Jadi Suami Kenalah Selalu Melihat, Kena Peka! Cukupkan Apa Yang Kurang

Share

Jadi suami kenalah selalu melihat, kena peka dan sentiasa mendengar. Cukupkan apa yang kurang.

Sekiranya dikurniakan isteri yang berat mulut dan lebih banyak memendam, suami harus mainkan peranan. Sesekali luangkan masa bersama isteri, habiskan masa bersama agar saling memahami.

Jadi Suami Kenalah Selalu Melihat

Kongsi Ustaz Firdaus Mokhtar ini, suami, sesekali kena masuk ke dapur. Bukan setakat basuh tangan. Tolonglah memasak.

Bukan apa, kadang waktu itulah kita dapat tengok rupanya dapur masak isteri kita tu apinya dah kecil. Dah tersumbat sebelah. Tinggal sebelah sahaja yang elok.

Kabinet dapur punya laci sudah tercabut. Tunggu nak roboh saja.

Tengah potong sayur, pisau tak lut. Belum cuba potong daging lagi. Entah macam mana punya payah isteri kita cuba tekan pisau.

Blender pun dah macam bunyi enjin lori. Bunyi bising tapi bahan masak tak lumat pun.

Kena Peka & Sentiasa Mendengar

Banyak yang nak kena ganti dah.

Suami, sesekali basuhkanlah baju dekat rumah. Guna mesin basuh yang ada tu. Bukan setakat letak baju dalam bakul baju kotor sahaja.

Kadang masa itu baru kita perasan, pair air sudah bocor. Air menitik tak berhenti. Hos tempat air keluar daripada mesin basuh sudah rupa apa entah. Pecah pecah sampai air melimpah sana, sini.

Waktu itu juga baru kita tahu besi penyidai baju kita dah 10 tahun tak ganti. Daripada awal kahwin pakai yang sama. Siap berkarat sana sini.

Suami, sesekali jenguklah almari baju dekat bilik. Tolong kemas dan susunkan kain baju yang banyak dalam tu.

Baca Juga Di Sini:

Suami Jangan Anggap Isteri Beban, Gembirakan Hatinya, Percayalah Rezeki Datang Tak Disangka

Kediaman Harus Dijaga Rapi, Wanita Ini & Suami Sanggup Berhabis Bagi Keselesaan, Ketenangan

Emosi Isteri Berkait Dengan ‘CUACA’ Rumah Tangga, Jadi Suami Perlu Beri Ruang Secukupnya

Cukupkan Apa Yang Kurang

Kadang masa itu baru kita tahu, rupanya pintu almari tu tak boleh pakai. Sendal macam gitu sahaja. Silap sikit boleh terbalik pintu almari.

Iron baju kita pun silap-silap sudah barai. Jenuhlah isteri ini ironkan baju. Hati-hati takut terbakar baju. Yang ada tu jenis masukkan air, melimpah pula keluar. Basah bajunya.

Suami, jenguk lah juga sesekali ke bilik tidur anak-anak. Lapik kayu katil anak tu ada yang sudah patah. Anak asyik melompat selalu, patahlah. Bila tidur senget dah.

Langsir bilik anak pun sudah luntur. Warna sudah tak berseri. Kita tak pernah pandang.

Ada banyak lagi kerja rumah yang kita boleh buat. Bukan setakat dapat membantu isteri, tapi lebih utama kita tahu keadaan semasa rumah kita.

Mana yang rosak, perlu diganti atau cuma perlu dibaiki. Benda benda ni kita jarang perasan sebab kita tak pernah tengok.

Yang kita tahu persoal ke isteri bila lambat masak. Lembap kita kata. Padahal dapur rosak sebelah.

Baju kerja kita rosak. Bau kepam. Kisahnya mesin basuh rosak. Jadi basuhan tak sempurna. Kita marah marah je tahu.

Nak cari seluar kerja tak jumpa. Iyalah dah almari separa roboh. Memanglah jadi tak tersusun. Nak mencarinya bukan main payah.

Isteri tu bukan tak nak bagitahu. Diam sebab tak nak susahkan kita. Tak nak bebankan kita. Dia guna segala apa yang ada.

Selalu Mendengar Luahan Isteri

Jadi, kitalah kena selalu melihat. Tengok apa yang perlu.

TV, aircond, extension plug, meja kerja dekat rumah, sofa dan katil kita tidur memang lah kita tengok selalu. Sebab tu barang kita. Barang yang isteri guna hari hari ni kena perhati juga.

Begitulah hidup suami isteri. Ada banyak lagi. Tinggal kau kena peka dan selalu mendengar.
Sekian.
Firdaus Mokhtar,
Suami juga.

Mingguan Wanita: Hidup berpasangan begitulah, kena saling memahami serta bertolak ansur. Jika berdepan masalah, luahkan pada pasangan, jangan dipendam hingga timbul mudarat.

Sumber : Ustaz Firdaus Mokhtar

Mingguan Wanita boleh diikuti di :

Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita

FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak

Website: https://www.mingguanwanita.my/

Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en

YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured

Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en

Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita

Telegram Bangkit Wanita: https://t.me/bangkitwanita

Published by
Nur Syazwani Mehat