Mungkin sudah menjadi lumrah, apabila wanita mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak, segala tanggungjawab berada di bahunya terutama dalam mengasuh anak-anak. Tidak kiralah, isteri itu seorang suri rumah tangga sepenuh masa atau pun berkerjaya.
Maklum sahaja, naluri keibuan itu menebal membuatkan anak lebih selesa bersama ibu. Sehinggakan suami perlahan-lahan melepaskan ‘baton’ dalam mengasuh atau menjaga anak.
Bukan sahaja di Malaysia, boleh dikatakan semua ibu bapa di seluruh dunia menggalas tanggungjawab yang sma. Persoalannya, adakah menjaga anak itu adalah tanggungjawab isteri sahaja. Mengulas lebih lanjut tentang topik ini bersama Abdul Muiez Ruslee, Guru Bimbingan dan Kaunseling Di Sekolah Menengah & Yang Dipertua Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan Sabak Bernam.
Tidak Terabai
Bila difikirkan kembali, tanggungjawab yang digalas oleh isteri yan suri rumah sepenuh masa dan tidak berkerja adalah lebih berat. Contoh, buka sahaja mata, segala tugas sedia menunggu. Bermula dengan menyiapkan keperluan pakaian sekeluarga, menyediakan sarapan, mengemas segala sepah yang ditinggalkan. Tidak cukup dengan itu, tugas isteri ini dengan menyiapkan hidangan tengah hari dan berlarutan hinggalah ke tengah malam. Selagi mata belum terpejam, selagi itulah tugas perlu disiapkan.
Sebagai suami yang prihatin, ada beberapa perkara yang boleh dilakukan dalam meringankan penat isteri.
Ads
Bantu isteri mengemas meja makan dan membasuh pinggan mangkuk yang telah digunakan.
Tolong bersihkan baju. Paling mudah dengan hanya masukkan ke dalam mesin basuh, letakkan sabun dan selebihnya biarkan teknologi yang mengurusnya.
Kemas permainan yang ditinggalkan anak di ruang tamu supaya mudah untuk isteri bersihkan keesokannya.
Beli barang dapur sebelum pulang ke rumah.
Urutlah isteri dengan belaian kasih sayang.
Dalam mengendalikan tugas menguruskan rumah tangga, suami isteri perlu sepakat sejak dari awal perkahwinan lagi. Contohnya:
Jika isteri memasak, suami yang mengemasnya.
Jika isteri mengemas ruang tamu, suami yang menyapunya.
Jika isteri membasuh baju, suami yang menyidainya.
Jika isteri melipat baju, suami yang menyusunnya.
Ini adalah perjanjian asas yang perlu dimenterai sejak dari awal perkahwinan lagi. Jika ia disepakati, pasti suami yang bersikap raja tidak akan wujud.
Suami Lepas Tanggung Jawab
Kisah suami lepas tangan sering kali dipaparkan di media massa dan turut mengundang kekacauan dalam rumah tangga.
Apabila semua tugas dan kewajipan yang sepatutnya digalas oleh suami dibebankan sepenuhnya kepada isteri, tidak hairanlah akan wujud konflik dalam rumah tangga. Mungkin berpunca dari sikap tidak puas hati, sehingga persefahaman tidak mampu lagi disepakati. Ini menjadikan rasa amarah semakin meluap dan menyebabkan kerukunan rumah tangga menjadi musnah.
Ads
Walaupun apa pun yang berlaku, tugas mencari nafkah sepatutnya berada di atas pundak suami. Isteri hanya sekadar membantu untuk mencukupkan apa yang terkurang dalam keluarga.
Isteri Perancang Utama
Malah, bila difikirkan perkara yang paling suami takuti adalah apabila isteri sakit. Jika ada isteri mengadu tidak sihat atau demam, cepat-cepatlah tolong legakan isteri. Kenapa? Kalau isteri demam atau tidak sihat, lumpuhlah rumah tangga. Apa yang suami lakukan dalam rumah serba tidak kena. Mahu terbalik rumah, rasanya.
Walau bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa isteri adalah tulang belakang kepada kesejahteraan dalam rumah. Apa tidaknya, tugas-tugas memasak, menguruskan anak akan dilaksanakan oleh isteri. Suami? Hanya menghulurkan tangan untuk meringankan beban.
Ads
Tetapi yang peliknya, apabila suami demam, sikap mengada-ngadanya mengalahkan anak kecil. Rasanya, inilah masalah global yang dialami oleh suami di seluruh dunia.
Apa pun, perkara paling penting dalam rumah tangga ialah suami isteri perlu saling membantu menguruskan istana cinta bersama. Insya Allah, hasilnya pasti cinta membawa ke jannah.
Tugas Suami
Membina mahligai rumah tangga bukannya mudah, apatah lagi mahu mempertahankannya. Suami dan isteri perlu berganding bahu untuk menjemput mawaddah dan rahmah bagi mengekalkan kebahagiaan rumah tangga dan mengetatkan rasa cinta buat selamanya.
Kadang-kadang, perempuan ini sukar untuk difahami. Apatah lagi menebak kemahuan dan kehendak mereka. Bila ditanya kenapa muncung, jawapan mereka sangat mudah, “tak ada apa-apalah.” Tetapi di sebalik perkataan tak ada apa-apa itulah tersenarai satu kajang salah laku suami yang tak disedari.
Apa pula tugas suami? Adakah sekadar membiarkan rajuk itu padam sendiri? Sebagai seorang lelaki yang gentlemen satu tindakan drastik perlu dilakukan. Antara perkara yang boleh dicuba ialah,
1. Belikan hadiah kecil buat mereka seperti coklat, kad mahu pun bunga. Tidak perlu mahal-mahal. Asalkan pemberian itu ikhlas dari hati. Apa perasaan kita jika menerima hadiah tanpa disangka? Begitu juga yang akan mereka rasa.
2. Sebelum pergi kerja, selitkan sekeping dua not sepuluh atau dua puluh ringgit di dalam dompet isteri. Sertakan juga sedikit nota cinta seperti “hadiah kecil buat kesayangan” atau “duit ini tidak boleh beli bahagia tetapi dengannya mungkin akan menghangatkan cinta.” Pasti senyumnya lebar sampai ke telinga.
3. Jika kita pulang kerja lebih awal daripada isteri, lakukan kejutan kecil seperti basuhkan baju, kemaskan meja makan, vakum karpet, masak nasi, siang ikan atau siapkan makan malam. Masa itu, kalau nak minta izin lepak mamak dengan kawan-kawan pun, mesti boleh punya.
4. Jika selama ini sang isteri yang menyediakan minuman sebaik sahaja suami pulang ke rumah, apa kata sesekali si suami pula yang mengambil tugas itu. Tak salahkan, jika suami pula yang berbakti kepada isteri?
5. Sebelum tidur, cuba gosok sedikit pinggang atau belakang isteri. Berikan belaian cinta sehingga isteri terlelap. Insya Allah pasti esoknya dia bangun dengan gembira. Cuma gosok itu jangan lebih-lebih pula. Nanti tak jadi kerja.
Perlukah suami buat semua ni? Eh, sudah tentulah perlu. Hubungan cinta ini konsepnya perlu memberi dan menerima. Sebelum menerima, kita perlu juga memberi. Barulah cinta itu akan mekar selamanya.
Ramai yang merasakan, bila mak ayah pandai dan bijak, ia akan diwarisi oleh anak-anaknya kelak. Tapi bagaimana dengan mak biasa-biasa saja. Adakah ia tidak layak untuk dapat anak yang pandai dan berakhlak.
Jangan ingat mak biasa-biasa, anak pun biasa-biasa juga. Silap hari bulan, yang kita ingat mak ayah hebat itu tapi anak ‘kelaut’ dan sebaliknya pula. Kita tak tahu. Semuanya atas rezeki Allah berikan.
Perkongsian daripada Siti Suryani Yaakop ini cukup menarik dan boleh dijadikan panduan buat mak-mak. Sangat menikam perasaan terutamanya bila lihat keadaan sekarang ini yang lebih kepada duniawi.
Saya ada kenal beberapa orang ibu ni. Anak semua pandai Ya Rabbi. Bukan saja pandai. Elok juga akhlak dan peribadi.
Nak kata tuisyen pagi petang siang malam tidaklah pulak. Siap maknya kata, “Mana lah saya ada masa awak nak hantar tuisyen”.
Nak kata mak bagi minum susu badan sampai umur 5 tahun untuk tumbesaran otak yang gemilang pun tidak. Katanya minum susu tepung je. Dah rezeki mak tak banyak susu.
Nak kata maknya bagi makan minyak ikan sampai 18 biji sehari pun takda jugak. Jangan kata minyak ikan. Ikan pun jarang makan. Anaknya lebih suka ayam.
Nak kata maknya ulangkaji dengan anak pun takda juga. Mana nak sempat. Kadang dia malam baru balik. Kadang berhari-hari tinggal sebab kerja luar. Tak pun pergi honeymoon kali ke 18 dengan suami. Anak rileks je lepak dengan sepupu dan atok. Enjoy-enjoy je.
Tak Ambil Tahu Gossip
Tapi satu saya perhatikan dari mak-mak ni.
Pertama. Tak ambil tahu gosip dan cerita picisan. Kisah lah siapa nak tunjuk baby ke. Nak sorok ke. Artis kahwin ke. Artis cerai ke. Drama baru ke. Last movie dia tengok dulu mungkin cerita P. Ramlee ke barangkali.
Kalau berborak dengan dia tak pernah dengar dia cakap pasal orang. Biarpun kadang memang ada hal yang kena diambil kisah. Tapi sentiasa tak pernah ada orang yang salah. Yang ada cuma nak cari jalan selesaikan masalah.
Apa yang diborakkan cuma tentang kisah persekolahan biasanya. Tentang rindu lama tak duduk makan sama. Kisah anak-anak makin besar yang dah pergi merata.
Dan tak pernah merungut walau untuk apa hal sekalipun. Yuran naik ke. Harga barang meningkat ke. Balik kerja penat ke. Banyak memandu sampai sakit urat ke.
Sentiasa santai dan berwajah manis depan kita. Cerita kisah rumah kena banjir pun tenang tak risau apa. Dia kata banjir kadang memang kena rumah dia. Nak buat macamana. Kemas je lah harta benda yang ada.
Akhir sekali yang saya belajar. Sentiasa hidup low profile walau kaya raya. Padahal jenis yang bercuti pun tak mainlah dalam negara. Kalau kita puji anak dia pandai, dia kata itu rezeki yang Esa. Ada yang sampai taknak ambik result pun sebab segan nanti cikgu puji anak dia.
Habiskan Masa
Jadi bila dia tak sibuk hal orang dan remeh temeh tentang dunia, banyak masa mereka habis di mana?
Cari ilmu.
Best friend dengan suami.
Melancong tengok keindahan bumi.
Tambah duit.
Jaga rumahtangga.
Urus anak seadanya.
Sedekah dengan berapa yang dia ada.
Mereka tak mengharapkan anak yang sempurna. Mereka bersifat biasa-biasa saja dengan rezeki yang luar biasa. Mereka sentiasa tenang dengan apa saja yang dihantar depan mata.
Bila saya pandang ibu-ibu ni. Saya selalu doa dalam hati. Tak dapat banyak sikit pun jadilah akhlak baik dia tu lekat di hati. Biar bolehlah transfer walau sipi-sipi. Kalau paling tidak pun dapat elokkan perangai biar duduk sama rendah berdiri sama tinggi.
Ya Tuhan.
Menjaga hati tu susah.
Menjaga iman tu payah.
Menjaga mulut tu tak mudah.
Menjadi baik tu memang lelah.
Moga kami ibu kuat berubah.
Agar kamu anak beroleh berkah.
Mingguan Wanita : Cukup terkesan. Beza sangat dengan diri kita. Mana mak-mak yang sama seperti dikongsikan ini. Tahniah.
“Ketika Sihat Dulu Bersama, Apabila Sakit Saya Tak Mahu Meninggalkannya” itulah niat murni dan nekad seorang suami yang menjaga isteri yang sedang lumpuh.
Kisah isteri setia disamping suami ketika sakit mungkin perkara biasa. Tapi kisah suami yang setia disisi isteri disaat suri hati sakit mungkin jarang sekali berlaku. Apatah lagi sakit yang tidak diketahui kesembuhannya, ia boleh dianggap pengorbanan yang luar biasa.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.Namun kasih sayang setulus hati suami ini tidak sesekali memudarkan rasa cinta dan rasa terbeban pada isterinya.
Isteri Lumpuh Sejak 3 Tahun Lalu
“Kasih sayang kepadanya tidak pudar, tidak terbeban uruskannya,” kata Kharudin Hamzah yang terpaksa berulang alik dari tempat kerja ke rumah setiap tengah hari bagi memastikan keperluan isteri terurus.
Khairudin, 58, menjaga isterinya, Hasmah Mohd Idrus, 55, yang lumpuh separuh badan sejak tiga tahun lalu dan anak lelaki tirinya berusia 33 tahun yang mempunyai masalah pembelajaran.
Hasmah yang sebelum ini berniaga nasi lemak diserang angin ahmar dan lumpuh separuh badan bahagian kanan, selain turut mempunyai penyakit darah tinggi serta kencing manis.
“Ayat terakhir isteri panggil ‘abang’ sebelum badannya lembik. Dia menjalani pembedahan mengeluarkan darah beku dalam kepala dan koma dua minggu, tetapi kini sudah hilang upaya dan bicaranya juga sudah tidak selancar dahulu.
“Namun, semua itu tidak melenyapkan rasa kasih saya kepadanya. Saya akan terus jaga walau sesukar mana pun kehidupan kami kerana ketika sihat dulu, kami bersama dan apabila dia sakit saya tidak mahu meninggalkannya,” katanya.
Dia ditemui ketika dikunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Belanja, Khairudin Abu Hanipah yang turut menyampaikan sumbangan di Kampung Padang Bola, di sini, semalam.
Uruskan Isteri Setiap Hari
Khairudin yang patah kaki kanan selepas kemalangan motosikal di Bukit Berapit pada Ogos tahun lalu, berkata dia akan memberi makan dan minum, memandikan serta menukar lampin pakai buang isterinya setiap hari.
“Saya ambil upah sebagai tukang dan kerja kampung, jadi tidak setiap hari berkerja. Namun apabila keluar bekerja, saya akan balik rumah pada tengah hari untuk beri isteri makan.
“Pembedahan memasukkan besi dalam kaki saya yang patah ditangguhkan kerana situasi pandemik ketika ini. Kalau ikutkan, kaki tak berapa kuat, tapi saya gagahkan juga diri demi keluarga, sekarang bertukang pun buat kerja ringan,” katanya sambil memberitahu pendapatannya tidak menentu, sekitar RM700 sebulan.
Dia mendapat bantuan susu dan lampin pakai buang setiap tiga bulan sekali daripada Baitumal, selain Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.
Sementara itu, Khairudin berkata, keluarga berkenaan antara penduduk kurang berkemampuan di kawasan Belanja yang sering dibantu pihaknya melalui bantuan kewangan dan kotak makanan, selain lampin pakai buang dan wang tunai semalam bagi meringankan beban mereka.
Mingguan Wanita:Besar pengorbanan suami ini susah senang bersama, tetap setia menjaga isteri sakit dan tak pernah rasa terbeban dengan keadaan tersebut. Semoga kasih sayang pasangan ini berkekalan hingga ke syurga.
Memang tak mudah nak uruskan anak-anak seorang diri, bila suami tak selalu ada. Ada pasangan yang rezeki tinggal sebumbung dan ada yang terpaksa berjauhan demi tuntutan kerja. Dalam keadaan ini, ada masa tertentu memang membuatkan diri rasa letih dan amat penat, baik fizikal mahupun emosi. Segalanya perlu dilakukan secara bersendirian, menguruskan karenah dan ragam anak tanpa suami disisi.
Bagi mak-mak yang sedang menghadapi situasi ini, jemput baca perkongsian pengalaman dan tips daripada Puan Syahirah Omarini sebagai panduan;
Harini masa sedang memandu hantar anak-anak pergi sekolah, teringat balik zaman lana luqman kecil dulu. Rutin sama saja setiap hari. Setiap pagi berperang nak siapkan anak ke sekolah. Sudahlah Lana tu istimewa, memang menangis setiap hari sebab penat handle seorang diri. Waktu tu daddy mereka di luar negara (Alhamdulillah semalam akhirnyaaaa balik Malaysia for good dah) balik setiap 3 bulan dan hanya 2 minggu.Hidup aku memang pada mulanya kelam kabut sebab menguruskan anak seorang diri.
Kisah hidup kita tak sama. Ada yang memang direzekikan suami untuk hidup bersama. Ada yang berpisah hidup.Ada yang kematian suami atau isteri.Ada yang berkongsi suami. Ada yang bersuami tetapi kaki PUBG.
Kadang-kadang baca di KRT ke page yang kisah rumahtangga tu memang la kalau korang duduk situ membawang tak jadi kerja. Tapi kalau korang tengok betul-betul, ramai sangat orang kat Malaysia ni berpotensi sakit mental kerana pelbagai tekanan.
Ada yang isteri di latih untuk menjadi ibu tunggal sejak mengandung lagi sampai kesudah penat menguruskan keluarga. Suami? Ada la siapkan diri sendiri. Lepak-lepak main PUBG. Macam nak gila si isteri setiap hari.
Apa yang Allah takdirkan kat kita ni ada yang kita tak mampu ubah pun.Kadang pergilah ceramah Dr Fazilah Kamsah bersama suami ke, Ustaz Ebit lew ke kalau tak berubah..tak berubah jugak lah. Communication perbaiki la macamana pun sama saja. Doa sajalah yang kita masih mampu buat sebab hanya Allah saja yang pegang hati manusia kan?
Tapi kita mampu ubah diri kita untuk sesuaikan diri dengan situasi. Macam aku, sampai sekarang tak selalu pun suami ada sekali atas komitmen kerja dan lain-lain. Jadi selama mereka kecil sampai ke harini aku perlu jadi independent.
Teringat cerita kakak yang hampir langgar kami sefamily waktu pagi tu. Dia penat mental fizikal 4 bulan menguruskan 3 orang anak seorang diri sebab suami tak selalu ada. Tengok dia tu teringat diri sendiri sebenarnya. Sebab tu aku faham sangat apa dia rasa. Aku tahu bukan senang pun nak buat semua tu.
Tapi aku nak kongsikan dengan semua yang sekasut dengan aku ni, tak kira la perempuan atau lelaki. Kalau bab ni kita struggle, memang tak mustahil rumahtangga kita akan kucar kacir kalau emosi kita tak stabil. Silap-silap kita tempik dan belasah anak hari-hari.
Satu yang kita kena faham, anak-anak pun ada emosi mereka. Rindukan ayah atau ibu, kurang kasih sayang, rasa insecure tak disayangi. Sebab tu emosi mereka pun tak ketahuan setiap pagi sebab mereka pun manusia kan?
Orang kata aku sejenis overthinking.Sejenis detaillllll semua benda. Sejenis yang kena PLAN betul-betul. Rilek rilek sudah la? Cuba ikut flow?
Aku memang dilatih untuk menjadi seorang yang detail sejak Lana umur 3 tahun. Sekarang dia 11 tahun. Aku MESTI plan hidup aku dengan baik walaupun memang Allah is the best planner tapi aku perlu atur masa aku supaya everything smooth InsyaAllah.
Kalau tak, aku menanggung kesedihan dan kepenatan seorang diri. Tak semua orang direzekikan ada support system yang baik. Kau mungkin ada mak ayah duduk dekat.kau mungkin ada pembantu rumah. Kau mungkin ada jiran baik hati bantu hantar anak sekolah. Betul?
11 Tips Kekal Positif Uruskan Anak Seorang Diri
So, untuk kekalkan hidup kau sentiasa positif dari pagi sampai ke malam hari, pertama sekali kau kena
1. Rancang Aktiviti Harian
Aku tak suka benda last minute. Semua ada dalam kalendar hp aku ni. Apa nak buat untuk seminggu aku dah rancang. Rancang bila kau nak kemas rumah, kemas rumah pun kau bahagikan mana yang harian mana mingguan. Kemudian bila kau nak buat laundry, bila kau nak siapkan baju sekolah anak-anak.
Contohnya baju sekolah iron seminggu siap. Setiap malam make sure anak check beg sekolah diaorang. Siapkan bekal anak botol air biskut semua siap-siap. Yang baby pulak baju diaper pun semua siap-siap.
*Sebab tu aku tak suka kalau orang datang mengejut. Nak datang cakap awal-awal sebab banyak benda nanti berubah tak seperti yang dirancang.
2. Hidup Tersusun
Bab makan contohnya. Kalau kau larat dan ada rezeki lebih nak makan luar, makan la jika lalu. Macam aku, bila aku terlalu penat aku memang makan kedai. Tapi ada masa aku memang masak je kat rumah. Siapkan pes frozen hujung minggu untuk mudahkan kau. Blend siap bawang cili kering. Ikan sayur pun kau dah asingkan ikut portion sekali masak. Selalunya weekend la kau kena buat semua ni.
Kalau nak keluar sabtu, malam jumaat tu kau dah siap buat laundry baju sekolah anak. Sabtu merambu, ahad iron baju.
3. Didik Anak Untuk Bantu
Ajar dieorang ni dari kecil buat kerja rumah.dari baby besar cinonet mayraa pun kau dah ajar kemas mainan. Lepas makan kutip nasi tumpah. Lepas tu ajar angkat buang sisa dalam tong sampah, ajar basuh pinggan. Baju kotor letak mana, sidai towel lepas mandi.Tempat tidur kemas. Nak ajar ni memang berbuih mulut tapi ajar je setiap hari.Remind je setiap hari. Macam budak-budak ni kalau bilik semak aku memang tanya je “Nak kawan dan tidur dengan tikus ke?” Terus kelam kabut kemas bilik.
Jadikan mereka seorang manusia bertanggungjawabbbb. Apa yang aku buat selalunya,dieorang ni ada kumpul point. Kalau berjaya follow semua rules aku, aku akan bagi reward time weekend. Bawak pegi kedai eco RM2.10 ambil 1 mainan pun dieorang dah happyyyyy terukkk.
Kalau dieorang tak follow rules aku takyah ngamuk. Aku tanya je “Mama rasa macam kena deduct je point lana luqman ni sebab tak sidai towel”.
4.Biasakan Anak Rasa Hidup Susah
Didik anak supaya dia belajar dari kesusahan. Jangan manjakan anak sentiasa. Biar mereka tahu yang hidup ni Allah akan sentiasa beri ujian. Kalau nak apa-apa minta dari Allah. Kalau sedih nangis istighfar kat Allah. Jangan semua benda anak nak kau bagi. Semua benda kau buatkan untuk dia. Biar dia nangis biar dia rasa dia tak boleh bergantung kat manusia kalau dia nak apa-apa. Actually kalau aku menangis dieoranglah ingatkan aku suruh istighfar sambil tenangkan aku, kau bukan kuat sentiasa kan?
5.Jaga Emosi Diri Dan Anak
Emosi kita ni kena cantik. Aku ada share sebelum ni macamana nak kekal positif kan. Emosi kita cantik emosi anak akan cantik. Bila kau stress emosi anak kau huru hara sangat tau? Meragam melekat merengek.
Setiap malam kau peluk anak-anak, cium mereka. Beritahu kau sayang sangat mereka. Beritahu esok semua kena happy dan behave. Baca doa bersama. Kemudian make sure mereka tidur awal jam 9.30 malam supaya tidur mereka cukup. Beritahu mereka esok mereka kena bangun awal solat subuh dan bersiap ke sekolah.
Beritahu mereka siapa siap awal boleh tengok tv kejap 10 minutes tapi sebelum tengok beyblade ke apa ke kau kena dengar surah hafazan berulang kali dulu. Kemudian beritahu tepat jam sekian-sekian kita semua akan turun untuk pergi sekolah. Kau tanam siap-siap dalam kepala mereka.
Kemudian kau tanam pulak dalam kepala kau.
Lepas kau dah maafkan semua orang, kau dah buat list buang semua masalah kau( rujuk post aku yang sebelum ni) kemudian kau imagine diri kau bangun pukul berapa kau nak. Imagine siap-siap kau mood happy, ceria, kau bersiap..anak-anak semua happy. Sekarang ni kau tengah cuba beritahu otak kau begitu sebab InsyaAllah otak kau akan menggerakkan badan kau untuk buat seperti apa yang kau fikir. Sebab tu kena fikir bebaik je. Jangan kau fikir ” yaAllahhh esok pagiii confirmm anak aku ngamukkk”. Ngamuk la jadinya
And imagine jugaklah kau sabar kalau anak kau meragam. Macam aku..Mayraa tu ada hari berangin taknak pakai kasut lah, taknak stroller lah. Contohnya harini, aku kena dukung dia turun bawah sambil bawa banyak barang tapi takpelah sebab mood aku stabil aku berjaya control kemarahan tu. Alhamdulillah.
6. Kurangkan Screen (Gadget)
Aku tak tahulah maybe ramai yang tak setuju. tapi gadget ni memang buat jiwa anak aku kacau bilau. Serius cakap, bebudak ni tak main wey hp. Mayraa tu ada kalanya masa driving aku bagi kejap 10 minutes sb dia dah nangis nak menyusu. Sementara aku nak stop ketepi aku bagi.tapi lagi 2 ketul aku memang tak bagi.
Sebab? Dieorang tak fokus masa belajar. Dieorang mula bebai bebai bila aku suruh buat kerja. Kepala tu asyik ingat hp je kan? Asyik fikir game jer. So aku memang jaga bab ni sebab kalau dieorang mood tak baik memang habislah kehidupan aku seharian tu sebab marah-marah anak.
Orang kata bagilah sebagai reward, aku rasa banyak lagi benda yang boleh dijadikan reward. Dan untuk diri sendiriii..kalau tengah stress penat kau jangan la asyik mengadap hp. Tu lagi mengundang emosi tak stabilllll.
7. Solat Berjemaah Dana Wujudkan Persekitaran Mengingati Allah
Kalau ada bapak diaorang memang kami ke masjid bersama-sama.Kalau takde aku akan bawa je mereka ke surau rumah ni. Tak hari-hari pun tak apa. Kemudian, aku solat bergilir dengan Lana. Bila aku solat dia jaga Mayraa.
Kat rumah luqman akan jadi imam untuk lana dan mayraa. Aku monitor je mereka solat bersama. Kemudian buat hafazan bersama mereka. Cari satu waktu yang paling sesuai. Kadang-kadang sambil aku iron baju kami buat hafazan bersama.
8.Buat Suprise Untuk Anak
Sesekali kau buat kejutan kat mereka. Beli la apa yang murah-murah tu. Masuk kereta je bagi kejutan kat mereka.Kau akan ingat selalu muka happy mereka tu tau. Kadang-kadang bagilah masa nak tidur. Tak payah mahal -mahal pun tak apa. Mereka sudahlah kurang kasih sayang, buat la mereka selalu rasa disayangi. Alaa..kadang-kadang petik je bunga lalang tu.anak aku punya seronok tak kira dapat bunga.
9. Biasakan Letak Allah Yang Pertama Dalam Segala Hal
Dari pagi lagi kau bagi salam masa kejut mereka. Pagi pastikan mereka solat subuh dulu sebelum ke sekolah. Pagi pastikan mereka baca doa naik kenderaan bersama. Pagi pastikan kau cakap kat mereka..kalau mereka behave dan follow semua cakap cikgu dan mama, Allah, Rasulallah, mama sayang sangat mereka. Buat baik masuk syurga. Kau kena banyak bercakap dengan mereka 2 kali ganda banyakkk sebab mereka hanya bercakap dengan kau saja di rumah.
10. Rapatkan Yang Jauh
Mereka ni bila ada masa aku videocall la supaya mereka cakap dengan daddy mereka.zaman lana luqman kecik dulu kena pakai webcam lagi. Kalau bapak dieorang busy, time zone dah tak sama sepasal, anak tidur bapaknya baru petang.. kau pujuk la mereka untuk sembang dengan daddy esok pulak. Beritahu harini ada hal tak dapat elakkan. Mintalah bapak dieorang hantar gambar ke voice msg ke.
Tapi untuk pasangan yang dah meninggal..Allah.. kau peluklah mereka selalu. Aku selalu kuat bila aku fikir yang satu ni. Bila aku nak rebah aku fikir apa la anak-anak aku rasa kalau tak jumpa bapak mereka sampai bila-bila. Yang lalui situasi begini aku nak cakap korang memang sangat hebat.Allah sayang sangat korang. Allah uji sebab korang memang hebat dan sangat kuat.
11. Rawat Diri Sendiri
Kau makan la supplement untuk antibodi. Madu ke habatussauda ke terpulang. Ada masa kau pergilah lepak masjid dengar kuliah. Kemudian kau carilah masa untuk kau minum sorang, makan sorang. Kau belilah apa-apa untuk reward diri kau. Kau beli la scrub and lotion. Cari masa untuk diri kau sendiri. Serius la wey nak sapu lotion pun tak sempat tau kalau dah semua sendiri. Ada masa kau nak tonyoh daki pun tak sempat, mandilah lama-lama sikit sejukkan diri.
Kau bukak la ceramah kat youtube tu.cuba kau dengar apa-apa yang boleh menaikkan motivasi diri. Carilah ilmu bagaimana nak kawal emosi. Kau kena rajin membaca.
Sesekali kalau boleh kau berjalan la keluarkan peluh.aku tak tahulah bila masa kau nak bersenam.tapi kalau dengan berjalan tu buatkan kau mengeluarkan peluh, kau jalan lah.
Aku harap membantulah apa yang aku share ni. Semua orang buat benda yang sama pun rasanya. Tapi kalau kau rasa kau dah cukup susah, fikirlah insan yang jauh lebihhh susah.
Kalau kau rasa penat diuji ada anak special sorang..kau fikirlah orang lain yang diuji ramai anak istimewa dan ibu tunggal pulak tu?
Kalau kau rasa suami kau sibuk, fikirlah kau masih ada suami banding orang lain.
Apa-apa pun kita saja boleh ubah diri kita.Cara kita berfikir. Sesekali confirmmmm kau terjatuh dan penat terduduk. Sebab kau bukan robot. Tapi bangkitlah demi anak-anak. Seiring dengan motto kehidupan kita, “Kat dunia ni lah tempat kau berpenat lelah. Kat Syurga nanti kau rehatlah sepuasnya.”
MW: Perkongsian tips yang sangat bermanfaat untuk diamalkan. Semoga menjadi panduan buat isteri dan mak-mak yang ketika ini perlu menjaga anak-anak seorang diri, kerana berjauhan dengan suami.
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.