Alhamdulillah, ini berita gembira untuk para isteri yang selama ini takut-takut, suaminya diam-diam bernikah satu lagi.. berpoligami tanpa isteri tahu pun.
Sekarang, tak perlu lah berasa gusar. Sebabnya, kalau suami berhajat nak kahwin lagi, mahkamah dah perintahkan untuk isteri pun perlu hadir sama ke mahkamah untuk prosiding kebenaran dan sebagainya.
Bukan apa, sebelum adanya perintah macam ini. Ada segelintir suami ini bila dah terlalu kemaruk sangat nak berkahwin lain, mulalah dia ‘terlupa’ pada isteri sedia ada itu.
Tahu-tahu diri sudah pun dimadukan. Allah.. hancur leburnya perasaan seorang isteri itu.
Sebab peruntukan sebelumnya isteri sedia ada tak perlu pun hadir. Pernikahan tetap akan berlaku. Haa.. bila ada perintah macam ini, tidaklah isteri sedia ada itu rasa teraniaya.
Peguam Syarie & Kosultan Perundangan Islam, Khairul Fahmi Bin Ramli ini berkongsi makluman ini kepada umum.
Ads
Dalam Permohonan Poligami Suami, Isteri Pun Perlu Hadir Ke Mahkamah
Khabar gembira kepada isteri-isteri yang sedia ada, sekarang wujud peruntukan dimana isteri-isteri yang sedia ada akan dipanggil untuk hadir ke Prosiding Permohonan Kebenaran Poligami serta Permohonan Pengesahan dan Pendaftaran Nikah Poligami.
Sebelum ini, mana-mana suami yang ingin berpoligami tidak perlu memanggil isteri ke Mahkamah, cukup sekadar suami dan bakal isteri sahaja yang hadir ke Mahkamah bagi tujuan Permohonan Kebenaran Poligami serta Permohonan Pengesahan dan Pendaftaran Nikah Poligami.
Ads
Namun kini, mana-mana suami yang berhasrat untuk berpoligami, suami perlu menjadikan isteri sedia ada sebagai pihak di dalam permohonnya.
Ini bermaksud, jika suami mohon poligami atau nak sahkan poligami, isteri sedia ada pun perlu hadir ke Mahkamah sebagai Pihak.
Ini adalah berdasarkan peruntukan di dalam Arahan Amalan No 7. Tahun 2021 dimana Isteri sedia ada akan menjadi pihak yang dipanggil.
Ads
Dengan ini, ia sekali gus memberi peluang kepada isteri sedia ada untuk menuntut hak-hak mereka seperti berikut :
Nafkah Diri
Nafkah Anak
Harta Sepencarian
Rata-rata yang membaca perkongsian ini, turut bersetuju dengan peruntukan yang baru ini. Malah, ada juga dari kalangan lelaki turut memberi sokongan.
Mingguan Wanita :Berpoligami ini bukan untuk suka-suka, seronok-seronok. Sebenarnya bila dah tertakdir berada dalam perkahwinan sebegini, ianya menuntut satu pengorbanan yang besar. Jika dari mula sudah tidak jujur, bagaimana mahu melaksanakan tanggungjawab seikhlasnya kerana Allah. Fikir-fikirkanlah.
Lelaki curang sebab kurang kepuasan emosi dan fizikal. Curang merujuk kepada tindakan tidak setia atau melanggar kepercayaan dalam hubungan, sama ada dalam konteks perkahwinan, percintaan, atau hubungan lain yang melibatkan komitmen emosi dan fizikal.
Lelaki Curang Sebab Kurang Kepuasan Emosi & Fizikal
Kecurangan biasanya melibatkan hubungan intim atau romantik dengan pihak ketiga di luar ikatan rasmi atau komitmen yang telah dipersetujui bersama.
Jenis-jenis curang:
Kecurangan Emosi:
Kecurangan emosi berlaku apabila seseorang menjalin hubungan emosi yang mendalam dengan orang lain di luar hubungan utama mereka. Ini mungkin melibatkan perkongsian perasaan, rahsia, atau keintiman emosi yang sepatutnya eksklusif kepada pasangan.
Kecurangan Fizikal:
Kecurangan fizikal merujuk kepada hubungan fizikal atau seksual dengan seseorang selain daripada pasangan yang sah. Ini termasuk ciuman, sentuhan intim, atau hubungan seksual.
Kecurangan Maya:
Dalam era digital, kecurangan maya atau online cheating menjadi semakin lazim. Ini melibatkan hubungan intim atau seksual yang dijalinkan melalui platform dalam talian seperti media sosial, aplikasi mesej, atau laman web temu janji.
Kecurangan Pelik:
Kecurangan pelik melibatkan tindakan yang melanggar kepercayaan pasangan tetapi mungkin tidak semestinya melibatkan hubungan emosi atau fizikal yang mendalam.
Contohnya, menonton pornografi atau berfantasi tentang orang lain tanpa pengetahuan atau persetujuan pasangan.
Faktor-faktor mengapa lelaki curang:
1. Kekurangan Kepuasan Emosi
Salah satu sebab utama lelaki curang adalah kekurangan kepuasan emosi dalam hubungan. Apabila seorang lelaki merasa tidak dihargai, tidak dicintai, atau tidak diberi perhatian yang mencukupi, dia mungkin mencari perhatian tersebut di luar hubungan.
2. Kurangnya Kepuasan Fizikal
Kekurangan kepuasan fizikal atau intimasi dalam hubungan juga boleh menjadi punca utama lelaki curang. Jika keperluan seksual tidak dipenuhi, sesetengah lelaki mungkin mencari kepuasan tersebut dengan orang lain.
3. Pengaruh Rakan
Pengaruh rakan dan persekitaran sosial boleh memainkan peranan dalam keputusan lelaki untuk curang. Jika rakan-rakan lelaki tersebut mengamalkan tingkah laku curang, dia mungkin merasakan ia sesuatu yang boleh diterima atau normal.
4. Masalah Komitmen
Sesetengah lelaki mungkin mempunyai masalah dengan komitmen. Mereka mungkin merasa terperangkap dalam hubungan jangka panjang dan mencari cara untuk melarikan diri daripada komitmen tersebut melalui kecurangan.
5. Kurangnya Komunikasi
Komunikasi yang buruk antara pasangan boleh membawa kepada kecurangan. Apabila pasangan tidak berkomunikasi dengan baik, masalah dan konflik tidak diselesaikan dengan betul, yang boleh menyebabkan salah seorang pasangan mencari penyelesaian di luar hubungan.
6. Ketagihan
Ketagihan terhadap intimasi, perhatian, atau pengesahan daripada orang lain boleh menjadi punca lelaki curang. Ini boleh berlaku apabila seorang lelaki mempunyai ketagihan yang tidak diatasi atau disedari.
Cara mengatasi dan mencegah kecurangan:
Komunikasi Terbuka:
Membina dan mengekalkan komunikasi terbuka dengan pasangan adalah kunci untuk mengelakkan salah faham dan ketidakpuasan yang boleh membawa kepada kecurangan.
Kejujuran dan Keterbukaan:
Sentiasa jujur dan terbuka dengan pasangan mengenai perasaan, keperluan, dan keinginan anda.
Mencari Bantuan Profesional:
Jika menghadapi masalah dalam hubungan, mencari bantuan daripada kaunselor atau terapis boleh membantu pasangan menyelesaikan isu sebelum ia menjadi lebih buruk.
Memperkukuhkan Ikatan Emosi dan Fizikal:
Meluangkan masa berkualiti bersama dan memastikan keperluan emosi dan fizikal masing-masing dipenuhi dapat mengurangkan risiko kecurangan.
Mengatasi kecurangan memerlukan usaha bersama dan komitmen dari kedua-dua pihak. Dengan komunikasi yang baik, penghargaan, dan bantuan profesional, pasangan boleh mengatasi cabaran ini dan membina hubungan yang lebih kukuh dan bermakna.
Sedih tapi itulah realiti sekarang yang banyak terjadi apabila semakin banyak kes perceraian suami isteri golongan berusia melibatkan orang ketiga. Lebih dikesalkan masing-masing merupakan isteri mahupun suami orang. Tidak menjaga batasan hubungan di media sosial antara puncanya.
Sedih tapi itulah realitinya. Perceraian di kalangan suami isteri 40’an, 50’an malah 60’an angkara orang ketiga semakin banyak terjadi. Puncanya: Selingkuh – mencintai atau dicintai isteri atau suami orang.
Hubungan haram itu selalunya bermula daripada perbualan di wasap, messenger dan lain-lain media sosial, yang mulanya sekali-sekala, kemudian makin akrab.
Hubungan tercela itu berpunca daripada program re-union (sekolah, IPT, TADIKA) , teman sepejabat, kumpulan sehobi (bela kucing, bertanam pokok dan lain-lain) atau kumpulan berniaga bersama.
Permulaan Perbualan Santai
Pada awalnya memang perbualan santai, tidak ada apa-apa, kemulian meleret-leret sehingga mesra, bercinta, bertemu dan zina.
Ingatlah, wahai suami orang, haram menghubungi isteri orang dengan tujuan bersuka-suka (kononnya hanya untuk berbual bertanya khabar). Wahai isteri orang, adalah tercela melayan lelaki selain suami mu walaupun atas alasan bekas teman rapat, sahabat akrab atau kenalan lama.
Daripada perbualan santai, akhirnya menjadi satu kenikmatan, terus jadi ketagihan. Datang pula rasa kosong bila tidak berhubung Awas, pada ketika itu pintu kecurangan sudah terbuka.
Jika ada lelaki lain di hati Sang isteri, jika ada wanita bersuami di hati Sang suami, terkutuklah perbuatan itu… kau akan menempa neraka. Sepandai-pandai bersembunyi, dosa itu akan terbalas jua!
Man neglecting his girlfriend and using his mobile phone in bed
Pasangan Berusia, ‘Kelihatan’ Beragama Juga Selingkuh
Saya menyentuh isu selingkuh sebab ia paling banyak berlaku. Bukan sahaja pada pasangan muda, tetapi juga yang sudah berusia. Bukan sahaja yang jahil, tetapi yang kelihatannya beragama – berjubah, bertudung labuh dan berlatar belakang agama.
Kepada kaum suami, kita pesankan jagalah maruah isteri orang lain. Menaruh hati kepada isteri orang ialah satu penyakit hati. Kemesraan dan keprihatinan perlu diberi kepada isteri sendiri.
Kepada kaum isteri, jagalah maruah mu. Di mana kau letak rasa malu mu? Hingga tergamak kau habiskan masa berceloteh, mengadu, bercanda akhirnya bermesra dengan membelakangkan suami mu yang halal?
Jangan berhujah yang engkau tidak tahu, tidak ada apa-apa, hanya saja-saja, sedangkan hati kecil mu telah pun membisikkan bahawa semua itu salah kerana menentang fitrah dan mengundang fitnah.
Sekali pasangan mu terluka, bukan mudah untuk disembuhkan apalagi dimaafkan serta dilupakan. Kau telah berlaku zalim kepadanya. Kau telah mengkhianati kepercayaannya.
Jangan sekali-kali beralasan, kesunyian, pasangan tidak pandai membelai, tidak empati, tidak cantik, hilang aura dan sebagainya. Itu semua madah syaitan.
Percayalah, kemanisan yang kau cicipi dalam sembunyi pasti terbongkar jika tidak di dunia, pasti di Padang Mahsyar. Di sana kau akan merangkak memohon belas kasihan pasangan mu…dengan penuh hina dan kasihan mohon keampunan.
Ada yang bertanya, mengapa saya begitu serius tentang isu selingkuh ini?
Re-union Sekolah
Saya pernah bertemu seorang lelaki separuh umur menangis teresak-esak selepas solat Dhuha di sebuah masjid. Bila saya dekati dan bertanya mengapa?
Dia menjawab, “Saya sangat sedih, isteri saya meninggalkannya kami anak beranak selepas kembali bercinta dengan kekasih lamanya zaman sekolah.” Puncanya, perbualan biasa selepas re-union sekolah.
2. Kekasih Lama (Cinta Terhalang)
Saya pernah bertemu seorang sahabat (ustaz) yang berada dalam dilema bila bekas kekasih lama muncul kembali menagih cinta lama yang masih membara(baca: old fire).
Cinta mereka terpisah kerana dihalang ibu-bapa. Dia berkata, “kami terlalu mencintai.”
Saya memujuknya dengan berkata, “dia ada suami. Ustaz ada isteri. Anak masing-masing pun berderet. Hendak diapakan cinta itu?”
Bila dia memberi pelbagai alasan, saya terus menegaskan, “cinta bukan Tuhan. Hingga segala kehendaknya perlu diturutkan.” Bagaimana bertemu kembali? Lewat FB.
3. Hubungan Lelaki Lain
Saya pernah menghadapi seorang suami yang begitu terluka apabila mengetahui isterinya yang begitu disayanginya punya hubungan dengan lelaki lain.
Bila saya bertanya, sejauh mana perhubungan itu, dia menjawab, “belum ada hubungan badan, dating dan sebagainya. Tetapi mereka saling meluahkan perasaan, bertukar-tukar gambar dan berkongsi cerita masa lalu dan kini.”
Bila saya katakan tidak mengapa, kerana belum serius. Suami itu menjawab, “tetapi saya tidak sangka sama sekali isteri saya sanggup melayan hingga begitu sekali. Saya bertungkus lumus mencari rezeki, dia bersuka-suka, bergurau dan bercanda dengan lelaki lain.”
Masih cinta? Tanya saya. Bila dia mengiyakan saya pun berkata, “maafkan, jangan berdendam. Jika boleh belajar melupakan. Jika melupakan terlalu sukar, tidak mengapa. Tetapi jangan sampai itu semua mempengaruhi perjalanan rumah tangga selepas ini. Move on!” Pertemuan, lewat aplikasi messenger.
4. Selingkuh Rakan Sekerja
Ketika menjalankan program-program latihan lebih 24 tahun pada organisasi swasta dan kerajaan, banyak sekali saya temui kes selingkuh sesama rakan sekerja yang melibatkan isteri dan suami orang.
Saya melihat sendiri justifikasi Rasulullah SAW berpesan tentang hal ini pada khutbah baginda yang terakhir. Pada hal ketika itu, Islam sudah sampai ke kemuncaknya dan bibit-bibit empayar Islam sudah kelihatan.
Namun pesan Rasululllah SAW kembali kepada basic – soal asas dan teras – soal rumah tangga. Suami diingatkan, tentang kewajiban memberi nafkah, memberi kasih sayang, berlembut dan melayan isteri dengan baik. Bertanggung jawab.
Manakala isteri, dipesan dua perkara: Jangan membawa masuk orang yang tidak disukai suaminya ke dalam rumah dan dilarang melakukan zina! Jaga ikhtilat.
Hancur rumah tangga, hancur ummah. Justeru, kamu yang terbaik ialah kamu yang terbaik kepada keluarganya, begitu wasiat Rasululllah SAW.
Ikhtilat Media Sosial
Semasa forum Maulidur Rasul di PPUM baru-baru ini, Dai Anas (yang menjadi moderator) juga meluahkan kebimbangannya tentang kes-kes selingkuh yang semakin meningkat.
Menurutnya, itu yang dinyatakan oleh seorang pakar kaunseling yabg tersohor Tanah Air – Haji Husyim yang banyak berdepan dengan kes-kes perceraian angkara orang ketiga. Puncanya, ikhtilat di dalam sosial media!
Marilah kita berdoa, yang terlanjur silap, kembali bertaubat. Yang masih degil, menyedari kesalahan dan terus istighfar. Ya Allah, kerana cinta ku katakan jua hakikat yang pahit ini. ‘Auzubillah.
Mingguan Wanita: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Memang cukup membimbangkan apabila kes curang melibatkan orang ketiga semakin meningkat. Bukan sahaja orang muda namun golongan berusia juga tidak terkecuali. Semoga kita mengambil pengajaran dan nasihat yang dikongsikan ni, jagalah batas perhubungan di media sosial yang boleh menjadi punca bibit selingkuh.
Rumah tangga terlalu bahagia tanpa sebarang ujian pasti hanya berlaku dalam drama atau filem fantasi sahaja. Realitinya, untuk mencapai usia perkahwinan sepuluh tahun, sudah pasti anda melalui pelbagai asam garam rumah tangga. Salah satunya bagaimana mahu meredakan hati pasangan yang tengah panas.
Begitu juga dengan bertikam lidah dan salah faham. Pujuk-memujuk, meninggi suara hingga tahap menengking juga sudah pasti berjuta kali dilalui anda dan pasangan.
Sebenarnya, dalam masalah ini persefahaman amat penting. Perkahwinan bukan sekadar berkongsi bantal dan lengan, tetapi perkahwinan adalah perkongsian hidup dan mati.
Bagaimana mengawal amarah dalam hubungan suami isteri, pasti sukar! Bawa bertenang, mungkin langkah ini dapat membantu anda!
Cara Lembutkan Hati Suami/Isteri Yang Panas
1. Jangan Duduk Tempat Yang Sama
Pergaduhan berpunca daripada pelbagai perkara, namun anda harus bijak menanganinya. Sekiranya anda sedang duduk ketika marah, cuba ubah posisi berdiri atau sebaliknya. Cara ini akan membuatkan anda lebih relaks dan tenang.
2. Berhenti Membebel Dan Cari Salah
Langkah ini dikatakan sangat efektif jika anda tidak dapat mengawal amarah kepada pasangan anda. Diamkan diri di saat anda marah akan membuatkan anda berfikir seketika sebelum melontar kata-kata pedas berapi. Maklumlah ketika marah, kita tidak mampu mengawal emosi dan minda.
3. Ambil Wudhuk
Api adalah simbolik bagi rasa amarah, jadi hanya air sembahyang mampu mengurangkan rasa marah. Anda juga akan berasa tenang setelah air kena pada wajah dan seluruh tubuh dan nak pujuk diri, ajak si dia solat jemaah sama-sama. Jangan lupa selit doa yang manis-manis selepas solat. In shaa Allah, hati akan tenang!
4. Ambil Masa Dan Ruang
Apabila anda tidak mampu mengawal rasa marah di depan suami, cuba beredar dan jarakkan sikit diri anda dengan suami. Bawa diri ke bilik dan ambil masa untuk “cool down” . Jangan pula anda beredar sambil menghentak kaki dan menghempas pintu, pasti kemarahan suami bakal meledak.
5. Ingat Saat Manis, Flashback Waktu Akad Nikah
Ketika marah menguasai diri, cuba kenang jasa pasangan pada anda selama ini. Cuba rendahkan ego anda dan ingatlah tujuan sebenar kita dan si dia bersama, bukan sekadar suka-suka sebaliknya untuk suka dan duka.
Sebenarnya tak susah nak bahagiakan hubungan suami isteri, kita sendiri yang kena mainkan peranan macam mana nak nak lembutkan hati pasangan, nak handle pasangan yang merajuk tetiba. Ingat, jangan biarkan sebab dari situasi makan hati atau merajuklah BARAH dalam hubungan akan wujud!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!