Isteri tunggu mesej sehingga tertidur, rupanya suami sudah meninggal dunia. Penantian seorang isteri yang ingin tahu keberadaan suami hingga tertidur berakhir dengan kedukaan bila mana suaminya terlibat dalam kemalangan pada tengah malam, Rabu.
Mangsa, Muhammad Taqiyyuddin Zulkifli, 35, parah di kepala selepas motosikal ditunggangnya terlanggar tayar ganti sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang terlibat dalam kemalangan di kilometer 232.1 Utara- Selatan (PLUS) arah utara, di sini.
Isterinya, Nur Izzaty Abd Jalil, 35 berkata, suaminya dalam perjalanan pulang ke Johor susulan akan memulakan kerjanya semula di Singapura selepas bercuti lama sempena Tahun Baharu Cina.
“Arwah dari rumah kami di Rawang, Selangor dan bergerak pulang ke Johor dalam jam 10.30 malam Selasa. Selalunya dia ambil masa dalam dua jam setengah untuk sampai sana.
“Tapi dalam jam 2 pagi macam itu saya tunggu dia mesej, tidak ada. Jadi saya mesej tanya… abang dah sampai ke, tetapi tidak berjawab. Sementara menunggu itu sampai saya tertidur,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Rembau pada Rabu.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :–Isteri Kena Dera Suami Meninggal Dunia, Jiran Dedah Pasangan Kerap Bergaduh
Pasangan Sehidup Semati, Suami Menyusul Pergi Selepas Dua Minggu Isteri Meninggal Selepas Bersalin
Ujar suri rumah itu, kira-kira jam 5 pagi bapa mentuanya datang ke rumahnya memaklumkan suaminya terlibat kemalangan.
“Sebelum kejadian kami berkesempatan bercuti bersama sampai arwah tambah cuti dua hari iaitu Isnin dan Selasa yang mana sepatutnya dia pulang ke Johor pada hari Ahad.
“Tak tahulah, saya memang nampak dia sugul macam tak nak balik,” katanya yang arwah akan pulang setiap minggu ke Rawang.
Allahyarham bekerja di Singapura sejak 2016 sebelum pulang ke negara ini susulan wabak Covid-19 dan bekerja semula di Kota Singa itu pada 2022 sehingga kini.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE