Ramai isteri kian hilang rasa hormat pada suami. Isteri tidak akan ‘suka-suka’ bersikap begini jika tidak ada perkara yang suami lakukan sehingga isteri bertindak sedemikian. Ia berpunca daripada sikap suami itu sendiri yang menghilangkan rasa hormat isteri kepada sang suami.
Untuk faham lebih lanjut hadamkan perkongsian daripada Pendakwah terkenal Ustazah Asma’ Harun ini sebagai panduan.
Sesetengah suami menggunakan alasan itu semua takdir untuk menghalalkan perbuatan yang dilakukan, tetapi sebenarnya setiap tindakan manusia adalah pilihan. Jika suami banyak melakukan perkara yang merosakkan rumah tangga dengan sengaja atau mempunyai matlamat tersendiri, maka wajar seorang isteri hilang rasa hormat terhadap suami.
Kagum Wanita Berusaha Sabar & Kekal Kuat Demi Anak-Anak
Saya sangat kagum dengan wanita-wanita yang menghadapi dugaan seperti ini. Mereka berusaha untuk bersabar dan kekal kuat demi rumah tangga serta anak-anak. Namun tidak bermakna, mereka perlu menelan semua tohmahan dan derita yang diberikan suami bulat-bulat.
Saya pernah terbaca luahan seorang wanita yang mengadu tentang suaminya, berkahwin selama lebih 20 tahun tetapi sangat sabar dengan sikap suami yang panas baran, kaki pukul dan lepas tangan akan tanggungjawab terhadap keluarga, bahkan anak-anak pun takut untuk berjumpa setiap kali ayah mereka pulang dari kerja.
Allahu Akbar, telinga yang mendengar pun terasa berat apatah lagi bahu yang memikul ujian tersebut. Namun saya percaya kalian sangat hebat kerana masih bertahan dan bersabar sehingga ke hari ini. Saya doakan semoga dengan berkat kesabaran menjadi asbab hidayah buat suami untuk berubah.
Cari Kebahagiaan Sendiri
Andai tidak berdaya lagi, carilah kebahagiaan sendiri tanpa bergantung kepada suami, dalam masa yang sama banyakkan berdoa kepada Allah, jangan hilang kepercayaan kepada-Nya.
Dalam membina keluarga yang harmoni, cuba mencari titik persamaan antara pasangan. InsyaAllah semua ini boleh menjadi penawar mujarab dalam membina sebuah keluarga, suami isteri menjalani kehidupan yang diisi suka dan duka, saling menghormati serta berkasih sayang sepenuh jiwa, agar akhirnya dapat dibangkitkan di dalam Syurga bersama.
Sumber: Asma’ binti Harun via artikel asal Mingguan Wanita
Baca artikel lain di sini: Isteri Sarat Mengandung 8 Bulan Meninggal, Penantian 4 Tahun Suami Tunggu Zuriat Berakhir Duka
Kredit foto top image: Freepik