suami nusyuz

Istilah dan ketetapan suami nusyuz memang wujud dalam syariat Islam. Biarpun tiada seksyen khusus untuk sabitkan suami sebagai nusyuz, tetapi ada satu peruntukan yang boleh digunakan untuk mensabitkan suami sebagai nusyuz dan dikenakan hukuman.

Iaitu peruntukan seksyen 127 dan 128 yang menyebutkan: “Seseorang yang menganiaya isterinya atau menipu harta isterinya adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.”

Dan

“Seseorang yang tidak memberi keadilan sewajar kepada isterinya mengikut Hukum Syarak; adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.”

Bermaksud; bagi para isteri yang berhadapan dengan suami yang sengaja engkar atau enggan melaksanakan tanggungjawab yang patut sebagai seorang suami, boleh gunakan dua peruntukan ini untuk mengisytiharkan suami sebagai gagal laksana peranan atau nusyuz.

Paling Penting

Gunakan peruntukan yang ada ini untuk memberi AMARAN KEPADA SUAMI yang dirinya sedang diperhatikan. Jika kes sedang dalam perbicaraan, sebagai contoh kes tuntutan fasakh atau takliq, kes sabitan nusyuz ini masih boleh dibawa bersama dengan kes induk tadi. Yang penting; perlukan DAKWAAN BESERTA BUKTI YANG TEPAT. Tak boleh sekadar tuduh dan tiada bukti, sabitan takkan berlaku biarpun diketengahkan untuk pertimbangan Mahkamah Syariah.

CIri-ciri Suami Nusyuz

Dalam surah an-Nisa, ayat 128 Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan jika seorang wanita bimbang akan nusyuz atau sikap tidak acuh dari suaminya maka tidak mengapa bagi kedua-duanya mengadakan sulh yang sebenar-benarnya dan sulh itu lebih baik (bagi mereka)”.

Menurut Imam Said Hawa dalam mentafsirkan ayat ini, nusyuz bagi seorang suami bermaksud:

1. Mengabaikan isteri dengan menghalang dirinya daripada isteri iaitu tidak menggaulinya atau tidak berkomunikasi dengannya);

IKLAN

2. Tidak memberi nafkah yang sewajarnya;

3. Menyakiti isteri dengan maki hamun atau memukulnya;

4. Kurang bercakap dan atau kurang bermesra dengan isteri disebabkan usianya yang telah tua, susuk tubuhnya yang tidak lagi menarik, buruk akhlak, jemu atau ingin mencari yang lain.

Al-Qurtubi pula dalam menjelaskan ayat yang sama, sekiranya isteri berpendapat suaminya bersikap nusyuz antaranya engkar dan menjauhkan diri atau i`eradh iaitu tidak bertegur sapa dan tidak bermesra, dia bolehlah menawarkan sulh (sebutan suluh) kepada suaminya. Sulh boleh berlaku melalui:

1. Tawaran isteri dengan menggugurkan sebahagian haknya sebagai ganti daripada dia diceraikan, atau;

IKLAN

2. Tawaran oleh suami untuk memberikan kepada isterinya kadar tertentu harta sebagai ganti dia melebihkan isteri lain, atau;

3. Isteri boleh memohon agar dia dilepaskan dengan baik jika si suami tidak mahu lagi melaksanakan hak si isteri dengan sebaiknya.

Wahai Isteri Ketahui Hakmu

Dalam syariat ditetapkan isteri juga boleh memohon pembubaran perkahwinan menggunakan fasakh sekiranya si suami bertindak nusyuz, seperti alasan yang ditetapkan menerusi peruntukan seksyen 52, Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah-wilayah Persekutuan memperuntukkan: seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang disenaraikan antaranya:

(a) Bahawa tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;

(b) Bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;

IKLAN

(c) Bahawa suami telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;

(d) Bahawa suami menganiayainya, iaitu, antara lain:

(i) Lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya; atau

(ii) Berkawan dengan perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak; atau

(iii) Melupuskan harta isteri atau melarang isteri itu daripada menggunakan haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu; atau

(iv) Jika dia mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak Hukum Syarak;

Pilih Bahagia Ke Derita, Fikirlah Dengan Bijak!

Islam tidak pernah menganiayai wanita! Terpulang kepada anda untuk terus aniaya diri sendiri atau bertindak mencipta bahagia yang tersendiri

Sumber: SUZANA BT GHAZALI, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie (Kolumnis Ruangan Resipi Hidup, Majalah Mingguan Wanita)

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI