Isteri sedih, bekas suami sanggup tak mengaku anak sebab tak mahu bayar nafkah. Perceraian mungkin menjadi jalan terakhir yang perlu diambil oleh pasangan suami. Bagaimanapun tanggungjawab suami terhadap anak-anak yang dilahirkan dari perkahwinan tersebut tidak terhenti begitu sahaja.
Isteri Sedih, Bekas Suami Sanggup Tak Mengaku Anak Sebab Tak Mahu Bayar Nafkah
Suami masih mempunyai tanggungjawab untuk memberi nafkah kepada anak-anak walaupun sudah bercerai. Tanggungjawab memberi nafkah kepada anak-anak walaupun sudah bercerai adalah satu kewajipan yang tidak boleh diabaikan.
Dalam Islam, ia adalah satu amanah yang perlu ditunaikan. Dari sudut undang-undang di Malaysia, ia adalah satu keperluan yang ditetapkan oleh peraturan dan undang-undang.
Berikut perkongsian daripada Tuan Fahmi Ramli Peguam Syarie Perundangan Islam yang beramal di Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Perak, KL, Selangor.
Dalam banyak-banyak kes tuntutan nafkah anak, majoriti suami menolak tuntutan. Alasan yang popular ialah terlalu banyak komitmen sehingga tidak mampu untuk membayar nafkah anak setelah menceraikan isterinya.
Lain pula bagi kes ini yang mana seorang bapa sanggup menafikan nasab anaknya sendiri untuk mengelakkan diri dari menanggung nafkah anak dengan isteri lama. Tambahan pula, suami itu sudah berkahwin lain dan telah mempunyai 3 orang anak dengan isteri yang baru.
Dalam kes ini, si isteri memohon kepada mahkamah untuk menetapkan nafkah anak berjumlah RM200 sebulan sekaligus memohon untuk mahkamah perintahkan suami membayar tunggakkan nafkah anak yang tidak pernah ditanggung sejak lahir sehingga anak tersebut berumur 13 tahun yang mengumpul jumlah sebanyak RM31,000.
Terkejut dengan jumlah tuntutan si isteri, suami dengan tidak rasa bersalah mendakwa bahawa anak tersebut bukanlah anak dari nasabnya. Ini kerana mereka hanya tinggal bersama selama 2 bulan sahaja dalam 2 tahun tempoh perkahwinan mereka.
Ads
Suami juga mengaku tidak membayar nafkah anak tersebut kerana tidak tahu akan kelahiran itu. Suami menyatakan bahawa dia tahu akan kelahiran anak tersebut setelah isteri memohon fasakh. Suami juga menegaskan isterinya mengaku tidak hamil apabila ditanya oleh pegawai kaunseling semasa mereka dalam tempoh perceraian.
Giliran isteri pula untuk memberi keterangan tentang dakwaan suami mengenai status anak mereka. Isteri menjelaskan bahawa dia tidak menuntut nafkah anak tersebut dahulu kerana sepanjang tempoh perkahwinan suaminya tidak pernah memberikan perhatian terhadap dirinya dan terus mengabaikan dirinya seolah-olah suaminya tidak pernah mempunyai isteri.
Nafkah diri pun suami tak pernah bagi apatah lagi nafkah anak fikir isterinya. Dengan membawa hati dan perasaan yang tidak dijaga ini si isteri mengambil keputusan untuk tidak memberitahu apa-apa perkembangan tentang dirinya kepada suaminya.
Sekarang barulah isteri memohon nafkah anak kerana memikirkan masa depan anak yang lebih cerah dan ingin anak berjaya seperti anak-anak orang lain.
Apakah status anak tersebut?
Syarak telah menggariskan cara penetapan nasab dengan merujuk kepada hadis nabi iaitu “ Anak yang lahir dari hamparan (isteri) yang sah berhak disabitkan nasab keturunan”.
Ads
Syarat penetapan nasab
1. Suami mampu untuk menghamilkan isteri
2. Anak tersebut mestilah lahir selepas 6 bulan qamariah dari tarikh akad nikah atau masa kemungkinan suami dan isteri Bersama
3. Suami dan isteri hendaklah bertemu selepas akad nikah
Berdasarkan penetapan syarak ini, segala syarat telah dipenuhi yang mana anak tersebut sememangnya lahir setelah 11 bulan dari Tarikh akad nikah. Suami hanya berpegang dengan pengakuan isteri bahawa dia tidak hamil Ketika ditanya oleh pegawai kaunseling.
Apabila melihat kepada tarikh lahir anak tersebut rupanya isteri telah melahirkan anak terlebih dahulu sebelum sesi kaunseling tersebut. Maka, sememangnya isteri tidak hamil lah ketika ditanya oleh pegawai kaunseling tersebut.
Akhirnya mahkamah memutuskan bahawa anak tersebut adalah anak kandung dan boleh dinasabkan kepada suami tersebut dan suami wajib membayar nafkah sebanyak RM200 setiap bulan kepada anak tersebut.
Ads
Kenapa suami itu tidak boleh meli’an isterinya?
Suami boleh meli’an isteri dengan kadar segera setelah mengetahui lahirnya anak tersebut. Jika terdapat keuzuran suami melewatkan li’an tersebut apabila suami mendapat berita lahirnya anak pada waktu malam dan menangguhkan sehingga pagi hari.
Dalam kes ini, suami melwatkan li’an sehingga anak tersebut sudah mencapai usia 13 tahun. Itu pun sebab isterinya nak tuntut nafkah. Maka, hak penafian nasab tersebut terbatal.
Suami juga tidak ada apa-apa keuzuran syarie utk menafikan nasab dengan kadar segera. Alasannya hanya kerana beliau seorang awam yang jahil tentang perkara ini. Malangnya alasan ini tidak diterima mahkamah keranan Islam menuntut dan mewajibkan kita untuk belajar tentang ilmu agama.
Maka, dakwaan suami bahawa anak itu bukan anaknya sudah tidak relevan kerana hak suami telah terbatal dengan melewat-lewatkan penafian sehingga 13 tahun.
Kesimpulannya tidak perlulah sampai nak menafikan nasab sendiri hanya kerana nak lari daripada tanggungjawab menunaikan nafkah. Ingatlah, kalau di dunia kita mengelak, maka di akhirat itulah hutang yang akan ditanggung oleh kita.
Sumber: Fahmi Ramli Peguam Syarie Perundangan Islam yang beramal di Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Perak, KL, Selangor.
Biarpun memegang status OKU, remaja ini membuktikan dirinya juga mampu cemerlang seperti pelajar normal lain. Belajar di sekolah biasa, pelajar cemerlang ini akui tidak pernah disisihkan dan rakan banyak membantu. Jelas ibunya, di sekolah rendah anaknya sering gagal, tetapi tiada yang mustahil apabila dia kini berjaya.
Tahniah diucapkan kepada Muhammad Muslim Ahmad Shukari, 18, atas keputusan yang cemerlang. Tahniah juga kepada mak, ayahnya yang berjaya mendidik anaknya yang bergelar OKU hingga berjaya.
Belajar Di Sekolah Biasa
Sungai Petani: Seorang remaja autisme membuktikan status orang kurang upaya (OKU) tidak menghalangnya mencatat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019.
Muhammad Muslim Ahmad Shukari, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena, diumumkan calon istimewa terbaik Kedah selepas mencatat keputusan 3A 2A- 1B+ 1D.
Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, dia menanamkan semangat belajar bersungguh-sungguh dan sentiasa positif dalam apa juga perkara yang dilakukan.
Status OKU tidak menjadi halangan untuk saya berjaya, sebaliknya ia menjadi pendorong untuk terus maju. “Saya bersyukur walaupun belajar di sekolah harian biasa, rakan sekelas tidak pernah menyisihkan saya, malah mereka banyak membantu dalam pelajaran,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengumuman keputusan SPM Kedah 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim, di sini, hari ini.
Keputusan itu diumumkan Pengarah Pendidikan Kedah, Abd Aziz Selaiman.
Bercita-cita Menjadi Arkitek
Muslim mendapat A bagi mata pelajaran Matematik, Sains dan Pendidikan Islam dan A- bagi Bahasa Melayu dan Pendidik Seni Visual.
Muslim yang bercita-cita menjadi arkitek, meminati lukisan dan landskap dan berharap dapat menyambung pengajian dalam jurusan seni bina.
Sementara itu, ibu Muslim, Lafdziyah Mohd Marzuki, 47, berkata anaknya itu mula menunjukkan minat belajar sejak di Tingkatan Satu.
“Waktu di sekolah rendah, dia sering gagal dalam pelajar tetapi sejak naik ke sekolah menengah, dia mula menunjukkan minat terutama dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.
“Dia semakin menunjukkan kegigihan belajar dan sering belajar secara berkumpulan dengan rakan selain membuat jadual belajar harian,” katanya.
Sumber: Berita Harian
MW: Ternyata kekurangan diri bukanlah penghalang seseorang untuk berjaya. Walaupun bergelar OKU, remaja ini membuktikan dia mampu berjaya seperti orang lain. Kepada yang gagal jangan berputus asa kerana perjalanan hidup kalian makin panjang.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pasangan dulu-dulu sudah beranak 2,3 barulah merasa hidup stabil, zaman sekarang lain demandnya jika hendak menyunting anak orang untuk dijadikan pasangan hidup.
Seseorang lelaki seharusnya miliki sekurang-kurangnya kerja yang tetap sebagai bukti dirinya mampu memberi makan anak orang. Miliki juga sekurang-kurangnya sebuah kenderaan agar mudah untuk ke mana, mana.
Dulu dan sekarang lain caranya, namun sebelum berumahtangga pilih dan carilah pasangan yang boleh hidup susah dan senang.
Pasangan Dulu-Dulu
Ikuti perkongsian Firdaus Shakirin ini dan fahami apa yang cuba disampaikan:
Ada yang selepas lima tahun berkawin, baru merasa naik kereta baru… Malah, ada juga yang lepas 10 tahun perkahwinan, barulah merasa masuk rumah baru…
Tak ramai yang kahwin, sudah siap serba-serbi, sempurna keperluan. Dan tak ramai yang berumah tangga, terus ada macam-macam harta…
Sudah Beranak 2,3 Barulah Merasa Hidup Stabil
Pasangan dulu-dulu, begitulah kebanyakannya.. Sudah beranak 2, anak 3 barulah kehidupan makin stabil dan semakin baik…
Sempurna itu tidaklah, tapi cukup dengan apa yang ada. Ada makanan untuk makan, ada tempat untuk berteduh dan ada keluarga untuk dibahagiakan semampunya…
Kena buktikan dahulu berharta ke tidak, kena tunjuk dulu mampu ke tidak, kena beritahu dulu kerja apa, gaji berapa, pakai kereta apa…
Jika tidak, macam mana hendak bela anak orang kan…
Betul, memang lelaki patut tunjuk… Lelaki sewajarnya perlu ada usaha ke arah kehidupan yang lebih baik. Malahan, lelaki juga perlu mampu sebelum jadi suami…
Cuma tak perlu try hard hendak meyakinkan si dia dengan berhutang keliling pinggang… Tak perlu nak nampak hebat dan nampak mewah semata-mata hendak dapatkan cinta seseorang itu untuk jadikan dia teman hidup…
Carilah Pasangan Yang Sepadan
Pasangan kita nanti adalah seseorang yang mampu terima kita seadanya diri kita… Tak lebih, tak kurang, macam mana diri kita itu, apa yang kita ada, itulah yang dia suka…
Perempuan macam ini, insyallah mampu bersabar, mampu tunggu sehingga kita betul-betul stabil untuk beli kereta baru, rumah baru dan letak dia dalam keadaan yang selesa…
Nawaitu berkahwin itu mestilah untuk menyara isteri, menggembirakan isteri dan membahagiakan isteri walau dengan apa cara sekalipun, sekadar kemampuan yang ada… Jangan berkahwin kalau tidak ada nawaitu ni…
Hidup tak mudah, rezeki tak murah kalau nawaitu berkahwin itu adalah sebab nafsu…
Mingguan Wanita : Sebelum mengambil keputusan mendirikan rumah tangga, carilah pasangan yang memahami dan mampu menerima anda seadanya. Jangan kerana cinta, sanggup berhutang untuk memuaskan hati si dia.
Tidak dinafikan ada sesetengah pasangan hanya memiliki anak perempuan dan tidak mempunyai anak lelaki.Rupanya ia ada hikmahnya yang tersendiri. Ini kerana terdapat kajian daripada aspek biologi mendedahkan bahawa melahirkan ramai anak lelaki boleh memendekkan jangka hayat si ibu.
Perkara ini dikongsikan oleh Puan Noor Afidah Abu Bakar daripada Parent Connect Consultancy sebagai rujukan;
ANAK LELAKI MEMENDEKKAN USIA IBU. BENARKAH?
Dua buah kajian yang dijalankan oleh pengkaji dari University of Turku, Finland iaitu Helle dan Lummaafound, mendapati bahawa ibu-ibu yang melahirkan anak-anak lelaki mempunyai jangka hayat yang lebih pendek berbanding ibu yang melahirkan anak-anak perempuan.
Jangka hayat ibu-ibu didapati berkurang selama 34 minggu jika mengandung dan melahirkan anak lelaki. Kajian juga mendapati semakin ramai anak lelaki, semakin pendek jangka hayat si ibu.
Jika melahirkan anak perempuan, jangka hayat ibu didapati lebih panjang.
Satu lagi kajian yang dijalankan di Denmark berpandukan data dari tahun 1980-2010 dari Danish National Register pula mendapati bahawa ibu-ibu yang melahirkan anak lelaki lebih berisiko untuk terkena serangan jantung, osteoarthritis, arthritis, barah ovari, barah payudara, diabetis type 2 dan obesiti setelah berusia 45 tahun.
3 Punca Utama
Antara penjelasan yang diberikan oleh Birgitte Hollegaard dari University of Copenhagen tentang keputusan ini adalah
1) Ketika mengandungkan anak lelaki, tubuh ibu memerlukan lebih banyak tenaga ataupun kalori berbanding ketika mengandungkan anak perempuan. Ini menyebabkan ibu lebih berisiko untuk menghadapi masalah kesihatan apabila usia meningkat.
2) Kebanyakan bayi lelaki dilahirkan dengan berat yang lebih berbanding anak perempuan. Ini juga memberi bebanan yang lebih kepada fizikal si ibu.
3) Penghasilan susu ibu untuk anak lelaki juga didapati memerlukan lebih banyak tenaga dari ibu. Walau bagaimanapun dapatan dari kajian ini adalah pelbagai.
Mengandung dan melahirkan anak bukanlah satu proses yang mudah. Trauma yang dialami oleh fizikal, emosi dan mental seorang ibu ketika mengandung dan melahirkan tidak dapat dibayangkan dan tidak dapat diungkapkan.
‘Post partum depression’ juga adalah sebahagian dari trauma ini yang tidak boleh diambil mudah dan dipandang ringan. Ia berlaku tanpa disedari dan tanpa boleh dikawal oleh si ibu.
Para bapa perlu berada di sisi ibu sepanjang masa untuk memberi sokongan. Para bapalah yang perlu menjadi ‘DOULA’ kepada si ibu kerana anak-anak adalah tanggungjawab bersama dari mula kejadian sehinggalah dilahirkan dan dibesarkan.
Anak lelaki ataupun anak perempuan, kedua-duanya adalah ujian walaupun mungkin cabaran yang diberikan adalah berbeza. Hidup, mati, ajal dan maut adalah ketentuan Allah SWT. Walau bagaimanapun kita perlulah berusaha untuk menjaga tahap kesihatan fizikal, emosi dan mental supaya amanah untuk membesarkan dan mendidik anak ini dapat dipikul sebaiknya. Ini memerlukan usaha bukan hanya diam menyerahkan segalanya kepada takdir tanpa usaha. Dapatkan nasihat pakar tentang kesihatan.
Semoga kita dapat mendidik anak lelaki dan anak perempuan kita menjadi anak soleh dan solehah yang dapat mendoakan kita satu hari nanti. Semoga kita juga dapat membimbing mereka agar dapat menyumbang kepada keluarga dan masyarakat dengan kelebihan masing-masing, tidak kiralah panjang atau pendek jangka hayat kita di dunia yang fana ini.
Oh ya, kajian-kajian yang dijalankan tersebut juga mendapati walau si ibu melahirkan anak lelaki atau anak perempuan, ia tidak mempunyai apa-apa kesan ke atas jangka hayat si bapa.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
MW: Sesungguhnya urusan jodoh, anak dan ajal kematian merupakan ketentuan daripadaNya.Bersyukurlah dikurniakan anak tak kira lelaki mahupun perempuan, persiapkanlah diri mereka agar menjadi anak yang soleh, solehah agar mampu menjadi ‘bekalan’ dan saham akhirat buat kita bila telah tiada nanti.