Macam-macam trend dan peraturan pekerja kena ikut sehinggakan waktu kahwin dan hamil pun diberikan jadual dan kena ikut giliran. Keadaan ini terjadi di Jepun apabila pekerja mendakwa telah diberikan jadual bila mereka boleh berkahwin atau hamil serta perlu mendahulukan pekerja senior.
Trend membimbangkan ini didedahkan seorang suami pekerja nurseri di wilayah Aichi yang mendakwa isterinya dibuli majikannya dengan menyuruhnya hamil mengikut giliran.
“8 bulan usia perkahwinan kami, pada bulan Januari kami mendapati, isteri mengandung. Namun isteri bersedih dan bimbang dengan berita kehamilan tersebut.”
“Ini kerana Pengarah di Pusat Jagaan Kanak-Kanak, tempat isteri bekerja telah memberi arahan kepada para pekerja dibenarkan berkahwin dan mengandung. Tapi sebenarnya terdapat ‘peraturan senyap’ bahawa ia hendaklah mendahulukan pekerja senior dan mengikut giliran.
“Kami terpaksa bertemu dengan Pengarah di Pusat Jagaan Kanak-Kanak terbabit untuk meminta maaf kerana ‘terhamil’ tanpa menunggu giliran.
“Pada awalnya, dia terima permohonan maaf kami, namun keesokan harinya dia mula memarahi isteri saya dan menuduhnya pentingkan diri sendiri kerana melanggar peraturan hingga menyebabkannya rasa bersalah,” kata lelaki tersebut menerusi surat dihantar kepada akhbar Mainichi Shimbun pada bulan lalu.
Sejak pendedahan itu, puluhan wanita lain bertindak tampil dan berkongsi cerita sama. Seorang wanita berusia 26 tahun mendakwa dia perlu menunggu sehingga berusia 35 tahun untuk mengandung walaupun sudah mengalami masalah kesuburan.
Sementara itu, wartawan yang pakar dalam kadar kelahiran rendah di Tokyo, Toko Shirakawa berkata, polisi itu biasanya dilaksanakan di mana majoriti kakitangan adalah wanita untuk memastikan rakan lain tidak berdepan bebanan kerja.
Negara Jepun memang diketahui memiliki rakyat yang sangat kuat bekerja, disiplin yang tinggi, sentiasa menepati waktu serta memiliki kadar kelahiran yang rendah.Bersyukurlah kita di Malaysia peluang mengandung dan berkahwin tak perlu ikut giliran dan jadual. Parah sungguh, jika semuanya kena ikut giliran dan jadual seperti negara Jepun ini.
Sumber: Sinar Harian & Daily Mail