Bukan mudah melalui proses perceraian. Perasaan sedih dan kecewa pasti ada, apatah lagi jika perceraian berlaku dalam keadaan isteri teraniaya dengan sarat mengandung. Buat wanita dan isteri yang teraniaya akibat perbuatan suami, jangan terus bersedih. Segeralah bangkit, tuntutlah hak dan nafkah yang termaktub dalam undang-undang seperti yang disarankan oleh Peguam Syarie ini.

Perkongsian Peguam Syarie dan Sivil, Puan Ashikin Rahim ini boleh dijadikan sebagai rujukan;

KENAPA SAMPAI PERLU CERAIKAN ISTERI YANG MENGANDUNG.

Sedihnya apabila subuh hari ini, terdengar berita bahawa sekali lagi, orang yang mendakwa dirinya seorang pendakwah boleh tergamak menceraikan isteri yang sedang mengandung. Walaupun cerai semasa mengandung itu sah, tetapi ia tetap sesuatu yang tidak baik.

Saya quote pandangan mufti Wilayah Persekutuan berkenaan perkara ini selepas beliau menghuraikan pandangan ulama’ berkenaan hukum cerai semasa mengandung, bahawa walaupun majoriti ulama sepakat menjatuhkan hukumnya harus (dibolehkan), namun:-

“Seorang suami yang baik pastinya akan mengambil kira segala aspek dan melakukan semua ikhtiyar sebelum melafazkan cerai terhadap isteri”

Bukankah anda sebagai pendakwah sepatutnya tergolong dalam “suami yang baik”?

Bukankah anda sebagai orang yang “mahir” ilmu agama sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat dan tidak menjadi penyebab suami-suami lain boleh mengatakan “Ala, ustaz tu pun boleh buat kat bini dia, aku pun bolehlah cerai bini aku ikut suka hati aku”

Bukankah anak dalam kandungan itu adalah benih anda sendiri yang sepatutnya dijaga dengan penuh amanah dan difikirkan kebajikannya lebih daripada maruah atau ego diri yang hanya sementara di dunia fana ini?

Walaupun maruah tercalar kerana perbuatan si isteri, tidakkah dia berhak meluahkan perasaan yang kecewa kerana diduakan? Tidakkah dia yang sedang penat lelah mengandungkan anak anda berhak mendapat pembelaan dan sokongan moral dari orang sekeliling?

Kalau benar dia isteri yang nusyuz pada pandangan anda, dapatkanlah dulu sabitan nusyuz dari Mahkamah Syariah sebelum anda dengan sewenangnya melepaskannya dengan alasan isteri telah nusyuz. Yang berhak mensabitkan nusyuz hanyalah pemerintah yang telah menurunkan kuasanya kepada Hakim Syarie setiap negeri untuk membuat sabitan tersebut selepas kes dibicarakan dengan adil.

Tindakan anda juga telah melanggar perundangan syariah dalam negeri anda tinggal kerana setiap lafaz cerai sepatutnya mendapat kebenaran Mahkamah Syariah terlebih dahulu, bukan dengan sewenangnya dilafaz dengan menggunakan voice note secara WhatsApp. Jika lafaz tersebut disabitkan oleh Mahkamah sebagai lafaz talaq yang sah dan menjatuhkan cerai, maka anda telah melakukan satu kesalahan dari sudut perundangan syariah dan boleh didenda oleh pihak berkuasa.

Kepada para isteri yang teraniaya akibat perbuatan suami sebegini, bangkitlah dari kekecewaanmu dan tuntutlah apa yang hak bagi dirimu. Antaranya:-

1. Failkan Kes Pengesahan Cerai

Failkan kes pengesahan cerai di Mahkamah Rendah Syariah – ini penting dibuat seberapa segera bagi mengesahkan status anda. Suami akan dipanggil untuk memberi keterangan berkenaan lafaz tersebut. Jika dia enggan hadir, mohon saja waran tangkap untuk memaksa kehadirannya. Sesetengah mahkamah akan meneruskan kes atas anggapan keengganan hadir boleh dianggap sebagai pengakuan di pihak suami, kemudian isteri hanya perlu angkat sumpah untuk menguatkan keterangan dan bolehlah keputusan dibuat oleh hakim.

2. Mohon Hak Penjagaan & Nafkah Anak

Selepas kes pengesahan cerai difailkan dan tanpa perlu menunggu keputusan kes pengesahan cerai tersebut, mohonlah terus hak penjagaan anak di Mahkamah Tinggi Syariah dan hak nafkah anak di Mahkamah Rendah Syariah. Ini menjamin hak anda untuk menjaga dan menguruskan kebajikan anak-anak, dan menuntut nafkah yang mencukupi bagi anak-anak. Sebaiknya kes difailkan selepas anak dalam kandungan dilahirkan, supaya boleh disekalikan tuntutan untuk semua anak sedia ada.

3. Tuntut Semua Hak & Nafkah

Sekiranya mahkamah mensabitkan cerai telah jatuh dan sah, dapatkanlah sijil cerai dari Pejabat Agama yang berkenaan dan failkanlah tuntutan-tuntutan hak isteri selepas diceraikan. Anda berhak menuntut nafkah iddah, mutaah, harta sepencarian (jika ada), nafkah tertunggak isteri (jika ada), hutang suami kepada isteri (jika ada). Jangan lepaskan mana-mana hak anda, tuntutlah semuanya agar anda mendapat semua yang agama telah sediakan untuk isteri yang diceraikan.

4. Peluang Bela Diri

Jika suami memfailkan kes nusyuz terhadap anda, usahlah khuatir kerana inilah peluang anda untuk membela diri dan menceritakan semasa bicara berkenaan your side of the story. Mahkamah tidak sewenangnya menjatuhkan hukuman nusyuz kepada mana-mana isteri, proses bicara juga panjang dan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk didengar. Ambillah peluang ini untuk memelihara maruah anda yang telah dipijak-pijak.

5. Pengesahan Rujuk

Sekiranya suami mengajak anda rujuk semula tetapi anda enggan dirujuk, keengganan anda tidaklah menjejaskan pengesahan rujuk tersebut. Rujuk masih boleh sah walaupun tanpa kerelaan isteri, tetapi mengikut perundangan syariah setiap negeri, isteri yang setuju dirujuk perlu hadir bersama di pejabat agama untuk mendaftarkan rujuk. Jika isteri enggan dirujuk, isteri tidak perlu hadir ke pejabat agama, tetapi perlu memfailkan kes pengesahan rujuk di Mahkamah Rendah Syariah dan beritahu hakim berkenaan keengganan dirujuk.

Hakim akan mengarahkan suami isteri hadir ke prosiding jawatankuasa pendamai, dan jika tidak berjaya berdamai, anda boleh bercerai secara hakam (bagi negeri-negeri tertentu), dan kemudian cerai secara hakam ini akan menjadi perceraian kali kedua (jika rujuk tadi sah), dan cerai kedua ini tidak boleh dirujuk lagi oleh suami kerana cerai hakam merupakan satu bentuk cerai ba’in sughra dan bukannya cerai raj’ie.

InsyaAllah, Allah bersama orang-orang yang teraniaya. Be strong and face this as a mother to your children. Allah mengajar kita bahawa cinta kepada manusia hanyalah sementara, dan hanya cinta padaNya yang kekal dan memberi ganjaran abadi.

Saya tumpang simpati,
Ashikin Rahim

MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Buat isteri teraniaya, selain redha, bangkitlah dan tuntutlah hak yang bagi diri sendiri dan anak-anak sebagaimana di sarankan Peguam Syarie ini.

Sumber: Ashikin Rahim