Hidup zaman sekarang, kebanyakan isteri dah pandai cari duit poket sendiri. Jadi patutnya suami tahu menghargai penat lelah isteri. Kalau pun tak keluar bekerja, isteri tahu buat bisnes untuk kurangkan bebankan suami. Bukan sekadar cari duit, bab uruskan anak-anak pun tak lepas.
Haaa… agak-agak kenapa ada lagi kes suami yang cuma tahu gali kekurangan isteri?
Sebenarnya bagi kaum isteri ni, dia tak kisah pun penat kejap tapi dia nak suami tahu hargai apa yang dia dah korbankan sepanjang hidup bersama. Itu paling penting.
Malah ada sesetengah isteri rela hidup berjauhan dengan suami sebab memahami keadaan yang suami kena keluar mencari rezeki di mana-mana. Nak gali lagi tentang pengorbanan seorang isteri, baca pekongsian saudara Amir Syahir…
Menjadi isteri solehah pasti menjadi impian setiap wanita. Mencintai dan dicintai oleh seorang lelaki yang bernama suami. Saat akad nikah dilafazkan, syurga seorang isteri telah beralih daripada ibu kepada suami.
Seluruh hidup si isteri hanya untuk suami tercinta. Berjanji sehidup semati dan setia hingga hujung nyawa. Si isteri meninggalkan keluarga tercinta demi cintanya pada suami yang dinikahi.
Si isteri memasak, membasuh, mengemas tanpa pernah mengeluh sedikitpun. Dia tidak pernah meminta hadiah mahal untuk penat lelahnya. Melihat suami tersenyum riang sudah cukup membuat dia gembira.
40 minggu mengandungkan zuriat suami yang dicintai. Walaupun badannya letih dan penat, dia tidak pernah kisah. Naluri keibuannya begitu tinggi. Tiba masa si kecil menjenguk dunia, si isteri bertarung nyawa. Antara hidup dan mati melahirkan zuriat yang dikasihi. Saat menatap wajah comel si kecil, hilang segala sakit yang dirasai. Hanya air mata dan senyuman mampu menceritakan segalanya.
Namun, ada suami yang tidak tahu menghargai isteri yang telah banyak berkorban buat dirinya. Sedikit kesalahan si isteri begitu besar di matanya. Adakalanya dengan rakan-rakan, dia boleh bergaul mesra, memuji sana sini. Tetapi dengan si isteri?
Hargailah isteri korang. Walaupun banyak kekurangannya, terimalah dia seadanya. Dia cuma manusia biasa. Bersyukurlah kerana dia menerima kau sebagai suami sehidup semati. Sedikit kesalahan yang dilakukan isteri, tegurlah sebaik-baiknya.
Dia tak minta kemewahan dan harta benda yang menggunung tetapi perhatian dan kasih sayang korang.
Jangan menengking atau bermasam muka. Sesungguhnya dialah jodoh yang terbaik daripada Allah buat korang. Bukan wang berjuta menjadi dambaannya, cukuplah cinta dan setia seorang suami sehingga hujung nyawa.