Isteri tabah jaga suami lumpuh, meski derita sakit saraf tunjang kronik. Ketabahan dan pengorbanan seorang isteri, Norzalina Zakaria, 43 menjaga suaminya lumpuh separuh badan sangat menyentuh perasaan.
Biarpun dirinya sendiri tidak sihat kerana mengidap saraf tunjang kronik selepas terlibat kemalangan jalan raya pada tahun 2007, dengan rasa cinta sepenuhnya, dia setia menjaga suami, Mohd Nazri Mohd Zain, 40 yang lumpuh separuh badan selepas terjatuh dari bangunan pada ketinggian lima meter ketika melakukan kerja memasang penghawa dingin 10 tahun lalu.
Berkongsi kisahnya bersama Mingguan Wanita, mesra disapa Lin, meski diuji saraf tunjang kronik hingga perlu minum susu menggunakan tiub, dia akui pertolongan Allah sentiasa bersamanya dalam menguruskan semua keperluan suami.
“Saya sendiri tidak tahu dari mana datangnya kekuatan tenaga untuk mengangkat suami setiap hari baik ketika mahu memandikannya atau ketika suami perlu ke hospital untuk rawatan kesihatannya. Alhamdulillah, saya mampu menguruskan keperluan suami setiap hari.
“Tubuh suami sudah agak melengkung sebenarnya. Jadi saya memang kena angkat dirinya sekitar berat hampir 50kg kerana suami tak mampu berdiri lagi, tidak seperti pesakit lumpuh lain.
Kisah cintanya dan suami umpama fairy tales. Dia jatuh cinta ketika pandang pertama dan nekad melamar suami sebagai teman hidup biar pun ketika itu sudah ada lelaki yang mengajaknya berkahwin.
Bagai takdir yang tertulis buat mereka berdua, Lin melamar Nazri yang ketika itu sudah pun lumpuh separuh badan dan hanya mengharapkan duit bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Ketika bekerja sebagai Pengerusi Pasukan Sokongan Rehabilitasi Hospital Sungai Buloh, saya bertemu Nazri. Saya lamar dirinya asbab mahu menghalalkan ketika menguruskan dirinya yang terlantar. Dia sendiri terkejut.
“Asbab perkahwinan kami ini juga, lelaki yang ajak saya berkahwin banyak membantu menguruskan perkahwinan kami termasuk tolong belikan cincin, urusan nikah dan sebagainya. Dan dengan izin Allah juga, kami suami isteri jadi kawan baik kepada sahabat ini tadi.
Mengimbas kisah lalu itu, kata Lin, selepas terlibat kemalangan jalan raya pada 2007, dirinya disahkan separa lumpuh selama tujuh tahun.
“Keluarga sukar menerima keadaan saya selepas kemalangan hingga ada kisah sedih di dalamnya. Ini termasuklah tidak dizinkan membuat pembedahan tulang belakang kerana takut cacat selama-lamanya. Tapi kesakitan yang saya lalui akibat tulang asyik tercucuk buat saya nekad. Alhamdulillah pertolongan Allah itu mampu pulih semula dan mampu berjalan seperti hari ini.
Selepas pulih dari titik gelap kehidupannya itulah, dirinya memberi khidmat fisioterapi dan motivasi di hospital kepada pesakit senasib yang diuji, tempat dia bertemu cinta hatinya.
“Asbab perkahwinan kami, hubungan saya dan keluarga yang sebelum ini tidak rapat kembali baik semula di mana emak amat menyayangi Nazri.
Tidak hanya diuji suami lumpuh tetapi di Rumah Harapan Nur Aafiyah yang ditubuhkan mereka untuk pesakit lumpuh, Norzalina turut menjaga neneknya yang berusia 92 tahun dan perlu dibantu sepenuhnya.
“Tinggal bersama kami makcik berusia 63 tahun yang disahkan autism. Tidak mudah melalui semua itu dengan masalah saraf tunjang kronik yang saya hidapinya tapi selagi ada nafas, selagi di bumi Allah hidup perlu diteruskan juga.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :- Lepas 5 Bulan Bernikah Suami Lumpuh Dan Buta Akibat Buah Pinggang Bocor, Sebak Bila Baca Permintaannya Pada Isteri..
5 Tahun Jaga Suami Lumpuh Hingga Boleh Berjalan, Pengorbanan Isteri Berakhir Di Mahkamah Syariah
Suami Lumpuh, Anak 16 Berderet, Hebatnya Mak Sekolahkan Semua Sampai Universiti
“Ada masa saya akan menangis sendiri. Melepaskan lelah dan kepenatan menguruskan semua ini tapi saya percaya ganjaran di akhirat adalah segala-galanya.
Norazlina akui dirinya sendiri tak terlepas dari ujian termasuk soal kesihatan mentalnya. Ini termasuklah anxiety tapi dia berjaya keluar darinya kerana masih ada iman di dada.
Bersuamikan Nazri, ia tidaklah sesusah menguruskan keperluan lelaki dicintainya itu kecuali keterbatasan kewangan sahaja tidak boleh bergerak keluar bekerja seperti orang lain di luar. Bahkan kata Norzalina, suaminya bukan terbaring sepenuhnya tapi juga bekerja.
“Hasil fisioterapi setiap hari, suami yang dahulunya tak mampu pegang sebiji cawan kini sudah mampu mengasingkan cooper timah dari barangan rosak diberikan orang kepada kami.
“Alhamdulillah, itulah rezeki kami sehari-hari hasil jualan barang terpakai. Kesihatan suami juga ada kala merosot dan bukan setiap hari sihat. Tapi jika dulu tiada sebarang rasa akibat lumpuh tapi kini Allah hadirkan rasa sakit itu kepadanya ketika kulitnya tersiat saat dia mengasingkan cooper timah.
“Suami juga amat memahami dan sentiasa memudahkan saya. Katanya tak perlu masak untuknya dan kami hanya membeli untuk makan minum nenek dan ibu saudara. Biasanya beli sedikit dan kemudian disejuk bekukan.
Bahkan saat ini, suaminya yang pernah membuang ketumbuhan di saraf tunjangnya pada 2023, kembali menderitai masalah sama kerana tumor kembali tumbuh dan menghimpit saraf di bahagian C4, C5 dan C6nya.
Doakanlah saya kuat untuk kami bersama-sama mengharungi ujian ini,”katanya yang dihubungi.
Saksikan vodcast Mingguan Wanita bersama Norzalina dan suami dalam masa terdekat nanti. Ada banyak yang dikongsikan wanita hebat ini sebagai panduan wanita di luar sana.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE