Dalam perkahwinan, setia memang sangat penting. Namun, bagaimana jika suami atau isteri itu setia 'membuta tuli' hingga akhirnya membawa keburukan pada diri sendiri di kemudian hari?
Tahun 2020, genap 22 tahun saya berkecimpung dalam kerjaya sebagai Perunding Kekeluargaan, Perkahwinan Dan Guaman Syarie. Sepanjang tahun 2019 yang baru berlalu, ada dua kes yang betul-betul mencabar rasa sabar saya – ada rasa nak goncangkan badan klien agar sedarlah diri dan sayangkanlah diri sendiri lebih daripada sayangkan suami.
Isteri Tanggung Semua
Kenapa? Dalam kedua-dua kes tersebut, satu kes dengan usia perkahwinan 23 tahun dan satu kes lagi, usia perkahwinan 35 tahun, dah ada menantu dan cucu pun.
Persamaan kedua kes ialah kedua-dua suami dalam kes tersebut tidak bekerja sejak daripada awal perkahwinan dan segala pembiayaan keperluan rumah tangga, isteri dan anak-anak termasuklah keperluan si suami, ditanggung oleh si isteri yang berusaha menjalankan perniagaan bermula dengan kecil-kecilan hingga mampu mengumpul pelbagai harta – rumah, kereta dan tanah.
Ironiknya pula dalam kedua-dua kes tersebut juga, semua harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan tersebut adalah atas nama suami. Alasan diberikan oleh kedua-dua isteri – "saya ikhlas sayangkan suami…"
Membabi Buta
Saya tak pasti luahan rasa anda para pembaca, tapi yang jadikan saya beremosi – bukan sedih tapi marah dan geram – ialah kerana kesetiaan si isteri yang membuta tuli!
Betullah! Isteri perlu taat kepada suami. Secara mudah maksud taat ialah setia kepada si suami. Sabda Rasulullah s.a.w: "Sekiranya aku boleh menyuruh seseorang supaya sujud kepada orang lain tentu sekali aku akan menyuruh isteri sujud kepada suaminya." – hadis riwayat Abu Daud dan al-Hakim.
Hadis ini menjadi satu bukti betapa isteri perlu taat dan setia kepada si suami. Namun, ada pengecualiannya. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Tidak boleh mentaati mahluk dalam perkara menderhaka kepada Allah SWT." – hadis riwayat Ahmad.
Tapi dalam kes tadi, tak ada pula suami menderhaka kepada Allah SWT. Mungkin itu antara yang difikirkan oleh pembaca, betul tak? Siapa kata tak ada?
Abai Tanggungjawab
Merujuk semula kes tadi, si suami telah mengabaikan tanggungjawab yang perlu dan wajar dilaksanakannya buat isteri dan anak-anak antaranya menyediakan keperluan makan minum yang sempurna dan menyediakan tempat tinggal yang sempurna. Bermaksud si suami telah menderhaka kepada Allah kerana sengaja cuai dan gagal melaksanakan hak isteri dan anak-anak. Dalam keadaan ini, si isteri tidak perlu lagi taat. Tak perlu lagi setia malah wajib berjuang bagi mendapatkan haknya dan anak-anak.
Mungkin pembaca terfikir, kalau dah ikhlas, kenapa pula kedua-dua isteri tersebut bertemu dengan saya? Sebab kedua-dua suami yang ditatang bagai minyak yang penuh itu telah berkahwin lagi di sempadan dan sedang berseronok menghabiskan harta diusahakan oleh si isteri yang kononnya setia tadi.
"Tahu tak kenapa Allah izinkan suami akak kawin lagi? Akak fikirlah…kalau lah suami akak tak kawin lagi, akak takkan rasa pun suami akak tu tak bertanggungjawab…akak rasa suami akak baik je…akak pun tak de rasa dia tu sebenarnya sedang aniaya akak…". Jawapan sama buat kedua-dua wanita yang hanya mampu tersenyum kelat.
Islam tentukan suami bertanggungjawab berusaha bagi menjaga kebajikan isteri dan anak-anak termasuk membiayai segala keperluan isteri dan anak-anak. Tatkala tanggungjawab tersebut dibiarkan sepi dan isteri pula dengan gagah berusaha mengambil alih tanggungjawab tersebut atas alasan sayang dan setia, suami tidak lagi merasakan susah dengan perkahwinan malah rasa seronok dan teruja sebab hidupnya lebih senang. Sebab tu juga si suami berusaha menambah cawangan, kalau-kalau boleh tambahkan lagi kesenangan.
Janji Pada Allah
Pesan saya buat para isteri; kalau betul sayangkan suami, pastikan suami melaksanakan tanggungjawabnya yang perlu sebab suami bukan saja memegang janji dengan anda sebaliknya berjanji dengan Allah menerusi akad ijab dan qabul tika nikah dulu.
Jika suami gagal taati Allah dan Rasul-Nya, apa jaminan dia akan menjadi suami anda yang baik? Usahakan agar suami laksana tanggungjawab seperti saranan syariat, insya-Allah, biar hidup cukup-cukup makan tetapi bahagia anda akan berpanjangan dan kekal dalam keharmonian.
Usah jadi lilin yang membakar diri menerangi orang lain. Relevankan setia anda seperti lampu kalimantang yang hanya akan berfungsi menerangi ruang anda jika anda setia membayar bil TNB anda!
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI