‘Isteri takut bersama, tergamak suami ugut cerai.’ Vaginismus bukan titik noktah perkahwinan sebaliknya ianya adalah permulaan perjuangan sebuah perkahwinan yang telah dibina.
Masalah yang dihadapi isteri tidak boleh dipandang ringan, malah memerlukan rawatan segera untuk sembuh. Kehadiran suami amat diharapkan isteri bila menempuh saat getir sebegini, bukannya menambah masalah dengan ugut hendak bercerai.
Isteri Takut Bersama
Vaginismus atau sindrom faraj terkunci sesungguhnya beri kesan terhadap rumah tangga. Dr Kash yang pakar dalam bidang ini berkongsi kisah pesakitnya yang membuatkan dia terkesan sehingga hari ini . Doanya, semoga lebih banyak rumah tangga yang boleh diselamatkan.
INFO:
Vaginismus merupakan masalah disfungsi seksual yang terjadi pada faraj wanita. Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan kondisi ini. Hal ini menyebabkan berlakunya kesukaran untuk menjalinkan hubungan seksual bersama pasangan.
Tergamak Suami Ugut Cerai
Kongsi Dr Kash di akaun TikTok nya, seorang pesakitnya sanggup datang dari Melaka ke Kelantan, memandu seorang diri untuk mendapat rawatan selama tiga hari. Tak dapat bayangkan bagaimana perasaan seorang isteri melalui ujian ini seorang diri tanpa suami.
@dr.kash_89Sindrom Faraj Terkunci , kesan terhadap rumahtangga. Antara kisah pesakit saya yang membuatkan saya terkesan sehingga hari ini . Semoga lebih byk rumahtangga yg boleh diselamatkan.♬ suara asli – sadvibes🥀
Vaginismus
Dr Kash yang bersimpati dengan nasib pesakit ini, bertanya mengapa suaminya tidak datang sekali.
Namun jawapannya cukup memilukan.
“ Saya terpaksa beranikan diri datang seorang diri. Suami langsung tak nak tahu keadaan saya. Suami beri tempoh dua bulan untuk saya sembuh. Kalau saya tak dapat sembuh, dia nekad nak lepaskan saya. Sya harap sangat doktor dapat bantu saya.
Bukan Titik Noktah Perkahwinan
Nasihat Dr Kash, kepada suami yang diuji di luar sana, Vaginismus bukanlah titik noktah sebuah perkahwinan tetapi ia adalah permulaan perjuangan sebuah perkahwinan yang telah dibina. Ini adalah bentuk ujian dari Allah yang menguji kesetiaan seorang suami.
Ads
Sebaiknya seorang suami, bantulah isteri agar tidak melalui ujian seperti ini seorang diri. Sokongan dan kesabaran suami yang tidak berbelah bahagi kepada isteri hingga berjaya sembuh adalag kenangan berharga yang akan diingati isteri seumur hidupnya.
Netizen rata-ratanya mendoakan kesembuhan buat wanita dan ada juga meminta wanita ini untuk tinggalkan suaminya yang tidak cuba memahami masalah yang sedang dihadapi.
Mingguan Wanita: Vaginismus adalah masalah tidak mampu melakukan hubungan intim dengan pasangan yang berpunca daripada perasaan takut. Jangan biarkan masalah ini mengganggu anda, berjumpalah doktor dan dapatkan rawatan.
Assalamualaikum puan. Sebenarnya masalah yang saya ingin kongsi ini adalah berkenaan dengan sahabat baik saya, M, yang relakan dirinya ‘disimpan’ lelaki kaya demi menanggung kekasihnya. Manakala kenali saya sebagai K.
Saya dan M sebaya, berasal dari satu kampung, di sebuah negeri di pantai timur. Kami mula rapat sejak di tingkatan dua. Mak M dah lama meninggal dunia, sejak usianya 10 tahun dan dia dijaga oleh ayahnya. Sebelum menduduki SPM, ayahnya pula meninggal dunia akibat kemalangan maka M hilang tempat bergantung.
Yatim Piatu
Sebenarnya M seorang pelajar yang cemerlang namun kematian ayahnya memberi impak besar pada dirinya hingga dia tiada lagi semangat untuk berjaya. Saya tahu segala kisah suka dukanya dan menjadi tempatnya meluahkan perasaan. Keluarga saya juga banyak membantunya, mana yang kami termampu.
Dipendekkan cerita, selepas SPM, saya melanjutkan pelajaran di sebuah kolej manakala M tidak menyambung pelajarannya. Hubungan kami renggang kerana masing-masing membawa haluan sendiri.
Kami jarang jumpa kerana dia sudah tak balik ke kampung sejak bekerja. Universiti tempat saya belajar pula berlainan dengan negeri tempatnya bekerja. Hanya sesekali kami berbual menerusi telefon kerana M tak ada FB atau IG.
Kembali Rapat
Selepas tamat pelajaran, saya mendapat pekerjaan di sebuah syarikat di KL dan meminta pertolongan M yang memang tinggal di sana. Dia yang carikan rumah sewa untuk saya. Pernah saya tanya, tak bolehkah saya menyewa bersamanya, tapi dia memberi alasan dia tinggal di nurseri tempatnya bekerja.
Jika ada masa terluang, kami akan keluar bersama dan biasanya M yang akan datang ambil saya di rumah dengan kereta miliknya. Hairan juga saya kerana melihatkan kereta yang M pakai bukan murah, kereta jenama luar negara. Takkan dengan gaji guru tadika dia boleh pakai kereta sebegitu? Tapi saya bersangka baik, mungkin dia ada kerja sampingan lain.
Kekasih M
Satu hari saya diperkenalkan dengan seorang lelaki yang merupakan kekasih M. Orangnya memang handsome tapi kali pertama bersua, saya tidak menyukai lelaki itu. Saya dapat rasakan dia tidak ikhlas terhadap M. Pandangan matanya juga menakutkan saya. Tapi saya dapat rasakan M benar-benar sayangkan lelaki itu.
Pada satu kesempatan, saya mengajak M bermalam di rumah sewa kerana kebetulan waktu itu tiga rakan serumah pulang kampung. Ketika itu saya cuba selidik tentang teman lelaki M. Dia mengakui, lelaki itu sangat dicintainya dan dia sanggup berkorban apa demi lelaki itu. Malah, kepada lelaki itulah yang diserahkan kehormatan dirinya. Terperanjat besar saya dibuatnya. Tak sangka M sejauh itu.
Tanggung
Lebih membuat saya terkejut, M mengakui, dia yang menanggung teman lelakinya itu yang masih belajar di sebuah kolej swasta. Paling membuat saya tak percaya, M mengaku demi untuk mendapatkan wang lebih, dia sanggup menjadi perempuan simpanan kepada seorang lelaki kaya kerana ingin memberikan kemewahan kepada teman lelakinya itu! Mengucap panjang saya mendengarnya.
Sebagai sahabat, saya hanya mampu menasihati tapi saya tak mahu terlalu berkeras dengannya kerana cara itu akan membuatkan dia lagi jauh daripada saya.
Puan, saya sayangkan M dan anggap dia seperti adik-beradik kandung. Saya kasihankan dia yang sanggup merosakkan diri kerana seorang lelaki yang tak ikhlas cintakan dia. Saya berani katakan begitu kerana dalam diam, teman lelaki M pernah cuba menggoda saya!
Saya juga risau kalau lelaki kaya yang membela M tahu akan tembelang M, sesuatu yang buruk akan terjadi pada M pula. Bagaimana caranya saya boleh lakukan untuk membantu sahabat saya ini keluar daripada maksiat itu dan menyedarkan dia bahawa teman lelakinya itu hanya mempergunakan dia demi duit saja? Nak berkongsi dengan mak ayah saya, takut merek tak dapat terima keadaan M dan mungkin akan minta saya jauhi M pula…
Cik K, Putrajaya.
Jawapan:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Saudari adalah antara orang yang memelihara hubungan dalam persahabatan. Malah persahabatan yang saudari jalinkan sejak kecil hingga menganggapnya seperti adik beradik sendiri adalah tindakan yang mulia. Saya memahami bagaimana saudari mahu agar sahabat saudari kembali ke pangkal jalan, tidak lagi bergelumang dengan dosa dan membiarkan diri dipermainkan lelaki.
Untuk membawa insan lain ke jalan yang diredai Allah bukan suatu yang mudah. Sebagai insan yang ingin membantu insan lain, saudari hanya berusaha, yang akan menentukan dia berubah adalah hidayah dari Allah. Maka, kesabaran perlu ada untuk membawa insan lain kembali ke jalan yang diredai. Mungkin beberapa tip ini boleh membantu saudari untuk membantu rakan saudari.
Pendekatan
Pertama, anggap saudari membantunya sebagai ikhtiar untuk dia berubah, hanya Allah yang mampu mengubahnya dengan usaha saudari dan usahanya sendiri.
Kedua, dekatinya dengan santun. Dengar apa yang diluahkan. Saudari boleh jadi pendengar yang setia. Cuba lihat adakah cara berceritanya ada sedikit penyesalan tetapi tidak tahu nak atasi macam mana atau berbicara itu tanpa ada menyesal pun dengan apa yang dilakukannya.
Cara mendekatinya mungkin sedikit berbeza. Jika tidak nampak bunga-bunga penyesalan, cara dekatinya agak berbeza. Pendekatan saudari perlu dengan cara tanya persoalan-persoalan tentang erti kehidupan, biar dia menjawab soalan itu. Nasihat tidak sangat memberi kesan.
Persoalan Dan Jawapan
Beberapa soalan yang boleh tanya bergantung kepada dua keadaan yang saya nyatakan di atas. Antara soalan-soalan yang jika dia tidak nampak rasa penyesalan boleh ditanya seperti berikut:
1. Apa tujuan hidup kita?
2. Kenapa kita dilahirkan?
3. Ke mana destinasi akhir kita?
4. Adakah apa yang M lakukan itu diterima Allah? Diredai oleh ibu bapa M yang telah mati?
5. Bagaimana ibu bapanya yang telah mati. Adakah jika mereka hidup mereka suka cara hidup M begitu?
6. Bayangkan jika M jadi ibu dan anak M jadi seperti M sekarang, apakah yang M rasa?
7. Dan beberapa persoalan yang saudari rasa sesuai ditanya yang boleh menimbulkan kesedaran kepadanya untuk kembali ke jalan Allah.
Beri masa dan ruang padanya untuk menjawab soalan-soalan itu. Malah jika ditulis adalah lebih baik. Jawapannya mesti ikhlas datang daripadanya.
Jika nampak ada sedikit penyesalan dan dia mahu berubah, tetapi buntu bagaimana ingin berubah maka antara soalan-soalan yang boleh ditanya:
1. M benar-benar mencintai K (katakan kekasihnya). Adakah K setia padanya? Jika ditakdirkan K menjadikan orang lain dalam hidupnya apa M akan buat?
2. M sedar atau tidak bahawa K hanya mengambil kesempatan terhadapnya?
3. Sampai bila M akan berterusan begitu. Jika K2 (orang kaya yang menyaranya) dapat tahu apa agaknya akan berlaku?
4. M mahu berubah atau tidak daripada cara hidupnya sekarang? Mengikuti cara hidup yang lebih baik mengikut landasan agama? Jika jawapannya Ya, maka saudari perlu pandu soalan-soalan bagaimana atau apa langkah-langkah yang dia perlu buat.
5. Jika masih belum bersedia, tanyakan soalan-soalan yang boleh menyedarkan dirinya bahawa apa yang dilakukan sebenarnya amat merugikan dirinya.
Ingatkan Dia Tentang Solat…
Dekati dia dengan santun dan sering ambil berat terhadapnya. Perlahan-lahan beri dia ilmu keagamaan yang membawanya kepada kehidupan sebenar. Selalu hadiahkan sesuatu, walaupun kecil tetapi tanda ingatan. Selepas hadiah berbentuk ini, hadiahkan buku agama, telekung dan sejadah agar tanda saudari menyayanginya kerana Allah.
Bila saudari bersamanya, sedaya mungkin cuba ajak dia solat sekali, membaca ayat-ayat Allah mana yang dia tahu. Sering ingatkan dia tentang solat. Jika mampu sering ingatkan dia jangan tinggal solat. Walau buat maksiat pun sekali-kali jangan tinggal solat, yang ini selalu memperingatkan dia. Jika dia berkata, “aku buat maksiat, buat apa solat, Allah tentu tak terima”. Katakan bahawa Allah itu Maha Pengasih..Maha Pengampun…solatlah walaupun bergelumang dengan dosa. Itu pesanan yang saudari berikan padanya. JANGAN TINGGAL SOLAT.
Mohon Pertolongan Allah
Seterusnya, sering-seringlah menghantar artikel atau kata-kata melalui whatsapp yang mengajak kepada kebaikan dan kehidupan yang diredai Allah. Berbicara yang paling baik dengannya tentang erti kehidupan yang sebenar dan diredai Allah. Teruskan mengajaknya kepada kebaikan.
Saudari sendiri perlu banyakkan solat memohon Allah mengampunkan dosanya. Dan saudari perlu yakin bahawa Allah akan bantu saudari untuk membantunya jika saudari juga kuat solat dan selalu berdoa agar Allah lembutkan hatinya dan membawanya pulang ke jalan yang diredai Allah.
Moga sedikit panduan ini dan kegigihan saudari membantu membawanya pulang ke jalan Allah diperkenankan Allah.
** Persoalan ini telah dijawab oleh Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor dan Penulis Bebas, juga penulis tetap ruangan Ya Tuhan di dalam majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Peristiwa pembunuhan kejam ini pasti diingati sampai bila-bila. Biarpun tiada pertalian darah, namun bagi siapa yang mengikuti perkembangan kes ini pasti turut merasa sedih atas apa yang berlaku. Apatah lagi ahli keluarga.
Selepas lima bulan peristiwa hitam ini berlaku, keluarga ini sekali lagi diuji apabila ibu Siti Nur Surya pula meninggal dunia. Selepas lima bulan ibunya pula menyusul, dikatakan kesihatan ibunya memang makin merosot sejak ketiadaan Siti Nur Surya.
Selepas Lima Bulan Ibu Menyusul
Ibu kepada Allahyarham Siti Nur Surya Ismail, 19, yang dibunuh dengan kejam oleh rakan di kediamannya di Kampung Lubok Batu, Telemong, Hulu Terengganu, November tahun lalu meninggal dunia, Jumaat lalu.
Zaini Musa, 56, yang menghidap kanser otak menghembus nafas terakhir ketika sedang dimandikan dua anaknya di Kampung Beladau Kepong, di sini, jam 2.30 petang.
Suaminya, Ismail Muda, 59, berkata, ketika arwah menghembuskan nafas terakhir, dia berada di Jerantut, Pahang kerana urusan kerja.
Kesihatan Makin Merosot Sejak Ketiadaan Siti Nur Surya
“Sebaik anak menghubungi memberitahu ibunya sudah tiada, saya segera bertolak pulang.
“Arwah pergi (meninggal dunia) sangat mudah dan segala urusan pengebumian berjalan lancar. Semua urusan selesai selepas Isyak,” katanya ketika ditemui di rumah bapanya, hari ini.
Ismail berkata, jenazah isteri disemadikan berhampiran dengan kubur Siti Nur Surya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Beladau Selat, kira-kira 300 meter dari rumahnya.
Menurutnya, sejak pemergian Siti Nur Surya pada awal November tahun lalu, kesihatan wanita itu dikatakan semakin merosot dan lemah.
Terkilan Tiada Di Sisi
Katanya, sejak peristiwa menyayat hati itu, dia sentiasa di sisi arwah isteri dan tidak pernah meninggalkan wanita itu sendirian.
Ismail berkata, pada hari pemergian arwah, dia terpaksa menguruskan kerja di Jerantut dan terkilan arwah meninggal dunia ketika dia tiada di sisi.
Menurutnya, sehingga kini dia tidak mampu pulang ke kediaman di Kampung Lubok Batu, Telemong.
“Sejak kejadian itu, kami masih lagi tidak pulang ke rumah. Rumah itu banyak kenangan, lagi pun peristiwa itu masih segar diingatan walaupun sudah lebih lima bulan berlalu.
“Saya akan terus tinggal di sini untuk menjaga bapa yang sudah uzur manakala, anak bongsu saya, Siti Nurliyana Syuhada juga sudah berpindah ke sekolah baru yang dekat dengan kawasan rumah,” katanya.
MW: MW merakamkan ucapan takziah kepada keluarga arwah. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosanya dan menempatkan dirinya di kalangan orang beriman. Amin. Al-Fatihah.
Kesan pandemik C19, ramai gaji dipotong atau dibuang kerja. Boleh buntu juga sekejap. Namun, ada berita baik untuk para wanita B40 & M40. Mingguan Wanita prihatin dengan nasib menimpa anda dan susulan itu, kami menjemput semua untuk menyertai group Telegram Bangkit Wanita MW sebagai platform untuk mendapatkan info niaga, promosi kursus, tip berbisnes, perkongsian usahawan yang memberi inspirsasi dan lain-lain. Klik link ini untuk menyertainya: https://t.me/bangkitwanitaMW
Selepas penganjuran Webinar Bangkit Wanita #bisnesdarirumah, Mingguan Wanita menerusi kempen Bangkit Wanita, membuka pendaftaran kepada kursus latihan praktikal jangka pendek.
Kursus-kursus akan bermula hujung Mei hingga Ogos ini dan kemuncak kepada kempen ini ialah penganjuran Konvensyen Inspirasi CEO Bisnes Viral. Kursus latihan yang ditawarkan akan berlangsung selama sehari setiap satu dan orang ramai khasnya wanita B40 dan M40 boleh memilih kursus yang diminati.
Apa yang menarik kursus ini memang direka khas untuk mereka yang mahu berniaga sebaik tamat latihan asas kemahiran ini. Sejumlah tujuh kursus asas latihan praktikal dan demo dibuka untuk penyertaan merangkumi sektor makanan, pengurusan, busines kedai online, jahitan dan perkhidmatan.
Nak Jadi Usahawan Viral, Ini Pilihan Antara Kursus Kemahiran Untuk Wanita B40 & M40
Buat Aneka Kuih Frozen. Confirm sedap, laku keras. Dibuka dalam dua pilihan tarikh iaitu pada 10 Julai dan 24 Jukai 2021. Peserta diberi tunjuk ajur menyediakan beberapa jenis makanan sejuk beku yang laris di pasraan seperti donut, samosa, pizza dan banyak lagi. Sila klik pautan ini untuk pendaftaran //toko.ideaktiv.com/product/buat-aneka-kuih-frozen-confirm-sedap-laku-keras/
Wajib Join, Latihan Penyediaan Makanan. Ambil tahu dos and don’ts pada 25 Mei dan 19 Ogos. Peserta boleh memilih salah satu sesi yang diadakan pada tarikh tersebut. Kursus ini banyak membantu peserta yang terlibat dalam perniagaan makanan mengetahui perkara-perkara yang harus dielakkan semasa menyediakan makanan untuk pelanggan. Sila klik pautan ini untuk pendaftaran //toko.ideaktiv.com/product/wajib-join-latihan-penyediaan-makanan/
Sebenarnya, isteri ini taklah minta suami dia puji hari-hari. Cuma, bila isteri beri ‘hint’ pada suami apa benda best dah dia buat dekat rumah tu, suami ringankanlah mulut untuk beri pujian pada isteri.
Sebab terbukti dah, suami yang tak lokek nak puji isteri sendiri, akan lebih bahagia dan tenang. Bayangkan, bila isteri rasa bahagia, dia pun akan menghargai suaminya sama. Rasa dirinya itu, penting dalam hidup suami.
Cuba hadamkan apa yang dikongsikan Hilmi Jailani ini. Simple saja kisahnya, tentang pujian suami untuk isteri. Tapi deep untuk difikirkan.
Pujian Kecil Pun Boleh Buat Hati Isteri Berbunga-bunga
Satu hari puan isteri tanya saya,
“Abang! Mandi tadi ada nampak lain tak bilik air?”
Saya pun cepat-cepat kilas.
“Ha’ah laaa. Abang baru nak tanya. Berkilat lain macam. Sayang basuh ke?”
“Yerr, tadi waktu anak tidur, sempat sayang gonyoh dinding tu.”
Allahh. Mujurlah betul tekaan saya. Sebenarnya, saya taklah perasan mana masa mandi tu. “Baiknya isteri abang ni. Tak penat tiap hari tolong abang kemas rumah. Sudahlah cantik, rajin pulak tu. Terima kasih sayang!”
Terus senyum berbunga hati si isteri.
Sejujurnya, majoriti lelaki ni payah nak aware benda-benda gini. Dia nak mandi, dia mandi je. Takde nak tilik bilik air ada berubah pape ke. Yang dia tahu, sabun ada, berus gigi ada, dah cukup bagi dia.
Jadi, saya merayu pada kaum isteri, beri saja hint pada si suami.
Contohnya,
“Abang, rajin dak sayang harini?”
“Abang tahu tak, dalam segunung kain sayang lipat tadi, spender abang paling banyak.”
“Seronok anak-anak join saya mop lantai hari ni.”
Barulah si suami perasan dan kalian mendapat “makanan” jiwa yang cukup.
Suami, Jangan Cuma Puji Dalam Hati..
Lelaki pulak, jangan buat dekk je bila isteri bagi hint gitu. Tak cool pun kalau puji dalam hati. Ingat, nafkah batin ni bukan takat seks sahaja. Puji, bermanja, dan gurau senda itu semua makanan yang sangat penting bagi pasangan.
Maksud saya, ia sama pentingnya dengan nasi yang beri tenaga setiap hari. Jangan biarkan pasangan kita lapar santapan jiwa hat ni.
Sebab kajian menunjukkan, salah satu keinginan manusia yang paling tinggi ialah
“The feeling of importance!”
Jadi, nak tarik perhatian dia, nak suruh dia sayang kita, bagi mereka rasa yang ini – rasa mereka itu “penting” buat kita.
Caranya mudah, sentiasalah puji. Suami puji isteri dan isteri puji suami. Walaupun sekecil-kecil perkara, kita perbesarkan bagi mereka gembira.
Lagipun benda puji ni, bukan kena bayar pun. Kalau yang bayar tu, nama dia pulut dakap.
MW : Dalam rumah tangga ini kena ada semua ini, saling menghargai pasangan. Barulah hati tu jadi tenang dan tak memendam rasa.
Sumber/Foto : Hilmi Jailani*Artikel diterbitkan dengan keizinan daripada penulis.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Cikgu Neermala banggakan nama Malaysia, menang guru terbaik 2024 anugerah pendidikan Asia di Bangkok. 19 tahun mencurah bakti dalam bidang pendidikan, guru prasekolah Malaysia,...