Betapa pentingnya seorang ayah untuk menjadi contoh terbaik untuk anak. Sentiasa ada di sisi anak lelaki baik perempuan, dalam susah mahupun senang.
Ustazah Asma Harun, pernah rasai sakitnya kemurungan. Dan arwah ayahlah yang sentiasa ada, mendorong, memujuk malah memberikan jalan hikmah yang akhirnya membantu membebaskan dirinya dari belenggu keletihan.
RINDU YANG TIDAK KESAMPAIAN
Dalam riuh rendah orang sekeliling, selalu sahaja hati ini tiba-tiba rasa sunyi sepi sayu, halus sahaja rasa tu tapi menghiris-hiris. Air mata laju tidak terbendung. Rindu yang sangat dalam.
Saat saya rasa lemah, sedih, sakit, sempit dalam melalui jalan dakwah ini, saya cuba pejamkan mata dan bayangkan wajah lembut dan kata² arwah ayah. Rindu suara ayah. Ayah baru sahaja pergi tahun lepas.
Masih jelas dalam ingatan, satu ketika saya dah nekad nak berhenti daripada teruskan master, rasa dah tak boleh nak siapkan thesis. Waktu itu juga ujian bertalu-talu, dihimpit dengan tekanan di tempat kerja (belajar dan kerja sepenuh masa), mengandung kali ke 7 dan keguguran (dr. kata kandungan terhenti pembesaran mungkin terlalu stress), tanggungjawab sebagai ibu dan isteri, jadual kuliyah dan ceramah, masalah kewangan dan lain-lain. Ketika itu saya rasai sakitnya kemurungan.
Dalam tempoh dua tahun, selalu mengunci diri masuk bilik bila due date assignment dan exam, walaupun orang kata ustazah buat cincai je asal lulus sudah, tapi sudah terbiasa mesti mujahadah dalam belajar, target mesti A dan 3.8 ke atas, di situ ada nikmatnya.
Selalu Juga Kalah Pujuk Rayu Anak
Paling sedih bila anak kecil duk ketuk-ketuk pintu menangis sebab nak kita, macam-macam alasan mereka bagi, nak bagi beg la, nak tunjuk sesuatu la, selalu juga kalah pujuk rayu anak. Suamilah yang banyak berkorban. Banyak sangat. Moga Allah berkatimu.
Ads
Arwah ayah selalu telefon tanya khabar dan bagi semangat supaya habiskan belajar. Satu ketika saya telefon ayah bagitahu perlu berhenti kerana keadaan saya dah teruk dari sudut emosi, fizikal dan mental. Ayah terdiam seribu bahasa. Saya tahu ayah sangat sedih.
Tak lama lepas tu ayah telefon, Ayah kata..
“Asma’, cuba lihat orang bukan Islam yang bersungguh belajar hingga PhD untuk dapat habuan dunia, kita ni belajar untuk dunia dan akhirat, tak cukupkah SYURGA ALLAH sebagai pengubat segala sakitnya ujian tu, betulkan niat Asma’, buat kerana Allah”.
AllahuAkbar, ketika itu saya terduduk hanya mampu menangis sahaja. Teresak-esok. Saya ditegur lembut oleh ayah, saya nak siapkan master sebab nak kejar pengiktirafan manusia atau kerana mendalami ilmu kerana cari redha Allah, untuk perbaiki diri yang serba lemah.
Ads
Jika kerana manusia, maka kita sentiasa akan diuji dengan manusia. Jika kerana Allah, Dia sentiasa ada dalam hati, dalam langkah dan jatuh bangun kita.
Betul-betul Merayu Minta Tolong Dengan Allah
Saat itu ditikar sejadah memohon ampun pada Allah, kerana lemah menjaga niat, meletakkan tujuan dunia itu lebih besar daripada akhirat. Betul-betul merayu minta tolong dengan Allah, tunjukkan jalan, bukakan kekusutan dan leraikan belenggu yang mengikat.
AllahuAkbar, Dia ya Saami’ Maha Mendengar, Dialah ya Qaarib Yang Maha dekat. Tekanan demi tekanan rupanya laluan untuk merasakan nikmatnya kalimah,
لا حولا ولا قوة الا بالله
Ads
AllahuAkbar, Allah buka satu persatu jalan keluar setiap kesulitan, kesempitan dan kesakitan. MasyaAllah Maha Baik Allah ya Barr, rupanya Allah tidak membiarkan saya selesai pengajian sebelum jelas akan niat dan tujuan. Itulah Tarbiyyah Allah kepada hambanya yang lalai. Fahami dan yakinlah Allah ya Rahman ya Rahim sentiasa sayang kita.
Ayah, duhai ayah. Tak mampu nak tuliskan kebaikan ayah. Peringkat awal saya mula langkah untuk berdakwah, ayah lah yang sanggup bersusah payah membaca dan mencatatkan nota, lalu telefon menjadi perantaraan kami hingga berjam-jam.
Ayah akan tanya esok ceramah dimana dan tajuk apa, Ayah akan berikan isi penting dan dalil yang berkaitan. Ayah selalu tegaskan, hafal dalil Quran, Hadis dan Sirah, jangan cakap kosong, semua kena semak dulu, nak sampaikan ilmu buat betul-betul.
Jadilah lelaki Terbaik Buat Anak Anda..
Selesai ceramah ayah telefon lagi, bertanya bagaimana ceramah tadi. Seringkali saya cakap nak berhenti, malu sangat sebab penyampaian yang teruk, gugup sampai hilang habis isi, suara pun terketar-ketar. Tiap kali itu Ayahlah yang tidak henti beri semangat. Ayah tak pernah hilang percaya walau anaknya sendiri tak yakin lagi. Ayah duhai ayah. Tak mampu lagi catatan ini diteruskan..
Coretan ini buat semua ayah di dunia, jadilah lelaki yang terbaik buat anak anda. Sekali anda menjadi seorang ayah, iya adalah untuk dunia dan akhirat. Andalah tokoh paling penting dalam hidup anak, jadilah contoh yang terbaik, anda akan sentiasa hidup walau telah pergi.
Rindu bertamu menguatkan lagi rasa ingin bertemu, moga di Syurga Allah tempat kita semua kembali bersatu, insyaAllah.
Mungkin ada yang beranggapan kehidupan menjadi suri rumah adalah lebih simple dan mudah. Benarlah orang kata, kalau kita dapat menjaga anak sendiri ia dapat memberi kepuasan yang luar biasa. Tetapi jangan lupa bab penat lelah lain, mungkin akan terselit bab tanggungan emosi yang tidak pernah difikirkan sebelum ini.
Sebagai seorang suri rumah, ada banyak cabaran serta pengorbanan yang mesti dihadapi untuk mengekalkan ‘kewarasan’ setiap hari. Malah, ada banyak perkara yang perlu surirumah ‘let go’ selain pekerjaan kita dahulu.
Walau apa yang orang luar nampak, hanya seorang suri rumah yang tahu betapa kadangkala mereka perlu meluahkan sesuatu yang terbuku di hati.
Ini dapat dilihat dari sudut hati seorang mak-mak yang bergelar suri rumah, Puan Norasikin Hussein yang mana dia sendiri melalui hari-hari yang sebagai suri rumah sepenuh masa. Jemput baca dan selami cabarannya setiap hari…
Ini Pengalaman Sendiri
Baru 4 tahun jadi full housewife. Nak gelak pada diri sendiri kejap. Saya sangkakan pekerjaan ni sangat mudah. Maklumlah dok rumah saja.
Dalam kepala bangun pagi siap breakfast, kemas rumah, masak tengahari, jaga anak, okey… lepas tu tunggu suami balik. Macam dalam drama betul.
6 bulan pertama? hah?
Pengurusan masa kelaut.
Ribut taufan saya.
Namun hari-hari kita BELAJAR dengan anak-anak dan rakan-rakan suri rumah lain.
Macam mana nak uruskan rumah tangga dengan cepat dan terurus.
Kena tahu cara nak jimatkan masa supaya ada masa dengan anak-anak dari asyik mengadap membuat kerja rumah sahaja.
Perlu kutip info bab macam mana nak handle emosi yang macam roller coaster ni sebab mengadap anak yang bermacam karenah.. menangis, bergaduh berebut barang, anak tengah aktif meneroka.
Harus gali ilmu macam mana nak handle anak kecil bawah 4 tahun sebelum terjadi, semasa terjadi atau selepas terjadinya tantrum.
Bagaimana nak tangani isu bosan kerana kita lakukan kerja yang sama, berulang ulang kali dan kejadian setiap hari.
Bagaimana cara nak berjimat dan comfortkan diri, tenangkan diri dan sebab tak dapat beli barang seperti dahulu masa bekerja. Ini bukan mudah untuk mereka yang pernah pegang duit sendiri ketika bekerja sebelm ni.
Cara Nak Beribadat Dengan Ada Anak-anak Kecil
Paling utama.
Macam mana nak beribadat awal waktu dengan mengadap anak kecil 3,4 orang… jangan kerana anak kita jauh dengan tuhan. Ini yang paling saya takut.
Cabaran ni setiap hari ada sehinggalah anak itu besar. Kalau tak ditangani betul-betul kita akan stress dan boleh bertukar kepada deppress.
Allah ada bersama kita.
Saya jadikan setiap waktu solat sbg deadline untuk satu-satu urusan.
Kita belajar baiki diri dari hari ke hari. Buat apa yang termampu kerana tiada istilah superwomen bagi saya. Rumah bersepah? Mai kemas bersama-sama anak. Saya dah tak kuasa dah nak kemas sorang. Pembahagian tugas perlu diberi bila mereka dah mampu buat.
Letak baju kotor dalam bakul.
Angkat pinggan lepas makan dalam sinki.
Basuh pinggan sendiri lepas makan.
Lap jika tertumpah air atau kuah
Kemas tempat tidur sendiri
Simpan mainan lepas main.
Susun buku-buku lepas baca di rak.
Dan lain lain bila dah mampu buat bergantung pada kemampuan anak.
Cara Suri Rumah Nak Berdepan Dengan Orang Yang Pandang Rendah
Jangan semua kita buat. Nanti penat sendiri. Sihat dan muda boleh lagilah pegang penyapu, pegang mop.. Dah tua nanti? Bila tak sihat nanti?
Dan antara isu suri rumah juga adalah bagaimana nak mengadap manusia yang memandang rendah dengan pekerjaan ini. Mental kena kuat dan belajarlah menjadi telinga kalis segala kata-kata sinis mereka itu. Kalau tak overcome perkara ni kita akan datang rasa rendah diri dan tak berguna. Rasa useless segala macam datang hinggap dalam kepala ni. Sekarang saya amalkan lantaklah, ignored golongan sebegitu.
Saya mengalu alukan perkongsian pengalaman atau cara ibu-ibu yang sedang membaca ni. Banyak lagi nak kena belajar. Mana tahu ada yang boleh saya ambil dan amalkan.
Terima kasih didahulukan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sejuk perut ibu mengandung bila lihat anak sendiri pandai mengaji seawal usia dari kecil. Pasti ada cara dan teknik tertentu yang boleh diamalkan agar anak pandai dan suka mengaji. Menurut perkongsian oleh Puan Nurkhomsiah Bakrim, sebenarnya mak ayah boleh ajar anak sendiri sampai pandai mengaji dengan mengikut 10 tip ini.
Berikut antara perkongsian beliau;
10 Tip Ajar Sendiri Anak Mengaji:
1.MOTIVASI TERTINGGI
Ibu bapa perlukan motivasi untuk mengajar sendiri anak mengaji. Motivasi tertinggi yang boleh dijadikan pegangan ialah maksud sabda Rasulullah S.A.W;
“Sesungguhnya, orang yang paling terbaik antara kalian adalah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.”
Jika perlu, tampal ayat motivasi ini di tempat yang senang dilihat sebagai self-reminder.Kemudian, pilih seorang idola yang terbukti berjaya. Saya bersyukur dan bertuah, ibu saya sendiri adalah guru mengaji pertama kami 5 beradik. Kesabaran dan kesungguhan ibu sangat membuat saya terinspirasi.InshaaAllah..Dengan motivasi dan inspirasi, diri akan lebih bersemangat dan bersabar dalam mendidik. Pada masa yang sama, didikan mengaji diletakkan sebagai priority dalam kehidupan. Kesibukan urusan lain tidak seharusnya dijadikan alasan.
I love a saying goes, “Nobody is too busy. It’s just a matter of priority.
2.MENCIPTA ROH MENGAJI
Pendidikan terbaik ialah melalui teladan. Di rumah, perlu wujud budaya al-Quran sehingga anak-anak bermula bayi sudah terbiasa melihat al-Quran dan mendengar bacaannya.Automatically, mereka sedang install mindset bahawa mengaji al-Quran adalah kepentingan dalam kehidupan. InshaaAllah, sampai satu tahap mereka jadi berminat untuk belajar mengaji kerana pendedahan awal yang sangat positif.
Ikut pengalaman, mengajar mengaji anak kedua lebih mudah berbanding anak sulung kerana sikapnya yang suka meniru si kakak. Bak kata Ummi PROFAZZ, “Corak didikan pada anak pertama sangat mempengaruhi didikan anak-anak seterusnya. Abang Long atau Kak Long is the trendsetter.”
3. DISIPLIN RUTIN HARIAN
Tetapkan masa yang sesuai dalam sehari yang menjadi rutin mengaji bagi anak-anak di rumah. As working parents, kami memilih masa antara Maghrib dan Isyak sebagai exclusive time for kids. Si Ayah sangat berdisiplin menetapkan peraturan “No Gadget & No TV At Night.” Selepas mengaji dan solat Isyak, anak-anak diajak masuk tidur.Masa mengaji lebih fleksibel pada hujung minggu atau public holidays.
Ya, tentu ada juga ‘cheat days’. Anak-anak tidak dapat mengaji seperti biasa kerana faktor kesihatan (ibu/anak), balik kampung, pergi bercuti dan emergency. Sungguhpun begitu, rutin ialah 90% perkara sama yang kita lakukan secara berulang-ulang hampir setiap hari. Sebenarnya, anak-anak kecil sangat sukakan rutin. Sampai satu tahap, saya terharu bila kami sedang travel dalam kereta, anak sendiri akan cakap “Eh, Mommy! Hari ni kita tak sempat mengaji la.”
4.REKOD PERKEMBANGAN MENGAJI
Satu fail khas disediakan bagi setiap anak untuk merekod perkembangan mereka sendiri dalam pembelajaran Agama dan Akademik termasuk bab belajar mengaji al-Quran. Anak-anak melihat sendiri progress pembelajaran mereka dengan menampal stickers comel pada columns yang sesuai.Anak-anak sudah tahu impian dan cita-cita mereka untuk tamat belajar membaca empat buku Al-Furqan sebelum memulakan naskah al-Quran. Teknik ini boleh menjadi benchmark untuk memotivasikan ibu dan anak untuk terus konsisten, Inshaa Allah.
5.FAHAMI ANAK SENDIRI
Setiap anak itu mempunyai characteristics, types of children dan learning preferences yang tersendiri. Banyakkan membaca dan cari kreativiti dalam mendidik.Ibu bapa seharusnya menjadi individu yang paling mengenali sikap dan cara belajar berkesan bagi setiap anak. Tiada umur yang specific untuk anak bermula mengaji al-Quran. (Rujuk semula Point No. 2)
Mewujudkan roh mengaji itu paling utama supaya sampai masa terbaik mental readiness seorang anak kecil untuk bermula. Walaupun begitu, ada masa kita perlu juga bersikap tegas dalam kelembutan. Maksudnya, menetapkan masa untuk bermain, masa belajar dan masa berehat. Bukan mengikut 100% kehendak anak.
Contohnya; “Kakak nak tengok video Omar & Hana kan? Jom, Mommy ajar satu muka surat Al-Furqan dulu. Sekejap je ok.”
6.ALAT BANTU MENGAJAR
Banyak pilihan alat bantu mengajar mengaji al-Quran di pasaran. Buatlah pilihan yang terbaik berdasarkan maklumat yang betul dan keperluan. Kami memilih Set Al-Furqan kerana tertarik dengan first impression cover page 4 tahap buku yang warna-warni. Setiap muka surat buku berwarna pink dan terdapat gambar-gambar dalam Buku 1 yang menarik minat anak-anak kecil yang baru hendak bermula.
Alat bantu mengajar ini adalah tetap sepanjang tempoh belajar mengaji. Diletakkan di tempat yang anak-anak mudah nampak dan capai. Bila minat sudah ada, pasti kita terkejut dan bersyukur anak sendiri yang akan ambil buku mengajinya dan ajak ibu bapa mengajarnya.
7.PENGGUNAAN VIDEO
Pendedahan video mengaji boleh dijadikan antara usaha terawal ibu bapa untuk memupuk sikap mahu belajar mengaji. Kanak-kanak kategori visual dan auditory juga sangat berminat dengan kaedah ini. Belajar mengaji tidak kelihatan terlalu formal. Video boleh sahaja dipasang semasa anak-anak sibuk bermain atau ketika travel dalam kereta (jika ada VCD player). Anak kategori kinestatik yang suka bergerak pula mungkin lebih sesuai menggunakan flash cards untuk permulaan belajar mengaji.
8.BERI PUJIAN DAN REWARD
Keyakinan diri dan motivasi anak boleh meningkat dengan pujian dan penghargaan. Hargai setiap kejayaan kecil anak.
Contohnya;
“Alhamdulillah, pandainya kakak mengaji ! Dah sampai buku 3. Siapa bagi kakak pandai? —> ALLAH “
Letakkan target yang relevant dan berjanjilah reward yang mampu dikotakan. Contohnya, “Adik nak baby playset macam Himmah (sepupu) tu ye? Lepas Adik mengaji sampai page 5, inshaa Allah Mommy belikan nanti.”
9.KUALITI VS KUANTITI
Pentingkan kualiti berbanding kuantiti.Rasulullah S.A.W berpesan, amalan terbaik dilakukan sedikit tetapi berterusan. Konsep ini juga sesuai diaplikasikan dalam mendidik anak mengaji. Tiada paksaan. Sedikit demi sedikit secara konsisten dan penuh kesabaran.Jika anak bermula sedikit lambat pun terus berikan dorongan. It’s always better late than never. Jangan malu anak lambat bermula. Malulah jika anak langsung tidak bermula.
Sesekali selitkan cerita hebat.. Mengapa kita perlu belajar Al-Quran ? Apa manfaat jadi Pencinta Al-Quran ? Siapa contoh Pencinta Al-Quran yang Allah sayang ?
Tugas kita hanya menyampaikan.Allah yang memberi kefahaman.
10.DOA DAN TERUS BERDOA
Yakinlah, doa seorang ibu itu sangat dahsyat. Maka, teruslah berdoa dengan yakin suatu hari nanti anak itu bukan sahaja mampu mengaji al-Quran dengan baik tetapi juga menjadi Pencinta Al-Quran yang baik akhlaknya. Tiada daya kekuatan melainkan segalanya terjadi dengan izin Allah. Sesungguhnya, Allah menilai usaha. Natijahnya, Allah tentukan sama ada di dunia & di akhirat.
Semakin kita berkorban, semakin kita bahagia. Mendidik anak mengaji perlukan pengorbanan jiwa, masa dan tenaga. Alangkah indahnya jika Allah rezeqikan anak itu pandai mengaji berkat usaha tanpa jemu ibu bapa yang melahirkan dan membesarkannya. Proses mengajar ini adalah muhasabah pengajar al-Quran sendiri untuk terus memperbaiki diri menjadi hamba Allah yang lebih sabar dan ikhlas, inshaa Allah.
“AL-QURAN ITU CAHAYA DI ALAM KUBUR, MOTIVASI BUDAYA AL-QURAN TERUS SUBUR.”
Truly,
Nurkhomsiah Bakrim
A Mother & An Educator
Semoga perkongsian ini bermanfaat dalam mendidik anak suka mengaji diawal usia. Kongsikan juga sebagai panduan buat mak ayah yang lain.
Ajak Suami Kemas Rumah & Jaga Anak Ada Caranya, Tak Adalah Nanti Buat Sambil Muka Masam Mencuka
Kalau nak suami kemas rumah dan jaga anak, kena pakai petua. Lelaki biasalah ada egonya. Bila disuruh-suruh, seolah-olah macam isteri ‘memerintah’ pula. Itu yang ramai suami-suami rasa tercabar.
Memang ada suami-suami yang ibunya tidak pernah mengajar membuat kerja-kerja rumah. Bagaimanapun apabila sudah berkahwin, sikap menjadi ‘raja’ itu perlu diubah. Di sinilah peranan isteri amat penting dalam ‘mendidik’ suami.
Apa yang boleh dilakukan oleh si isteri ialah mulakan seawal mungkin ketika di awal perkahwinan. Jangan mengeluh, mungkin si suami rasa janggal untuk membuat kerja orang perempuan atau penat pulang dari tempat kerja.
Untuk elak berlakunya salah faham, apa kata anda mencuba LIMA cara paling lembut dan mesra ini, siapa tahu suami akan terus rajin membantu tanpa diminta apa lagi dipaksa.
1. MULAKAN SEAWAL PERKAHWINAN
Kalau baru berkahwin, elok mulakan rutin seawal perkahwinan agar terbiasa dengan tanggungjawab menguruskan rumah tangga. Di awal perkahwinan adalah masa yang sesuai kerana setiap pasangan mula untuk mengenali pasangan masing-masing dengan lebih dekat.
Mungkin si suami tidak diasuh untuk melakukan tugas-tugas mengurus rumah oleh keluarga. Haaa.. inilah tanggungjawab anda, ajak pasangan mengurus rumah. Tapi jangan paksa, bagi dia masa. Gunakanlah perkataan “tolong” setiap kali anda meminta bantuan si suami. Elak daripada ayat yang berunsurkan mengarah atau memaksa.
2. SERAHKAN TUGAS YANG SESUAI
Nak suami membantu, jangan pula kita berikan tugasan yang dia tak suka. Kenal pasti tugas yang sesuai dengannya seperti membuang sampah, membersihkan kipas dan siling, membersihkan longkang, membersihkan tingkap, kemas meja selepas makan, dan sebagainya.
Zaman sekarang ramai suami yang membantu menguruskan anak-anak seperti memberi makan anak, mandikan dan pakaikan baju anak-anak dan ada juga yang memasak.
3. JANGAN SINDIR, BUAT BERSAMA
Agak tengok suami macam tak yakin untuk melakukan tugas-tugas itu, awal-awal elok anda teman. Misalnya, memasak sama-sama, mengemas meja selepas makan bersama, mandikan dan pakaikan baju anak bersama. Bukan sahaja anda dan pasangan anda menguruskan rumah, malah hubungan yang terjalin antara anda berdua akan bertambah erat.
Paling penting, jangan sesekali bandingkan caranya dengan cara kita buat kerja. Mungkin suami kurang teliti berbanding anda atau sebaliknya. Terimalah seadanya dan beri masa buat suami, suatu hari nanti pasti akan biasa melakukannya.
4. BERIKAN GANJARAN UNTUK SEMANGAT
Berikan hadiah atau ganjaran kepada si suami? Haa… ini akan membuatkan si suami rasa dihargai. Anda boleh memberikan ganjaran dengan memasakkan makanan kegemarannya, belanja menonton wayang atau membelai dengan urutan setelah penat membantu anda memasak di dapur dan mengemas meja makan selepas makan. Eh, tapi jangan sampai mengungkit, ya!
5. PUJILAH PASANGAN
Ya, suami akan rasa dihargai dan buat si dia rasa rela hati untuk tolong anda kemudian hari.
Owh ya, jangan lupa selit motivasi padanya, walaupun si dia membantu dalam menguruskan rumah tangga, dia tetap macho dan lelaki yang gagah perkasa kerana membantu kaum hawa yang lemah. Membantu anda di rumah bukan bermakna si suami dayus atau anda ‘queen control’.
Macam mana kaum wanita, agak-agak boleh tak ‘pancing’ suami untuk tolong kerja rumah selepas ini? Moga ada salah satu tip ini yang boleh dekatkan suami ke dapur dan kemas rumah. Bukan nak suruh buat semua, janji dia ada tolong. Itu lebih dari syukur!
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.