Isteri Ni Kalau Orang Luar Mengata Dia Memang Tak Kisah, Tapi Jangan Dari Mulut Suaminya

Share

Serius, seorang isteri memang tak ambil peduli kalau orang sekeliling dia sedap mengata dirinya, tetapi jangan sesekali dari mulut suami. Bergurau pun boleh buat dia sentap!

Silap-silap hari bulan, tak berasap dapur rumah. Haaa… sebab itulah pentingnya suami menjaga emosi kaum mak-mak. Tambah bab komen pasal masakan atau tubuh badan. Janganlah sampai silap cakap.

Tolonglah selami hati seorang isteri melalui perkongsian Puan Intan Dzulkefli kali ini, pasti kaum isteri rasa bertuah ada suami yang memahami hati dan emosinya.

Jangan Mengata Isteri Sendiri

Kadangkala sesetengah suami tidak tahu, bahawa setiap reaksi wajah dan kata-kata yang keluar dari mulutnya memberi impak yang sangat besar buat si isteri.

Impaknya samada membuatkan isteri rasa dirinya punya segalanya mahupun merasakan dirinya tidak punya apa-apa langsung.

Ada suami, apabila marah dan memaksa isteri mengikut keputusannya, dia akan berkata; “Awak kalau tak suka dengan cara saya, tu, pintu tu ada terbuka luas. Tak suka cara saya, awak boleh pergi.”

Impaknya pada isteri? Dia rasa dia menumpang rumah suami. Kemudian mulalah dia fikir. Ya, aku tak ada apa-apa kalau bukan sebab harta suamiku. Aku tak ada gaji, tak ada simpanan, tak ada rumah, tak ada kereta, kalau suami aku halau aku, anak-anak pun tentu dapat ke dia sebab AKU NI TAK ADA APA-APA.

Maaf saya cakap, bukan seorang dua isteri berasa begini akibat tindakan, reaksi wajah dan kata-kata suami. Penghargaan suami buat isteri buat isteri rasa dirinya berharga.

Isteri ni, jika orang luar menghina, mengutuk, membawang tentangnya, dia boleh buat tak endah sahaja. Namun, bukan jika dari suaminya.

Sekali suami kutuk fizikalnya, kata dia gemuk, kata kulitnya kasar, kata rambutnya macam dawai… mungkin tiada satu pun hari setelah itu, dia fikir dia wanita yang cantik walau semua orang memuji kecantikannya. Sebab baginya, kata-kata suami itu yang diambil kira walau bagi suami, dia mungkin hanya bergurau ketika itu.

Kalau Silap Cakap, Inilah Kesannya!

Kesannya mungkin menyebabkan isteri bertambah rendah diri, jati dirinya goyah, apabila orang luar menambah tekanan dan hinaan, dia sudah tidak mampu menepis bahkan akhirnya mungkin jatuh ke lembah depresi.

Wahai suami, perhatikanlah kata-katamu, riak wajahmu, tindakanmu ketika dengan isteri. Seandainya hati isteri itu ada ibaratnya, anggaplah ia seperti kaca yang perlu dipegang dengan hati-hati. Sebabnya isterimu adalah jantung rumahtangga. Emosi dan perkembangan anak-anak bergantung kuat dari si ibu.

Jika emosi si ibu cedera teruk, bayangkan bagaimana ketika dia melayan anak-anak? Seharian menangis, atau marah, atau tidak bersemangat untuk mendidik dan menjaga anak-anak. Dapatkah anak-anak yang ceria, aktif dan berilmu dibentuk?

Untuk para isteri yang rasa rendah diri kerana dikatakan tiada apa-apa. Rumah tak ada, kereta tak ada, emas tak ada, simpanan banyak angka kosong pun tak ada. Hibah takaful pun suami enggan buatkan. Rasa macam hopeless dan useless.

Kadang terfikir nasib diri dan anak-anak bagaimana kalau suami mati, adakah sama macam dalam berita, atau drama yang akhirnya segala harta suami diagihkan ke orang lain dan memaksa mereka pulang ke pangkuan ibubapa yang sudah uzur? Akhirnya akan membebankan ibubapa sendiri pula.

Merisaukan perkara yang tidak terjangkau ini, kalau kita asyik fikirkan setiap masa, boleh jadi akan menimbulkan resah, boleh juga menyebabkan buruk sangka kepada Allah.

Dunia bukan untuk dirisaukan tapi untuk diuruskan. Syukurlah kita masuk syurga bukan menggunakan tiket wang ringgit, harta, kekayaan dan populariti. Allah Maha Baik, kita mungkin masuk syurga juga bukan kerana amalan kita yang compang camping tapi atas dasar KASIH SAYANG ALLAH semata.

Ketahuilah wahai wanita.

ALLAH SAYANG KITA.
ALLAH TAKKAN MENZALIMI KITA.

Kalau tidak percaya, bandingkan hari yang kita mulai dengan tahajud, kemudian solat sunat, solat subuh, kemudian Dhuha, al-Quran. Lazimi al-matsurat, al-Waqiah dan al-Mulk, dengan hari kita tak solat, tak sentuh al-Quran dan sibuk berlagho, cari salah orang, isikan dengan tengok media sosial artis.

Di situ jelas akan nampak beza.

Sebab semakin dekat kita dengan Allah, kita akan rasa kelapangan hati. Ya, kita tetap lalui hari seperti biasa, tak ada selepas buat solat, baca Quran teruslah beri kereta mewah, rumah berbuah-buah.. tetapi rasailah ketenangan dalam hati dan bagaimana kita lihat masalah itu lebih kecil berbanding sekiranya kita menjauh dari Allah.

Besarkan kasih sayang Allah, kita akan nampak Allah membesarkan kasih sayang makhluk untuk kita.

Berserah Pada Allah

Selebihnya, letak tepi dahulu kerisauan, susah hati, fikiran buruk tentang hakikat kita tak ada apa-apa itu. Kerana sebenarnya memang kita tak punya apa-apa melainkan taqwa sahajalah sebagai bekal untuk kita bawa pulang bertemu Allah kelak.

Usaha, tawakal, buat apa yang termampu. Namun, jangan terlalu push hard untuk kejar dunia ini. Kerana kita akan lelah kalau ukur hidup melalui pita ukur orang lain.

Bahagialah dengan cara kita sendiri. Bahkan untuk berbahagia itu mungkin syaratnya sederhana sahaja.

Ketahuilah, tiada yang kurang dalam pemberian Allah kepada kita, melainkan yang kurang hanyalah syukur dan tawakal kita kepadaNya.

Published by
Nadia