Isteri Leka Main Handphone Lupa Gosok Baju Kerja, Suami Ugut Sembelih!

Share

‘Bahaya’ sebenarnya bila leka bermain handphone, kerja rumah pun boleh jadi bertangguh dan lambat siap. Sampai suami isteri pun sampai boleh bergaduh!

Gara-gara leka dengan telefon bimbit sehingga terlupa menggosok baju suami, seorang wanita diugut sembelih di kediaman mereka di Seberang Takir, Kuala Nerus, semalam. Bukan itu saja, suspek turut menghambat anaknya dengan parang apabila cuba meleraikan perkelahian yang tercetus lagi selepas lelaki itu pulang dari kerja.

Baju Kerja Belum Bergosok

Menurut sumber, dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, suspek berusia 44 tahun itu sedang bersiap untuk ke tempat kerja apabila mendapati bajunya masih belum bergosok.

Ini menyebabkan suspek yang sudah terlewat, mengamuk dan memarahi isterinya yang berusia 38 tahun sebelum bertindak mengambil telefon bimbit wanita itu.

Wanita itu memujuk suaminya memulangkan semula telefon bimbitnya, namun suspek memaki hamun, mencekik dan menampar mangsa.

“Kekecohan yang berlaku disedari anak sulung pasangan berkenaan yang kemudiannya membantu meleraikan pergaduhan itu.

“Kemarahan suspek tidak berakhir di situ apabila dia pulang dalam keadaan marah kira-kira jam 9 malam itu.

“Suspek dikatakan menuduh mangsa menceritakan kejadian pagi itu dan masalah rumah tangga mereka kepada orang lain,” katanya.

Ugut Sembelih

Sumber itu berkata, suspek yang masih tidak berpuas hati mengambil sebilah parang lalu mengacukannya ke leher isterinya sambil mengugut akan menyembelih mangsa suatu hari nanti.

Pada masa itu, anak sulung mereka yang melihat kejadian itu bertindak memarahi suspek menyebabkan dia semakin berang lalu mengejar anaknya yang sempat lari menyelamatkan diri.

“Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Gong Badak untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abd Rahim Md Din, ketika dihubungi, mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

MW: Pesanan buat mak-mak dan para isteri, seeloknya siapkan kerja-kerja rumah yang patut disediakn dan disiapkan dahulu, barulah tengok handphone. Bukan apa, bila dah layan handphone memang leka.

Sumber: Bharian, Sinar Harian

Published by
Suhaidah Abd Wahab