Jadi Isteri Jaminan Syurga, Mulakan Dengan Projek 5P Untuk Memikat Suami

Share

Satu kerisauan di hati isteri yang paling meresahkan ialah bila suami mula tunjuk tanda-tanda tak sayang. Atau suami mula tak melayan dirinya seperti sebelum-sebelum ini.Sepantas kilat, fikiran isteri buat perbandingan; suami ada orang lainkah? tak cantik lagikah aku di matanya. Walaupun tak payahlah fikir sampai begitu, tapi itulah kepakaran seorang isteri. Sebenarnya isteri boleh tawan kembali hati suami dengan memulakan langkah mengikut kaedah projek 5P yang dikongsikan oleh penulis Nik Mohd Iznan  ini.

Berikut antara perkongsian beliau;

P1 – PERIBADI

P yang pertama ialah peribadi. Isteri perlu menunjukkan sifat keperibadian yang unggul. Sifat keperibadian yang tinggi.

Dalam konteks ini, agama adalah penting. Jadikan wanita-wanita yang dijamin syurga sebagai idola. Ikut jejak langkah Siti Khadijah dan Siti Aisyah sebagai contoh serikandi.

Sabda Rasulullah S.A.W. sebagagaimana riwayat oleh Muslim: “Sesungguhnya dunia dan seluruh isinya adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah.”

Banyakkan membaca buku-buku, majalah dan laman web yang berunsur keagamaan. Sentiasa menghadiri majlis ilmu untuk memantapkan lagi ilmu agama. Jaga diri, jaga peribadi, jaga suami, insya-Allah syurga menanti.

P2 – PENAMPILAN

P yang kedua ialah penampilan. Siapa tidak mahu memiliki wajah yang berseri. Putih melepak macam selebriti. Gebu menawan macam roti. Pinggang ramping macam artis terkini.

Ada banyak produk-produk yang lulus KKM di pasaran. Namun jangan tersalah pilih produk. Nanti semakin teruk wajah. Yang penting, badan sentiasa wangi dan wajah berseri dengan senyuman. Jangan kedekut untuk keluarkan belanja bagi membeli pakaian-pakaian yang murah tapi cantik. Untuk suami juga.

Tidak kisahlah macam mana pun. Yang penting, sentiasa menjaga penampilan untuk suami. Urus diri sebaik mungkin. Jaga penampilan, suami sayang!

P3 – PEMAKANAN

P yang ketiga ialah pemakanan. Pemakanan di sini adalah merujuk kepada masakan di rumah. Dalam konteks zaman moden yang serba mencabar ini, ramai suri rumah berkerjaya tidak ada masa untuk memasak. Setiap hari beli lauk di kedai. Impaknya, suami jatuh hati kepada tukang masak di restoran Pattaya.

Tidak pandai masak, tidak ada masalah. Boleh belajar, belajar dan belajar. Balik kampung belajarlah dengan ibu sendiri atau ibu mentua. Malah, boleh buka Youtube belajar masakan. Sentiasa memperbaharui resepi-resepi terkini.

Jangan pernah tanya suami, “Sedap tak?”

Tapi lihat secara psikologi. Kalau makan bertambah, sedaplah itu.

P4 – PEMAKAIAN

P yang keempat ialah pemakaian. Bab penampilan sudah disebut dalam P2. Penampilan juga termasuk dalam pemakaian diri. Fokus pemakaian di sini ialah pemakaian suami. Jaga pakaian suami. Sentiasa bersedia dengan pakaian bergosok. Kotor basuh. Jangan biarkan suami basuh sendiri pakaian. Tapi kalau suami yang jenis ringan tangan tidak ada masalah. Itu tanda sayang.

Ambil tahu saiz kasut suami, saiz seluar, saiz baju, seluar yang macam mana digemari suami dan lain-lain.

Kalau suami tanya pendapat tentang fesyen, jangan jawab acuh tidak acuh. “Baju yang ini dengan yang ini mana cantik?” “Dua-dua cantik.” Wahai kaum hawa, jangan jawab begitu. Ambil masa, dan fikirkan jawapan yang lebih sesuai. “Dua-dua cantik. Tapi yang merah ini lebih menampakkan keberanian abang.” Ha, begitu.

P5 – PENGURUSAN KEWANGAN

P kelima ialah Pengurusan Kewangan. Ada yang menjadi suri rumah sepenuh masa. Ada yang turut bekerja membantu suami. Malah, ada wanita yang menjawat jawatan sebagai CEO, dengan gaji yang lebih tinggi daripada suami.

Suami suka isteri yang tidak boros, cermat, dan pandai berbelanja. Dengan kata lain, sangat cekap dalam bab-bab pengurusan kewangan. Banyakkan juga membaca buku-buku tentang kewangan dan peluang-peluang pelaburan.

Ini demi masa depan anak-anak juga. Rajin-rajinlah menyimpan. Biar sedikit, yang penting ada juga menyimpan. Suami sangat suka kalau tiba-tiba isteri tiba-tiba mengusulkan begini:

“Abang, jom pergi Langkawi lepas raya. Sayang belanja.”

Sumber: FB Nik Mohamad Iznan via Mingguan Wanita

Published by
Suhaidah Abd Wahab