Dalam Mingguan Wanita Talk Show hari ini, topik berkenaan ‘Suamiku Serba Boleh’ menjadi bahan diskusi. Dikelolakan oleh Siti Elizad dan PU Amin turut diundang membuat kupasan mengenai topik menarik ini adalah Ustaz Syed Abdul Kadir bin Syed Hussin Aljoofre.
Menurut Ustaz Syed Abdul Kadir, Rasulullah S.A.W cukup terkenal dengan sifat suami budiman. Baginda juga tidak betah menguruskan rumahtangga dan melakukan sendiri kerja-kerja rumahtangga tanpa membebankan isterinya; Sayidatina ‘Aisyah. Baginda sendiri menjahit pakaiannya yang koyak, mencuci pakaiannya sendiri, membaiki kasutnya sendiri dan tidak kisah untuk memerah susu kambing sendiri tanpa mengharapkan si isteri.
Jika baginda tiba dirumah dan mendapati isterinya tidak sempat menyediakan makanan, baginda sendiri akan menyingsing lengan bajunya dan memasak. Tambah Ustaz Syed Abdul Kadir, sedangkan Rasulullah S.A.W tidak punya masalah untuk ringan tulang membantu isteri…kenapa kita sebagai manusia biasa tidak boleh melaksanakannya.
“Tugas menguruskan rumahtangga bukan mutlak di bahu si isteri semata. Kehidupan kita hari ini yang hampir 1400 tahun selepas ketiadaan Rasulullah sewajarnya isu suami bantu isteri bukanlah isu besar. Hari ini, senarionya suami dan isteri sama-sama kerja. Sama-sama mencari rezeki. Sebaiknya sama-sama faham melaksanakan peranan masing-masing.
“Dalam Islam, kewajipan dan tugas suami merangkumi urusan menguruskan rumah tangga. Selaku isteri dia mungkin tahu peranannya, dan mendapat bantuan serta ihsan dari suami terutamanya meringankan urusannya menguruskan rumah tangga adalah perkara kecil yang besar impaknya. Tanggungjawab suami bukan terikat pada nafkah zahir dan nafkah batin sahaja. Menyantuni isteri itu adalah salah satu skop tugasan yang patut dilaksanakan sebaiknya oleh suami,”kongsi Ustaz Syed Abdul Kadir.
Tolong isteri, lebih rezeki
Hadir sama pada sesi diskusi hari ini pasangan suami isteri instafamous Mikhail Isaaq dan isterinya Hajar Hanif. Mikhail dan Hajar sering berkongsi siri kejutan antara satu sama lain menerusi laman instagram mereka. Pasangan muda ini dilihat saling bekerjasama dan bijak mengatur urusan rumah tangga.
“Selaku suami, membahagiakan isteri dan memewahkan isteri dengan rezeki yang kita ada…membawa kepada hadirnya rezeki melimpah ruah seperti yang Allah janjikan. Hidup sebelum kahwin dan selepas kahwin berbezanya pada tanggungjawab. Menjadi seorang suami, bukan bermakna semua urusan rumahtangga dan anak diletakkan pada isteri. Saya mengambil pendekatan membantu isteri dan saya tak nampak isu suami bantu isteri itu satu isu memalukan,”kongsinya yang juga bapa kepada seorang bayi lelaki comel, Mikhail Darwish.
Bagi yang terlepas kupasan topik menarik hari ini mengenai isu ‘Suamiku Serba Boleh’, jangan lupa saksikan ulangannya jam 8 malam nanti di Astro Prima 105 dan Prima HD 121.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI