Sebagai seorang isteri, kita perlu bijak memainkan peranan dalam mengurus rumah tangga. Setiap orang mendambakan kebahagiaan kehidupan berumah tangga, membayangkan indahnya hubungan suami isteri dan mesranya hubungan dengan anak-anak.
Bagi wanita yang bekerjaya pula mereka perlu bijak mengagihkan masa antara dunia kerjaya dan juga rumah tangga. Pastinya semua ini tidak boleh dilakukan sendirian kerana bantuan dan ihsan daripada seorang suami amatlah diperlukan.
*Kalau ada isu dalam keluarga, hubungan suami isteri, ayah anak dan lain-lain lagi. Kadang kala cara kita menegur kena betul. Skil menegur pun boleh pelbagai. Guna whatsApp, facebook, SMS, menegur cara berbisik dengan anak bukan mengherdik, ‘mengeteh’ bersama dan banyak lagilah. Kena kreatiflah.
*Kita dalam kalangan ibu bapa kena buat orientasi semula sifat dan sikap. Berubah. Banyak yang tak sesuai dan banyak yang perlu disesuaikan. Kalau dulu mungkin marah anak dengan menjerit kuat, mengugut, merotan dan sebagainya. Tapi sekarang kena banyak diplomasi. Banyak berbincang. Banyak memahami.
*Sebetulnya anak kita tidak degil, pasangan kita tidak ego ataupun bongkak, orang sekeliling tidaklah bermasalah. Tapi sebenarnya, kita gagal kenal sifat-sifat personaliti yang Allah SWT anugerahkan setiap daripada manusia dengan keunikan tersendiri. Jadi berurusanlah dengan setiap orang sesuai dengan sifat personaliti mereka.
*Seperkara lagi pelbagaikan skil bergaul dengan pasangan dan anak. Jangan satu corak. Rules and Directions. Command and do. Siapa tahan? Manusia ni ada macam-macam jenis. Ada macam paku. Kena ketuk baru jalan. Ada macam bangau, dok menyalahkan orang lain. Ada macam buah-buahan, bermanfaat pada orang lain.
*Bahasa akademiknya disebut introvert dan ekstrovert. Macam-macam lagilah. Kena fikirkan. Kena sesuaikan. Mahaguru Psikologi Carl Rogers menyebut bahawa fitrah manusia ini semua baik, berpotensi besar. Allah dah ajar pada orang Islam lebih awal daripada Carl Rogers. Nabi pun dah sebut dalam hadisnya.
*Jagalah anak dan keluarga daripada persekitaran yang merosakkan. Kawan dengan penyamun jadi penyamunlah dia. Kawan dengan Pencetus Ummah, dapatlah dia hembusan angin Pencetus Ummah. Ikut kajian 80 peratus daripada personaliti manusia dibentuk oleh persekitaran yang melingkungi manusia. Besar tu.
*Kita jadi macam hari ini sebab apa yang dilalui sepanjang liku kehidupan. Tengok di luar sana. Sebab apa porak-peranda. Apa puncanya? Semuanya dari rumah, dari keluarga, daripada ibu bapa. Cepaatttt!!!! Kita perbaiki, sebelum nasi jadi bubur. Dah rosak modalnya lagi besar untuk perbaiki anak.
*Dah tau laki panas baran, isteri kuat meminta, belajarlah cara menyesuaikan diri. Tegurlah waktu tengah tenang. Jangan jatuhkan ego dia, leteri, mengungkit dan entah apa-apa entah. Wahai suami santunlah rengekan isteri seupayanya, penuh hemah, rasa mulia dengan cinta dan kasih yang agung.
Kenapa jadi begini ya? Mudah saja. Boleh tak kita terangkan isi kitab suci al-Quran sejelasnya. Jawab dalam hati. Kita hanya kenal kulitnya sahaja, bacaannya dan tajwidnya. Baki yang banyak tersimpan tak mampu kita terangkan.
Begitulah juga gagalnya kita menjelaskan personaliti pasangan, anak-anak dan orang sekeliling. Jadi, nak keluarga bahagia, antaranya kena kenal mendalam personaliti setiap ahli keluarga. Terus belajar dan belajar memahami manusia. Senyum selalu. Jumpa lagi.
Sumber: Mohd Azlan Adnan, Perunding Kanan Jelekit Ilmu Training & Consultancy
Artikel berkaitan: Isteri Kalau Nak Merajuk Dengan Suami, Boleh Tapi Jangan Lebih 3 Hari
Isteri Bila Suami Rajin Buat Perkara-perkara Ini Hilang Segala Penat Lelah
Rahsia Isteri Tak Stres & Bosan Buat Kerja Rumah, Suami Kena Letak 4 ‘Mindset’ Ini