Mula-mula kahwin, semuanya tertumpu pada pasangan. Tapi, bila sudah mempunyai anak, segalanya dialihkan pada anak pula. Katanya, anak masih kecil dan perlukan perhatian. Dari situ, mulalah, suami rasa terpinggir bila isteri mula layan tak layan.
Inilah yang diperkatakan oleh Diyana Tahir, Pakar Perhubungan Dan Keintiman tentang perkara ini.
Keadaan ini boleh berlaku apabila pasangan sudah lama berkahwin, ditambah pula dengan bilangan anak yang semakin ramai menyebabkan pasangan mula dingin dalam hubungan. Ramai yang mula mengabaikan kepentingan pasangan dan hanya fokus pada anak-anak serta urusan rumah tangga semata-mata. Lebih menyedihkan apabila sikap dingin ini boleh mengakibatkan keretakan rumah tangga yang sekian lama dibina.
Tip ini boleh membantu dalam memastikan hubungan suami isteri kekal hangat & bahagia meskipun anak sudah berderet-deret
Ramai orang tak tahu betapa pentingnya untuk ada deep connection dengan pasangan, ianya bukan sekadar hubungan fizikal je yang nak kena jaga. Tapi hubungan hati antara pasangan pun sangat penting. Hubungan fizikal ini sekejap kesannya, tak kan ke mana-mana dan keseronokkannya sekejap je. Tapi, bila kita ada hubungan hati yang sangat mendalam dengan pasangan, ia akan menjadi suatu kekuatan, malah akan membangkitkan dan mengintimkan lagi hubungan fizikal.
Suami isteri harus sedar bahawa masa perkenalan yang lama bukanlah ukuran untuk kita benar-benar mengenali pasangan. Ini adalah kerana kita dan pasangan lahir dari keluarga dan sejarah yang berbeza. Anda dan pasangan adalah berbeza. Untuk memastikan hubungan yang sentiasa bahagia dan tak krik-krik, pasangan perlu mencipta suatu aktiviti bersama setiap hari. Create anticipation atau sentiasa cipta sesuatu yang istimewa untuk suami yang membuatkan suami sentiasa “excited” walaupun hanya dengan perkara yang simple seperti ucap terima kasih dan memuji suami. Ucapan terima kasih adalah amat berkuasa dalam konteks ini. Contoh ‘Terima kasih abang tolong sayang basuh pinggan, sayang abang’ atau ‘terima kasih abang belanja sayang dan anak-anak makan’.
Selain itu, berikan sesuatu kepada suami sebagai tanda reward dalam bentuk “surprise” yang menyebabkan suami sering ternanti-nanti. Sentiasa beritahu apa yang anda rasakan supaya suami juga mudah terbuka untuk memberitahu apa yang dirasai dan difikirkan.
Selalu minta bantuan suami secara baik dan lemah lembut supaya dia sentiasa rasa diperlukan. Izinkan suami anda buat keputusan dalam semua perkara penting seperti uruskan anak-anak, kewangan dan hal-hal penting dalam rumahtangga. Jadi, anda sebagai isteri perlu membuatkan suami rasa dia bertanggungjawab dan penting sebagai hero dalam keluarga. Mulakan menyukai dan meminati suami terlebih dulu supaya mereka membalas cinta anda. Sebab kadang-kadang lelaki ni ada rasa malu dan ego nak tunjukkan perasaan sayang kepada isteri.
Selain itu, ramai wanita hanya fokus kepada kesalahan suami sahaja hingga terlupa untuk “being present” apabila bersama. Jadilah sahabat setia yang selalu ada di sisi suami dalam suka dan duka. Cara paling “power” untuk jampi hati suami ialah dengan melihat mata pasangan apabila berbual.
Ramai pasangan yang sudah lama berkahwin mempunyai masalah dalam hubungan intim walaupun sudah mempunyai anak. Mereka tak sedar bahawa selama ini mereka mengamalkan hubungan intim yang tidak sihat sehingga menyebabkan hubungan intim semakin hambar seterusnya menjadi punca hubungan suami isteri semakin dingin dan hilang ‘spark’. Jadi sebenarnya, cara untuk meningkatkan hormon cinta atau mengekalkan hubungan yang lebih romantik ni ada banyak cara, antaranya berurut, memeluk dan mencumbui pasangan. Ia dapat menjadikan hubungan dengan pasangan semakin hangat walaupun perkahwinan sudah mencecah berbelas tahun.
Sejujurnya, di saat kita mengharapkan orang lain untuk membahagiakan kita dalam tak sedar kita sendiri telah menyerahkan kunci kebahagiaan kita pada orang lain. Sebab tu, ada yang selalu rasa tak bahagia. Bila ditanya apa yang membuatkan mereka rasa sedemikian jawabnya kerana pasangan tak menghargai atau menyayangi seperti yang dia harapkan. Jadi, ubah sudut pandang anda, berhenti mengharapkan kasih dari orang lain dan bersedialah untuk menjadi pencipta kebahagiaan. Percayalah di saat anda menjadi pencipta kebahagiaan secara tak langsung orang lain akan merasakan kebahagiaan itu.