Isteri Menangis Tahan Sakit, Sampai Demam, Suami Ikhtiarkan Ubat Hentikan Susu

Seksanya bila ibu yang menyusu badan mengalami bengkak susu. Bila anak sudah melebihi usia dua tahun, ibu membuat keputusan untuk menghentikan susu badan. Proses ini tak mudah ya.. kerana ada ketikanya ibu akan sakit alami bengkak susu sehingga boleh menyebabkan ibu demam.

Mujurlah suami ini, BroOhsem Akhtar Syamir memahami kepayahan isteri. Diusahakan juga mencari ubat walaupun harga ubat yang dibeli itu katanya ubat termahal pernah dibeli. Demi isteri pulih kembali, suami tidak berkira untuk mendapatkannya.

Baca sini : Suami jangan lokek beri isteri ‘me time’, 6 sebab perlu hargai isteri yang penat.

Ubat Termahal Pernah Dibeli

Ini adalah antara ubat yang termahal pernah saya beli. Cuba teka ubat apa?

Tak ramai yang memperkatakan perkara ini. Tetapi bagi saya, ini sangat penting dan perlu diberi perhatian.

Apa jadi apabila anak sudah besar dalam lingkungan 2 tahun ke atas dan ibu yang sebelum ini menyusukan anak sepenuhnya dengan susu membuat keputusan untuk menghentikan susu badan?

Walau apa pun sebabnya, proses ini tidak semudah yang disangkakan. Nak stop susu? Tekan je butang stop kat dada tu, berhentilah susu tu betul tak? Kalaulah..

Ads

Secara realitinya, ia tidak semudah itu. Ia bermula dengan memisahkan anak dengan susu badan. Proses ini pun boleh jadi mudah atau sukar bergantung kepada anak itu sendiri. Ada yang tahan mendengar anak menangis inginkan susu ibu, ada yang tak tahan.

Ada yang letak lemon, bawang putih dan sebagainya untuk membuatkan anak tidak berminat lagi untuk menyusu badan kerana bau lemon atau bawang putih yang kuat.

Apabila berjaya, anak mula menghisap susu formula, masalah baru pula timbul.

Penghasilan susu oleh badan tidak berhenti secara automatik. Ia mengambil masa yang agak lama untuk faham yang tiada lagi keperluan untuk badan meneruskan penghasilan susu.

Buatlah macam mana pun, bercakap dengan dada ke, tekan sana sini cari butang stop ke. Memang tiada.

Ads

Seksanya Isteri Yang Alami Bengkak Susu

Apa yang jadi bila susu terus terhasil tetapi tidak dihabiskan? Sakit. Itu satu perkataan yang paling relevan dengan situasi ini. Terma yang paling biasa digunakan ialah bengkak susu.

Si ibu akan merasa sakit yang amat sangat kerana dada yang membengkak akibat pengumpulan susu yang tidak dikeluarkan.

Dada akan menjadi keras dan amat sakit. Kemudian datang masalah kebarangkalian jangkitan bakteria akibat saluran susu yang tersumbat.

Saya lihat dengan mata kepala saya sendiri betapa seksanya isteri saya menghadapi situasi ini. Menangis dia di sebelah saya menahan kesakitan. Apa sahaja yang mampu saya lakukan, selain cuba menenangkan perasaannya. Sakit ini bukan biasa-biasa sampai boleh demam. Bayangkanlah.

Ads

Semasa anak kedua sebelum ini, kami ada minta nasihat Doktor dan Doktor memaklumkan yang ada ubat di pasaran untuk menghentikan penghasilan susu ini.

Kami tak tahu ubat yang mana sebelum ini dan mujurlah ahli farmasi memberikan ubat yang paling berkesan iaitu DOSTINEX. Harganya mahal dalam RM35 sebiji dan hanya boleh dimakan separuh biji sahaja pada satu masa dan tidak melebihi 2 kali dalam masa seminggu.

Saya juga ada beli alat tuam untuk melegakan kesakitan bengkak tu. Alhamdulillah, untuk anak ketiga kami kali ini, lepas makan ubat, terus kesakitannya semakin berkurang. Tiada lagi tangisan menahan sakit. Tiada lagi demam dan kesakitan.

Guna Petua Lama Juga Untuk Redakan Rasa Sakit

Satu tip untuk yang melalui keadaan yang sama seperti ini, boleh guna daun kobis untuk melegakan kesakitan. Letak sahaja di atas dada yang sakit dan tukar apabila ianya sudah panas kerana dada yang bengkak itu sememangnya akan menjadi panas.

Ini bukan sahaja penting untuk ibu yang nak berhenti susu kerana anak sudah besar, tetapi juga buat ibu yang keguguran atau yang menghadapi kematian anak selepas bersalin.

Semoga dapat memberi manfaat. Kongsikan penulisan ini supaya kita dapat memudahkan urusan orang lain juga. In Shaa Allah.

Sumber/Foto : Akhtar Syamir dan isteri Nora Azni yang selalu menulis mengenai hubungan suami isteri, kekeluargaan, emas dan isu semasa. Sertai Supergroup Telegram BroOhsem Fans untuk membolehkan anda berinteraksi dengan lebih rapat lagi :  http://t.me/broohsemfans

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI