
Isi Kandungan
ToggleKuat sentap? Apa tu? Mengikut Definisi Dewan Bahasa dan Pustaka, dentap ialah menarik dengan kuat. Namun jika dikaitkan sikap seseorang, yang dikatakan sentap atau tersentap itu terjadi apabila kita rasa sakit hati, terasa dengan sindiran, nak marah tak tentu pasal ataupun terkejut dengan kenyataan seseorang.
Orang yang kuat sentap ini terlalu emosi, sensitif dan tidak boleh menerima teguran walaupun teguran itu sekadar gurauan, terlalu mengikut perasaan dan kuat merajuk.
Sebagai seorang suami, kadangkala bosan dan penat juga bila berdepan dengan sikap isteri yang terlalu sensitif dan kuat sentap. Pantang silap, dia akan sentap dan merajuk. Aduh, bagaimana ye?
Bukan Sempurna
Anda kena ingat, isteri juga manusia biasa yang ada banyak kekurangannya. Sama seperti diri anda. Sebagai pasangan, anda perlu terima kekurangan masing-masing. Nak tak nak, anda perlu jalankan tanggungjawab anda untuk mendidik isteri dan mengubah sikap mereka yang tidak elok itu.
Kenal Pasti Punca
Apa puncanya isteri anda teramat sensitif sehingga dia mudah tersentuh hati dan sentap walau pun dengan anda suaminya sendiri. Mungkin isteri mengalami tekanan yang tidak dapat diluahkan. Jadi sentiasa cuba berbual dengan isteri agar dia ada tempat untuk meluahkan segala apa yang dia rasa. Jangan sampai dia memendam seorang diri.
Elakkan Perkara Ini, Walaupun Niatnya Cuma Bergurau
Sebagai suami sudah pasti anda tahu apa yang isteri suka dan tak suka. Kalau dah tahu isteri tak boleh ditegur bab penampilan fizikalnya, elakkan menyentuh tentang perkara itu walau pun niat anda sekadar untuk bergurau.
“Mummy ni comel lah, dah macam teddy bear papa tengok.”

Gerenti dia akan sentap dan merajuk. Mana taknya, perkataan ‘teddy bear’ itu merujuk kepada bentuk badan yang tembam dan montel. Jadi, awas bila bergurau ye wahai suami!
Tegur Berhemah
Sikapnya itu boleh menjadi bertambah buruk. Bayangkan kalau dia bersikap yang sama dengan orang lain. Pasti orang tak selesa dengan dirinya. Pantang bergurau atau orang bercakap sesuatu yang tidak disukai tentang dirinya, terus dia terasa hati dan sentap.
Kena belajar berlapang dada dan isi diri dengan aura positif. Jangan anggap buruk terhadap komen dan gurauan orang yang mungkin tak bermaksud apa-apa. Kalau bersembang serius sepanjang masa, tak syok juga kan?
Ada masanya pula dia sentap dan merajuk bila kehendaknya tak dipenuhi. Sebagai orang yang paling rapat, sentiasa nasihati dia. Bukan semua perkara berlaku mengikut kehendaknya sahaja. Begitu juga dengan orang lain. Jadi, bila kehendaknya tak dituruti, jangan pula terasa hati dan sentap.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Abang Nanti Jangan Lupa Datang Sekolah, Zulfa Ambil UPSR Hari Ini..”

Isi Kandungan
ToggleCatatan seorang bapa, Muhamad Ammar Kamilin (Ammar Kamilin) tentang anak sulungnya yang bakal mengambil keputusan peperiksaan UPSR boleh buat empang air mata ini pecah.
Terasa cukup dekat di hati. Andailah si manis Zulfa ini anak kita. Yang sudah berusaha sehabis baik, namun rezeki tidak memihak padanya. Apakah kekuatan mak ayah dapat salurkan agar anak itu tidak remuk hati.
Moga ada kisah pengajaran yang dapat dititip menerusi catatan tulus ikhlas seorang bapa ini.
Encik Ammar Tak Pergi Ambil Result Anak?
Saya terbaca sebaran poster kenyataan Dato Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia. Beliau berpesan supaya pada hari keputusan UPSR diumumkan, tidak perlu diadakan majlis khas meraikan pelajar cemerlang 6A sedang ratusan calon murid UPSR lain hanya memerhatikan dengan perasaan diri mereka tidak dihargai.
Betapa saya merasai pengalaman ‘getir’ itu sebelum ini. Bukan sebagai murid. Tetapi sebagai bapa.
Pada hari itu, subuh lagi isteri sudah berpesan, “Abang, nanti jangan lupa datang sekolah. Zulfa ambil UPSR hari ni.”
Saya hanya angguk dan senyum. Mana mungkin saya lupa. Kali pertama dalam hidup anak sulung menerima keputusan peperiksaan besar.
Pagi itu, saya ke pejabat dulu. Rakan sepejabat pelik melihat saya masih berlegar-legar di meja.
“Encik Ammar tak pergi ambil result anak?”
“Relakslah. Bukannya keputusan keluar terus. Menteri umum dulu, baru result boleh ambil.” Terus menyambung kerja-kerja yang sedang menunggu.
Henfon berpusing di meja diiringi deringan lagu lembut. “Abang, dah gerak dari ofis belum?”
“Belum. Baru nak gerak.” Sambil menolak kerusi merapat ke meja.
“Result dah boleh tengok online. Tapi Ryn tak berani nak tengok. Kalau abang nak tengok, tengoklah. Tapi jangan beritahu Ryn.”
Lif dari tingkat 7 turun ke B1 hari itu terasa sangat perlahan. Jantung berdegup lain dari biasa. Detak dan berombak seperti berlari.
Ya, saya gugup.
Zulfa Sederhana Saja Di Sekolah
Dari darjah 1 hingga 6, sering juga berpindah kelas. Pernah merasai kelas tertinggi semasa darjah 5, tetapi turun ke kelas kedua untuk menghadapi UPSR.
Tiada apa yang istimewa pada pencapaian. Jarang dia menerima anugerah akademik. Tetapi saya tidak boleh menyangkal seperkara. Dia anak rajin dan tak banyak soal. Diminta belajar, dia belajar. Diminta menolong kerja di rumah, dia menolong.
Walaupun akademik sederhana, tidak pernah saya rasa mahu memarahi Zulfa.
Dalam perjalanan balik dari sekolah selepas KAFA, dia akan tertidur kepenatan di dalam kereta.
Sampai saja di rumah, terus mandi dan menyelesaikan kerja-kerja sekolah tanpa disuruh.
Tiba maghrib, dia berhenti solat sendiri. Selepas makan malam, sambung semula menyiapkan kerja sekolah.
Ada hari, apabila tiada kerja sekolah, dia menilik jadual belajar di dinding dan terus membuat latihan dalam buku aktiviti. Tanpa suruh.
Ada masa, dia minta saya mengajar apa yang sukar dia fahami. Tanpa sedar, kadang-kadang saya tertidur atas katilnya. “Abah, Zulfa nak tidur.” Saya melihat jam dinding, pukul 12 malam.
Hari minggu, dia selalu memujuk rayu minta untuk belajar di rumah kawan. Jika tidak diizin, monyok sepanjang hari.
Bukan kami tak sokong, tetapi jarak rumah ke Putrajaya bukannya dekat. Rasanya, cukup setiap hari, abah mama berulang alik untuk kerja. Tidak betah rasanya hari minggu masih memandu jauh.
Tapi rajuknya sebentar. Sedang kami leka, dia sudah di dalam bilik, belajar sendiri.
Untuk anak yang begini, apa lagi mahu saya paksa.
Lalu, fahami saja jika saya gugup pagi itu.
Bagaimana Mahu Berhadapan Dengan Zulfa
Sebagai bapa, saya boleh menerima apa saja. Dengan usaha Zulfa, saya tidak menyesal apa-apa. Saya sudah melihat prosesnya. Hasilnya hanya bonus bagi saya.
Tetapi dia. Bagaimana dia?
Bukankah di mana-mana pun orang berkata, usaha tangga kejayaan. Mudah fahamnya, berusaha, pasti berjaya. Jika sudah usaha, tetapi tidak berjaya?
Saya tinggalkan soalan itu begitu saja. Kerana berjaya itu luas tafsirannya.
Lagipun, beberapa minggu sebelum itu, Zulfa pernah berbincang hati ke hati dengan saya. Dia sudah usaha, dia terima saja apa keputusannya. Ketika itu saya sudah lega. Harapnya apabila hari itu tiba, dia benar-benar kota apa dikata.
Ikon Google Chrome di henfon saya sentuh dan biarkan ‘loading’. Alamat url yang disebut isteri saya taipkan satu persatu. ‘Enter’. Paparan telah tersedia. Masukkan no. IC dan angka giliran, keputusan dipaparkan.
Lama saya duduk dalam kereta yang enjinnya telah dihidupkan. Sungguh saya tidak kecewa. Tidak. Saya sedang mencongak-congak bagaimana mahu berhadapan Zulfa. Apa yang saya lihat terpapar di skrin sudah saya redhakan. Sekarang ini, ayat apa mahu saya ucapkan nanti.
“Abang, guru besar belum balik dari pejabat PPD untuk ambil keputusan. Tapi Ryn dengar ‘result online’ dah keluar. Abang dah tengok?”
“Dah.” Perlahan dan bergetar. Isteri, dari intonasi saja sudah terbaca di hati apa yang saya cuba sampaikan dari getar itu.
“Allah bang…” Itu saja yang terungkap dari mulut isteri selepas saya didesak untuk memberitahu keputusannya. Aneh juga wanita bergelar ibu. Satu masa dia berpesan seperti tak mahu peduli. Tidak lama dia pula mendesak untuk mengetahui.

Ya Allah, Teruji Sungguh Hati Ini
Ketika itu, saya seperti baru memahami apa perasaan seorang doktor yang sudah tahu pesakitnya menghidap kanser tahap 4 dan didiagnos sukar untuk diubati lagi. Perasaan mahu mengkhabarkan berita itu, seperti pedih menoreh dada.
Dari jauh, saya mendengar pengumuman nama anak-anak bertuah yang memperoleh 5A. Menaiki tangga menuju dataran sekolah, terhidang di hadapan saya deretan anak-anak yang sedang duduk beratur menunggu nama masing-masing dipanggil.
Saya mencari kelibat Zulfa dan menangkap dia sedang bergelak ketawa mengusik rakan-rakan dalam barisan yang berada sedikit ke tengah.
Dia sedang enak ketawa dan hati saya pula sedang mendung. Dia masih belum tahu keputusan, sedangkan saya masih gagal menemui kata terbaik mahu diungkapkan.
Zulfa terpaling ke arah saya, melambai-lambai dan menunjukkan ibu jari tanda bagus. Itu keyakinan dia ketika itu.
“Ya Allah, teruji sungguh hati ini hari ini.” Saya hanya mampu bersandar pada dinding.
Selepas menamatkan bercakap dengan ibu seorang pelajar, isteri datang merapati, “Bang, tengok Zulfa tu bang. Dia seronok lagi tu. Tak tahu apa. Kesiannya dia bang.” Mata isteri mula berair.
Saya memerhati Zulfa dari jauh. Kepalanya terdongak-dongak menanti namanya dipanggil. Sesekali dia bertanya kawan hadapan, nama siapa yang disebut apabila tidak dapat mendengar dengan jelas. Kawan sekeliling yang tadi ramai, sudah mula bangun seorang demi seorang meninggalkan dia. Yang dapat 4A sudah. Yang dapat 3A sudah. Sedang diumum mereka yang 2A. Dia mula gelisah.
“Allah, Allah, Allah…” Itu saja mampu saya dalam hati. Kau takkan mampu untuk pandang wajah dia yang sedang menanti itu.

Zulfa memandang saya dari tempat duduknya. Kali ini, pandangannya tidak seceria dan bercahaya seperti awal tadi. Dia seperti sudah mengagak sesuatu. Jika kau pernah lihat wajah anak yang sedang bersalah, itulah wajah Zulfa ketika itu. Cuma kali ini, dia tidak salah, dia tidak berbuat apa dosa pun. Dan itu yang menyebabkan airmata seorang ayah hampir tumpah.
Sebaik saja slip peperiksaan bertukar tangan, barulah wajah putih tadi mula merah. Saya membiarkan saja dia memilih bahu siapa yang mahu dipinjam. Ternyata bahu yang diperlukan adalah ibu. Berlaku drama airmata yang kehilangan skrip. Tiada sebarang kata-kata, hanya pelukan penuh emosi hiba.
Ku Selemah-lemah Manusia
Saya berjaya mengawal ‘ego’ seorang lelaki pada pagi itu hanya untuk menanti akhirnya airmata itu tumpah pada waktu berdoa selepas solat maghrib berjemaah.
“Ya Allah, kami bersyukur dengan apa yang telah engkau rezekikan kepada kami ya Allah. Selepas segala usaha, jika ini yang kau berikan pada kami, penuhkan hati kami dengan rasa cukup ya Allah. Tidak ada kuasa yang mampu memberi bahagia melainkan engkau ya Allah.
Tanpa dirancang, saya berpaling ke belakang dan menitipkan doa khusus untuk Zulfa ketika itu.
Ya Allah, Zulfa sudah berusaha sebaiknya ya Allah. Dia sudah redha dengan hasil yang diperolehi ya Allah. Kau kuatkanlah hatinya ya Allah. Jangan kau padamkan api semangatnya yang mahu terus menimba ilmu-Mu ya Allah.
Sesungguhnya, kami sangat LEMAH ya Allah…. ”
Sebut saja perkataan LEMAH, serentak itu juga, jatuh habis airmata yang dari pagi diempang. Saat itu, sebagai bapa, betapa saya sedar, sekalipun kau manusia boleh berusaha tanpa batas masa, menghimpun segala kepandaian manusia, merancang strategi ‘pasti berjaya’, apabila akhirnya Allah putuskan begitu, maka begitulah! Kau tidak akan berdaya. Kau selemah-lemah manusia.
Lama saya terhenti. Jelas ada esak tangis juga di belakang saya. Ya, ego manusia jatuh. Mana lagi mahu meminta pertolongan jika bukan dari-Nya.
Saya serahkan sepenuhnya urusan untung nasib persekolahan anak saya seterusnya pada Allah.
Ketika itu, baru terasa betapa nikmatnya hati yang bulat sepenuhnya, lillahi taala.
Selepas Setahun Ini Yang Jadi
Alhamdulillah… Selepas satu tahun, saya mula nampak mengapa Allah menyusun apa yang berlaku sedemikian rupa. Di sekolah menengah, Zulfa sangat berbeza dari dia yang saya kenal di sekolah rendah sebelum ini.
Potensinya dicungkil dalam pelbagai bidang. Mendapat rakan-rakan sekolah yang bagus akhlak. Dia seperti tidak terkesan langsung dengan apa yang berlaku tahun sebelumnya. Saya lega.
Cukuplah sekali itu. Saya memang berharap keputusan peperiksaan tidak lagi diumumkan sedemikian rupa. Serahkan saja keputusan peperiksaan mengikut nama kepada anak murid dan biarkan mereka membaca sendiri keputusan mereka.
Mana yang keputusannya cemerlang, sekolah boleh raikan dalam satu majlis khas buat mereka kemudian dari itu. Tidaklah murid lain yang menunggu terpinga-pinga.
Tidak mahu lagi ada bapa atau ibu lain yang merasai apa yang saya rasa.
Siapa rakan di KPM, sampaikan salam pada YB Menteri. Saranan beliau saya hargai.
Agar Tak Salah Faham
Saya bercakap dalam KONTEKS mengadakan majlis meraikan itu serentak ketika mengumumkan keputusan. Ini yang saya mohon ditiadakan.
Jika mahu diraikan selepas mendapat keputusan. Silakan. Saya sendiri selalu hadir menemani isteri yang menjadi AJK PIBG. Tiada secebis dengki pun.
Kami tumpang bangga dengan anak-anak berpotensi ini.
Sumber/Foto : Facebook Ammar Kamilin
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ibu Meninggal Dipatuk Ular Tedung, Bayi Dalam Kandungan Berjaya DiSelamatkan Melalui Pembedahan

Isi Kandungan
ToggleUmurnya panjang. Walaupun ibunya meninggal dipatuk ular tedung, bayi dalam kandungan berusia lapan bulan berjaya diselamatkan melalui pembedahan.
Kejadian yang berlaku di Manila, Filipina ini dianggap sebagai keajaiban kerana bayi ini mampu bertahan walaupun ibunya telah maut setelah dipatuk ular berbisa tersebut.
Bayi Dalam Kandungan Berjaya DiSelamatkan Melalui Pembedahan
Seorang bayi dalam kandungan berusia lapan bulan yang terdedah kepada bisa ular tedung selar selepas ibunya digigit reptilia itu berjaya diselamatkan menerusi pembedahan Caesarean kecemasan, lapor akhbar Mirror UK semalam.
Bayi perempuan di Manila, Filipina, sepatutnya dilahirkan pada bulan hadapan disifatkan sangat bernasib baik apabila masih hidup selepas ibunya disahkan mati akibat gigitan maut itu.
Ibunya tiba di Hospital Daerah Diffun, wilayah Quirino pada 4 Ogos lalu dan disahkan mati namun bayinya masih lagi mempunyai denyutan jantung namun lemah akibat bisa yang menular.
Ibu Meninggal Dipatuk Ular Tedung
Pasukan perubatan bertindak pantas apabila menjalankan pembedahan Caesarean kecemasan dan segera mengeluarkan bayi itu untuk menyelamatkan nyawanya.
“Seorang ibu hamil yang digigit ular berbisa dibawa ke sini tanpa denyutan nadi dan disahkan mati.
“Pada penilaian Pengarah Hospital, Dr. Moises Lazaro, memilih menjalankan pembedahan caesarean kecemasan sekali gus menyelamatkan nyawa bayi itu,” demikian menurut jurucakap hospital.
Bayi itu kini berada dalam keadaan stabil dan dipindahkan ke hospital wilayah yang lebih besar di mana dia dimasukkan ke unit rawatan intensif neonatal kerana lahir pramatang. – Agensi
Baca Juga Di Sini:
Wanita Dipatuk Ular Sawa Yang Menumpang Teduh Dalam Mangkuk Tandas!
Mengadu Jatuh, Ingatkan Terseliuh, Rupanya Kaki Anak Bengkak Digigit Ular Ketika Berbasikal
Ngeri, Ular Sepanjang 1.2 Meter Masuk Dalam Mulut Wanita Semasa Tidur!
ULAR SAWA 1 Meter, Pilihan Mas Kahwin Pasangan Pengantin Pencinta Reptilia!
Mingguan Wanita : Tindakan pantas pihak hospital harus dipuji kerana berjaya menyelamatkan nyawa bayi dalam kandungan. Semoga bayi ini kuat meneruskan hari mendatang tanpa ibunya di sisi.
Sumber : Kosmo Online

Mingguan Wanita juga boleh diikuti di
YouTube : https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial
Telegram: https://t.me/bangkitwanitaMW
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita
Instagram: https://www.instagram.com/mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
‘Warna Sebenar’ Seorang Lelaki, Lihat Bagaimana Layan Isteri Sewaktu Hamil & Berpantang

Isi Kandungan
ToggleMemang ada benarnya ‘warna sebenar’ seorang lelaki boleh dilihat, bagaimana dia melayan isterinya sewaktu hamil dan berpantang. Kehidupan rumahtangga penuh dengan warna warni. Untuk mendapat keserasian di antara suami isteri itu tak mudah.
Beruntung isteri yang dapat suami cukup memahami dah faham erti tanggungjawab dan amanah sebagai ketua keluarga. Lebih-lebih lagi ketika isteri sedang hamil, berjuang melahirkan zuriat dan sepanjang melalui tempoh berpantang. Kerana dari situlah, sikap sebenar seorang lelaki jelas kelihatan.
Baca perkongsian daripada Puan Intan Dzulkefli ini sebagai panduan;
Antara waktu paling mudah untuk melihat ‘warna sebenar’ seorang lelaki ialah, lihatlah bagaimana dia melayan isterinya sewaktu hamil dan berpantang.
Adakah dia santun dan sabar melayan? Atau sebaliknya? Adakah dia merasa kasihan atau dia rasa isterinya cuma mengada-ngada?
Hal ini kerana waktu itulah isteri dalam keadaan paling perlukan bantuan, ‘morning sickness’, ‘postpartum blues’, dilema ‘postpartum body’, sakit sana sini dan lemah tubuh badan – setelah melahirkan.
Ibu mentua juga, waktu inilah dia akan rasa lapang dada sekiranya melihat menantu bertanggungjawab menjaga keperluan anak isteri, atau rasa amat tersakiti apabila anak perempuannya dilayan dan ’dibuang’ seperti kain buruk.
Waktu isteri sakit dan tak berdaya si suami hantar ke kampung, atau dibiarkan berdikari sendiri tanpa ambil tahu keperluan belanja kewangan, mahupun kesihatan emosi dan mental isteri. Namun, apabila isteri sudah sihat, langsing, bersih, cantik selepas habis pantang – dialah ibarat kucing miang yang tak diundang datang. Tak tahu malu!
Isteri Takkan Lupa Layanan Suami
Apapun, ingatlah wahai suami. Para isteri takkan melupakan bagaimana akhlak dan layananmu waktu mereka dalam keadaan ini; iaitu sewaktu mengandungkan zuriatmu dengan susah payah, waktu dalam kesakitan untuk bersalin serta sewaktu proses penyembuhan selepas melahirkan zuriatmu. Ia merupakan sebuah perjuangan antara hidup dan mati – yang ramai kaum lelaki ambil mudah.
Menyantuni isteri yang hamil dan berpantang ini merupakan detik ujian untuk para suami juga sebenarnya, agar bersifat empati, meskipun mereka tidak mengerti segala kesakitan dan kepayahan itu kerana tidak merasakan sendiri bagaimana lelahnya membawa kandungan yang membesar, atau bagaimana dahsyatnya sakit waktu melahirkan dan peritnya luka-luka akibat proses itu.
Tahniah buat para lelaki yang berempati dan menghormati dengan wanita (umumnya) serta isterinya sendiri, secara khususnya. Semoga Allah ganjarkan sebaik-baik ganjaran buat suami yang santun meraikan kepelbagaian emosi isteri, sabar dan sentiasa setia dengan isteri walau dalam keadaannya yang paling teruk waktu hamil dan selepas bersalin.
Didik Anak Lelaki Dengan Kefahaman Agama
Harapanku, buat para ibu dan bapa yang Allah anugerahkannya zuriat lelaki, ayuhlah sama-sama berazam untuk mendidik anak-anak lelaki kita dengan kefahaman agama agar generasi lelaki qawwam yang akan melindungi, menghormati dan mendidik para wanita tidaklah pupus.
Para bapa, usahakanlah untuk menjadi figura contoh – diteladani oleh anak kandung, disegani oleh anak menantu.
Ya Allah perkenankanlah.
Ya Allah permudahkanlah.
Sabda Rasulullah SAW; “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku. Dan apabila salah seorang daripada ahli keluarga kalian meninggal dunia, maka biarkanlah dia (tinggalkanlah dia dan jangan berbicara tentang keburukannya)” (HR al-Tirmizi) – hadis sahih

Mesti Baca:Baru Seminggu Bersalin Kembar, Layanan Suami Buat Dr Halina Rasa Macam Honeymoon
Baca Lagi Di Sini:“Suami Peluk Dan Sayangi Isteri, Wanita Yang Allah Jadikan Sensitif. Jiwa Mereka Lembut”
Artikel Menarik:Sedihnya ISTERI Berpantang, SUAMI Diam-Diam BUKA Ruang Pada Orang KETIGA
Mingguan Wanita:Semoga perkongsian ini bermanfaat! Memang ada benarnya, ‘warna sebenar’ dan sikap lelaki sebagai seorang suami itu dapat dilihat dengan jelas, sewaktu bagaimana dia melayan isterinya ketika hamil, bersalin dan dalam pantang.
Sumber:Intan Dzulkefli
Follow kami di Facebook , Website , Instagram, YouTube , Twitter , Telegram MW dan TikTok Mingguan Wanita untuk mendapatkan info, berita terkini serta artikel-artikel menarik.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI