Bertuahlah jika mak-mak memiliki suami yang memahami dan menghormati anda sebagai isteri. Tetapi ada juga di kalangan lelaki atau suami yang sering meletakkan statusnya sebagai suami hingga langsung tidak mahu mendengar atau menerima teguran isteri.
Tidak semua sikap suami yang isteri dapat hadam dan terima bulat-bulat. Mungkin bila sekali, dua suami melakukan kesilapan, isteri dapat menegur secara baik. Namun setelah berkali-kali menegur tetapi tetap berubah, isteri pasti tawar hati dan malas lagi nak menegur kerana takut timbul perbalahan.
Fahami perkongsian Firdaus Shakirin ini ketahui mengapa isteri malas menegur banyak kali:
Bila ada kaum hawa yang komen, susah hendak jumpa lelaki yang “berkualiti” zaman sekarang ini…
Sedikit sebanyak, terasa jugalah di hati kerana saya pun lelaki… Tetapi, dengan melihat kaum-kaum lelaki di sekeliling saya, ada benarnya kata-kata tersebut…
Saya tak mengambil contoh yang jauh, saya hanya mengambil contoh dengan apa yang ada di depan mata…
Di tempat kerja sudah main game, balik kerja sambung main lagi… Bila saya tanya, tak jemu ke main game… Dia kata seronok battle, boleh dapat banyak point… Selepas itu saya tanya lagi, isteri tak kata apa-apa ke? Dia kata, isteri “pernah” tegur beberapa kali, selepas itu tak tegur dah…
Isteri Tegur Untuk Kebaikan
Saya tanya, tahu tak kenapa dia sudah tak tegur?
“Dia malas hendak tegurlah kot…”
Ehh, tau pulak kata saya sambil gurau-gurai… Saya cakap isteri tegur itu untuk kebaikan kita juga sebagai suami… Dia tegur sebab hendak kita berubah… Tapi bila kita tak berubah, dia malas nak tegur kerana ianya buang masa dan boleh menyebabkan perbalahan…
Tiada isteri yang suka bergaduh… Isteri hendak kehidupan yang aman dan tenteram…
Ada yang balik kerja, terus pergi main snuker dulu… Ada yang balik kerja, terus ke mamak jumpa kawan-kawan… Seorang demi seorang saya tanya, isteri dekat rumah tidak kata apa ke… Dengan selamba mereka jawab,
“BERANI NAK KATA APA-APA, AKU SUAMI KOT…”
Fuhhh, hebat betul kata saya… Saya kena belajar dengan dia kalau macam ini sebab dia boleh TUNDUKKAN isteri dia semudah itu sahaja…
Nak jadi suami ini tak susah, tapi kadang-kadang kita sendiri yang buat pilihan sehingga ianya nampak susah… Ada benda patut buat, ada benda tak patut buat… Letakkan had di setiap perkara yang kurang membawa kebaikan untuk rumah tangga kita…
Bukan bermaksud tak boleh buat, tapi berpada-pada kalau hendak buat…
Kita berpesan macam ini pun, bukannya orang suka… Tidak apalah, biar Tuhan saja jentik hati dia… Ketika itu baru dia akan belajar macam mana hendak jadi seorang suami yang baik terhadap isterinya…
Wallahualam…
MW: Bukan susah pun nak jadi seorang suami yang baik. Jangan lakukan perkara yang isteri tidak suka dan mampu menyakiti hatinya, pasti isteri dapat bertolak-ansur. Barulah jadi yang disayangi isteri.
Sumber: Firdaus Shakirin
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Mak Bakal Kahwin Lagi, Anak Risau Kasih Dirampas Ayah Tiri…
Isi Kandungan
ToggleBukan mudah untuk menerima kehadiran orang baru dalam keluarga. Beginilah yang dialami oleh gadis bernama Aimi, melahirkan kerisauan maknya bakal berkahwin lagi dan dia bakal mendapat ayah tiri. Luahan hati gadis ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor dan penulis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan wanita.
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Saya seorang gadis berusia 27 tahun dan bekerja sebagai akauntan. Masih bujang dan anak bongsu daripada tiga adik-beradik. Di dalam adik-beradik, hanya saya seorang saja yang masih belum berkahwin.
Saya juga seperti gadis lain, yang ingin bergelar isteri dan ibu. Namun setakat ini, rezeki saya belum tiba. Bukan tidak berusaha tapi mungkin belum tiba masanya. Pernah sekali gagal dalam percintaan dan kami terputus hubungan selepas SPM. Masing-masing bawa hal sendiri demi mengejar cita-cita.
Harapan Mak
Sejak kehilangan ayah kira-kira 20 tahun lepas, saya memang rapat dengan mak. Mungkin ayah pergi ketika saya masih lagi kecil, jadi mak lebih memberikan perhatian sepenuhnya pada saya. Tambahan pula, saya amat rapat dengan arwah dan mak tak ingin saya rasa kehilangan selepas ayah tiada. Jika mak perlu bekerja di luar daerah, apabila cuti sekolah, saya akan menemani mak kerana saya tinggal di rumah bersama mak, manakala kakak dan abang tinggal di asrama. Jarang benar saya ditinggalkan bersama pembantu rumah.
Sebagai anak bongsu, saya rela memilih sebuah universiti tempatan yang berhampiran dengan kampung, membolehkan saban minggu saya balik rumah. Demi mak, saya rela melepaskan impian untuk belajar di luar negara walau pun telah mendapat tawaran melanjutkan pengajian di United Kingdom kerana keputusan cemerlang saya. Demi mak juga, saya rela melepaskan cita-cita asal saya ingin menjadi seorang jurutera demi meneruskan legasi mak yang merupakan seorang akauntan. Kalau ikutkan saya sukakan kerjaya yang lasak. Kata mak, perempuan tak payahlah cari kerja yang lasak sangat. Mak umpama sahabat baik saya. Banyak saya kongsikan dengan mak.
Lelaki Baru
Pertengahan tahun lepas, mak ada bercerita dengan saya, dia bertemu kembali dengan seorang rakan lelaki lamanya, ketika belajar di universiti dahulu dalam satu majlis reunion. Sejak itu sering kali mereka berhubung dan sering kali juga saya akan bercakap dengan lelaki itu menerusi telefon. Lelaki itu, uncle Zack, rupanya sudah lama menetap di Australia dan berkahwin di sana. Punya seorang cahaya mata. Selepas kematian isteri dua tahun lepas, dia mulai tawar hati untuk tinggal di sana kerana rindukan kenangan bersama arwah isterinya. Manakala anak tunggalnya pula sedang belajar di sebuah universiti di sana.
Saya tak pernah halang mak berhubung dengan Uncle Zack kerana sedar mereka sama-sama kesunyian. Lagi pun, saya rasakan hubungan hanya sekadar itu saja. Tak sangka, ketika hari jadi mak Mac lalu, uncle Zack turut hadir ketika majlis makan-makan di kediaman kami. Kali pertama lihat uncle Zack, orangnya masih segak dan handsome walau usianya sudah pertengahan 50-an. Ramai tetamu mengusik, sepadan dengan mak yang masih lagi lawa. Hati saya mula rasa tak sedap.
Terus Terang
Rupa-rupanya uncle Zack sudah kembali menetap di Malaysia sejak awal tahun ini. Puan, daripada gerak geri mereka, saya dapat tangkap mereka berdua saling menyukai antara satu sama lagi. Saya tak tahu apa perasaan saya ketika itu. Saya rasa sedih memikirkan kasih mak bakal beralih kepada lelaki lain. Tak cintakah lagi mak pada arwah ayah? Selama ini mak boleh setia, kenapa sekarang tidak?
Saya sedar saya tak patut halang mak mencari kebahagiaannya setelah 20 tahun bersendirian tapi entahlah. Saya susah nak terima kenyataan ini. Tapi saya tak cakap apa-apa pada mak kerana tak nak dia kecil hati. Cuma sekarang ini saya sengaja menjauhkan diri daripada mak. Bila mak ajak keluar bersama, jarang saya terima sedangkan kalau dulu kami macam belangkas. Mak tak syak apa-apa kerana kebetulan saya juga sedang mengambil sambung pengajian, memang agak sibuk.
Saya sedar, hubungan mak dengan uncle Zack makin serius dan saya dapat rasakan ada sesuatu yang abang dan kakak sembunyikan daripada saya. Hati saya kuat mengatakan yang mak dan uncle Zack akan berkahwin tak lama lagi namun semua orang belum memberitahu saya apa-apa. Puan, saya sayangkan mak saya dan nak dia bahagia. Tapi saya juga risau saya akan ‘hilang’ dia seperti saya hilang arwah ayah saya dulu.
Aimi, Subang Jaya, Selangor.
Pendapat Kaunselor:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Semoga pada masa kini saudari berada dalam lindungan dan rahmat Allah. Apabila membaca kisah saudari, alangkah bertuahnya saudari punya seorang ibu yang amat menyayangi saudari. Sedangkan ramai anak yang tiada punya kasih ibu… sama ada ibu membiarkan tanpa didikan, diserahkan anak kepada orang lain hanya kerana memburu kehidupan lain, atau membuang anak kerana dosa yang dilakukan dan anak yang kematian ibu bapa.
Pengorbanan Mak
Bagi pihak ibu saudari pula…bayangkan seorang wanita yang telah kehilangan suami mengambil keputusan tidak berkahwin hanya semata-mata tidak mahu kasih yang dimiliki anak berumur 6 tahun hilang kasih sayang daripada ibunya pula setelah pemergian ayah yang terlalu rapat dengannya. Pengorbanannya selama 20 tahun hanya semata-mata untuk kasih kepada anaknya yang bongsu tidak dinafikan sesuatu yang hebat. Kekosongan dalam hidupnya tanpa berteman yang dinamakan suami telah sekian lama tidak diisi. Hanya kerana kasihkan anak dan memberi keutamaan dalam segala hal mengatasi keperluan sendiri.
Ramai juga saya temui ibu yang tidak berkahwin apabila kematian suami dengan alasan tidak mahu kasih terhadap anak terabai jika berkahwin lagi. Pada ibu sebegini, kasih terhadap anaknya mengatasi segalanya. Namun sering juga saya lihat anak yang sebegini ramai yang hanya memikirkan tentang dirinya sahaja, bukan untuk ibunya (maafkan saya, bukan bermaksud saudari). Ini pengalaman yang saya lihat. Mungkin disebabkan terlalu sayangkan anaknya, mungkin anaknya tidak tahu menghargai…mungkin juga kurang matang dalam erti kata membalas jasa dan pengorbanan.
Berbalik kepada kisah saudari, saya boleh menyimpulkan daripada apa yang saudari lahirkan. Frasa lebih kurang seperti .. “saya sayangkan mak dan mahu dia bahagia…dan tidak mahu dia kahwin kerana takut kehilangan kasih”. Boleh saya andaikan beberapa analogi seperti “saya nak anak sendiri, tetapi tidak mahu mengandung”…atau “saya nak dapat ijazah tetapi tak nak belajar di Universiti”. Atau beberapa anologi yang kita boleh simpulkan bahawa kalau mahukan sesuatu tidak boleh ada apa-apa syarat dikenakan. Rasanya bolehkan kita mendapatkannya? Mungkin ada, namun terlalu jarang.
Beri Keizinan
Kalau saudari boleh bayangkan pengorbanan ibu saudari, dan mahukan dia bahagia, pastinya saya rasa saudari akan memberi keizinan kepada ibu untuk berkahwin. Bahkan kalau saudari seorang yang bijak dan matang serta bersifat pengasih, maka sejak dari dulu lagi saudari akan menyuruh ibu berkahwin.
Saudari seorang terpelajar, cuba takrifkan apa maksud sayang dan mahu orang yang disayangi itu bahagia? Memang benar kalau kita sayangkan seseorang itu, kita mahu dia bahagia. Dan pastinya kita tahu apa yang membahagiakannya …dari segi keinginan dan hajatnya …Ramai orang melihat sayang itu dari kaca mata dirinya……dia melihat dari perspektif dirinya yang mahukan segala-galanya…. bukan sangat dari kaca mata orang yang disayangi. Tidak tidakkah itu namanya “hanya fikirkan tentang dirinya “? Mungkin saudari tidak tergolong dalam kategori itu.
Namun, cuba fikirkan semula. adakah sebenar-benarnya saudari sayangkan ibu atau saudari hanya fikirkan tentang diri bahawa jika ibu berkahwin kasih itu akan hilang? Dan lagi adakah ibu saudari melakukan dosa besar? Tahukah saudari jika saudari menghalangnya bermakna saudari boleh membawa ibu saudari melakukan dosa dengan menghubungi lelaki yang bukan mahram, walaupun berhubung secara kenalan biasa? Terjaminkah hubungan itu sebagai kenalan biasa? Mahukah saudari lihat ibu saudari diundang dosa? Saya rasa saudari boleh membuat analisis sendiri.
Urus Emosi
Sekarang saya membuat andaian saudari mengizinkan ibu berkahwin. Maka saya bantu saudari untuk belajar bagaimana menguruskan emosi saudari untuk tidak merasa kehilangan kasih ibu. Pertama, fikirkan yang positif sahaja, usah difikir takut kepada kehialngan. Fikirkan saudari telah dewasa dan matang, fikirkan bahawa sudah sampai masanya saudari boleh urus emosi dan diri sendiri. Fikirkan bahawa jika ibu bahagia, dia juga akan membahagiakan saudari. Telah 20 tahun dia membahagiakan saudari. Tidakkah cukup? Pada masa inilah saudari perlu buat persiapan menuju alam dewasa.. perlu belajar urus diri, urus fikiran dan emosi. Ini penting apabila saudari berkahwin nanti.
Walaupun belum ada pasangan, tetapi persiapan ini amat penting. Dalam pengalaman yang saya lihat, salah satu masalah rumah tangga yang dihadapi oleh wanita yang baru berkahwin adalah kerana kurang bijak urus fikiran dan emosi . Dan ini salah satunya disebabkan ibu bapa yang terlalu menyayangi anaknya hingga menhyebabkan anaknya tidak pandai urus emosi dan “tidak pandai memberi kasih”. Sejak kecil dia hanya disayangi, tetapi tidak diajar bagaimana menyayangi. Bila dia terlebih disayangi, dan tidak tahu bagaimana menyayangi, maka apabila timbul masalah atau ujian, dengan sendirinya dia rapuh dan cepat kecewa kerana orang yang hampir dengannya (orang yang dikahwininya) tidak seperti ibu atau bapanya.
Belajar Menyayangi
Dalam hidup kita perlu banyak belajar “memberi” dan “menyayang”. Belajar menyayangi ibu bapa khususnya, makhluk-makhluk lain dan pastinya mengasihin Allah yang paling utama. Ini kerana jika dia mengasihi Allah, maka dia akan banyak memberi kerana itu yang Allah suka. Malah Allah amat menyukai anak yang membahagiakan ibunya, bukan yang mengabaikan, melukakan atau menderhaka kepadfa ibunya. Mungkin saudari pernah mendengar pepatah; ”lagi banyak kita memberi, lagi banyak kita dapat”.
Maka lagi banyak kasih yang saudari beri kepada alam sejagat ini khusunya ibu, maka akan lebih banyak kasih yang saudari akan dapat, dan akan membahagiakan saudari. Dan apakah yang paling bahagia dalam kehidupan seseorang? Iaiitu apabila hatinya tenang … bagaimana untuk mendapat ketenagan itu ? Dengan banyak mengingati Allah…dan ingat apa yang Allah suruh…antaranya berbuat baik kepada orang tua… siapa yang beri ketenangan itu? Pastinya Allah. Maka saudari tidak perlu risau jika ibu berkahwin. Ingatlah bahawa kehidupan seorang anak itu menjadi tidak ternilai apabila ibunya meredhainya kerana Allah ada menyatakan bahawa redhaNya bergantung kepada redha ibu bapa terhadap anaknya.Maka pohonlah agar saudari diredai Allah melalui redha ibu terhadap saudari dengan cara membahagiakan ibu…
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Suami Isteri Sama-sama PENAT, Buat Cara Ini Agar Rezeki Mengalir Lancar
Isi Kandungan
ToggleAda ketika, suami isteri akan lalui fasa burnout atau tahap keletihan yang teramat. Bila mana, sama-sama mencari rezeki dan dalam keadaan sekarang ini, usaha nak beri anak isteri makan bukanlah satu hal yang mudah.
Seandainya, masing-masing lalui emosi kepenatan yang sama, cubalah buat tip yang dikongsikan Muhammad Fazlaidha ini. Mana tahu boleh meredakan tahap keletihan yang teramat itu.
Kisahnya,
“Saya rasa malas betul. Bukan main-main, malasnya rasa sampai ke tulang,” abang kedai jus buah mula kongsi cerita.
Beliau buka warung tepi jalan, berniaga air buah dan burger bakar minimalis yang sedap. Memang jadi tempat kegemaran kami sekeluarga.
Bila dia kata begitu, saya memang pernah lalui perkara yang sama. Penat,letih kemudian datang malas. It’s burnout feeling guys.
Suami isteri ikut tip ini, rezeki masuk mengalir tanpa henti.
Enam Tip Redakan Kepenatan Suami Isteri
Kami bertukar pandangan. Apabila saya dan isteri masuk fasa burnout ini, ada beberapa perkara yang boleh kita lakukan.
1. Buat perkara yang langsung tak ada kena mengena dengan kerja sekarang.
Waktu ini, lantaklah ada order esok ke lusa ke, saya buat saja benda yang saya nak buat atau dah tangguh lama.
Antara yang saya dan isteri layan buat bersama bercucuk tanam. Kemas laman rumah, potong rumput, mencangkul, tebas semak samun. Kalau dah blur sangat, bakar sampah. Amaun kecil saja. Cukup untuk asap boleh halau nyamuk. Makin tak minat buat pembakaran, sebab suka kumpul daun dan rumput untuk jadikan kompos.
2. Kemas bilik, kemas meja, kemas dari lemas.
Bunyi macam ‘hey, memang hari-hari pun kemas’. Tak. Ada lokasi yang jadi tempat sepuk barang. Selalu, saya fokus kawasan begitu.
Contoh, kemas meja kerja. Patutnya ‘on daily basis’ meja ini mesti kemas. Tetapi kalau hari-hari humban segala mak nenek barang lepas tu tak sempat nak tengok balik. Sudahnya memang muka meja pun tak nampak.
Mengemas ni rasa puas dia lain macam. Kita rasa ada ‘ruang’ bila sudah kemas. Rasa burnout tadi boleh bertukar rasa nak menambah kerja.
3. Tutup kedai, pergi bercuti atau keluar.
Solusi pendek, bila tak dapat bercuti panjang saya keluar pergi tempat lain. Pointnya, tukar lokasi. Duduk kerja di lokasi sama dekat 3-6 bulan memang jemu. Lebih lagi bila tempat kerja itulah rumah kita juga. Macam kau tidur dalam pejabat. Bangun tidur je kepala set kerja. Tak boleh weh!
Bila kena begini, kita ambil peluang tukar lokasi. Maknanya pergilah rumah mak ke sehari suntuk, merayau window shopping ke, layan kedai makan dari pagi sampai malam.
Ada budget lebih sikit, set ‘short trip holiday’. 2 hari 1 malam pun ok. Janji waktu cuti itu, letak tepi benda-benda kerja. Layan anak isteri saja.
4. Jumpa kawan.
Ini tak tahulah dah berapa kali ‘save my day’. Ada waktu saya dah penat minggu itu. Tahu saja Tuhan hantarkan kawan order barang ke kita. Memang rasa lain, bila tiba-tiba kawan lama roger.
Tak terhad pada kawan jauh, yang dekat pun kami impak. Lebih lagi waktu covid ni. Kita semua memang tak digalakkan berkumpul. Kawan dekat datang, dapat chit chat hal depan dan throwback pun dah sedap.
Ada waktu, saya sendiri pilih pergi cari kawan. Betapa dengan satu panggilan pendek atau ziarah kecil bertanya khabar, dapat mendatangkan matahari pada diri seorang.
Mulalah roger kawan kita.
5. Pergi belajar.
Ini pun satu cara nak selesaikan rasa burnout tadi. Ada dua cara pergi sambung belajar ini.
Satu, kita memang pergi kelas kat luar. Seminar, bengkel, atau apa saja yang melibatkan bertukar tempat belajar.
Kedua online. Banyak masa sekarang ini, saya sumbat headphone, on saja kelas online yang disertai. Masterclass, Shareskill, Domestika, Brc, PLF Lab, audio book dan kelas online tempatan yang lain.
Benda ni, sambil basuh pinggan pun layan juga. Cuma itulah, kang isteri panggil 7 kali kat sebelah pun tak perasan, sudahnya dia tarik muka lak hahaha.
6. Ambil order pelanggan.
Bunyi macam cari pasalkan? Ya la, dah burnout lagi nak buat kerja.
Solusi ini guna faktor luaran. Bila kita hilang motivasi dalaman nak teruskan kerja, kita guna pengaruh luar pula.
Selalu saya ambil order klien yang sudah kenal lama, kawan-kawan, saudara mara. Ambil order yang mampu buat saja waktu itu. Tak kira saiz besar ke kecil.
Contoh, buat satu set creampuff. Wahal barang tak ada sangat. Kita layan. Bangun, patut pergi kedai beli barang mentah, pergi. Balik mula buat.
Biarpun satu hari tu, ada satu order itu je pun. Lantak. Buat sampai siap.
Kepuasan dapat tunaikan permintaan orang, itu yang buat hilang letih kita tadi.
Moga perkongsian ini membantu kawan yang ‘keletihan’.
Minggu baru, hari baru, kita mulakan bersama pandangan baru. Ayuh!
Sayang diri dan sayang orang, Fazla Idha
MW : Suami isteri saling bersatu hati, insyaAllah makin mudah urusannya dan makin lapang rezekinya.
Sumber/Foto : Muhammad Fazlaidha
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Orang Gaji Boleh Jadi Insan Ketiga Dalam Rumah Tangga, Hubungan Suami Isteri Berantakan
Isi Kandungan
ToggleOrang ketiga dalam rumah tangga menjadi punca keretakan hubungan suami isteri. Akibatnya rumah tangga jadi berantakan. Berhati-hati bagi mak-mak yang ada orang gaji kerana mereka boleh jadi orang ketiga dalam rumah tangga.
Apa jadi bila kepercayaan dalam hubungan keluarga diserahkan kepada orang luar. Mungkinkah akan jadi eksploitasi ‘orang ketiga’ yang suka-suka ambil kesempatan dalam rumah anda?
Orang Gaji Boleh Jadi Insan Ketiga Dalam Rumah Tangga
Siapa orang ketiga yang dimaksudkan ini? Jangan fikir macam-macam mak-mak, tak lain tentulah pembantu rumah atau orang gaji yang kita amanahkan untuk menjaga keluarga semasa ketiadaan kita.
Sebab itu jangan sembarang kongsikan rahsia keluarga dengan sesiapa pun. Baik pembantu itu rapat dengan kita. Sebab itu bila suami isteri yang menggunakan khidmat pembantu rumah, kenalah amalkan guideline ini.
Jadi tidak timbul masalah kehadiran ‘orang ketiga’ yang kita percaya selama ini membantu, rupa-rupanya terpesong lain niatnya. Prof Masya Dr Hj Mohd Nor Mamat berkongsi panduan menarik ini.
Hubungan Suami Isteri Berantakan
10 Panduan Agar Tidak Wujud Skandal Orang Gaji Dengan Suami
1. Kawasan Larangan Itu Wajib
Tidak dinafikan, ada sesetengah orang gaji mengambil kesempatan dengan melakukan perkara yang tidak elok. Contohnya skandal dengan tuan rumah.
Kita sebagai tuan rumah, perlu ada batasan dan limit dalam hubungan orang gaji dengan keluarga kita. Jangan biarkan semua urusan dilakukan oleh orang gaji.
2. Isteri Jangan Malas Uruskan Hal suami
Waktu-waktu tertentu, disiplinkan agar kita sendiri melaksanakan tugas hakiki kita sebagai isteri ataupun ibu bapa. Contohnya:
• Bilik tidur mungkin tidak perlu diuruskan oleh orang gaji.
• Waktu makan umpamanya, hanya anda dengan keluarga sahaja.
• Sebaiknya anda menghidangkan untuk suami.
• Elakkan pakaian dalam diuruskan oleh orang gaji kerana mungkin boleh menimbulkan menimbulkan perasaan dan tindakan yang negatif.
3. Jangan Sampai Suami Diurus ‘Orang Ketiga’
Skandal tidak berlaku sekiranya tidak disuburkan keadaan yang mendorong kepadanya. Tentukan urusan-urusan umum sahaja dilakukan oleh orang gaji. Jangan sampai suami anda juga diuruskan oleh orang gaji!
4. Orang Gaji Kena Hodoh? Betul Ke..
Ada orang berseloroh, kalau nak ambil orang gaji biarlah yang kuat dan rajin tetapi hodoh dan tua. Kalau ini keadaannya, mungkin tidak banyak urusan dalam rumah yang mampu dilaksanakan. Bagi lelaki atau suami pula, mungkin bersetuju jika orang yang bekerja di rumah itu sedap mata memandang.
Sebaiknya, anda perlu mengutamakan pemilihan orang gaji yang baik-baik, menepati tuntutan dan berpegang kuat kepada agama. Sedikit sebanyak, ia mengurangkan pengaruh negatif terhadap suami.
5. Solat Bersama Jangan Ditinggal
Pastikan suami isteri atau ibu bapa mempraktikkan amalan agama terutamanya solat bersama-sama, imarahkan rumah dengan bacaan Al-Quran setiap hari dan mengamalkan cara hidup dengan batasan hubungan yang dituntut oleh agama.
Ini amat mujarab untuk menjadi pelindung kepada kita daripada terjadi sesuatu yang tidak diinginkan, apatah lagi rahmat dan sakinah.
6. Jangan Tinggalkan Suami Dengan Orang Gaji
Elakkan wujud situasi-situasi yang mendorong perkara negatif seperti meninggalkan suami bersama orang gaji atau membiarkan orang gaji ke sana sini bersama suami dan sebagainya. Urusan yang berbentuk peribadi, isteri haruslah menguruskannya sendiri.
7. Teruslah Bercantik-cantik Untuk suami
Optimumkan masa untuk lebih mesra dan memenuhi keperluan suami anda. Apabila sebahagian kerja rumah dilaksanakan oleh orang gaji, seharusnya anda lebih banyak masa untuk menjaga kecantikan, lebih seksi untuk suami anda, lebih banyak masa untuk bermanja dan lebih mudah mengikut kata suami.
8. Isteri.. Belajarlah Berterima Kasih Dengan Suami
Isteri perlulah lebih berterima kasih dengan penghormatan dan ketaatan kepada suami. Jika ini berlaku, suami akan lebih berasa bahagia dengan kewujudan isteri yang cantik, hormat, manja, seksi dan sebagainya menjadikannya tidak mudah terpengaruh dengan kewujudan orang gaji.
9. Anak-anak Pun.. Janganlah Bagi Terlalu Rapat Dengan Orang Gaji
Begitu juga dengan anak-anak, hendaklah anda mengoptimumkan masa sebagai ibu bapa yang prihatin dan penyayang, sahabat mereka yang memahami, sebagai guru yang mendidik mereka malah sentiasa ada untuk mereka. Elakkan anak-anak lebih cenderung dan rapat dengan orang gaji, berbanding ibu bapa.
10. Jangan Benarkan Orang Gaji Bawa Masuk Orang Luar Ke Dalam Rumah
Pastikan tempat tinggal dan keluar masuk orang gaji dalam rumah terkawal tanpa pergaulan bebas seperti yang dilarang dalam agama.
Jangan Sekat Kemesraan Suami Isteri
Kehadiran orang gaji sudah tentu menjadi penghalang buat suami isteri dalam menunjukkan kasih sayang dan sikap romantik. Tidak mustahil, sedikit sebanyak, ia pasti mengganggu hubungan mesra suami isteri, jika orang gaji yang ada dalam rumah bukanlah saudara dekat ataupun mahram suami anda.
Walau bagaimanapun, anda hendaklah bijak mengoptimumkan penggunaan masa keluarga
sebaiknya. Contohnya, perlu ada masa-masa keluarga yang tidak disertai oleh orang gaji, walaupun bukanlah sehingga mengetepikan orang gaji seperti orang asing.
Layani orang gaji dengan mesra tetapi perlulah dibezakan waktu intim suami isteri, waktu kekeluargaan dengan anak-anak dengan waktu biasa di rumah dengan kehadiran orang gaji.
Terlalu mesra sehingga menganggap sebahagian daripada ahli keluarga sendiri menyebabkan mudah tersilap faham dan tersilap jalin hubungan yang kemudiannya lebih sukar untuk menghilangkannya. Berwaspada itu lebih baik, namun janganlah sampai berprasangka kepada suami ataupun orang gaji.. orang ketiga yang menguruskan rumah anda.
Temuramah Bersama : Prof Madya Dr Hj Mohd Nor Mamat, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM).
Nota: Artikel diolah dari artikel asal Mingguan Wanita
Baca artikel berkaitan: Gajet Bila Dah Jadi Orang Ketiga Dalam Rumah Tangga, Belai Pasangan Pun Malas
Munculnya Orang KETIGA Bila Suami Isteri Tidak Lagi BERFUNGSI Dalam Rumah Tangga
Kes Orang Ketiga, “Yang Pertama Itulah Yang Bersusah Payah Dengan Kita.”
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI