Izreen Azminda Luah Rasa Kesal & Terkilan, Ada Pihak Berniat Jahat Cuba Menutup Periuk Nasinya

Share

Macam-macam dugaan dan kontroversi yang dihadapi oleh pelakon Izreen Azminda semenjak sah bergelar isteri kedua kepada seorang pemuzik. Baru-baru ini, pelakon Izreen Azminda, 33, ada meluahkan rasa kesal apabila ada pihak berniat jahat cuba menutup periuk nasinya dengan mewujudkan akaun Instagram (IG) palsu menggunakan namanya.

Isteri kepada pemuzik bebas, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude itu berkata, dia terkilan apabila beberapa status mengelirukan dimuat naik menerusi akaun palsu menggunakan nama, @therealizreenazminda sejak 5 Mac lalu.

Izreen berkata, paling mengecewakan apabila periuk nasinya cuba diganggu menerusi status yang menyatakan dia bakal meninggalkan kerjaya seni kerana tidak mahu lagi dihimpit kontroversi sejak memilih untuk hidup bermadu.

“Ini penganiayaan besar terhadap saya. Ketika saya berdepan kecaman dan hentaman masyarakat, akaun IG palsu ini diwujudkan bagi mengeruhkan lagi keadaan dengan pelbagai kenyataan yang bukan datang dari mulut saya

“Saya tidak tahu angkara siapa, tetapi biar Allah SWT yang membalasnya. Selama ini, saya hanya memiliki satu akaun Instagram, tetapi sudah dinyah aktif sejak sebulan lalu,” katanya.

Menurut Izreen, dia tidak pernah mengeluarkan kenyataan mahu mengundurkan diri daripada dunia seni seperti yang ditulis dalam akaun palsu itu.

“Mana mungkin saya meninggalkan kerjaya seni kerana ini mata pencarian utama saya. Alhamdulillah, saya masih menerima tawaran berlakon dan ketika ini, saya sibuk dengan penggambaran drama.

“Saya percaya, semua ini cubaan untuk menutup periuk nasi saya, tetapi tidak mengapa. Biarlah kerana Allah ada,” katanya.

Izreen berkata, ketika ini, dia memilih untuk menutup akaun laman sosialnya bagi mengelak daripada berterusan dihimpit kontroversi.

“Saya akan aktifkan semula akaun IG itu pada masa yang saya rasakan sesuai nanti. Buat masa ini, saya selesa memilih untuk menutupnya,” katanya.

Buat Izreen Azminda, bersabarlah banyak-banyak iya.Buat baik dibalas baik. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Sumber: BH Online

Published by
Suhaidah Abd Wahab