Hidayah Allah itu hadir kepada insan yang terpilih. Dan Allah telah memilih Nur Ain Bahuang Abdullah untuk menjadi salah seorang umat-Nya Sebaik sahaja Nur Ain  mengucap dua kalimah syahadah pada tahun 1990, sukar untuk saudara ini menggambarkan perasaannya pada ketika itu.

 

Sebelum ini dia tidak pernah merasa begitu tenang sebagaimana tenangnya hati sebaik sahaja sah menjadi umat Nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya dia rasa begitu bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk masuk agama Islam.

Jadi Saudara Baru Tidak Mudah, Wanita Ini Faham Erti Tabah Saat Diuji
Nur Ain tidak akan berhenti belajar

Wanita yang berasal dari Ranau, Sabah ini tertarik dengan agama Islam kerana ajarannya yang begitu mudah difahami. Apabila dirinya dikelilingi oleh orang-orang yang beragama Islam, jiwanya semakin dekat dengan agama suci ini. Itu yang membuatnya hatinya terbuka untuk mengenali sekaligus bergelar seorang muslim.

 

“ Saya masuk Islam ketika masih bujang.  Tidak ada paksaan daripada sesiapa. Sebaik sahaja saya bergelar saudara baru saya melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan larangannya.  Malah saya mula belajar untuk beramal ibadah dan mendalami ajaran-ajaran Islam.

 

” Walau begitu keputusan saya untuk memeluk agama Islam itu tidak begitu menyenangkan keluarga kandung. Mereka tidak boleh menerima keputusan saya itu. Malah mereka juga tidak boleh menerima kerana saya masuk Islam tanpa pengetahuan mereka. Saya tidak memberitahu mereka dan keluarga kandung mendapat tahu dengan sendiri.

 

” Sebaik mengetahui bahawa saya telah bergelar saudara baru, hubungan saya dan keluarga kandung tidak begitu baik. Akibatnya mereka ingin memutuskan pertalian darah dengan saya.

IKLAN

 

” Saya fikir cabaran yang saya hadapi setelah bergelar seorang saudara baru dan seorang muslim ialah apabila saya terpaksa terima dan hadapi apa jua berkaitan hubungan kekeluargaan saya dan keluarga kandung yang tidak begitu baik.

 

” Untuk menghadapi cabaran tersebut, saya ambil pendekatan lebih banyak berdiam diri dan tidak putus-putus berdoa semoga Yang Maha Esa menunjukkan jalan yang benar dan membantu saya menghadapi apa jua dugaan yang datang kepada saya.

 

” Jika ditanya apakah kesukaran yang saya hadapi sebagai saudara baru? Apa yang boleh saya katakan tidak ada kesukaran kerana Islam mengajar saya erti kesabaran jika diuji. Allah SWT menjanjikan kepada hamba-hamba-Nya, lambat atau cepat tetap akan ada kebahagiaan selepas kesukaran,” ujarnya panjang lebar.

Tidak Pernah Bersendirian Dalam Mencari Ilmu

 

IKLAN

Dalam memastikan dirinya mampu menjadi seorang umat Islam yang beramal soleh, Nur Ain banyak menghabiskan masa mencari ilmu agama yang masih kurang dalam jiwanya. Jika hati sudah tekad semuanya mudah untuk dicari. Walau perlu belajar sendiri, dia tidak akan berputus asa mencari ilmu.

 

“ Dalam mencari ilmu, saya kedai buku berdekatan adalah tempat saya pilihan saya. Di sana saya banyak membeli buku rujukan mengenai agama Islam. Selain itu saya juga cuba belajar kalimah-kalimah  Islam yang dapat menyenangkan hati dan perasaan saya.”

 

Nur Ain amat bertuah dan bersyukur kerana ketika dirinya masih mencari-cari, ramai yang mahu membantunya mendalami agama Islam. Dalam kata lain, Allah memudahkan dirinya mencari ilmu.

 

IKLAN

“ Saya tidak pernah bersendirian dalam mencari ilmu dan belajar mengenai ajaran Islam. Sebelum saya berkahwin, rakan-rakanlah yang banyak membantu saya. Mereka mengajar saya cara untuk mendirikan solat dengan betul dan membaca Al-Quran. Tetapi selepas saya bernikah, suami dan kakak ipar pula lagi banyak membantu saya dan menegur jika ada kesilapan yang saya lakukan tanpa saya sedari. Saya berterima kasih kepada mereka.”

 

Bergelar umat Islam juga sedikit-sebanyak telah mengubah cara hidup Nur Ain. Paling ketara adalah dari segi penampilannya.

 

“ Perubahan yang paling ketara saya hadapi ialah saya cuba untuk menutup aurat sebagaimana yang disarankan dalam agama Islam. Selain itu saya sentiasa berusaha untuk menjaga solat dan menunaikannya dengan sempurna dan cukup setiap hari.

 

” Masih banyak lagi yang perlu saya belajar dan  saya tidak akan berhenti belajar. Harapan saya kini adalah ingin melihat anak-anak yang saya lahirkan menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Saya berdoa agar mereka berjaya dalam hidup dan dapat membimbing keluarga mereka sendiri pada suatu hari nanti.

 

” Bukan itu sahaja. Saya selalu juga berdoa agar mereka semua berjaya di akhirat juga. Dunia hanya sementara. Akhirat selamanya,” akhirinya.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI