Curang itu pilihan. Bila mana suami kantoi curang, patutkah isteri beri peluang kedua buat si suami? Berapa ramai isteri yang sanggup memberi peluang kedua bila suami curang apatahlagi jika berlaku berkali-kali.
Ini perkongsian Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie yang boleh dijadikan panduan bersama.
Isteri Patut Beri Peluang Kedua Atau ‘Tak Payah’ Bila Suami Kantoi Curang
“Ini kali pertama suami saya kantoi curang di belakang saya. Suami berjanji takkan ulangi lagi tapi saya rasa tertipu sangat. Perlukah saya berikan dia peluang?” – Soalan daripada salah seorang klien berusia 35 tahun. Merujuk persoalan, manusia bersalah, itu pasti. Manusia tersalah, itu juga satu kepastian yang tidak boleh dikeji.
Hanya dengan kemaafan, kesilapan boleh diterima sebagai air yang mengalir, sejuk dan mendamaikan, tidak lagi menyakitkan hati. Cuma, apakah hanya dengan memaafkan, peluang masih ada? Wajarkah peluang diberi?
Sukar Melupakan
Kebanyakan manusia mampu untuk memaafkan tetapi sukar untuk melupakan dan dalam masa yang sama tidak mampu lagi memberi peluang. Apakah sememangnya sekali tersalah, tiada lagi peluang untuk seseorang itu membuktikan dia telah berubah?
Realitinya, hidup bererti memberi peluang. Koreksi diri, setiap hari kita melakukan pelbagai perkara dan sama ada sedar atau tidak, ada perkara yang menyebabkan kita berdosa kepada manusia malah kepada Allah Yang Maha Berkuasa.
Berulang Kali Membuat Kesilapan
Malah ada manusia yang berulang kali melakukan dosa saban hari hingga ke malam. Tika rasa mengantuk mendatang, kita di’mati’kan sementara dan di’hidup’kan semula awal pagi esoknya.
Walau ada yang ‘tidur’ terus kerana tidak dikembalikan-Nya nyawa, kita yang mampu terus bernafas di muka bumi ini adalah antara yang terpilih dan diberikan peluang untuk mengubah diri menjadi lebih baik – sebagai isteri atau suami, sebagai ibu atau bapa atau anak, sebagai pekerja atau majikan, sebagai jiran atau saudara malah menjadi lebih baik untuk diri sendiri khususnya sebagai hamba yang mengaku beriman kepada-Nya.
Andai Allah SWT masih kekal memberikan kita peluang saban hari dan masa, kenapa kita sebagai hamba tidak berusaha memberikan peluang yang sama?
Dikhianati
Perkara yang paling sukar untuk diberi peluang ialah apabila diri dikhianati pasangan. Dalam banyak keadaan, suami atau isteri terlalu sukar untuk memberi peluang pada pasangan membuktikannya telah berubah.
Walaupun hubungan masih diteruskan tetapi kesilapan silam digunakan sebagai senjata untuk menjerat diri agar tidak percayakan pasangan lagi. Sama juga dengan hubungan persahabatan atau persaudaraan, sekali tersalah seperti dipersalahkan sepanjang hayatnya.
Semua Orang Tak Lepas Daripada Buat Silap
Ramai yang seakan terlupa, rakan anda manusia, musuh anda manusia, pasangan anda manusia, anda juga manusia yang masing-masing tidak lepas daripada melakukan kesilapan. Cinta membuatkan manusia terpedaya, nafsu pula membuatkan manusia buta. Kedua-dua keadaan ini cukup untuk menenggelamkan seseorang. Bezanya sama ada orang tersebut akan terus lemas atau berjaya diselamatkan.
Siapa yang menyelamatkan bukan penentu hala tuju masa depannya kerana yang pasti, Allah masih memberinya peluang dan harapan. Lantas, kenapa kita sesama manusia enggan memberikan peluang dan harapan yang sama?
Hebatkah anda kerana tidak duduk dalam kasutnya, melakukan kesilapan yang pernah dilakukannya? Akuilah kebenaran, hidup kita ibarat roda, ada tikanya kita di atas dan ada masanya kita di bawah. Maafkanlah dan berikan peluang kerana kelak, jika anda di tempat yang sama, akan ada orang lain yang akan memaafkan dan memberi anda peluang yang sama.
Berapa Kali Patut Diberikan Peluang?
Sejauh mana peluang boleh diberi? Sekali? Dua kali? Tiga kali? Sebenarnya, berapa jumlah peluang yang boleh diberi tidak ditentukan had minima malah tidak juga ditetapkan had maksima.
Paling utama, selagi anda berdaya menjadi hamba yang adil dan reda dengan kesan daripada tindakan anda memberikan peluang, anda bebas untuk terus memberikan peluang kepada sesiapa sahaja.
Artikel ini adalah olahan daripada artikel asal Mingguan Wanita
** Artikel ini dikongsikan oleh Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie, juga penulis tetap ruangan RESIPI HIDUP dalam Majalah Mingguan Wanita.
Artikel berkaitan: “Suami Curang Lebih Cepat Mati..”, Pilihlah Untuk Setia, Tentu Tak Berani Untuk Mendua
Suami Curang Sebab Pilihan Sendiri, Jangan Aniaya Pasangan, Isteri Boleh Mohon FASAKH
Suami Curang Sebab Isteri Lambat Masak Pun Boleh Dijadikan Alasan. Sampai Hati!!
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI