“Isteri tua atau muda, semuanya adalah kiriman Allah” begitulah ungkapan daripada Jasmin Hamid, 49 yang begitu terharu apabila suaminya, Nazmir Abd Rahim, 36, menyatakan hal demikian kepada dirinya.
Beruntung sungguh Jasmin kerana ditakdirkan bertemu jodoh dengan lelaki yang lebih muda. Walaupun baru saja mendirikan rumahtangga beberapa bulan lalu, namun hakikatnya antara Jasmin dan Nazmir sudah lebih sedekad mengenali antara satu sama lain.
Nazmir sebelum bernikah dengan Jasmin merupakan Pembantu Peribadi pelakon wanita popular itu.
Sejak dari awal sebelum merancang mendirikan rumah tangga, Jasmin dan Nazmir sedar akan jarak umur mereka yang terlalu jauh berbeza.
Seperti mana yang dipetik menerusi Berita Harian Online, Jasmin sememangnya seorang wanita yang sangat beruntung kerana suaminya tidak pernah menyesal memperisterikan dirinya.
“Saya pernah bertanya, tidakkah menyesal memperisterikan saya?
“Dahulu sebelum berkahwin, saya sihat. Tetapi, selepas beberapa bulan berkahwin, saya diuji dengan kesakitan.
“Namun, saya terharu apabila suami menegaskan tidak pernah sesekali menyesal takdir yang tertulis.
“Baginya, isteri tua atau muda, semuanya adalah kiriman Allah,” luah Jasmin.
Baru-baru ini Jasmin telah diuji dengan kesakitan. Dirinya mengalami serangan jantung sehingga dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.
Ketika itu sememangnya rasa bersalah menguasai diri dek kerana baru saja beberapa bulan berkahwin dengan Nazmir.
“Sebagai manusia, siapa nak minta kesakitan? Semua adalah ketentuan Allah.
“Lagipun, Nazmir beritahu, tidak semestinya orang muda lebih kuat. Dan tidak semestinya, orang tua akan pergi dahulu, jadi, semuanya Allah yang aturkan,” sambungnya.
Malah suami tercinta juga begitu prihatin terhadap kesihatan Jasmin dan akan mengambil tekanan darah Jasmin setiap kali sebelum memasuki set penggambaran. Selain itu Nazmir juga akan memastikan Jasmin mengambil ubat pada waktu yang telah ditetapkan.
“Sejujurnya, sudah lama Nazmir berkorban untuk saya. Nazmir sudah lama berada di sisi kerana dia adalah pembantu peribadi saya.
“Namun, hubungan ketika itu tidak lebih atas dasar kerja. Rasa cinta pula hanya dipupuk selepas berkahwin.
“Sepanjang hampir 10 tahun bekerja dengan saya, Nazmir seorang yang tidak berkira sama ada kudrat mahupun wang ringgit,” ungkap Jasmin yang bakal melakukan rawatan angiogram.
Baca Disini : “Terima Kasih ALLAH Kerana Masih Pinjamkan Suamiku Buat Ku” Jasmin Hamid
Jasmin Hamid Bersyukur “Allah Pinjamkan Mertua Sangat Baik, Terima Kekurangan, Menumpang Kasih”
Mingguan Wanita: Semoga Jasmin dan suami hubungan mereka berkekalan hingga ke akhir hayat.
Sumber : Berita Harian Online
Sumber Foto : Instagram Jasmin Hamid
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak