Isteri meninggal ketika bersalin anak ke-4, berselang dua minggu suami pula dijemput Illahi. Ajal maut di tangan Allah taala, tidak cepat sesaat dan tak lambat seminit.
Sudah tertulis pasangan ini mahu sehidup semati dan inilah yang berlaku kepada seorang suami, Safry Roslan, 35 yang mengikut jejak sang isteri selepas dua minggu pemergian isteri tercinta.
Isteri Meninggal Ketika Bersalin Anak Ke-4
Dalam kejadian menyedihkan ini, pasangan suami isteri ini meninggal berselang dua minggu dan meninggalkan anak-anak seramai empat orang yang masih kecil. Dalam kejadian di Kampung Seaview, Sandakan ini, Safry Roslan, 35, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2.50 pagi di Hospital Duchess of Kent (HDOK) selepas ahli keluarganya melihatnya tidak sedarkan diri.
“Pada Isnin lalu, arwah kelihatan sihat saja dan pergi kerja seperti biasa. Cuma ada kawan-kawan memberitahu dia bersikap pelik apabila sepanjang hari itu dia bersalaman, meminta maaf dan memeluk rakan-rakan sekerja.
“Ketika di rumah pula, dia bawa kami sekeluarga makan bersama-sama dan turut meminta maaf jika ada salah dan silapnya.
“Pada awalnya saya tertanya-tanya tetapi saya menganggap mungkin dia rindukan arwah isterinya,” katanya.
Berselang Dua Minggu Suami Pula Dijemput Illahi
Bercerita lanjut, Jefrie berkata, arwah abangnya berubah sikap selepas isterinya meninggal dunia.
“Pada malam sebelum dia ‘pergi’, kami bersembang dan dia bercerita arwah isterinya ada bertemu dan mengajaknya ke ‘rumah’ baharu mereka yang cantik.
“Saya anggap mungkin arwah terlalu rindukan isterinya kerana selepas isterinya meninggal, dia kerap bermimpi dan mengigau,” katanya.
Katanya lagi, arwah abangnya tidur sekitar hampir jam 12 tengah malam dan beberapa kali mengigau sehingga terpaksa dibangunkan.
“Dia mengigau sekitar jam 1 lebih pagi, kami bangunkan dia dan duduk sekejap sebelum baring semula tetapi dia terus mengigau. Tidak lama kemudian, tiada kedengaran suara dia mengigau dan terus senyap. Kami pantau keadaannya tetapi dia seperti tidak sedarkan diri.
“Dia sedar sekejap dan menarik nafas kemudian diam. Dalam tiga kali dia begitu,” katanya.
Jefrie berkata, memandangkan keadaan abang agak teruk dan bibirnya mulai pucat, keluarga membawanya ke hospital.
“Kami kemudian dimaklumkan dia sedang kritikal dan meminta kami terus berdoa sementara doktor berusaha tetapi sekitar jam 2.50 pagi, akhirnya abang disahkan telah tiada,” katanya.
Jefrie berkata, arwah abang dikebumikan di sebelah kubur arwah isterinya di Tanah Perkuburan Islam Jalan Aman Sandakan.
“Alhamdulillah, semuanya telah selesai jam 8 malam tadi.Kami tidak mengharapkan apa-apa, kami hanya harap jika ia telah tular sebelum ini, berilah komen yang baik-baik supaya anak-anak arwah sudah besar nanti tahu kisah ibu bapa mereka,” katanya.
Ditanya nasib empat anak arwah yang kini telah menjadi yatim piatu, Jefrie berkata, bayi yang baru dilahirkan itu kini dalam jagaannya bersama isteri.
“Walaupun saya anak keempat dan arwah anak sulung, tetapi kami sangat rapat kerana tinggal bersama-sama.
“Jadi sebelum dia pergi, dia ada berpesan meminta saya menjaga anaknya yang baru dilahirkan itu.
“Tiga lagi anaknya masing-masing berusia lima, empat dan dua tahun kini dijaga oleh nenek mereka,” katanya.
Sebelum itu, pemilik akaun TikTok Abam Botak atau nama sebenarnya, Yunizam Yusop, 36, menerusi satu video yang dimuat naiknya pada Selasa memaparkan van jenazah yang dikendalikannya terlibat dalam pengurusan jenazah arwah.
“Dua minggu lepas si isteri pergi buat selamanya saat melahirkan anak mereka, hari ini suami pula menyusul sama.
“Moga ALLAH jaga anak mereka,” kongsinya dalam video berdurasi 36 saat itu.
Ketika dihubungi, Yunizam berkata, dia tidak menyangka arwah yang menghubunginya dua minggu lalu juga turut menyusul pergi meninggalkan ahli keluarga yang lain.
“Minggu lalu isterinya meninggal dunia, arwah yang hubungi saya untuk pengurusan jenazah isterinya. Saya tidak sangka si suami menyusul pula hari ini.
“Van jenazah yang sama juga digunakan pada dua minggu lalu untuk arwah isterinya dan kali ini untuk membawa Allahyarham,” katanya.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :- Suami Isteri Meninggal Dunia Kemalangan Motosikal, Bayi 8 Bulan Bergelar Yatim Piatu
Isteri Meninggal Dalam Labour Room, Suami Maafkan Jururawat Beri Alasan Mahu Tidur Dulu
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI