Sakit telinga nak dengar isteri suka membebel tetapi ketahuilah itu cara seorang mak-mak mengurangkan rasa risau dia pada orang yang dia sayang dan sedikit sebanyak boleh hilangkan penat emosinya sebab berjaya meluah!
Haa… Nak lagi dekat, hadam perkongsian Puan Salwa Mohd Saleh ini. Mungkin suami akan serasi dan lama-lama boleh menjiwai jiwa isteri yang suka membebel tanpa rasa sakit hati.
6 Sebab Kenapa Kalau Isteri Membebel, Suami Elok Layankan Sahaja
1. Dia sebenarnya nak lepaskan penat sahaja. Memang lah asal kejadian dia tu sedia penat. Dan mungkin logik suami, kalau berleter akan tambah penat. Tettttt. Salah. Bila dia bercakap tu seolah melepaskan api-api dan serpihan bom atom dalam jiwa raga dan memuntahkannya supaya tidak meletus seperti Gunung Merapi atau tidak mencetuskan peperangan. Tapi seriously, kalau suami-suami mesti lagi tahan kene leter daripada isteri bagi perang dingin tak bercakap seminggu, kan? kan?
2. Perempuan bukan setakat ada hormon progesterone, hormon estorogen, hormon testosteron, dehidroepiandrosteron, tapi paling banyak hormon SINETRON sebenarnya. Drama tu bukan saja dibuat-buat, tak. Memang alami. Contoh, suami pakai kan baju anak yang tak match atau pakaikan baju siang untuk tidur, memang menempah lah. Kecik perkara tu bagi suami, belum tentu kecik bagi isteri. Silap-silap besar kecik besar kecik je dia nampak. Jadi tahu la pasangan anda sendiri untuk elakkan leteran terjadi.
Ads
3. Dia berleter pasal satu-satu perkara tu sebab dia CARE. Tak ada makna dia nak leter kat pakcik guard sekolah anak atau jiran hujung lorong atau mak sedara kepada adik susuan bekas anak angkat sepupu dia. Dia leter pada orang yang dia CINTA dan PERCAYA dengan harapan leteran tu sampai ke hati penerima. Contoh: Dia cakap stokin pun tak reti masukkan dalam mesin, tu sebab dia tak mahu nanti suami dia pergi kerja takde stokin dan gelabah nak mencari. Haaa, dapat tak?
4. Daripada dia kutuk atau cerita pasal keburukan atau tak enak nya hal keluarga kat orang lain, biar lah dia membebel pada suami. Tadah aje la. Cuba bayangkan kekecewaan dia tu dia tak cerita kat suami tapi dia canang satu taman perumahan atau dia whatsapp kat kengkawan? Tak ke lagi haru? Biar la dia nk cerita apa pun, dengarkan aja. Sekurang-kurangnya dia tahu ada bahu tempat dia nk gossip-gossip dan bebaskan rasa tak best dalam hati dia.
Ads
5. Kalau dia 0.04 saat yang lepas muka manis kemudian tetiba bertukar menjadi mak ko hijo, jangan pelik. Sindrom mood swing ini sangatlah tidak perlu di hairankan. Terutama kalau lepas tengok drama atau cerita hindustan. Dia sedang menjiwai watak. Kalau anda bijak, time-time ada cerita yang cintan cintun romantik tu, ajak la dia keluar rumah beli barang dapur ke, kalau time magrib tu ajak jemaah ke. Jadi akan mengurangkan pening kepala anda bila dia expect anda pun romantik macam aktor dalam drama!
6. Isteri ni membebel pun kerja tetap jalan. Sambil mulut dia jalan tu, tangan pun jalan sekali. Nak tinggikan kebarangkalian untuk leteran diberhentikan, sinsing baju lengan tu, tolong sama. In sya Allah, gear 5 tukar ke gear 2. kemudian dia akan parking baik punya.
Ads
Tak Ada Yang Sempurna Tapi Ini Bahagia
Apa pun rumah mana tak dilanda semak. Dapur mana kadang-kadang tak berasap. Awal mungkin sweet lama-lama jadi sweet sour.
Hahahahahaha…
Jadi pepandai la adjust ye!
Okeh, akak rasa cukuplah leteran akak harini. Jangan kata akak tak payung!!!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Seorang anak tidak akan dapat memahami betapa kasihnya mak ayah pada anak sendiri, sehinggalah dia sendiri nanti bergelar seorang mak mahupun ayah.
Sebak membaca perkongsian yang dikongsikan oleh Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan ini. Perkongsian pengalaman kisah benar, betapa mendalamnya kasih sayang ayah dan inginkan segala yang terbaik buat anak, namun tidak dihargai dan dianggap ‘penyibuk’ pula bagi si anak.
Semoga perkongsian ini menjadi iktibar dan pengajaran buat kita.
Berikut perkongsian beliau;
Ibubapa ni kadang-kadang, sanggup buat apa sahaja untuk kita. Benda-benda yang kita rasa tak perlu pun mereka akan buat jika mereka rasa benda tu baik untuk kita.
Seorang lelaki berumur sekitar 50-an datang ke klinik dengan fail tebal. Saya sangka itu dokumen masalah kesihatan dia.
“Doktor, saya sebenarnya datang ni bukan sebab saya sakit” katanya.
Dia datang mohon kerja untuk anak dja. Anak dia tu ada diploma, dah 10 bulan graduasi, masih tak dapat kerja.
“Anak saya ni doktor, dia pemalu, tapi dia rajin dan buat kerja bagus. Dekat sekolah dulu, dia pelajar cemerlang. Ni sijil dia. Di kolej pun keputusan periksa dia cemerlang. Doktor, boleh tengok” katanya sambil hulur sijil-sijil anak dia.
Sambil dan belek. Resume tulisan tangan. Tulisan dia kemas betul. Ayatnya teratur, dan sopan. Semua dokumen lengkap. Ada surat sokongan ketua kampung.
Aku pasti itu bukan tulisan anak dia. Sama ada tulisan pakcik ni, atau isteri dia. Saya pasti kerana ejaannya gunakan ejaan orang lama.
“Doktor, ambil lah dia bekerja, ya.”
Aku ni dah lah cepat sebak kalau orang tua merayu macam ni. Terbayang pula si emak tulis resume tu dengan cermat. Aduh sedih pula. Rasa macam berair pula mata.
“Macam ni pakcik. Minta anak pakcik sendiri datang jumpa saya. Saya kena interview dia. Boleh tak dia datang Jumaat ni?” kata aku.
“Kejap ya, saya telefon anak saya sekejap” balasnya.
Bincang Tarikh Temuduga
Dia pun terus masa tu juga telefon. Memandang tak ada pesakit lain sedang menunggu, jadi saya pun tunggu sahajalah di telefon.
“Ayah ni! Tak payahlah malukan kita macam ni. Mana ada orang minta Ayah tolong carikan kerja!”
Itu apa yang aku dengar anak dia cakap. Pakcik ni diam sahaja dengar. Aku yang memang dah sedih ni, bila dengar macam tu, jadi pilu pula. Rasa macam tersiat hati.
“Anak saya tak pasti lagi boleh datang Jumaat ni atau tak” kata pakcik tu sebaik sahaja menamatkan panggilan.
“Tak apa. Nanti suruh anak telefon klinik untuk bincang tarikh interview” kata aku. Lepas tu pakcik tu pun minta diri.
Pada tarikh temuduga tu, sampai pukul 8 malam, tak muncul pun calon tadi. Jadi aku anggap tak jadilah calon tu nak datang. Lepas tengok pesakit terakhir, aku suruh tutup klinik, tiba-tiba pembantu klinik kata ada orang tengah tunggu nak jumpa saya.
Rupa-rupanya pakcik tadi dengan anaknya yang nak mohon kerja tu. Kalau ikutkan, malas nak buat temuduga waktu begini, tapi sebab fikirkan pakcik tu, aku teruskan juga.
Aku pun temudugalah budak tu. Tanya satu soalan, dia jawab sepatah dua. Tanya visi dia, dia jawab jawapan terlalu generik. Bila tanya jumlah gaji yang dia harapkan, dia sebut satu jumlah yang saya tak mampu bayar.
“Beginilah, saya cuma mampu beri awak gaji sebanyak RMX,XXX” kata aku.
Dia tak kata apa-apa. Jadi, saya tamatkan lah sesi temuduga tu. Dah selesai, saya pun bersiap-siap nak balik.
Masa keluar klinik, saya dengar budak tadi tengah marah ayah dia.
“Sebab tu orang kata, tak payahlah sibuk nak carikan kerja untuk orang! Gaji dia nak bagi ciput gila! Macam mana nak bayar PTPTN orang kalau banyak tu je! Lain kali tanyalah dulu gaji berapa!”
Minta Maaf Berulang Kali
Aku masuk balik dalam klinik. Sebab tak mahu teruskan dengar apa yang hendak dikata oleh budak tu. Terlalu pedih buat saya untuk lihat dan dengar.
Lepas budak tu dengan ayah dia beredar naik motor. Barulah aku keluar dari klinik. Hiba pula lihat mereka.
Apa yang lebih hiba, esoknya si ayah telefon klinik dan meminta maaf sebab anaknya cakap saya tawarkan gaji rendah. Rupanya si ayah perasan saya terdengar perbualan mereka sewaktu di luar klinik.
Berulang-ulang kali dia minta maaf.
Begitulah ibubapa kita. Sentiasa cuba untuk lakukan apa yang terbaik untuk kita. Sentiasa cuba menimbus aib kita yang kita sendiri buka. Sentiasa menutup mata atas kesalahan kita pada mereka.
Hargai lah usaha mereka, sayangilah mereka.
Kamarul Ariffin Nor Sadan
Anak
Semoga perkongsian ini bermanfaat. Buat yang bergelar anak,hargailah usaha dan pengorbanan mak ayah,sayangilah mereka jangan bila mereka telah tiada barulah penyesalan tidak bertepi.
Ada perempuan suka sangat pakai minyak wangi sebab nak bagi confident, tanpa berfikir apa kesannya pada orang sekeliling.
Dan ini kisah benar yang berlaku depan Ustaz Farid Rashidi, disebabkan bau yang wangi sampai menarik minat kaum lelaki. Kalau bayangkan ngeri juga kalau berada di tempat sunyi, takut kena ‘ngap’!
Haaa… lepas ini cuba berfikir dulu sebelum sembur minyak wangi di tubuh badan. Mendatangkan kebaikan atau keburukan. Jemput sentap bersama.
Salah Ke Pakai Minyak Wangi?
Sedang duduk di tempat awam, tiba-tiba lalu seorang wanita di hadapan. Apa yang berlaku?
Kebanyakan lelaki yang berada di situ tak kiralah melayukah atau banglakah semua berpaling melihat gelagat wanita itu. Melihat disebabkan tertarik dengan bau wangian yang kuat menusuk ke hidung lelaki-lelaki tadi.
Bila berlaku adegan itu, saya langsung teringat satu hadis bagaimana Rasulullah SAW berpesan agar wanita-wanita muslim beriman supaya tidak memakai wangian kuat kerana ia akan menarik perhatian kaum lelaki. Ia boleh menaikkan nafsu syahwat lelaki.
Alah macam renungan si kucing jantan melihat ikan. Hanya menungga masa untuk terkam saja.
Memang ramai wanita yang mengenakan minyak wangi kuat begitu. Sama ada mereka tak tahu, atau sengaja buat tak tahu ia tetaplah dilarang.
Menurut Alan Hirsch, MD Director of Chicago’s Smell and Taste Treatment and Research Foundation, dia berkata:
“Pleasant aromas can actually stimulate parts of the brain directly connected to sexual desire…”
Ya, memakai bau-bauan apalagi yang kuat dan menarik perhatian mampu merangsang syahwat lelaki.
Kerana itu memakai wangian (kuat) itu juga disebutkan sebagai wanita penzina. Allahhu Rabbi.
Rasa berdebar-debar tak bila baca? Maknanya kalian masih ada iman di dada.
Baik, dalil mengatakan perempuan yang mengenakan minyak wangi kuat itu sebagai penzina disebutkan di dalam hadis. Dalilnya:
Daripada Abu Musa al-Asy’ari r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Mana-mana wanita yang memakai harum-haruman, kemudian melintasi di hadapan satu kaum supaya mereka tercium bau harumannya, maka wanita itu adalah penzina.”
[Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4173 dan An-Nasa’ie, no.5126]
Imam al-Munawi r.a menyebutkan:
والمرأة إذا استعطرت فمرت بالمجلس فقد هيجت شهوة الرجال بعطرها وحملتهم على النظر إليها، فكل من ينظر إليها فقد زنا بعينه، ويحصل لها إثمٌ لأنها حملته على النظر إليها وشوشت قلبه، فإذن هي سببُ زناه بالعين، فهي أيضاً زانية
“dan perempuan jika mengenakan wangian lalu melewati satu majlis (yang padanya kaum lelaki) maka ia mampu menaikkan syahwat lelaki dan mendorong untuk memandang ke arahnya, maka setiap yang memandang ke arahnya, matanya telah melakukan zina. Perempuan itu mendapat dosa kerana telah memancing pandangan ke arahnya dan menjadikan hati lelaki tidak tenang. Ia juga adalah sebab berlakunya zina mata dan ia termasuk penzina.”
Justeru, hukum wanita yang memakai bau-bauan wangian harum semerbak itu haram sekiranya:
1. Memakai wangian haruman yang kuat baunya.
2. Memakai wangian haruman yang menarik perhatian (merangsang syahwat) lelaki ajnabi.
3. Memakainya di khalayak ramai termasuklah di tempat kerja yang ada percampuran kaum lelaki (tetap ditegah memakai wangian kuat di khalayak walaupun diizinkan suami).
4. Memakai wangian kuat walaupun untuk ke Masjid.
Imam Hajar al-Asqolani berkata:
“Apabila wanita keluar rumah memakai harum-haruman dan berhias, maka itu termasuk dosa besar sekalipun diizinkan suaminya.”
Bagi lelaki-lelaki yang melihat wanita tadi juga dikira berdosa dan termasuk dalam zina mata. Hah lelaki, sila jaga mata ya.
Dalilnya, sabda Rasulullah SAW:
“Setiap mata itu berzina dan seorang wanita apabila berwangi-wangian, kemudian melintas di hadapan, maka dia (seperti) berzina.”
Manakala untuk wanita yang berwangian dengan menggunakan haruman kuat untuk tujuan diperhiaskan kepada suami sahaja tak mengapa. Diharuskan. Malah digalakkan dan mendapat pahala asbab melayani suami.
Kesimpulannya, diharuskan wanita memakai wangi-wangian sekiranya:
1. Dipakai untuk perhiasan suami sahaja. Tak kisahlah yang berbau kuat atau tidak. Bukan apa, dapat juga menghilangkan bau bawang atau masakan. Biar senantiasa wangi, barulah harmoni.
2. Wangian yang sedikit untuk menghilangkan bau badan seperti deodorant, bedak, sabun wangi, losyen tidaklah termasuk dalam kategori yang dilarang.
3. Wangian yang dipakai ketika keluar rumah diharuskan yang baunya tidak kuat. Maksudnya jenis yang hanya bau untuk diri sendiri sahaja bila dipakai hingga tidak menyebabkan adanya tarikan syahwat. Caranya cuba calit di kulit, kalau baunya harum tak kuat tak apa. Tapi kalau calit, baunya kuat hingga orang tertarik itu yang diharamkan.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya wangian yang baik bagi lelaki adalah yang terzahir baunya dan tidak jelas warnanya dan wangian yang baik bagi wanita adalah yang terzahir warnanya dan tidak begitu kuat baunya.
[Hadis Riwayat at-Tirmizi, no.2788]
Begitu juga pandangan yang disebutkan oleh al-Imam Badruddin al-‘Aini rahimahullah:
وإنما كان خير طيب النساء هو اللون دون الريح لأن اللون يجعل الزينة لهن وأما الريح فإنه إذا فاح منهن يتأتى منه فساد، ويخاف عليهن من الفتنة
“Adapun sebaik-baik wangian bagi wanita adalah pada warnanya dan bukan pada baunya kerana pada warna itu dijadikan perhiasan bagi mereka manakala bau sesungguhnya jika tersebar baunya (kuat sehingga dapat dihidu baunya) akan datang padanya kerosakan dan takut ke atasnya tertimpa fitnah.”
[Kitab Nukhabu al-Afkar fi Tanqih Mabani al-Akhbar, 9/97]
Semoga perbincangan kali ini memberi pencerahan kepada kita semua.
Berpada-padalah memakai wangian, itu lebih dekat kepada ketakwaan. Takwa, bukan takua, tauhu atau taufu fah.
Tolong pesan pada saudara-mara, keluarga, sahabat handai dan rakan-rakan. Sharelah supaya semua orang dapat ambil manfaat bersama demi kebaikan dunia akhirat.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Assalamualaikum Puan. Saya berusia 34 tahun dan sudah lapan tahun berkahwin. Terus terang, wanita mana yang tak nak bergelar ibu, mengandung dan melahirkan zuriat sendiri. Namun, rezeki belum memihak pada saya. Walau pun ramai yang tuduh saya mandul tapi saya tak kisah asal bukan suami yang kata begitu.
Pelbagai usaha dah saya buat. Pergi berurut, makan jamu itu ini, bahkan jumpa doktor pun sudah. Itu semua saya lakukan selepas dua tahun berkahwin. Mengikut perubatan moden, doktor cakap saya tak ada apa-apa masalah. Jadi, saya anggap Allah belum nak bagi rezeki.
Dalam masa yang sama, suami tak pernah ikut saya menjalani apa-apa perubatan sama ada tradisional atau moden. Katanya, saya yang patut pergi berubat kerana saya yang akan mengandung, bukan dia. Lagi pula katanya, dia yakin dirinya subur kerana adik beradiknya ramai, lapan orang. Bahkan adik beradiknya yang dah berkahwin juga anak ramai. Hanya dia yang belum ada anak. Walau pun terkilan, tapi saya tak boleh buat apa.
Tahun berganti tahun, saya semakin reda dan serahkan pada rezeki kerana saya dah buat yang termampu. Namun dalam hati terkilan masih menebal kerana suami tak nak berusaha. Ajak buat IVF pun dia tak mahu. Jadi, apa lagi yang saya patut buat? Kenalah reda.
Keluarga Mentua Pandang Serong
Masuk tahun kelima, saya makin tertekan, bukan sebab suami saja, malah keluarganya juga. Mak mentua saya terutamanya, sering menyindir. Katanya saya yang tak boleh mengandung, bukan anaknya yang bermasalah!
Bayangkan perasaan saya ketika itu. Saya dah jumpa doktor dan doktor cakap saya memang tak ada masalah. Siapa kita nak menidakkan takdir? Saya mula kurang balik ke rumah keluarga suami kerana tak tahan asyik disindir lebih-lebih lagi kalau ada adik-beradik suami yang beranak baru.
Berubah Sikap
Saya tinggal berjiran dengan seorang ibu tunggal yang memiliki dua orang anak. Orangnya memang peramah dan sekejap saja kami rapat. Anak-anaknya juga rapat dengan saya dan suami. Kalau hari cuti, sering kali juga mereka ke rumah kami.
Saya tak tahu sebenarnya macam mana ia bermula. Tapi saya dapat rasakan perubahan pada suami. Kata orang, naluri isteri. Memang saya pun melayan anak-anak Z dengan baik tapi saya lihat suami melayan mereka teramat baik hinggakan pernah bawa budak berdua itu ke rumah ibu bapanya. Malah dia yang meminta dirinya dipanggil ‘papa’.
Mulanya saya tak kisah sangat kerana memikirkan mungkin dia ingin rasa seperti anak sendiri. Tapi saya dapat rasakan sesuatu di sebalik jelingan Z dan suami tiap kali bersua. Saya tak sedap hati.
.
Berpindah
Hinggalah Z tiba-tiba berpindah dan saya tak tahu. Balik kerja, tengok rumahnya sudah kosong. Bila tanya pada suami, dia hanya cakap tak tahu. Hairan juga kerana hubungan saya dan Z rapat juga, takkan soal pindah pun tak diberitahu? Saya cuba telefon pun tak dijawab.
Seminggu kemudian suami bekerja di luar kawasan dan saya tak syak apa-apa sehinggalah saya terlihat bil telefon suami. Biasanya saya tak ambil peduli tapi entah mengapa saya terlintas hati nak tengok? Banyak telefon ke satu nombor dan bila saya semak, itu nombor Z.
Berhari-hari saya tak boleh tidur memikirkan perkara itu, akhirnya saya tekad untuk berterus terang dengan suami. Walau pun pada mulanya suami menafikan, akhirnya dia mengaku yang dia sebenarnya sudah pun menikah dengan Z. Puan, Tuhan saja yang tahu hati saya ketika itu. Rasa marah, kecewa, tertipu, sedih – macam-macam berbaur di hati.
Kata suami, dia jatuh cinta dalam diam dan sepakat untuk berkahwin. Dia yakin akan mendapat zuriat bersama Z kerana yakin dirinya subur. Kata-kata terakhirnya mencabar ego saya sebagai wanita. Bermakna suami anggap saya mandul dan tak boleh berikan dia zuriat, sebab itu saya dimadukan dalam diam.
Minta Cerai
Puan, saya tak dapat terima dan minta cerai. Saya tak kisah orang kata saya mandul, tapi bila suami sendiri yang kata begitu, saya sangat sedih. Betul ke saya mandul atau dia yang mandul? Saya sudah pun membuat permohonan cerai dan akan naik mahkamah tak lama lagi. Suami masih memujuk saya untuk menarik balik permohonan. Puan, walau pun saya tekad cerai tapi saya masih sayangkan suami. Namun, hati saya sudah cukup terluka untuk terus bergelar isterinya. Saya juga rasa tertipu kerana suami sanggup bermain cinta dengan wanita yang saya anggap rakan di belakang saya.
Ida, KL
Jawapan Kaunselor:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Perkahwinan adalah alam perkongsian suami isteri. Ada pasangan yang boleh kongsikan kesemua aspek dalam kehidupan, seperti kewangan, minda, perasaan dan emosi, kasih sayang, saling memahami, setia, hormat, tidak menyakiti hati pasangan, menerima kekurangan pasangan, menghargai kelebihan pasangan dan sebagainya. Jika ini tercapai, ia merupakan tahap kebahagiaan yang ideal yang didambakan oleh pasangan, khusus buat isteri.
Namun perjalanan dalam perkahwinan tidak semudah yang diimpikan. Ada pasangan yang hanya boleh berkongsi sebahagian, ada yang hanya sedikit, ada yang sukar untuk berkongsi kerana ego yang tinggi dan sukar menerima pasangan seadanya.
Saya memahami perasaan puan tentang keinginan memiliki anak sendiri, namun Allah belum kurniakan. Ada pasangan yang saya lihat, telah berkahwin hampir 15 tahun, namun tidak dikurniakan anak. Suaminya ada wanita lain yang ingin dikahwini. Isterinya mohon untuk dilepaskan. Dia bersetuju untuk menceraikannya. Setelah idah, isterinya berkahwin lain dan setahun lepas itu dia dikurniakan anak dalam usia 35 tahun. Manakala bekas suaminya setelah usia kini hampir empat tahun berkahwin lain tetapi masih belum dikurniakan anak.
Perancangan Allah Yang Terbaik
Kadang-kadang perancangan Allah kita tidak tahu, yang mana perancangan-Nya adalah lebih baik daripada yang kita rancang. Memang sukar untuk puan menerima tuduhan suami setelah pemeriksaan dijalankan bahawa puan adalah sempurna.
Kini, puan telah pun mengambil keputusan untuk berpisah dengan suami. Jika puan sudah bertekad, adakah puan telah bersedia ke arah itu? Pun begitu, proses menunggu keputusan perceraian di mahkamah bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi jika suami enggan turun atau enggan melafazkan cerai di hadapan hakim.
Ego Lelaki
Apa yang suami lakukan tidak mustahil dilakukan oleh lelaki lain. Alasan itu boleh pelbagai. Keegoan suami juga adalah sesuatu yang normal kepada seorang lelaki yang bergelar suami. Sukarnya seorang lelaki menerima kenyataan bahawa dia adalah mandul, samalah seperti wanita tidak dapat menerima hakikat berpoligami, mungkin lebih lagi kerana keegoan seorang lelaki sememangnya begitu.
Sebab itulah jarang suami yang mahu membuat pemeriksaan sama ada dia normal atau tidak. Justeru, tidak perlu kita mempertikaikan siapa yang normal atau tidak. Reda dengan ketentuan Allah. Jika ditakdirkan puan berpisah dengannya, dan dia dikurniakan zuriat dengan wanita lain, Alhamdulillah, doakan yang terbaik untuk suami.
Jika ditakdirkan dia tidak mahu menceraikan puan dan dia memiliki anak dengan wanita lain, puan berdoalah agar puan juga dikurniakan anak seperti madu puan. Jika puan berjaya dalam proses tuntutan cerai, maka jalanilah kehidupan dengan lebih bermakna. Masa bercerai mungkin masing-masing boleh memikirkan apakah masing-masing mampu untuk hidup berasingan? Dan puan pula bersendirian?
Kahwin Lain
Pada masa ini tidak dinafikan puan mahu berpisah dengan suami kerana dia telah ada wanita lain dan suami pula menganggap puan yang tidak mampu melahirkan anak. Namun apabila bercerai belum tentu puan dapat meneruskan kehidupan tanpa suami, melainkan puan bertemu dengan lelaki lain dan berkahwin serta mempunyai anak.
Masing-masing boleh membina kehidupan sendiri. Yang penting bersangka baik dan positif terhadap ketentuan tuhan. Puan tidak tahu dalam keadaan mana yang terbaik kan? Kerana ia belum berlaku dan tidak pasti adakah ianya bakal berlaku, melainkan hasrat suami yang mahu berkahwin lagi yang jelas akan berlaku.
Justeru, pertama sekali, berlapang dada. Jika puan teruskan hasrat itu, puan tetap berlapang dada dan berbaik sangka dengan suami. Sama jua berbaik sangka dengan keluarga suami. Anak hanya anugerah Allah yang merupakan amanah, perantara hubungan suami isteri untuk lebih bermakna. Namun, jika Allah tidak anugerah pun kita boleh mencipta keadaan itu dengan mengambil anak angkat.
Walau apapun yang bakal berlaku, senantiasalah berlapang dada, reda dan berbaik sangka. Untuk mendapatkan ini, pastinya hubungan puan dengan Allah perlu rapat. Solat malam, berdoa, solat awal waktu, solat sunat dan solat hajat agar Allah makbulkan hajat puan dan jika Allah tidak makbul pun, ada hikmah yang kita sendiri tidak tahu. Pelbagai aktiviti dalam kehidupan, kerana bahagia dalam hidup bukan hanya bergantung kepada bahagia dengan seorang lelaki. Saya mendoakan agar puan diberi kekuatan menghadapi ujian ini.
** Persoalan hati ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor dan penulis tetap ruangan Ya Tuhan dalam majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sekeluarga dirempuh treler pemandu microsleep, ibu belum tahu anak meninggal kerap tanya mana anak sulung. Sebuah keluarga yang menaiki kereta proton saga mengalami detik...