‘Isteri Pun Perlu Hadir Ke Mahkamah’ Peruntukan Baru Dalam Permohonan Poligami Suami

Share

Alhamdulillah, ini berita gembira untuk para isteri yang selama ini takut-takut, suaminya diam-diam bernikah satu lagi.. berpoligami tanpa isteri tahu pun.

Sekarang, tak perlu lah berasa gusar. Sebabnya, kalau suami berhajat nak kahwin lagi, mahkamah dah perintahkan untuk isteri pun perlu hadir sama ke mahkamah untuk prosiding kebenaran dan sebagainya.

Bukan apa, sebelum adanya perintah macam ini. Ada segelintir suami ini bila dah terlalu kemaruk sangat nak berkahwin lain, mulalah dia ‘terlupa’ pada isteri sedia ada itu.

Tahu-tahu diri sudah pun dimadukan. Allah.. hancur leburnya perasaan seorang isteri itu.

Sebab peruntukan sebelumnya isteri sedia ada tak perlu pun hadir. Pernikahan tetap akan berlaku. Haa.. bila ada perintah macam ini, tidaklah isteri sedia ada itu rasa teraniaya.

Peguam Syarie & Kosultan Perundangan Islam, Khairul Fahmi Bin Ramli ini berkongsi makluman ini kepada umum.

Dalam Permohonan Poligami Suami, Isteri Pun Perlu Hadir Ke Mahkamah

Khabar gembira kepada isteri-isteri yang sedia ada, sekarang wujud peruntukan dimana isteri-isteri yang sedia ada akan dipanggil untuk hadir ke Prosiding Permohonan Kebenaran Poligami serta Permohonan Pengesahan dan Pendaftaran Nikah Poligami.

Sebelum ini, mana-mana suami yang ingin berpoligami tidak perlu memanggil isteri ke Mahkamah, cukup sekadar suami dan bakal isteri sahaja yang hadir ke Mahkamah bagi tujuan Permohonan Kebenaran Poligami serta Permohonan Pengesahan dan Pendaftaran Nikah Poligami.

Namun kini, mana-mana suami yang berhasrat untuk berpoligami, suami perlu menjadikan isteri sedia ada sebagai pihak di dalam permohonnya.

Ini bermaksud, jika suami mohon poligami atau nak sahkan poligami, isteri sedia ada pun perlu hadir ke Mahkamah sebagai Pihak.

Baca sini : Faham Betul-betul Ilmu Faraid, Jangan Sampai Aniaya Waris Yang Layak

Ini adalah berdasarkan peruntukan di dalam Arahan Amalan No 7. Tahun 2021 dimana Isteri sedia ada akan menjadi pihak yang dipanggil.

Dengan ini, ia sekali gus memberi peluang kepada isteri sedia ada untuk menuntut hak-hak mereka seperti berikut :

  • Nafkah Diri
  • Nafkah Anak
  • Harta Sepencarian

Rata-rata yang membaca perkongsian ini, turut bersetuju dengan peruntukan yang baru ini. Malah, ada juga dari kalangan lelaki turut memberi sokongan.

Mingguan Wanita : Berpoligami ini bukan untuk suka-suka, seronok-seronok. Sebenarnya bila dah tertakdir berada dalam perkahwinan sebegini, ianya menuntut satu pengorbanan yang besar. Jika dari mula sudah tidak jujur, bagaimana mahu melaksanakan tanggungjawab seikhlasnya kerana Allah. Fikir-fikirkanlah.

Sumber/Foto : Fahmi Ramli

Published by
Netty Ah Hiyer