Membesarkan dan mendidik anak-anak memang tak mudah. Sementelah, apabila menjadi mak ayah ia tak membuatkan kita serba serbi betul dan sempurna. Pandangan dan suara hati daripada anak-anak terhadap kita juga harus diambil kira. Latih anak-anak agar berani suarakan apa yang ada dalam hati mereka, agar hubungan lebih rapat dan mesra, serta mak ayah dapat memperbaiki kekurangan yang ada.
Setiap bulan, saya akan bertanya kepada anak-anak apa yang mahu di buat menjelang weekend (Jumaat dan Sabtu). Tidaklah setiap hari, hanya hujung minggu.
Anak-anak akan request. Nak tidur lewat, nak makan mee hailam, nak spaghetti, nak moi sup, nak bermain basikal, nak menonton cartoon atau movie. Selalunya kami layankan je, ye la time ni ja masa untuk penuhi hajat anak-anak.
Cuma sejak PKP, anak kedua saya meminta sesuatu yang tidak pernah dia minta sebelum ini.
Zhafran meminta ‘Ummi jangan marah-marah tau’.
Saya terkejut. Saya renung muka Zhafran lama-lama. Beliau anak yang baik, sopan, tidak pernah bercakap kasar dan anak yang sangat manja.
Saya hanya membalas ‘ok sayang’.
Saya control emosi saya dan cuba penuhi permintaan itu. Saya ingatkan dah setel, tetapi setiap bulan Zhafran hanya ulangi permintaan yang sama.
“Ummi jangan marah-marah”.
Akhirnya saya tanya suami saya, “Saya kerap marah-marah ke sejak dua menjak ni? Saya rasa saya tak marah-marah.”
Suami saya membalas ‘Perbaiki nada suara. Jaga intonasi suara”.
Owh.. Baru saya tersedar, itu yang saya terlupa ubah rupanya..
Iya, saya rasa saya tidak meninggikan suara, rupa-rupanya nada suara saya tegas, tidak mesra, tidak menasihati tetapi hanya memberi arahan, dingin dan mungkin bagi anak-anak, saya sudah tidak seperti dahulu.
Kadang-kadang kita tidak perlukan orang luar untuk menegur kita,hanya bertanya kepada keluarga kecil kita, mereka jujur memberi tahu segala-galanya.
Anak-anak atau pasangan, takkan pernah menjatuhkan kita. Merekalah orang yang paling telus dan mahukan yang terbaik untuk diri kita dan keluarga kita.
Selalu juga saya terlupa, saya mahukan yang terbaik untuk anak-anak, tetapi saya tidak bertanya apa yang anak-anak inginkan dari saya.
Saya okey je sebenarnya kalau suami atau anak-anak tegur, macam mana saya mahu pasangan dan anak-anak mendengar apa yang saya nasihatkan, saya juga tidak kisah menerima permintaan mereka untuk saya mengubah sikap menjadi lebih baik dari sebelum ini.
Latih anak-anak kita untuk berani voice out apa yang ada di dalam hati mereka, dengarlah pendapat mereka tentang diri kita dan belajarlah menerima kekurangan kita serta perbaiki kelemahan kita.
Menjadi ibu bapa tidak membuatkan kita 100% betul dan sempurna.
Norzi Malek
Catatan Hijrah 1442.
Baca Lagi Di Sini:
Ayah Sepatutnya Jadi Lelaki Pertama Di Hati Anak Perempuan, Luangkan Masa Berdua
Jangan Dimanja Anak Lelaki. Usah Harapkan Anak Perempuan Saja Buat KERJA RUMAH
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dijadikan panduan buat mak ayah dalam mendidik dan membesarkan anak-anak. Sungguh, menjadi mak ayah bukanlah ‘tiket’ membuatkan kita betul dan sempurna serba serbi, ambil positif dengan teguran daripada anak dan belajar untuk terus memperbaiki diri agar menjadi lebih baik.
Sumber: Norzi Malek