Ketika bertemu dengan Alif Satar baru-baru ini penulis sempat bertanya tentang kandungan isterinya Shadila yang kini sedang hamil anak ketiga. Alif yang cukup ceria menjelaskan kandungan isterinya sudah tiga bulan.
“Alhamdulillah, kandungan isteri kini sudah memasuki tiga bulan. Saya berharap peminat dapat mendoakan kesihatan isteri dan anak dalam kandungan saya. Kami tak kisah tentang jantina anak asalkan sihat ketika dilahirkan dan segalanya dipermudahkan ketika bersalin nanti. Cuma jika ditakdirkan bayi yang dikandung lelaki, alhamdulillah sebabnya baju-baju saya nanti adalah pewarisnya,” terang Alif sambil tertawa.
Alif dan Shadila telah berkahwin pada 15 September 2014 dan dikurniakan dua orang puteri bernama Alisha Anugerah dan Ariana Mecca.
Alif yang akui jadualnya sangat sibuk dari awal hingga hujung tahun 2019 mahu menyaksikan sendiri kelahiran anak ketiganya kelak.
Ads
“Memang saya sangat sibuk. Jadual pun padat. Saya akui disebabkan tuntutan kerja kadangkala saya tidak dapat luangkan masa yang lebih buat isteri dan anak-anak. Namun begitu, insyaAllah saya akan pastikan ketika isteri mahu bersalin saya akan berada di sisi
“Isteri tidak pernah merajuk saya jarang bersama dirinya dan anak-anak tapi setiap hujung minggu saya akan pastikan punya masa luang untuk mereka. Memandangkan Shad pun mengalami alahan yang teruk, saya sendiri kalau boleh tak nak berjauhan dengan dia. Cuma masa bersalin nanti Shad ada sebut, perlukan Alif di sisi,” akui Alif yang sememangnya mahu menyaksikan sendiri proses kelahiran anak ketiga mereka nanti.
Ads
Kembangkan Kerjaya Dalam Bidang Penerbitan
Alif yang sukses sebagai penyanyi, pelakon dan pengacara, memberanikan diri untuk berjinak-jinak dalam bidang penerbitan pula. Menerusi syarikat produksi milik bersama seorang rakan, Alif mahu berkongsi ideanya sendiri secara terus kepada orang ramai.
“Produksi kami diberi nama Cue Pro. Saya memang sukakan kerja-kerja kreatif, bukan sahaja dalam muzik tetapi juga dalam bidang-bidang lain terutamanya dalam bidang penerbitan. “Sebelum ini saya banyak berkongsi idea tersebut di Youtube Channel yang diwujudkan lebih setahun lalu. Jadi sudah tiba masanya untuk saya besarkan idea tersebut menerusi penerbitan drama dan program TV yang hasilya mungkin boleh dikongsi dengan lebih ramai orang di luar sana,” sambung Alif yang turut menyatakan syarikat produksinya baru saja tampil dengan drama pertama berjudul rindu Cinta Zulaikha yang akan disiarkan di RTM tidak lama lagi.
Ads
Duta Harman Studio Malaysia
Alif ketika ditemui di majlis pelancaran Harman Studio Malaysia yang terletak di Sunway Geo, kini sudah bergelar duta kepada produk berkenaan.
“Alhamdulillah saya rasa sangat teruja dilantik sebagai duta Harman Studio untuk tempoh setahun ini dan berharap kerjasama ini dapat memberikan impak yang positif kepada kedua-dua belah pihak. Lagipun barangan Harman seperti JBL bukan asing buat saya kerana sebelum dilantik sebagai duta saya memang sering gunakan dalam kehidupan seharian sama ada ketika buat muzik atau bersukan.
“Saya juga difahamkan pihak Harman juga akan mengadakan beberapa aktiviti termasuk siri jelajah untuk mempromosikan jenama mereka dan saya harap juga ia menjadi kesempatan terbaik buat saya bertemu peminat nanti,” akhiri Alif
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Selain membazir, memang sayang bila nasi yang dimasak cepat basi. Sebenarnya,ada tips tertentu yang mak-mak boleh cuba agar nasi tersebut dapat tahan lama, elok dan lambat basi. Ikut 7 tips berikut
1. Basuh Beras Hingga Bersih
Ada orang kata, jangan basuh beras banyak kali sebab takut semua nutrisi akan dibasuh sekali. Tapi, kalau cuci sekali je, nasi akan cenderung untuk cepat basi.
Apa yang boleh dibuat adalah mencucinya dengan betul dan pastikan air bilasan beras dibuang betul-betul sebelum mencuci untuk kali kedua atau ketiga.Selain itu,boleh masak nasi menggunakan air dari mesin penapis, yang ada dekat rumah.
2. Pastikan Periuk Bersih
Ini penting, kerana antara penyebab nasi cepat basi adalah kerana ada kotoran atau sisa-sia nasi semalam yang melekat pada periuk yang digunakan. Ini boleh menjejaskan kualiti nasi yang dihasilkan.Jadi, pastikan mencuci periuk nasi dengan bersih setiap kali selesai menggunakannya.
3. Perah Limau Nipis
Sebelum masak nasi, perahkan setengah biji limau nipis ke dalam 2-3 pot beras yang dah disukat dengan air. Jangan risau sebab rasa nasi tak berubah pun. Malah, ia akan buatkan nasi lebih harum dan tahan lama kerana keasidannya.
4. Biarkan Wap Nasi Keluar
Bila masak nasi dengan rice cooker, jangan lupa buka penutup sebaik saja nasi dah masak. Kacau nasi nasi supaya nasi masak secara rata dan biarkan wap nasi tadi keluar daripada periuk.Cara ini akan buatkan nasi yang baru masak tadi tidak akan menjadi lembab. Sebelum tutup penutup, lap dulu penutup dengan kain bersih.
Ia akan buatkan nasi tahan lebih lama dan tekstur nasi juga lebih lembut dan berderai dengan elok.Pastikan cabut plug atau off kan suis, kalau tak nak makan dalam masa terdekat, jangan biarkan rice cooker sentiasa dalam keadaan ‘warm’.
5. Letak Secubit Garam
Selepas mencuci beras dan menyukat air, masukkan secubit garam ke dalam periuk.Tujuan memasukkan garam adalah supaya nasi yang masak lebih tahan lama, sedap dan kenyal.
6. Panaskan Periuk Nasi Atas Dapur
Menurut Puan Suaida Salehudin, petua ini dikongsikan oleh ibu beliau sendiri.
Caranya adalah dengan telingkupkan periuk nasi atas dapur, pastu nyalakan api. Mungkin dengan cara ini, bakteria atau kuman yang buatkan nasi cepat basi akan mati. Itu sebab nasi boleh tahan sampai 2 hari.
7. Masak Air Dalam Periuk Nasi
Cara ini mungkin mempunyai fungsi yang sama dengan tips ke-6 di atas.
Isikan air di dalam periuk nasi sehingga penuh. Kemudian, masak di atas dapur gas sehingga air mendidih. Boleh memasukkan beberapa helai daun pandan ketika proses ini. Dapur akan wangi semerbak.
Menurutnya, proses masak air sehingga mendidih di dalam periuk nasi ini tidak perlu dilakukan setiap kali hendak masak nasi. Memadai melakukankannya sekali sebulan untuk menjamin ketahanan nasi.
Beratnya rasa hati bila baru mengetahui suami yang disayangi merupakan penagih dadah. Lebih sayu, bila ditangkap dan digari dihadapan anak-anak.
Wanita baru habis pantang terkejut apabila suaminya ditahan polis kerana terbabit dengan dadah di Langkawi, semalam. Wanita berusia 28 tahun itu menangis kerana ketika serbuan 12 tengah hari itu, dia bersama suami dan tiga anaknya berusia tiga bulan hingga enam
tahun bersiap untuk ke klinik.
Merayu Suami Dibebaskan
Dia merayu supaya suaminya dibebaskan kerana bimbang terpaksa menjaga anak-anaknya seorang diri disebabkan tidak bekerja selain tidak mampu membayar sewa rumah serta membeli susu anak.
Lebih meruntun hati apabila dua daripada anaknya berusia lima dan enam tahun turut terkejut melihat bapa mereka ditahan polis dengan tangan bergari. Namun, bapa tiga anak itu diberi peluang mencium anak-anak dan isterinya sebelum dibawa ke balai.
Beri Tenaga, Hilang Rasa Mengantuk
Lelaki berusia 28 tahun itu memberi alasan terpaksa mengambil dadah jenis syabu sejak Mac lalu untuk memberi tenaga ketika menangkap ikan di laut selain menghilangkan rasa mengantuk.
Katanya, dia pada mulanya mahu mencuba selepas rakannya yang juga nelayan menyuruh dia cuba sebelum ketagih.
“Saya guna duit hasil menangkap ikan untuk beli dadah daripada ejen yang masuk ke kawasan ini atau beli melalui rakan ketika di laut.
“Saya keluar menangkap ikan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas hilang pekerjaan dan bekerja sebagai tukang baiki tangki air di kawasan Langkawi sebelum ini dan sejak itulah saya cuba mengambil dadah untuk hilang tekanan disebabkan tak ada duit,” katanya di Langkawi, semalam.
Dibawa Ke IPD Langkawi
Lelaki itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi untuk tindakan lanjut. Dalam serbuan itu, beberapa penagih dadah yang sedang berurusan dengan ejen bertempiaran lari sebaik menyedari kawasan itu diserbu polis namun sebahagiannya berjaya ditangkap.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, serbuan itu dilakuka berdasarkan maklumat yang diterima anggotanya berhubung kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di kawasan itu.
Beliau berkata, serbuan besar-besaran dilakukan di pulau Langkawi ini adalah untuk membanteras kegiatan dadah yang semakin membimbangkan.
“Hasil maklumat yang kita perolehi mendapati, penagih di pulau ini mendapatkan bekalan secara kecil-kecilan daripada pengedar untuk kegunaan sendiri bagi tujuan melepaskan gian.
“Bagaimanapun, melalui operasi Op Sarang yang kita jalankan ini, anggota kami berjaya menangkap ramai penagih termasuk pengedar dadah sepanjang hari dalam ops berkenaan,” katanya.
MW: Semoga wanita ini diberi kekuatan dalam menempuhi ujian yang ditakdirkan ini. Pesanan buat para suami, selaku ketua keluarga yang menanggung anak isteri atas apa juga alasan, jangan sesekali dekati dadah.Sekali terjebak payah untuk berundur. Fikirkan masa depan diri sendiri, anak isteri dan keluarga tersayang.
Pantas sungguh masa berlalu, kurang dari 100 hari umat Islam akan menjalani ibadah puasa di Bulan Ramadan yang dijangka pada pertengahan bulan Mei tahun ini.Bagi wanita yang belum mengganti puasa pada tahun lepas, mahupun tahun-tahun yang sebelumnya, diharap dapat menunaikannya segera.Takut nanti bila tiba hampir bulan Ramadan tak sempat pula dan boleh dikenakan Fidyah!
Fidyah ialah denda ke atas seseorang Islam yang telah baligh kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja melewatkan puasa ganti (qada’) bulan Ramadhan.
HUKUM FIDYAH
Hukum membayar fidyah adalah wajib. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.
Kewajipan ini jelas dinyatakan dalam firman Allah SWT yang bermaksud :
“(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu, maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain, dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tuanya dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa).”
(Al-Baqarah: 184)
KADAR FIDYAH
Kadar bayaran fidyah berubah mengikut harga yang ditetapkan oleh pemerintah di sesuatu tempat. Pengiraan kadar fidyah berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk). Nilai fidyah bagi satu hari tidak berpuasa boleh dikira berdasarkan nilai Zakat Fitrah yang telah ditetapkan.
Zakat Fitrah bagi seorang ialah bersamaan 1 gantang Baghdad iaitu 2.7 kilogram.
Fidyah bagi satu hari ialah 1 cupak beras iaitu 675 gram.
Bermakna, kadar fidyah ialah ¼ daripada kadar fitrah pada tahun tersebut.
Oleh yang demikian, jika kadar Zakat Fitrah ialah RM7.00, secara langsung kadar Fidyah ialah RM1.75 atau RM1.80 (1/4 X RM7.00).
TAKSIRAN FIDYAH
1. Bilangan hari tidak berpuasa X Kadar fidyah (cupak)
2. Bilangan hari tidak berpuasa X (Tahun gandaan) X Kadar fidyah(cupak)
*Tahun gandaan bermaksud bilangan tahun puasa itu telah ditinggalkan tolak satu tahun kerana tahun pertama adalah tahun dibenarkan mengganti puasa. Hanya setelah tiba Ramadan berikut jika masih tidak berganti, barulah fidyah dikenakaN
Contoh :
Tidak berpuasa kerana haid pada Ramadan 1436H (2014) dan puasa ini masih belum berganti sehingga 1438H (2016).
Maka tahun gandaan ialah 1438H – 1436H – 1 = 1 TAHUN, ini adalah kerana dari Syawal 1436H hingga Syaaban 1437H hinggalah tempoh satu tahun yang diperintahkan untuk mengganti puasa.
SIAPAKAH YANG DIKENAKAN FIDYAH ?
1.Uzur Menunaikan Puasa Wajib
Terdiri daripada golongan yang menghidapi sakit kuat dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh, atau golongan tua yang tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya sekali. Fidyah dikenakan pada tahun Ramadan yang sama.
Contoh : Haji Karim pengidap Diabetes yang menjalani dialysis sepanjang Ramadan tidak mampu menunaikan puasa. Maka, fidyahnya dikira sebaik habis Ramadan tersebut pada kadar :
Bilangan hari tidak berpuasa X Kadar fidyah pada tahun tersebut.
30 hari X RM1.80 = RM54.00
2.Wanita Hamil Yang Tidak Berpuasa Kerana Bimbang Keselamatan Bayi Dalam Kandungan
Tidak berpuasa kerana bimbang akan keselamatan bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini dikenakan membayar fidyah sebaik habis Ramadan pada tahun yang sama dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Jika telah tiba Ramadan tahun berikutnya, wanita ini dikenakan fidyah lagi kerana lewat menggantikan puasa.
Contoh : Sepanjang kehamilan anaknya, Puan Rina tidak mampu berpuasa di bulan Ramadan pada tahun itu selama 7 hari. Beliau bimbang keadaan bayi yang dikandungnya. Maka sebaik sahaja Ramadan, Puan Rina dikenakan fidyah pada kadar :
Bilangan hari tidak berpuasa X Kadar fidyah pada tahun tersebut.
7 hari X RM1.80 = RM12.60
Jika Puan Rina DAPAT MENGGANTIKAN PUASA TERSEBUT SEBELUM RAMADAN BERIKUTNYA, maka TIADA FIDYAH dikenakan ke atas Puan Rina.
Tetapi, jika Puan Rina TIDAK MAMPU MENGGANTIKAN PUASA HINGGA TIBA RAMADAN BERIKUTNYA, maka dia DIKENAKAN FIDYAH sehinggalah dia menggantikan puasa tersebut. Katakanlah, Puan Rina hanya dapat menggantikan pusa tersebut 4 tahun kemudian, maka fidyahnya dikira :
Bilangan hari tidak berpuasa X (Tahun gandaan) X Kadar fidyah(cupak)
7 hari X (4 Tahun – 1 Tahun) X RM1.80 = RM37.80 (FIDYAH)
***Fidyah hanya akan berhenti dikira apabila puasa itu digantikan.
3.Wanita Hamil Yang Tidak Berpuasa Kerana Bimbang Keselamatan (kesihatan) Dirinya
Hendaklah menggantikan puasa. Jika masih tidak diganti sehingga tiba Ramadan berikutnya barulah fidyah dikenakan kerana lewat menggantikan puasa.
Contoh : Puan Maria tidak mampu berpuasa selama 10 hari pada bulan Ramadan kerana mengalami alahan teruk semasa mengandungkan bayinya. Keadaan bayi adalah sihat, Cuma kesihatan beliau yang terganggu. Hanya setelah 3 tahun barulah Puan Maria dapat menggantikan puasa tersebut.
Bilangan hari tidak berpuasa X (Tahun gandaan) X Kadar fidyah(cupak)
10 hari X (3 Tahun – 1 Tahun) X RM1.80 = RM36.00 (FIDYAH)
4.Ibu Yang Menyusukan Anak
Tidak berpuasa kerana merasa bimbang akan memudharatkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Golongan ini dikenakan membayar fidyah sebaik habis Ramadan pada tahun yang sama dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Jika telah tiba Ramadan tahun berikutnya, wanita ini dikenakan fidyah kerana lewat menggantikan puasa.
Contoh : Puan Hani mempunyai bayi yang baru berusia 3 bulan dan menyusu penuh. Sepanjang bulan Ramadan, beliau tidak mampu berpuasa selama 15 hari kerana kekurangan susu. Beliau hanya mampu menggantikan puasa ini selepas 2 tahun. Fidyah yang dikenakan ke atas Puan Hani sebaik sahaja habis Ramadan pada tahun itu ialah :
Bilangan hari tidak berpuasa X Kadar fidyah pada tahun tersebut.
15 hari X RM1.80 = RM27.00
Fidyah yang dikenakan kepada Puan Hani kerana lewat menggantikan puasa ialah :
Bilangan hari tidak berpuasa X (Tahun gandaan) X Kadar fidyah(cupak)
5. Orang Yang Telah Meninggal Dunia
Fidyah meninggalkan puasa bagi orang yang telah meninggal dunia boleh dilakukan oleh waris -warisnya jika bilangan hari tidak berpuasa diketahui sebelum pembahagian pusaka dibuat.
Contoh : Puan Rahmah ialah seorang warga emas yang telah terlantar sakit bertahun-tahun dan tidak mampu berpuasa di bulan Ramadan. Pada 13 Ramadan beliau telah meninggal dunia. Maka, fidyah beliau dikira :
Bilangan hari tidak berpuasa X Kadar fidyah pada tahun tersebut.
13 hari X RM1.80 = RM23.40
6.Melambatkan Ganti Puasa (Qada’)
Mereka yang melambatkan ganti puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadhan), dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan.
Contoh : En Jamal telah tidak mampu berpuasa selama 3 hari di dalam bulan Ramadan kerana corak pekerjaannya yang berat. Beliau hanya menggantikan puasanya selepas 10 tahun. Maka fidyah yang dikenakan ke atas beliau ialah :
Bilangan hari tidak berpuasa X (Tahun gandaan) X Kadar fidyah(cupak)
3 hari X (10 Tahun – 1 Tahun) X RM1.80 = RM48.60 (FIDYAH)
Sebak bila Achey dedah isteri serahkan wang gaji ketika bekerja. Terbaru menerusi program realiti TV, Achey memberitahu dirinya sangat kagum dengan pengorbanan suri hatinya...