Isteri polis didakwa cuba racun suami dan ibu mentua, mengaku tidak bersalah. Isteri seorang pegawai polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan dengan cara menggunakan racun terhadap suami dan ibu mentuanya, lima tahun lalu.
Datuk Mou Ei Leen @ Eileen Mou, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Mengikut pertuduhan pertama, ibu kepada dua anak itu didakwa melakukan perbuatan terbabit terhadap suaminya di sebuah rumah di Lorong Seri Kuantan 23 di sini, pada Julai 2019.
Bagi pertuduhan kedua, wanita berkenaan didakwa melakukan perbuatan itu terhadap ibu mentuanya di sebuah rumah penjagaan warga emas di Sara’s Home for The Aged di Lorong Seri Kuantan 59 di sini, pada Jun 2020.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 328 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Aqharie Durranie Aziz, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Bob S Arumugam.
Terdahulu, Raja Zaizul Faridah mencadangkan wang jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis terdekat dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga selesai perbicaraan.
Bagaimanapun, peguam tertuduh merayu jaminannya dikurangkan kerana tertuduh adalah seorang ibu kepada dua anak yang masih bersekolah berusia 12 dan 15 tahun.
Hakim kemudian memerintahkan tertuduh untuk membayar jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan, menyerahkan pasport antarabangsa dalam masa tujuh hari kepada mahkamah.
Tertuduh juga tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan sehingga selesai perbicaraan. Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 27 Jun ini.
Sumber: BERNAMA
Baca juga artikel lain: Polis Langgar Pelajar SPM Gara-Gara Bunyi Ekzos
Ceroboh Balai, Insiden Serang Anggota Polis Berlaku Lagi
Kes pegawai kanan polis didakwa bunuh pelajar dipindahkan ke Mahkamah Tinggi
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE