Bukan mudah melalui proses perceraian. Perasaan sedih dan kecewa pasti ada, apatah lagi jika perceraian berlaku dalam keadaan isteri teraniaya dengan sarat mengandung. Buat wanita dan isteri yang teraniaya akibat perbuatan suami, jangan terus bersedih. Segeralah bangkit, tuntutlah hak dan nafkah yang termaktub dalam undang-undang seperti yang disarankan oleh Peguam Syarie ini.
Perkongsian Peguam Syarie dan Sivil, Puan Ashikin Rahim ini boleh dijadikan sebagai rujukan;
KENAPA SAMPAI PERLU CERAIKAN ISTERI YANG MENGANDUNG.
Sedihnya apabila subuh hari ini, terdengar berita bahawa sekali lagi, orang yang mendakwa dirinya seorang pendakwah boleh tergamak menceraikan isteri yang sedang mengandung. Walaupun cerai semasa mengandung itu sah, tetapi ia tetap sesuatu yang tidak baik.
Saya quote pandangan mufti Wilayah Persekutuan berkenaan perkara ini selepas beliau menghuraikan pandangan ulama’ berkenaan hukum cerai semasa mengandung, bahawa walaupun majoriti ulama sepakat menjatuhkan hukumnya harus (dibolehkan), namun:-
“Seorang suami yang baik pastinya akan mengambil kira segala aspek dan melakukan semua ikhtiyar sebelum melafazkan cerai terhadap isteri”
Bukankah anda sebagai pendakwah sepatutnya tergolong dalam “suami yang baik”?
Bukankah anda sebagai orang yang “mahir” ilmu agama sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat dan tidak menjadi penyebab suami-suami lain boleh mengatakan “Ala, ustaz tu pun boleh buat kat bini dia, aku pun bolehlah cerai bini aku ikut suka hati aku”
Ads
Bukankah anak dalam kandungan itu adalah benih anda sendiri yang sepatutnya dijaga dengan penuh amanah dan difikirkan kebajikannya lebih daripada maruah atau ego diri yang hanya sementara di dunia fana ini?
Walaupun maruah tercalar kerana perbuatan si isteri, tidakkah dia berhak meluahkan perasaan yang kecewa kerana diduakan? Tidakkah dia yang sedang penat lelah mengandungkan anak anda berhak mendapat pembelaan dan sokongan moral dari orang sekeliling?
Kalau benar dia isteri yang nusyuz pada pandangan anda, dapatkanlah dulu sabitan nusyuz dari Mahkamah Syariah sebelum anda dengan sewenangnya melepaskannya dengan alasan isteri telah nusyuz. Yang berhak mensabitkan nusyuz hanyalah pemerintah yang telah menurunkan kuasanya kepada Hakim Syarie setiap negeri untuk membuat sabitan tersebut selepas kes dibicarakan dengan adil.
Tindakan anda juga telah melanggar perundangan syariah dalam negeri anda tinggal kerana setiap lafaz cerai sepatutnya mendapat kebenaran Mahkamah Syariah terlebih dahulu, bukan dengan sewenangnya dilafaz dengan menggunakan voice note secara WhatsApp. Jika lafaz tersebut disabitkan oleh Mahkamah sebagai lafaz talaq yang sah dan menjatuhkan cerai, maka anda telah melakukan satu kesalahan dari sudut perundangan syariah dan boleh didenda oleh pihak berkuasa.
Kepada para isteri yang teraniaya akibat perbuatan suami sebegini, bangkitlah dari kekecewaanmu dan tuntutlah apa yang hak bagi dirimu. Antaranya:-
Ads
1. Failkan Kes Pengesahan Cerai
Failkan kes pengesahan cerai di Mahkamah Rendah Syariah – ini penting dibuat seberapa segera bagi mengesahkan status anda. Suami akan dipanggil untuk memberi keterangan berkenaan lafaz tersebut. Jika dia enggan hadir, mohon saja waran tangkap untuk memaksa kehadirannya. Sesetengah mahkamah akan meneruskan kes atas anggapan keengganan hadir boleh dianggap sebagai pengakuan di pihak suami, kemudian isteri hanya perlu angkat sumpah untuk menguatkan keterangan dan bolehlah keputusan dibuat oleh hakim.
2. Mohon Hak Penjagaan & Nafkah Anak
Selepas kes pengesahan cerai difailkan dan tanpa perlu menunggu keputusan kes pengesahan cerai tersebut, mohonlah terus hak penjagaan anak di Mahkamah Tinggi Syariah dan hak nafkah anak di Mahkamah Rendah Syariah. Ini menjamin hak anda untuk menjaga dan menguruskan kebajikan anak-anak, dan menuntut nafkah yang mencukupi bagi anak-anak. Sebaiknya kes difailkan selepas anak dalam kandungan dilahirkan, supaya boleh disekalikan tuntutan untuk semua anak sedia ada.
3. Tuntut Semua Hak & Nafkah
Sekiranya mahkamah mensabitkan cerai telah jatuh dan sah, dapatkanlah sijil cerai dari Pejabat Agama yang berkenaan dan failkanlah tuntutan-tuntutan hak isteri selepas diceraikan. Anda berhak menuntut nafkah iddah, mutaah, harta sepencarian (jika ada), nafkah tertunggak isteri (jika ada), hutang suami kepada isteri (jika ada). Jangan lepaskan mana-mana hak anda, tuntutlah semuanya agar anda mendapat semua yang agama telah sediakan untuk isteri yang diceraikan.
4. Peluang Bela Diri
Jika suami memfailkan kes nusyuz terhadap anda, usahlah khuatir kerana inilah peluang anda untuk membela diri dan menceritakan semasa bicara berkenaan your side of the story. Mahkamah tidak sewenangnya menjatuhkan hukuman nusyuz kepada mana-mana isteri, proses bicara juga panjang dan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk didengar. Ambillah peluang ini untuk memelihara maruah anda yang telah dipijak-pijak.
Ads
5. Pengesahan Rujuk
Sekiranya suami mengajak anda rujuk semula tetapi anda enggan dirujuk, keengganan anda tidaklah menjejaskan pengesahan rujuk tersebut. Rujuk masih boleh sah walaupun tanpa kerelaan isteri, tetapi mengikut perundangan syariah setiap negeri, isteri yang setuju dirujuk perlu hadir bersama di pejabat agama untuk mendaftarkan rujuk. Jika isteri enggan dirujuk, isteri tidak perlu hadir ke pejabat agama, tetapi perlu memfailkan kes pengesahan rujuk di Mahkamah Rendah Syariah dan beritahu hakim berkenaan keengganan dirujuk.
Hakim akan mengarahkan suami isteri hadir ke prosiding jawatankuasa pendamai, dan jika tidak berjaya berdamai, anda boleh bercerai secara hakam (bagi negeri-negeri tertentu), dan kemudian cerai secara hakam ini akan menjadi perceraian kali kedua (jika rujuk tadi sah), dan cerai kedua ini tidak boleh dirujuk lagi oleh suami kerana cerai hakam merupakan satu bentuk cerai ba’in sughra dan bukannya cerai raj’ie.
InsyaAllah, Allah bersama orang-orang yang teraniaya. Be strong and face this as a mother to your children. Allah mengajar kita bahawa cinta kepada manusia hanyalah sementara, dan hanya cinta padaNya yang kekal dan memberi ganjaran abadi.
Saya tumpang simpati,
Ashikin Rahim
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Buat isteri teraniaya, selain redha, bangkitlah dan tuntutlah hak yang bagi diri sendiri dan anak-anak sebagaimana di sarankan Peguam Syarie ini.
Sebaiknya kalau mak, ayah tak mampu berlapang dada bab duit, lebih elok tinggal asing dengan mertua. Bukan mudah jika tinggal serumah dengan mertua dan ipar duai.
Melainkan hanya tinggal bersama mertua, tentu tidak mengunakan belanja yang besar. Tinggal bersama mertua ini bukan hanya melibatkan emosi, malahan juga kos sara hidup juga perlu diambil kira.
Kongsi Firdaus Shakirin, duduk atau tinggal di rumah mertua, barang rumah siapa beli?
Kalau Tak Mampu Berlapang Dada Bab Duit
Menurutnya, kalau kita tidak mampu berlapang dada bab duit ini, maka elok saja duduk berasingan dengan mertua…
Jadi bila sudah duduk asing, sendiri hendak masak atau sendiri mahu makan, maka duit sendirilah yang akan dikeluarkan…
Kalau duduk rumah mertua ini, mesti tidak sampai hati hendak kata,
“Bahagian mertua, mertua beli dan kemudian bahagian kita, kita yang beli. Satu peti ais untuk mertua dan lagi satu peti ais untuk keluarga sendiri…”
Peti ais kita, letak kunci sebab tak mahu bagi orang lain terguna barang makanan kita…
Lebih Elok Tinggal Asing Dengan Mertua
Pelik bukan, tapi ada yang duduk dengan mertua dan tinggal di rumah mertua, makanan dia simpan dalam bilik sebab dia yang beli makanan itu… Hak dialah, duit dia kan…
Tapi kalau kita tengok keadaan macam itu berlaku dekat anak menantu kita yang tinggal dalam rumah kita, kita rasa macam mana?
Kalau pasangan tak mampu untuk tanggung semuanya, ada adik ipar lagi, kemudian ada biraslah dan mertua lagi, maka pindahlah…
Tak perlu hendak serabut kepala dan semakkan fikiran setiap bulan siapa yang kena keluarkan duit belanja…
Berbeza Jika Mertua Uzur
Namun jika mertua sudah uzur, sudah tiada pekerjaan, hanya tinggal mertua sahaja dan tidak ada orang lain tinggal bersama, maka rasanya kos perbelanjaan itu tidah adalah jauh beza sangat…
Duit yang sepatutnya guna untuk sewa rumah atau beli rumah, gunalah untuk buat belanja beli barang dapur…
Mingguan Wanita : Sebelum tinggal bersama dengan orang tua, bincang dahulu sebaiknya dengan pasangan. Teliti baik, buruk tinggal bersama. Tidak semua mampu tinggal bersama mertua, namun ada juga yang bahagia tinggal bersama mertua.
Perbalahan perkara biasa bagi kita sebagai insan yang serba kekurangan. Ini termasuklah perbalahan di kalangan adik beradik. Yang menyedihkan bila silaturahim itu terputus bertahun-tahun lamanya.
Agama Islam sangat menitikberatkan soal betapa pentingnya menjaga silaturahim. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud; “Siapa yang ingin dilapangkan rezeki dan dipanjangkan umur maka hendaklah dia menyambung tali silaturahim.”
Bayangkan perasaan mak dan ayah bila tahu anak-anak berbalah dan bermusuh antara satu sama lain. Bila dinasihat, masing-masing keras kepala. Mak ayah yang tua itu hanya mampu makan hati dengan tingkah anak-anak yang tidak lagi mahu dengar nasihat. Akhirnya dibiarkan saja.
Punca Perbalahan Hal Remeh
Dah namanya adik beradik, kadangkala perbalahan terjadi dek kerana hal yang kecil saja yang kadangkala tak masuk dek akal untuk timbulkan pertelingkahan. Contohnya bila anak ditegur oleh mak/bapa saudaranya. Si ayah dan si mak pula sentap. Rasa terpukul bila anak mereka ditegur. Mulakan mengata itu ini. Kononnya anaknya itu tak disukai.
Foto sekadar hiasan.
Orang Tegur Sebab SAYANG!
Aduh. Takkan hal itu nak bergaduh kan? Kena ingat, anak-anak saudara umpama anak sendiri. Kalau anak kita ditegur oleh adik beradik kita, bermakna mereka cakna dan ambi peduli tentang anak kita. Mereka sayang anak kita. Sebab itu mereka tegur. Tak salah kan? Jadi jangan buruk sangka dengan adik beradik.
Sebaliknya, kalau orang dah tak tegur, makna mereka dah tak nak ambil peduli hal anak kita. Jadi mana yang lebih elok? Itu semua demi kebaikan anak kita juga kan?
Namun, ada juga disebabkan hal yang besar seperti melibatkan harta pusaka. Itu memang sangat rumit. Namun, sepatutnya adik beradik kena faham soal hukum hakam. Banyak silaturahim terputus angkara harta pusaka.
Tapi ingat satu perkara, takkan senang hidup orang yang rampas harta pusaka atau hak adik beradik lain. Mungkin dia Nampak ‘senang’ pada mata kasar, tapi keadaan hidupnya yang sebenar siapa tahu? Jadi, jangan ambil mudah soal harta pusaka. Rujuk pada yang arif. Jangan pakai buat hukum sendiri je ye!
Takkah rasa stres bila ada perbalahan dengan adik beradik? Balik kampung, kena hadap muka dia juga. Pergi kenduri saudara mara, orang sama juga akan jumpa. Kalau pun cuba nak hindari diri, sampai bila?
Orang yang bermusuh dengan adik beradik ni, jiwanya akan rasa kacau dan ‘berat’ Seolah ada yang ‘tak lepas’. Tak tenang jiwa orang yang bermusuhan.
Buang Ego Saling Bermaafan
Nak bawa ke mana ego yang melangit tu? Tak jatuh maruah kita kalau saling bermaafan malah orang yang sanggup meminta maaf walau pun mungkin bukan salah dia, dia seorang yang sangat ‘berlapang dada’. Dia rela tepis ego demi menjaga ikatan silaturahim.
Kesimpulannya, walau atas alasan apa sekali pun, jaga silaturahim dengan adik beradik. Bermasam muka dan berbeza pendapat dan fikiran tu biasalah. TAPI jangan panjangkan ye!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Percaya tak dengan satu panggilan yang baik-baik untuk anak kecil, mak ayah akan rasa bahagia dengan kesan panggilan baik lagi manis itu kelak. Inilah bak kata Khairul Hakimin Muhammad, Bapa Viral Kebangsaan yang sedang mendalami pembacaan buku keibu bapaan, ‘Propethic Parenting For Girls’.
Betapa hebatnya kuasa memanggil di hati seseorang. Lalu, dia mencuba mengubah panggilan untuk anak perempuannya, Ain kepada SAYANG. Setiap hari dia memanggil Ain dengan panggilan itu. Selepas sebulan, kesayangannya itu menyedarkannya tentang sesuatu.
Suatu hal yang selama ini tak disedari kerana kesibukannya bekerja. Dan inilah yang membuatnya terpanggil untuk berkongsi dengan para followernya.
Tukar Reward Anak Dengan Panggilan SAYANG
“Sebabkan saya lebih sibuk berbanding orang rumah, anak saya memang banyak melekat dengan mama dia.”
“Nak tidur, nak susu, nak makan, nak tanya tentang kerja mewarna, mengeja dan belajar, semua dengan mama dia. Semua.”
“Saya hanya dapat momen ‘reward’ seperti ajak pergi kedai, pergi taman dan berjalan bersama. Itu pun jika beliau ada mood.”
Baru-baru ini saya terbaca tentang menukar panggilan nama anak-anak kepada perkataan yang penuh dengan cinta dan kasih sayang.
Jadi dalam sebulan ini saya cubalah tukar dari panggil ‘Ain kepada sayang.
Setiap kali dia panggil “abah,” saya jawab “ya sayang.”
Dan ianya berlarutan hingga ke hari ini.
Abah Selalu Tak Ada, Tapi Selalu Cakap SAYANG
Kelmarin, hari lahir beliau. Saya sengaja cakap “‘Ain sayang, ciumlah pipi abah, kan hari ini birthday ‘Ain.”
Lalu dia cakap “‘Abah, ‘Ain baru tahu abah sayang ‘Ain.”
Saya pun pandang muka dia. Dia tersengih-sengih. Budak kecil yang baru masuk 6 tahun ini masih dengan lagak kanak-kanak yang comel.
“Aik, memang abah sayang ‘Ain, ‘Ain kan anak abah.” Saya jawab lagi.
“Itulah. Abah kan sibuk, selalu tak ada. Tapi abah selalu cakap sayang, sayang, ‘Ain jadi rindu dekat abah.”
Saya terdiam. Lalu dia datang ke pipi saya dan cium. Saya membalas dengan ciuman yang sama di pipinya.
Hebatnya Kuasa Memanggil Di Hati Seseorang
Sehingga hari ini saya terfikir hebatnya kuasa memanggil di hati seseorang. Patutlah dalam agama kita pun, memanggil (atau panggilan) mesti (atau wajib) datang dalam bentuk kebaikan atau kesenangan kepada yang dipanggil. Tak boleh sebarang.
Kesannya mendalam. Memberi titik istimewa yang berbekas dalam sebuah hubungan. Lebih lagi ianya dalam bentuk keluarga.
Saya habiskan membaca ‘Propethic Parenting For Girls’ dengan gembira. Sesungguhnya, nak melawan rasa bersalah terhadap ketidakmampuan kepada sesuatu adalah dengan ilmu.
Kadang-kadang, sebab saya terlalu sibuk, saya pulang ke rumah kemudian meluahkan dengan melihat anak tidur. Esoknya beliau bangun, kami bersalam, itu sahaja. Hari ini saya bersyukur dapat belajar sesuatu tentang cara memanggil.
Sungguh, pada zaman ibu ayah kita dahulu, panggilan manja dalam bentuk kasih sayang ini sudah terbiasa. Kita sahaja yang tidak mahu sambung-sambungkan kerana canggihnya nama anak-anak.
Dan paling saya teruja ialah ada beza mendidik yang lelaki dengan perempuan. Supaya kasih sayang yang terluah kepada mereka itu menjadikan mereka ini jejaka dan juga wanita hebat di luar sana.
Kawan-kawan,
Keluarga ini anugerah. Tak dapat kita nak beli di mana-mana pasar atau kedai. Ianya pemberian dari Tuhan. Jaga, simpan, pelihara, didik dan asuh supaya ia kekal jadi hadiah yang diberi baik-baik kepada kita.
Begitulah.
Semoga selepas ini mak ayah akan memanggil anak-anak dengan panggilan yang baik-baik. ‘Sayang’, ‘comel’ ‘manja’.. Ini antara contoh. Selebihnya, terpulang pada mak ayah mahu pilih panggilan yang mana.