Ramai isteri kian hilang rasa hormat pada suami. Isteri tidak akan ‘suka-suka’ bersikap begini jika tidak ada perkara yang suami lakukan sehingga isteri bertindak sedemikian. Ia berpunca daripada sikap suami itu sendiri yang menghilangkan rasa hormat isteri kepada sang suami.
Untuk faham lebih lanjut hadamkan perkongsian daripada Pendakwah terkenal Ustazah Asma’ Harun ini sebagai panduan.
Isteri Kian Hilang Rasa Hormat Pada Suami
SESUATU YANG MERISAUKAN KITA LIHAT SEKARANG DALAM RUMAH TANGGA APABILA ISTERI HILANG RASA HORMAT PADA SUAMI. IYA, KADANG ISTERI JUGA TERUJI DENGAN SEGELINTIR SIKAP SUAMI YANG LEPAS TANGAN DALAM MENDIDIK ANAK, TIDAK BANTU URUSKAN RUMAH, PANAS BARAN ATAU YANG MENGABAIKAN KEPERLUAN ISTERI.
Sesetengah suami menggunakan alasan itu semua takdir untuk menghalalkan perbuatan yang dilakukan, tetapi sebenarnya setiap tindakan manusia adalah pilihan. Jika suami banyak melakukan perkara yang merosakkan rumah tangga dengan sengaja atau mempunyai matlamat tersendiri, maka wajar seorang isteri hilang rasa hormat terhadap suami.
Rumah Tangga Jadi Hambar
Kagum Wanita Berusaha Sabar & Kekal Kuat Demi Anak-Anak
Saya sangat kagum dengan wanita-wanita yang menghadapi dugaan seperti ini. Mereka berusaha untuk bersabar dan kekal kuat demi rumah tangga serta anak-anak. Namun tidak bermakna, mereka perlu menelan semua tohmahan dan derita yang diberikan suami bulat-bulat.
Saya pernah terbaca luahan seorang wanita yang mengadu tentang suaminya, berkahwin selama lebih 20 tahun tetapi sangat sabar dengan sikap suami yang panas baran, kaki pukul dan lepas tangan akan tanggungjawab terhadap keluarga, bahkan anak-anak pun takut untuk berjumpa setiap kali ayah mereka pulang dari kerja.
Ads
Allahu Akbar, telinga yang mendengar pun terasa berat apatah lagi bahu yang memikul ujian tersebut. Namun saya percaya kalian sangat hebat kerana masih bertahan dan bersabar sehingga ke hari ini. Saya doakan semoga dengan berkat kesabaran menjadi asbab hidayah buat suami untuk berubah.
Cari Kebahagiaan Sendiri
Andai tidak berdaya lagi, carilah kebahagiaan sendiri tanpa bergantung kepada suami, dalam masa yang sama banyakkan berdoa kepada Allah, jangan hilang kepercayaan kepada-Nya.
Ads
Dalam membina keluarga yang harmoni, cuba mencari titik persamaan antara pasangan. InsyaAllah semua ini boleh menjadi penawar mujarab dalam membina sebuah keluarga, suami isteri menjalani kehidupan yang diisi suka dan duka, saling menghormati serta berkasih sayang sepenuh jiwa, agar akhirnya dapat dibangkitkan di dalam Syurga bersama.
Sumber: Asma’ binti Harun via artikel asal Mingguan Wanita
Setiap pasangan berdepan dengan pelbagai masalah dan isu dalam rumah tangga. Tak kiralah isu kecil atau besar ianya tetap menjadi masalah dalam hubungan suami, isteri jika dibiarkan lama-lama.
Sebaiknya walaupun isu kecil dalam rumah tangga, suami isteri kena ambil perhatian dan kena bersama-sama baiki untuk menjernihkan Kembali hubungan.
Ikuti perkongsian Ustaz Firdaus Mokhtar ini dan fahami apakah masalah kecil dalam rumah tangga hingga mampu menjejaskan hubungan suami, isteri.
Jumaat lepas, saya dan isteri dalam perjalanan balik tengok rumah di Rawang untuk kali ketiga. Nampak tak sampai tiga kali, semua kawasan berlainan.
Di lebuhraya, ada kereta masuk depan kami. Elok dia masuk ada batu kecil terpelanting daripada tayar dia. Naik tepat kena ke cermin depan kereta saya.
Tap!! Kuat juga weh.
Rumah Tangga Ibarat Cermin Depan Kereta
Terus ada kesan di cermin. Kecil sahaja. Satu tanda kena batu, dan ada kesan garis halus kurang daripada 1 sentimeter (cm).
“Nasib baik sikit saja,” begitu saya cakap ke isteri. Dia pun angguk setuju.
Isteri pun cadang nanti cari kedai cermin, baiki saja.
Sampai rumah saya letak kereta di luar. Jadinya tak ada bumbung kawasan parkir. Biasanya sebab anak-anak hendak main basikal di laman rumah.
Tak fikir apa.
Walaupun Isu Kecil Kena Ambil Perhatian
Malam hari yang sama saya nak keluar ke Shah Alam. Ada program di sana. Elok saya masuk kereta terkejut terus tengok ke cermin kereta.
Retak yang kurang 1 cm siang tadi sudah jadi lebih 1 kaki panjang retaknya. Membelah ke tengah tengah cermin kereta.
Allahu. Mungkin sebab cuaca panas siang tadi.
Dalam perjalanan ke Shah Alam, fikiran saya melayang ke hal rumah tangga. Iyalah, hari hari mengadap kes.
Hidup rumah tangga kita macam cermin depan kereta itulah. Sentiasa luas, bersih dan cerah. Rumah tangga itu mesti jalan ke depan.
Bila tiba hari hujan, kadang berdebu dan berpasir, kita kena bersih. Jalankan pengelap cermin. Supaya air yang mencurah, debu yang menebal tak mengganggu penglihatan kita ke depan.
Kena batu yang kuat. Itu boleh kita anggap seperti rumah tangga kita diuji kuat. Ada yang mengganggu rumah tangga contohnya.
Suami Isteri Ambil Perhatian & Baiki Sama
Konflik yang kadang boleh buatkan rumah tangga kita pecah sedikit. Retak yang kecil.
Sakit, pedih, perit semua ada.
Tapi masih boleh bertahan. Kena baiki segera. Bila kita biar, atau masing-masing berkeras, cermin rumah tangga kita makin panas. Ujian bertambah. Retak yang kecil tadi boleh jadi retak yang lebih besar.
Kalau bernasib baik, cuma 1 retak besar. Kalau kurang bernasib baik, mungkin retak yang 1 tadi membawa ke retak yang banyak. Jadi retak yang ada sampai 10 penjuru.
Terhentak sikit, mungkin buatkan cermin rumah tangga kita retak seribu. Hilang harapan, hilang kepercayaan, hilang kesetiaan.
Langsung tak boleh nak jalan ke depan. 1 meter ke depan daripada kereta pun kita tak nampak apa.
Itulah tanda rumah tangga yang dah tak ada harapan untuk kembali bersatu. Apa saja boleh buat?
Buka atau pecahkan terus. Berjalan tanpa cermin yang lebih bahaya atau nak selamat ganti dengan yang baru.
Keduanya kita tak nak. Kan?
Isu Kecil Dalam Rumah Tangga
Itulah yang nak disampaikan. Daripada soal yang kecil, suami dan isteri kena ambil perhatian. Kena sama sama baiki dan ambil tanggungjawab susun semula rumah tangga.
Tak boleh tunggu-tunggu. Biarkan nanti, retak dan pecahlah segalanya.
Begitulah.
Oh ya, hari ni baru sempat cari kedai untuk uruskan tukar cermin. Kos RM2,800 juga.
Esok siap. Mujurlah jenis beringat selalu, ada ambil insurans yang cover untuk cermin kereta. Kalau tidak, terduduk juga. Haaa.
Ok gais, panjang pula status petang ni.
Terima kasih baca.
MW: Rumah tangga mana yang tak dilanda badai, ujian besar dan kecil secara tak langsung menguatkan lagi hubungan suami, isteri tanpa sedar. Oleh tu sebaiknya jagalah rumah tangga sebaik mak, ayah menjaga cermin depan kereta. Renung-renungkan.
Kita selalu mengarah tetapi kita lupa, anak ini akan bertindak seperti mana apa yang dia nampak dalam kehidupan sehariannya.
Jadi layak ke kita marah jika kita sendiri sebagai mak ayahnya tetap buat perkara yang anak tak patut tiru?
Untuk renungan bersama, jemput baca perkongsian Puan Farizal Radzali ini. Masih belum terlambat untuk kita baiki mana yang silap demi masa depan anak-anak.
Anak Buat Kerana Dia Lihat Apa Yang Ada Persekitarannya
Semua ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Jarang kita dengar ibu bapa nak anak mereka jadi jahat. Kita sediakan yang terbaik buat mereka, kita sanggup bersusah payah demi memenuhi kehendak mereka.
Namun adakala anak-anak kita masih berada di tahap yang lemah, di tahap yang tidak memuaskan hati kita. Sampai adakala kita marahkan mereka, ungkit segala pengorbanan kita demi nak menjadikan mereka insan berguna.
Kita lupa, ada perkara yang tak boleh dibeli dengan wang ringgit. Ada perkara yang tak boleh diajar dengan hanya berkata-kata. Ada perkara yang anak-anak buat kerana mereka lihat kita buat.
Kita menyuruh mereka siapkan kerja sekolah, tapi kita memasang tv di hadapan mereka.
Kita menyuruh mereka membuat kerja rumah, tapi kita duduk bermain telefon.
Kita menyuruh mereka bercakap dgn lembut, tapi kita sendiri menengking mereka.
Kita menyuruh mereka berkawan baik dgn semua org, tapi ibu ayah bertengkar di depan mereka.
Kita menyuruh mereka solat sebaik terdengar azan, tapi kita masih menonton tv.
Kita menyuruh mereka menghormati ibu ayah tapi ibu tak hormat ayah dan ayah tak hormat ibu.
Kita menyuruh mereka minta maaf jika buat salah, tapi kita sendiri tak peduli bila dah buat salah terhadapnya.
Kita bandingkan diri kita semasa di usianya dulu, tapi kita lupa bandingkan tekanan mereka di zaman ini dgn zaman kita.
Kita menyuruh mereka jangan membazir dgn peralatan mewah, tapi kita sendiri sering bertukar handphone berjenama kerana mengejar teknologi terkini.
Kita berdoa kepada Allah agar anak-anak kita dilindungi dari anasir jahat, tapi kita sendiri menonton perkara jahat di media sosial.
Kita sogok anak-anak dgn cerita superhero luar negara sampai anak-anak kita kenal siapa mereka, dari mana asal usul mereka & apa kuasa mereka, superman, spiderman, transformers, ahli avengers semuanya tapi kita tak kenalkan siapa nabi dan rasul, nama malaikat dan tugasnya.
Kalau tak kerana wujudnya pelajaran Pendidikan Islam di sekolah, mungkin anak-anak kita tak kenal siapa mereka. Bahkan kita pun terpaksa struggle nak recall balik apa tugas setiap malaikat.
Ayuh kita cuba semula. Tiada istilah terlewat, Allah itu Maha penyayang, sebab tu Dia selalu beri kita peluang kedua. Pasti ada peluang kedua ketiga dan seterusnya. Samada kita nak sedar atau tak saja. Andai sedar pun, samada kita nak ambil peluang tu atau tak.
Andai kita dah buat segalanya, cara lembut, cara keras, cara tegas, cara kasih, tapi anak-anak kita masih tak capai tahap yang kita nak, percayalah dia juga mahu untuk jadi anak terbaik buat kedua ibubapanya. Ada jalan hidup yang telah Allah aturkan untuknya.
Dan yang paling penting, jangan bandingkan anak-anak, jangan bezakan kasih sayang terhadap setiap anak.
Jangan pandang rendah pada anak yang lemah. Kerana mungkin dialah yang akan menjaga kita di hari tua kelak.
Jangan terlalu pandang tinggi pada anak yang berjaya. Kerana akibat kesibukannya nanti, belum tentu dia mampu menjaga kita di hari tua kelak.
Anak itu amanah. Jangan bangga punyai ramai anak, tapi banggalah bila punyai anak, walau seorang cuma, tapi mampu bawa kita ke Syurga.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Baru-baru ini di sebuah akhbar mendedahkan punca remeh temeh dan ada yang tidak masuk akal berlakunya perceraian. Antaranya, isteri suka membasuh baju pada waktu malam, punggung isteri menggerutu, suami tidak suka isteri makan dalam kereta, lambat menyediakan makanan dan banyak lagi.
Kenapa institusi kekeluargaan hari ini terlalu longgar? Sehingga begitu senang untuk suami melafazkan cerai? Malah perceraian yang berlaku dalam masyarakat seolah-olah menjadi seperti perkara mainan sahaja.
Menurut Inspirator Psikologi Kejayaan, Puan Saleha Idris, “Kata kunci pada perhubungan rumah tangga adalah KENAL dan FAHAM. Apabila kita sudah kenal dan faham barulah kita dapat berkomunikasi dengan baik.
“Membina rumah tangga bukan mudah seperti disangka. Semua alasan yang diberikan untuk meruntuhkan rumah tangga adalah selalunya perkara yang tidak boleh diterima.
“Di dalam psikologi, itu hanya dipanggil sebagai proses adaptasi dan akomodasi. Adaptasi adalah proses penyesuaian pasangan dengan alam perkahwinan.
“Yang mana apa sahaja berlaku kita perlu mengubah cara fikir dan sudut pandang kita sebelum ini dipanggil akomodasi.”
Contohnya seorang isteri atau suami yang kahwin mereka sudah lama membina cara fikir iaitu atas faktor cara kita dibesarkan, sekolah, budaya dan sebagainya.
Ini Punca Suami Mudah Melafazkan ‘Cerai’
Jadi dalam perkahwinan kita perlu ada matlamat untuk memulihkan dan membina keseimbangan di dalam personaliti, gaya hidup, komunikasi dan sebagainya.
1. Selalunya penceraian yang tanpa alasan yang tidak konkrit hanyalah kerana emosi negatif yang melebihi logik. Atau ketidakcerdikan dalam melayari rumah tangga.
2. Kolam jiwa yang penuh kelodak keegoan. Masing-masing menuding jari pada pasangan, isteri tidak faham suami dan suami tidak faham isteri.
3. Mungkin bagi sesetengah pihak merasakan perkara ini melucukan tetapi inilah realiti. Ada kalanya mereka memberikan alasan yang tidak munasabah untuk bercerai, adakah kerana masyarakat kita pada hari ini terlalu memikirkan soal yang remeh temeh?
Soal remeh temeh ini adalah disebabkan gaya hidup kita bukan kepada ketuhanan tetapi lebih kepada materialistik.
4. Apabila seorang isteri melihat suaminya lebih rendah dari sudut pendidikan, kewangan, cara hidup dan sebagainya. Mereka mudah memperlekehkan suami dan tidak tahu untuk hormat.
Suami pula dengan keegoan dan kurang kesabaran akan menyebabkan mereka tidak ada kesatuan dan keserasian.
5. Mudahnya mereka ingat lafaz dan akad yang dihasilkan hanya sebagai mainan duniawi bukan sebagai membina hubungan terus kepada Tuhan hingga ukhrawi.
Perkahwinan tiada matlamat yang jelas hanya untuk membina impian penuh tipuan.
6. Setiap fasa perkahwinan ada ujian tersendiri. Jika tak kuat dan tiada ilmu nak harungi setiap fasa dalam perkahwinan : fasa awal, fasa pertengahan dan fasa akhir maka penceraian yang jadi.
7. Faktor diam sendiri dalam menyelesaikan masalah dan tiada perbincangan dengan yang pakar dan pengalaman membuatkan mereka terjerat dalam kasih yang dibina. Keputusannya CERAI.
Antara penyelesaian yang boleh diambil pertama, terus menerus memenuhi diri dengan ilmu. Hanya dengan ilmu dapat membantu kita. Kedua, ada diskusi dengan kaunselor atau yang lebih berpengalaman.
Apabila berjumpa dengan orang yang lebih pakar, nasihat mereka umpama mutiara yang berharga dapat mengubah sedikit sebanyak mindset kita yang tepu dan kurang ilmu.
Ini Kesannya..
1. Pada Anak-anak
Bagi pasangan yang sudah mempunyai anak, anak yang masih kecil itu menjadi mangsa akibat kebodohan keputusan yang dibuat oleh ibu dan ayah yang hanya pentingkan diri sendiri.
Mereka umpama kain putih suci dan murni. Kita yang mencorakkan kesedihan dan keburukan kepada mereka.
Dalam psikologi, keperluan pertama dalam membina personaliti dan watak diri yang baik adalah bermula saat mereka kecil. Apakah keperluan? Iaitu kasih sayang yang baik dari penjaga anak itu.
Semak kembali anak kita.
Adakah mereka dibina dalam ruang persekitaran kasih sayang atau permusuhan. Akan ada perbezaan personaliti keduanya.
I. Anak yang dibina dalam persekitaran kasih sayang dan positif membesar lebih gembira, sihat dan personaliti yang baik.
II. Anak yang dibina dalam persekitaran sebaliknya akan mudah sedih, sakit dan watak diri yang tidak baik.
2. Kewangan Pun Terganggu
Untuk pasangan yang muda pula, kewangan, dan psikologi diri juga akan terganggu. Mungkin mereka lebih berhati atau ada rasa kerisauan dalam membina rumah tangga yang seterusnya.
Suami Isteri Fahamkan Ini
1. Jangan ingat bila seseorang itu berkahwin, ilmu rumah tangga hadir sendiri. Ia perlu dituntut dan diperoleh.
2. Semua pihak terus mengambil langkah untuk membina kerukunan rumah tangga, institusi kerajaan, swasta terus mengambil langkah supaya statistik penceraian tidak berleluasa.
Matlamat membina keluarga sakinah, mawaddah wa rahmah itu dituntut di dalam al-Quran dan juga agama lain. Lafaz penceraian adalah mudah dan yang dapat mengharungi rumah tangga adalah yang kuat jiwa mental dan emosi.
Dengar Apa Kata Mereka
Suami Jangan Jatuhkan Hukum Membuta Tuli
“Punca utama penceraian adalah kerana asas kehidupan yang tidak kuat iaitu pendidikan agama. Ramai yang cetek ilmu agama dan salah guna mengikut keperluan mereka dan bukannya supaya kita dapat kembali ke landasan yang betul.
Bila isteri buat silap dalam agama, wajib sang suami yang perbetulkan. Cari pendekatan supaya teguran diterima oleh isteri.
Bukan cari kesalahan isteri dan seterusnya hukum dengan penceraian. Lelaki kenalah jadi khalifah dalam rumah tangga bukannya jadi hakim yang menjatuhkan hukuman secara membuta tuli.
“Tak kurang juga dengan dugaan dekat luar terutamanya di tempat bekerja. Isteri zaman sekarang banyak berkerjaya, nak uruskan rumah tangga, anak-anak dan urusan keluarga yang lain.
Isteri bekerja untuk sama-sama bantu suami, tapi berapa ramai suami yang bila balik kerja sama-sama uruskan urusan rumah?
Kalau perkara asas ini seperti tanggungjawab dan sebagainya dikupas sejak sebelum nikah dan mereka dalaminya, Insya-Allah kes penceraian dapat dibendung dan dikurangkan,” Sharifah Othman
Remeh Pada Orang Luar Tapi Tak Untuk Suami Isteri
“Bila seseorang itu belum berkahwin,ia menganggap isu seperti ini remeh untuk dijadikan alasan bercerai.
“Walau bagaimana pun, situasi berbeza pada pasangan yang sudah berkahwin. Malah, dalam hubungan suami isteri, kadang-kadang ada perkara yang dianggap remeh oleh orang luar tetapi ia boleh menjadi masalah besar jika sudah hidup bersama.
“Oleh itu, kemungkinan alasan tersebut diguna pakai kerana sudah terlalu lama dipendam hingga mendatangkan kesan negatif dalam hubungan perkahwinan tersebut,” Nurul Shamira Rashikin
Jangan Pendam.. Bincanglah Suami Isteri
“Tak dinafikan memang wujud alasan-alasan bercerai yang tak munasabah seperti fizikal isteri yang tidak menepati cita rasa suami dan sebagainya.
Bagi saya itu mungkin disebabkan pengaruh media massa terutamanya televisyen. Isteri pun sama juga, sebab suami tak menepati ciri-ciri yang mereka mahukan maka itu dijadikan alasan untuk berpisah setelah berumah tangga.
Namun begitu, kadang-kadang itu hanya sekadar alasan untuk diberikan kepada orang ramai atau hakim ketika proses penceraian berlaku, mungkin ada alasan lain yang tidak dapat dikongsi.
Bukan itu sahaja, bagi saya keadaan ekonomi dan sara hidup yang tinggi pada masa kini juga menyumbang kepada punca penceraian yang tinggi dalam masyarakat hari ini.
Maka komunikasi itu amat penting dalam sesebuah perhubungan. Kalau ada yang tak kena jangan dipendam dan berbincanglah demi kesejahteraan rumah tangga yang dibina,” Mahadi Ibrahim
Jangan Ungkit, Nanti Konflik Pun Terhindar
“Tujuan perkahwinan ialah menyusun pergaulan antara lelaki dan wanita supaya diredhai Allah SWT. Oleh yang demikian, setiap pasangan seharusnya saling melengkapi setiap kekurangan pasangan.
Bagi saya antara perkara yang perlu dititik beratkan dalam menjaga keharmonian rumah tangga ialah jangan melihat ke belakang.
Contohnya, asyik mengungkit alasan saat awal perkahwinan, berfikir secara logik kerana konflik boleh mengheret hal lain yang sebetulnya tidak terlibat, lihat kelebihan pasangan dan bukan sebaliknya.
Insya-Allah dengan berbuat demikian rumah tangga yang terbina akan lebih harmoni dan bahagia,” Mohd Azli
Penulis : Norhayati Suboh & Shahrina Azlin Abdullah
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Budak 9 tahun meninggal akibat sawan, ibu diserang strok ikut jejak anak berselang dua hari. Bagai sehidup semati, janji yang termetrai di luh mahfuz....