Assalamualaikum puan kaunselor yang dihormati. Saya berusia 39 tahun, memiliki sepasang cahaya mata berusia 15 dan 13 tahun. Keduanya belajar di sebuah sekolah berasrama penuh di Terengganu. Saya dalam ketakutan kerana seorang lelaki.
Masa Untuk Anak-anak
Saya dan suami sama-sama bekerja swasta dan sibuk. Memandangkan anak-anak tinggal di asrama, jadi tak ada masalah untuk kami balik lewat atau kerja hujung minggu. Setiap tiga minggu kami akan terbang ke Terengganu menjenguk anak-anak.
Terus terang, dengan gaji saya dan suami, kami mampu hidup selesa. Alhamdulillah. Bercuti ke luar negara setahun sekali sudah jadi rutin kami. Itu juga perjanjian antara saya dan suami dengan anak-anak. Ketika ini kami akan luangkan masa untuk bersama mereka memandangkan kami tinggal berjauhan.
Teman Sepejabat
Namun, perkenalan saya dengan seorang pemuda, J, merubah kehidupan saya. Sebenarnya kami satu tempat kerja tapi berlainan jabatan. Sikap saya yang suka menolong yang membuatkan kami rapat. Saya pernah tumpangkan dia balik kerja bila keretanya rosak di parkir pejabat. Kebetulan saya balik lewat dan nampak dia yang sedang memeriksa enjin keretanya.
Dia rasa terhutang budi kerana saya sanggup menghantarnya pulang sedangkan rumah kami berbeza arah. Dia ingin belanja saya makan sebagai tanda ucapan terima kasih dan saya menerimanya. Saya pergi bukan berdua pun, ada teman lain menemani.
Selepas itu, pertemuan demi pertemuan terjadi tapi saya tiada apa-apa perasaan terhadapnya. Saya anggap dia seperti adik kerana dia lebih muda enam tahun daripada saya. Sering kali juga dia bercerita tentang isteri dan dua anaknya. Saya juga begitu.
Cuma daripada awal, dia tak pernah panggil saya ‘kakak’ walau pun saya membahasakan diri saya dengan panggilan itu. Katanya, tak perlu kerana saya nampak lebih muda daripadanya. Malah dia rasa lebih selesa begitu.
Ads
Pergi Bercuti Bersama Keluarga
Aidiladha lalu, saya sekeluarga bercuti ke luar negara dan sengaja saya ambil cuti lama kerana kebetulan anak-anak cuti sekolah. Di luar negara, saya tak terlalu berkepit dengan telefon dan hanya sesekali tengok handphone bila di hotel. Ada saya terima whatsapp daripada J yang bertanya bila saya akan balik dan saya beritahu bila tarikh dan masanya. Yang buat saya tak sedap hati bila dia cakap dia rindu saya..tapi tak ambil hati sangat.
Sampai di rumah barulah saya membaca macam-macam whatsapp termasuk daripada J. Saya terperanjat bila dia beritahu dia ada di airport tadi menanti ketibaan saya. Mulanya ingat dia bergurau tapi bila dia tahu di mana saya sekeluarga makan dan saya pakai baju apa, saya naik risau. Katanya, terubat rindu walau pun hanya mampu lihat saya dari jauh! Puan, tiba-tiba rasa takut pula.
Saya minta dia berterus terang kerana tak sedap hati. Dia mengaku bahawa dia dah jatuh cinta dengan saya dan ingin hidup bersama. Tentu saja saya marah kerana kami sama-sama dah berkahwin dan saya hanya anggap dia sebagai adik saja. Tapi dia tak boleh terima dan sanggup berskandal dengan saya. Gila kan?
Selepas itu saya mengelak untuk berjumpa dengan J tapi dia sering kali menghantar whatsapp atau menelefon ke talian pejabat. Saya rasa tak tenteram dan takut. Saya tukar nombor telefon kerana tak nak dia ganggu tapi dia akan telefon ke talian pejabat dan e-mel saya.
Puan, patutkah saya berterus terang dengan suami? Saya juga takut kawan-kawan sepejabat tahu kerana J saban hari akan turun ke jabatan saya. Walau pun hanya memandang saya dari jauh, tapi saya sangat rimas dengan keadaan ini. Saya juga risau dan takut dia makin berani kelak, tak tahu apa dia akan lakukan.
Puan K, KL.
Ads
Jawapan:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi.
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah.Perasaan suka, ingin berkawan, ingin berbicara, jika dibaja boleh bertukar menjadi sayang, kasih, cinta, rindu, mabuk angau dan sebagainya dalam diri seseorang jika dia terasa kekosongan dalam dirinya atau perasaan kecewa yang dialaminya.
Pun terdapat beberapa faktor lain yang merangsang dirinya dengan perasaan yang disebutkan di atas kerana nafsu dan emosi yang tidak dikawal dan diurus dengan baik mengikut batasan adat dan agama.
Individu sebegini mudah terlupa kepada realiti kehidupan dan tanggung jawab serta amanah yang dipikul. Malah tidak dapat membezakan mana yang baik, mana yang buruk, mana yang berdosa mana yang pahala…mana yang boleh mengundang murka Allah dan sebaliknya.
Tak Tergoda
Tahniah diucapkan kepada puan kerana tidak terpengaruh dengan hasutan syaitan untuk terus bersamanya. Puan mengetahui batas dan sempadan dalam budaya dan agama. Tindakan puan menukar nombor telefon bimbit adalah tindakan yang praktikal dan bijak. Sekurang-kurangnya tidak memberi ruang dan peluang kepadanya mengganggu puan melalui telefon bimbit.
Bagi menjawab persoalan yang puan kemukakan sama ada perlu atau tidak untuk memberitahu suami, saya rasa puan sendiri mengenali suami sama ada boleh menerima penjelasan daripada puan atau tidak. Jika suami mempercayai puan, dan kurang dari segi sifat cemburunya, maka mudah puan untuk menjelaskannya.
Ads
Jika sebaliknya, puan perlu kebijaksanaan dalam menceritakan apa yang telah berlaku. Puan sendiri yang tahu suami boleh menerima ini atau sebaliknya memburukkan lagi keadaan jika puan memberitahunya.
Sebaiknya biarlah puan sendiri yang menceritakan kepada suami, berbanding jika suami dapat tahu daripada orang lain. Atau lebih buruk, mungkin lelaki itu sanggup berbuat apa sahaja seperti menyamar dan memberitahu suami puan bahawa puan ada hubungan sulit dengan lelaki lain, atau mungkin juga dengannya. Kebarangkalian dan kemungkinan ini boleh berlaku dalam keadaan yang tidak diduga, malah bukan dalam pemikiran rasional kita.
Tindakan Bijak
Tindakan puan menjauhkan diri daripadanya adalah langkah bijak. Seboleh mungkin elakkan daripada bertembung dengannya atau melalui jalan yang biasa dilaluinya. Jika dia sering turun ke jabatan puan, cuba elakkan dari bertembung dengannya. Jauh sekali untuk bertegur sapa. Jaga penampilan dan pakaian puan daripada berhias secara berlebihan.
Jika boleh, pakai tudung yang lebih labuh daripada biasa. Jaga pandangan mata apabila bertembung dengannya. Elakkan daripada memberi sebarang respons dalam apa jua bentuk, sama ada lisan, atau bukan lisan.
Puan mungkin tidak tahu sejauh mana “kegilaannya”. Mungkin dengan cara mengelak dan tidak memberi respons, lama- kelamaan berkemungkinan dia bosan. Jika masih diganggu walaupun puan cuba mengelaknya, beritahu dia bahawa puan akan beritahu isterinya tentang perilaku suaminya. Ini semua perlu ketelitian dalam memberi sebarang respons. Pelbagai insiden mungkin tidak dijangka.
Kawal
Ada orang yang tidak dapat mengawal emosi, minda dan nafsunya. Jika nafsu mengatasi pemikirannya, apa sahaja boleh berlaku. Ilmu hitam tidak mustahil boleh digunakan jika nafsu tidak dikawal dan hilang sebahagian iman daripada dirinya.
Akhir sekali, carilah “pendinding diri” dengan mengamalkan ayat-ayat suci al – Quran. Amalkan doa-doa tertentu yang boleh dicari daripada guru agama. Pada kali ini puan mungkin berjaya, namun puan akan sentiasa terdedah kepada godaan dan pengaruh yang tidak dijangka. Banyakkan berdoa agar puan dilindungi dari sebarang ujian dunia. Wallahualam.
**Permasalahan ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor dan Penulis Bebas, yang juga penulis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Seorang gadis nekad batalkan pernikahannya tiga bulan sebelum majlis kerana tidak mahu bermadu dan jadi perampas suami orang.
Dirinya tidak mahu membina bahagia atas kehancuran rumah tangga orang lain.
Tindakan nekadnya harus dipuji pabila dia tidak terlalu mengikut perasaan dan memikirkan impak daripada perkahwinan yang bakal dibina.
Nekad Batalkan Pernikahan
Seorang gadis jelita di Indonesia meraih simpati pengguna media sosial apabila berkongsi kisah dirinya yang hampir berkahwin dengan seorang ustaz di kota suci Mekah tetapi dibatalkan pada saat-saat akhir.
Menurut portal berita Suara.com, rakaman video yang dimuat naik dalam akaun TikTok @milkiyahamira mendedahkan gadis tersebut membatalkan perkahwinannya selepas mengetahui bakal suaminya sudah beristeri.
Gadis Ini Tidak Mahu Bermadu Jadi Perampas Suami Orang
“Saya pernah dilamar oleh seorang ulama tersohor dari Batam dan kami sepatutnya bernikah. Namun, tiga bulan sebelum majlis pernikahan, saya nekad membatalkan perkahwinan kami.
“Dia merayu-rayu agar saya mengubah fikiran sehingga sanggup mencium kaki saya tetapi saya tidak boleh menerima kenyataan ditipu untuk menjadi isteri kedua,” tulis keterangan video itu.
Tambah gadis itu, dia tidak sanggup bermadu dan bukanlah seseorang yang mahu membina rumah tangga dengan merampas suami orang.
Tindakan Terpuji
Keputusan tegas gadis itu mendapat pujian netizen yang percaya jodohnya pasti lebih baik daripada suami orang.
“Anda sangat luar biasa kerana memilih untuk tidak saling menyakiti kaum hawa. Pasti ada jodoh lebih baik menanti,” komen seorang pengguna TikTok.
“Anda cantik dan memiliki keperibadian yang bagus. Jodohnya juga harus orang yang baik-baik tanpa perlu berebut,” tulis seorang lagi. – Agensi
Mingguan Wanita : Poligami itu tidak salah, namun sedari awal lelaki ini tidak berlaku jujur kerana menipu status yang sebenar. Wajarlah jika niatnya untuk bernikah lagi tidak kesampaian. Nak cantik seperti gadis ini, BELI DI SINI.
Kahwin lain boleh tapi nafkah anak culas bayar, lelaki jangan pandai buat anak saja. Lepas buat anak, bercerai kemudian lupa tanggungjawab.
Bila penceraian berlaku, yang berpisahnya suami dan isteri. Tidak terputus hubungan ayah dan anak-anak. Anak-anak masih menjadi tanggungjawab seorang ayah.
Kahwin Lain Boleh Tapi Nafkah Anak Culas Bayar
Ikuti perkongsian Firdaus Shakirin ini dan fahami apa yang cuba disampaikan:
Kahwin lain boleh, nafkah anak tak boleh bagi…
Bila bercerai, yang diceraikan itu isteri, bukan anak. Bila sudah terputus hubungan, yang putus itu dengan isteri, bukan anak…
Lelaki Jangan Pandai Buat Anak Saja
Anak itu tetap anak kandung, malah anak itu tetap darah daging sendiri. Nama anak tetap dinasabkan atas nama ayahnya. Hendak kahwin berapa kali pun boleh, asalkan nafkah anak yang dijaga bekas isteri itu dibayar dan ditunaikan.
Orang pompuan sudah set dalam kepala dia, “Orang lelaki ini hanya pandai buat anak.”
Sebab yang jaga anak itu adalah orang perempuan dan yang besarkan anak juga adalah ibunya. Bila sudah bercerai atau berpisah, tetap juga anak-anak dijaga oleh orang perempuan.
Si ayah hendak merapu, mahu bebas atau ingin bercinta memadu asmara dengan sesiapa pun, bekas isteri tak mahu tahu. Bukan suami dia lagi, buat masa ini dia hanya mahukan nafkah anak dari bekas suami. Itu saja.
Tak perlu dia kena naik turun mahkamah dan tak perlu dia upah peguam atau tak perlu dia saman-menyaman. Jika bekas suami lelaki yang baik, ada lagi akhlak dan nilai-nilai seorang ayah dalam diri, maka dia akan tunaikan hak si anak tersebut…
Jangan Hanya Pandai Buat Anak
Dia kena jaga kebajikan dan pendidikan serta hubungan anak dengan ayah kerana itu semua masih di bawah tanggungjawab dia, kewajipan dia sebagai seorang lelaki yang berstatus ayah…
Benda ini, kalau tuntutan bekas isteri tidak dipeduli, tak dihiraukan, buat tak layan. Maka terlepaslah tapi sekadar di dunia. Di akhirat, tetap tak lepas…
Sangkut bang…sangkut…
Mingguan Wanita : Buat mak-mak di luar sana yang berdepan dengan masalah ini iaitu bekas suami culas bayar nafkah anak, anda berhak membuat tuntutan di mahkamah. Jangan biarkan anak terseksa. Sumber : Firdaus Shakirin
Wanita jika nak kahwin dengan suami orang di Songkhla ibarat menggali lubang kubur sendiri. Jangan biar maruah dan hak kita sebagai wanita diambil mudah begitu sahaja ya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bagi wanita cukup sensitif untuk memperkatakan isu poligami. Ramai yang tak rela untuk berkongsi kasih suami dengan wanita lain. Bukan itu sahaja,jika ‘terpaksa’ bermadu ramai yang kerap makan hati berulam jantung dan sering bertelingkah. Jarang sekali jumpa madu yang boleh menjadi kawan baik apatah lagi mampu tinggal serumah!.
Tinggal Serumah & Jadi Rakan Karib
Mungkin satu kisah dalam seribu.Bukan saja rela berkongsi kasih, malah Khadijah Beladin, 29, dan Sufainah Goh Ai Peng, 41, sanggup tinggal sebumbung dan menerima suami mereka, Mohd Zanishuhaizal Izham Md Akhir, 41, seadanya. Lebih membanggakan kedua-dua mereka tidak menjadikan status madu sebagai alasan untuk bersengketa sebaliknya memilih menjadi rakan karib antara satu sama lain.
Bercerita lanjut, Khadijah berkata, dia mendirikan rumah tangga dengan Mohd Zanishuhaizal pada Mac 2012 dan dikurniakan tiga zuriat iaitu Mia Zahra, berusia enam tahun, Nia Zafirah, berusia lima tahun dan Ummar Shahid, berusia empat tahun.
Yakin Suami Mampu Berlaku Adil
Menurutnya, selepas dua tahun melayari bahtera rumahtangga, suaminya menyatakan hasrat untuk berkahwin lagi.Katanya, dia tidak membantah kerana yakin suaminya mampu berlaku adil dan melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
“Sepanjang perkahwinan, hubungan kami tidak berdepan masalah malah ketika menyatakan hasrat untuk berkahwin lagi, saya tidak sedih sebaliknya akur kerana percaya dengan kemampuannya.
“Lagipun, saya sudah bertemu dan berkenalan dengan Sufainah sebelum dia berkahwin dengan suami jadi tiada masalah untuk menerimanya sebagai madu serta tinggal serumah.
“Malah, hubungan kami tidak hanya sebagai madu malah saya sudah menganggapnya seperti rakan karib dan sekiranya ada masalah, kami akan bincang serta mencari penyelesaian bersama,” katanya yang menjadi suri rumah sepenuh masa.
Dapat Bantahan Keluarga
Sementara itu, Sufainah yang juga bekas pramugari berkata, niatnya berkahwin dengan Mohd Zanishuhaizal mendapat bantahan keluarga pada mulanya disebabkan perbezaan adat dan agama.
Ini menyebabkan hubungannya dengan keluarga menjadi renggang, namun mereka kembali menerimanya selepas dia melahirkan cahaya mata, Tia Ummaira yang kini berusia setahun sembilan bulan.
“Dulu, saya tidak menyokong poligami tetapi siapa sangka, takdir Allah SWT menentukan saya menjadi isteri kedua.
“Segelintir masyarakat mungkin memandang negatif bila bercakap soal poligami namun sepanjang tinggal serumah dengan isteri pertama, semuanya lancar tanpa ada masalah.
“Malah, kami saling bertolak ansur dan saya bersyukur kerana Khadijah banyak membantu menguruskan kerja rumah dan menjaga anak ketika saya serta suami bekerja,” katanya yang memeluk Islam pada 2006.
Beliau dan suami kini mengusahakan perniagaan kecerdasan diri dan memiliki gimnasium sendiri.
Syukur Kedua-Dua Isteri Tinggal Bersama
Bagi Mohd Zanishuhaizal pula, dia bersyukur kerana kedua-dua isteri dapat tinggal bersama di bawah satu bumbung selain menerima dirinya seadanya.Beliau berkata, sebagai suami, dia cuba berlaku adil dan melaksanakan tanggungjawab diamanahkan dengan sebaik mungkin.
“Dulu, saya seorang yang keras kepala dan sentiasa merasakan diri sendiri betul namun kehidupan saya berubah 360 darjah selepas berumahtangga.
“Boleh dikatakan, hidup saya lebih sempurna dan bahagia sejak berumah tangga kerana adanya anak sebagai pelengkap serta dua isteri yang boleh menerima satu sama lain.
“Rasa seperti mendapat peluang kedua dalam hidup dan tidak sangka kini saya ada perniagaan sendiri selain anak serta isteri yang sangat memahami,” katanya.
Mw: Semoga keluarga terus berbahagia. Bersetuju untuk berpoligami, syarat utama paling penting adalah keredhaan isteri serta sikap suami yang mampu berlaku adil pada kedua-duanya, barulah ia dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...