini.
Sabda Nabi SAW:
الحَيَاءُ لاَ يَأْتِي إِلَّا بِخَيْرٍ
Maksudnya: ”Sesungguhnya sifat malu tidaklah mendatangkan apa-apa kecuali hanya kebaikan.” (Riwayat al-Bukhari, no. 6117)
Semoga kita semua berusaha menzahirkan akhlak dan adab yang mulia dalam kehidupan kita.
Ujian hidup setiap orang tidak sama. Ada yang diuji kesenangan, dan ada pula hadapi kemelut kesempitan hidup dan kesusahan.
Biar pun berdepan ujian yang menekan itu, janganlah sesekali hanyut dalam kelalaian. Teruslah bermohon ampun dan beristighfar padaNya.
Kerana, dialah sebaik-baik pemberi ampun dan pemberi rezeki.
Wanita ini, Saira Yusuff berkongsi pesanan ketika berdepan kesempitan hidup. Apa yang perlu dilakukan, bagaimana cara untuk kekal positif dan tenang.
Nasihat Ketika Kesempitan Hidup
Nasihat ini adalah untuk ingatan diriku yang penuh dengan kelalaian dan dosa yang menggunung. Untuk diriku juga untuk diri kalian yang membaca.
Ketika kalian sedang kesempitan dan kesusahan tadahlah tangan , bersujudlah memohon ampun atas dosa-dosa kecil dan besar, dosa sengaja atau tidak sengaja.
Sesungguhnya kenapa kita rasa sempit dan susah adalah Dosa kita sendiri yang menyebabkan kesusahan berlaku.
Saira nak kongsikan tips memohon ampun kepada Allah swt atas dosa yang menggunung.
Lazimi Istighfar
Pertama lazimilah istighfar 1000x dengan penuh penghayatan dan rasa hiba atas dosa-dosa yang dilakukan. Ikhlaskan hati menyatakan kesalahan kita kepada Allah swt dan mohon allah terima pengampunan kita.
Solat Taubat
Kedua lakukanlah solat taubat setiap hari min 2 rakaat sebelum tidur.. buat hari-hari jangan missed .
Jom Taubat Taubat Taubat. Kerana dengan taubat dan mohon ampun membuatkan hati kita tenang dan bahagia serta penuh dengan kecukupan.
Dalam surah nuh ayat 10-12 :
Pohonlah keampunan kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantar hujan lebat mencurah-curah kepada kamu, Dan Dia akan memberikan kamu harta yang banyak berserta anak pinak dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).