Isteri Yang Buat Suami Jatuh Cinta Berkali-Kali Padanya Juga Ibadah…

Share

Setiap isteri berdoa mengharapkan suami jatuh cinta hanya kepada dirinya sahaja, tetapi mungkin usahanya tidak sekuat doanya, ikhtiarnya tidak sebesar pengharapannya.
Pengorbanan isteri tiada siapa yang menafikan tetapi kadang kala isteri lupa cara dia melihat dirinya sendiri. Dia berasa terlalu sempurna dan tak terkalahkan, sentiasa hebat dan tak bersalah.

Penyelamat Hubungan

Sifat dan tabiat sebegini amat tidak elok dalam semua jenis perhubungan. Perhubungan antara kawan atau antara keluarga, apatah lagi antara suami isteri. Sungguh hati yang bertakwa dan akhlak yang mulia adalah penyelamat dalam setiap perhubungan manusia.

Allah SWT berfirman: “Setiap sahabat karib akan bermusuhan kelak di hari kiamat kecuali mereka yang bertakwa.” (Surah al-Zukhruf: 67)

Suami yang memilih isteri kerana rupa akan menemui kebosanan bila kecantikannya mula sirna. Begitu juga harta, pangkat dan kedudukan akan musnah akhirnya. Namun yang tidak pernah hilang dari jiwa seorang suami dan tetap indah di matanya hanyalah isteri yang kaya dengan amal kebaikan, akhlak mulia, takwa dan pengorbanan yang membuat suami tak boleh melupakannya.


Bergantung hanya kepada Allah SWT

Mustahil mata lelaki tidak tertarik apabila melihat kesempurnaan dan kecantikan wanita yang lebih hebat dari isterinya sendiri, namun tidak mustahil semua bagi Allah jika Dia mentakdirkan segala sesuatu tidak terjadi maka tidak akan terjadi.

Jika isteri yakin dengan kuasa Allah yang mampu menjaga hati suaminya dan dia amat sangat dekat hubungannya dengan Allah maka tidak mustahil doanya agar suami setia akan didengar Allah.

Doa terbaik Isteri

Doa isteri yang terbaik adalah doa yang telah dirakamkan dalam Al-Quran: “ Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami tertarik kepada kesesatan setelah Engkau beri petunjuk kepada kami dan Kurniakanlah kami Rahmat (kasih sayang) dari sisi Engkau, kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi Karunia.” (Surah Al-Imran ayat: 8)

Namun begitu doa bukanlah angan-angan kosong bahkan perlu untuk diperjuangkan dan diusahakan menjadi nyata dengan ikhtiar yang sebenar-benarnya. Suami hanya akan jatuh cinta bila hatinya telah merasai ketenangan dalam rumah tangga. Jika belum maka dia akan terus mencari ketenangan di tempat lain, dalam pencarian cinta yang tak pernah selesai. Jangan biarkan suami jatuh cinta dengan wanita-wanita lain kerana dia tidak menemuinya dalam hati isterinya sendiri.

Zuhud dalam bercinta

Tidak dinafi, suami banyak kekurangan tapi begitulah sifat manusia yang hanya mementingkan diri, tidak pernah puas dan cepat tertarik hati pada yang lebih baik dari yang dia miliki. Dan sifat wanita pula amat sensitif dengan perasaannya yang apabila mencintai akan cuba menguasai.

Rasulullah s.a.w pernah ditanya oleh seorang sahabat baginda, “Wahai Rasulullah, tunjukkanlah kepadaku suatu amalan yang apabila aku mengamalkannya Allah dan seluruh manusia akan mencintaiku. Rasulullah s.a.w bersabda: “Zuhudlah engkau di dunia nescaya Allah akan mencintaimu dan zuhudlah engkau terhadap apa-apa yang ada pada manusia nescaya manusiapun akan mencintaimu.” (Hadis riwayat Ibnu Majah disahihkan ole Al-Albani).

Tak Susahkan Suami

Zuhud dengan harta suami bermakna tidak menyusahkannya dengan apa yang tidak mampu ditunaikannya. Ini adalah rahsia yang membuat suami jatuh cinta kepada isteri. Sifat isteri yang zuhud tidak mungkin memberi tekanan pada suami, apabila dia pulang yang dirasainya hanya ketenangan dalam pelukan isterinya.

Zuhud juga diperlukan dalam hal perasaan, jangan sesekali isteri menuntut apa yang suami tak mampu bagi dalam hal keperluan bathinnya kecuali apa yang menjadi hak isteri. Jangan mudah merajuk bila suami kurang memperhatikan, mudahkanlah jangan menyusahkan. Inilah ketenteraman yang amat diperlukan para suami apabila pulang ke rumah.

Rumah Di Syurga

Cinta sejati matlamat terakhirnya adalah syurga di akhirat. Apa-apa yang diusahakan isteri untuk membuat suaminya jatuh cinta adalah ibadah di sisi Allah. Indahnya syariah Allah, sehinggakan dalam bercintapun ada pahala. Syurga yang paling rendah tingkatnya umpama 10 kali dunia dan segala isinya, malangnya tiada siapa boleh melihat sekarang bagaimana kedudukannya nanti di akhirat. Isteri solehah rumahnya bukan hanya di dunia tetapi Allah telah bina untuknya di syurga.

Jibril telah turun membawa salam dari sisi Allah kepada Khadijah yang memuji layanan Khadijah yang amat zuhud dan ikhlasnya menghidangkan makanan setiap kali Rasulullah lapar.

Jibril berkata: “Wahai Rasulullah dialah Khadijah yang datang menghidangkanmu makanan dan minuman, jika dia datang kepadamu sampaikanlah salam dari Allah dan daripadaku juga. Beritahukan pula rumahnya di syurga terbuat dari emas dan perak yang di sana tiada kebisingan dan kepayahan.” (Hadis al-bukhari dan Muslim)

Sungguh isteri-isteri yang mengabaikan layanan kepada suaminya sungguh mereka telah lupa tentang rumah yang terbuat daripada emas dan perak itu, peliknya mereka boleh berangan-angan mendapat cinta sejati!

** Artikel ini telah dikongsi oleh Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-Undang Keluarga Islam, juga penulis tetap ruangan Keluarga Sakinah di dalam Majalah Mingguan Wanita.

Published by
Nurul Azwa