Burnout sering dilihat sekadar stres biasa namun ia perlu diberi perhatian yang wajar kerana boleh memberi kesan kepada kesihatan mental sekiranya tidak ditangani dengan baik. Dalam terma psikologi burnout merujuk kepada keadaan kelelahan fizikal, mental dan emosi yang berlaku kepada individu akibat pendedahan kepada tekanan yang berpanjangan.
Ia berlaku apabila kita tidak lagi mampu menampung tekanan apabila sumber kekuatan kita dalam menghadapi tekanan selama ini semakin menyusut. Sebagai contoh, jika seorang suri rumah dalam keadaan ‘burnout,’ mereka akan berada dalam keadaan kelesuan melampau sehingga tidak lagi mengendahkan apa yang terjadi kepada keperluan rumah tangga.
Analogi yang mudah adalah seperti kenderaan yang kehabisan bahan api untuk menggerakkan enjin. Dalam keadaan ini mereka tidak dapat berfungsi seperti sepatutnya. Antara gejala burnout ini adalah seperti sentiasa berasa penat, ada masalah tidur, tidak bermotivasi untuk bekerja, sering marah-marah dan juga sakit badan dan sendi.
Perkongsian Doktor Redza Zainol ini di laman sosial twitter memberitahu bagaimana isterinya menangani masalah burnout ini.
Itu Cara Dia Elak Emosi ‘Burnout’
Saya perhati je dari pagi.
Isteri saya duk baring-baring di sofa. Tak lama lepas tu, dia bangun dan masuk ke bilik. Ditariknya laptop naik ke atas katil dan dia mula tengok cerita Korea pula.
Sambil melayan cerita tu, saya nampak dia tersenyum seorang diri dari celah pintu.
“Tengok cerita apa tu?” saya tanya.
Entah dia jawab. Baru tengok katanya. Dalam hati ni, saya rasa dah 1 jam juga.
Ads
Masuk waktu tengahari, dia pergi ke meja dan mula baca buku kegemaran dia sampai ke petang.
Serius dulu saya ingat aktiviti berehat ini sia-sia je.
Dulu saya ni jenis yang agak serius. Saya cuma fikir kalau ada masa, baik kita buat kerja. Masa tu pada pendapat saya, berehat ni hanya untuk orang yang malas.
Itu dulu.
Sampailah beberapa tahun yang lepas isteri saya tak sihat waktu berpantang.
Saya kena jaga anak, kena melayan kehendak anak sepanjang hari.
Mengadap perkara yang sama setiap hari buat saya jadi letih. Penat pada fizikal dan paling ketara ialah penat pada emosi.
Ads
Waktu tu, kalau saya dapat keluar rumah sekejap pun dah rasa gembira.
Kalau dapat buat perkara lain selain dari menjaga anak, rasa lega sangat.
Masa tu baru saya sedar pengorbanan isteri saya. Banyak kali dia mengadu penat dan saya cakap rehatlah.
Saya silap.
Selama ni saya ingatkan dia penat fizikal, rupanya dia penat pada emosi. Penat pada emosi itu tak boleh hilang dengan tidur atau rehat semata-mata.
Sebenarnya, selama ni isteri saya ambil masa berehat hanya untuk dia keluar dari “Emotional burnout”.
Ads
Suami kena hati-hati. Penat pada emosi ni tak nampak pada mata kasar.
Kadang-kadang, suami nampak isteri macam malas sebab terbaring lesu. Tak ramai faham, itu bukan malas tetapi kemungkinan besar si isteri itu sedang burnout.
Suami kena hati-hati. Penat pada emosi ni tak nampak pada mata kasar.
Kadang-kadang, suami nampak isteri macam malas sebab terbaring lesu. Tak ramai faham, itu bukan malas tetapi kemungkinan besar si isteri itu sedang burnout.
Percayalah, bila isteri dapat cukup rehat begini, dia akan mula bekerja keras semula untuk keluarga.
Sebab waktu tu, emosi dan psikologinya jadi segar dan terjaga semula.
Berkahwin atas dasar suka sama suka dan benar-benar mengenali hati budi dan perangai masing-masing, ia boleh menghasilkan sifat kasih, setia, bertanggungjawab dan fokus untuk menjaga kebajikan pasangan, menghiburkan dan saling melengkapi. Tapi, kahwin atas dasar keluarga, semua ini boleh dipupuk. Paling penting, kita dapat menerima pasangan tanpa syarat untuk membina keluarga yang bahagia hingga ke jannah. Inilah antara perkongsian daripada Dr. Ahmad Kamal Ariffin, Pakar Kaunseling Keluarga.
Kenal Luar Dalam
Namun, dalam menikmati kehidupan bahagia itu, tidak selalunya indah, ada cabaran dan dugaan yang dilalui untuk mencapak kebahagiaan itu.
Tidak bermakna, kita dah berkahwin selama 10 tahun, 20 tahun dah kenal sikap pasangan. Sebenarnya, masih banyak yang kita tak tahu tentang pasangan. Cuba tengok, adakah kita betul-betul kenal pasangan?
Sejauh mana kamu tahu hobinya
Kamu tahu warna kegemarannya
Kamu tahu penyakit yang dialaminya
Kamu tahu cara gaya dia bercakap
Kamu tahu cara gaya dia berfikir
Kamu tahu latar belakang keluarganya
Kamu tahu latar belakang akademiknya
Kamu tahu kecerdasan fizikalnya
Kamu tahu tahap ego kendirinya
Kamu tahu cita-citanya
Kamu tahu lagu kegemarannya
Kamu tahu minat sukannya
Kamu tahu minatnya dalam aspek berpakaian
Kamu tahu makanan kegemarannya
Kamu tahu tahap kecerdasan berbahasanya
Kamu tahu karakternya ketika bekerja
Kamu tahu minat membacanya
Kamu tahu tahap keilmuannya
Kamu tahu sejarah latar belakang hidupnya
Proses mengenali hati budi pasangan memerlukan cara, masa dan adabnya untuk memahami dan mencungkil karakter sebenar pasangan masing-masing.
Tanpa ilmu dan kemahiran, akan menerbitkan sikap tak selesa pasangan, rasa marah dan tidak selamat pula. Seterusnya, mengenali dan memahami karakter pasangan anda memerlukan anda berjiwa besar dan penyayang. Ia sangat penting bagi mengelak persepsi negatif atau buruk sangka pasangan anda. Niat yang baik kalau tak betul caranya juga akan mengundang konflik.
Jangan Berahsia
Tak mustahil, ada sesetengah pasangan suka berahsia. Bila keadaan ini berlaku, mulalah pasangan memandang serong kononnya pasangan menduakan dirinya.
Sebenarnya,bukan sebab ada orang ketiga tetapi mungkin ada masalah lain yang pasangan tidak mahu berkongsi, bimbang pasangan akan tertekan dan kecewa. Mungkin ini isu yang ada pasangan suka berahsia kerana:
Mengalami penyakit misalnya sakit dada atau jantung
Mengalami bebanan hutang personal
Perasaan dendam akibat dibuli semasa zaman kanak-kanak
Perasaan dendam akibat difitnah oleh orang tertentu
Mengalami kegagalan di dalam akademik semasa bersekolah rendah atau menengah
Mengalami rasa diri tidak berguna dan hina tanpa sebab (penyakit kecelaruan emosi)
Jadi, tidak mustahil ada pasangan yang mula kelihatan suka termenung, bercakap seorang diri dan kadang-kala mudah marah-marah, kita terus beranggapan pasangan ada skandal atau buat salah di belakang kita.
Sebagai manusia, kita tidak sempurna dan tidak bebas daripada melakukan salah dan silap, sejak sebelum kahwin hinggalah sudah kahwin. Jangan jadikan kita seorang ‘perfectionist’ atau ‘idealist’. Jauhi sikap berburuk sangka dalam hubungan suami isteri. Jika setiap pasangan suka berfikiran terbuka, pemaaf dan positif, akan menjadikan situasi;
Rumah tangga yang harmoni
Rumah tangga yang bertoleransi
Rumah tangga yang bersatu
Rumah tangga yang bahagia
Rumah tangga yang diberkati Ilahi
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Assalamualaikum puan kaunselor yang dihormati. Saya berusia 39 tahun, memiliki sepasang cahaya mata berusia 15 dan 13 tahun. Keduanya belajar di sebuah sekolah berasrama penuh di Terengganu. Saya dalam ketakutan kerana seorang lelaki.
Masa Untuk Anak-anak
Saya dan suami sama-sama bekerja swasta dan sibuk. Memandangkan anak-anak tinggal di asrama, jadi tak ada masalah untuk kami balik lewat atau kerja hujung minggu. Setiap tiga minggu kami akan terbang ke Terengganu menjenguk anak-anak.
Terus terang, dengan gaji saya dan suami, kami mampu hidup selesa. Alhamdulillah. Bercuti ke luar negara setahun sekali sudah jadi rutin kami. Itu juga perjanjian antara saya dan suami dengan anak-anak. Ketika ini kami akan luangkan masa untuk bersama mereka memandangkan kami tinggal berjauhan.
Teman Sepejabat
Namun, perkenalan saya dengan seorang pemuda, J, merubah kehidupan saya. Sebenarnya kami satu tempat kerja tapi berlainan jabatan. Sikap saya yang suka menolong yang membuatkan kami rapat. Saya pernah tumpangkan dia balik kerja bila keretanya rosak di parkir pejabat. Kebetulan saya balik lewat dan nampak dia yang sedang memeriksa enjin keretanya.
Dia rasa terhutang budi kerana saya sanggup menghantarnya pulang sedangkan rumah kami berbeza arah. Dia ingin belanja saya makan sebagai tanda ucapan terima kasih dan saya menerimanya. Saya pergi bukan berdua pun, ada teman lain menemani.
Selepas itu, pertemuan demi pertemuan terjadi tapi saya tiada apa-apa perasaan terhadapnya. Saya anggap dia seperti adik kerana dia lebih muda enam tahun daripada saya. Sering kali juga dia bercerita tentang isteri dan dua anaknya. Saya juga begitu.
Cuma daripada awal, dia tak pernah panggil saya ‘kakak’ walau pun saya membahasakan diri saya dengan panggilan itu. Katanya, tak perlu kerana saya nampak lebih muda daripadanya. Malah dia rasa lebih selesa begitu.
Pergi Bercuti Bersama Keluarga
Aidiladha lalu, saya sekeluarga bercuti ke luar negara dan sengaja saya ambil cuti lama kerana kebetulan anak-anak cuti sekolah. Di luar negara, saya tak terlalu berkepit dengan telefon dan hanya sesekali tengok handphone bila di hotel. Ada saya terima whatsapp daripada J yang bertanya bila saya akan balik dan saya beritahu bila tarikh dan masanya. Yang buat saya tak sedap hati bila dia cakap dia rindu saya..tapi tak ambil hati sangat.
Sampai di rumah barulah saya membaca macam-macam whatsapp termasuk daripada J. Saya terperanjat bila dia beritahu dia ada di airport tadi menanti ketibaan saya. Mulanya ingat dia bergurau tapi bila dia tahu di mana saya sekeluarga makan dan saya pakai baju apa, saya naik risau. Katanya, terubat rindu walau pun hanya mampu lihat saya dari jauh! Puan, tiba-tiba rasa takut pula.
Saya minta dia berterus terang kerana tak sedap hati. Dia mengaku bahawa dia dah jatuh cinta dengan saya dan ingin hidup bersama. Tentu saja saya marah kerana kami sama-sama dah berkahwin dan saya hanya anggap dia sebagai adik saja. Tapi dia tak boleh terima dan sanggup berskandal dengan saya. Gila kan?
Selepas itu saya mengelak untuk berjumpa dengan J tapi dia sering kali menghantar whatsapp atau menelefon ke talian pejabat. Saya rasa tak tenteram dan takut. Saya tukar nombor telefon kerana tak nak dia ganggu tapi dia akan telefon ke talian pejabat dan e-mel saya.
Puan, patutkah saya berterus terang dengan suami? Saya juga takut kawan-kawan sepejabat tahu kerana J saban hari akan turun ke jabatan saya. Walau pun hanya memandang saya dari jauh, tapi saya sangat rimas dengan keadaan ini. Saya juga risau dan takut dia makin berani kelak, tak tahu apa dia akan lakukan.
Puan K, KL.
Jawapan:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi.
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah.Perasaan suka, ingin berkawan, ingin berbicara, jika dibaja boleh bertukar menjadi sayang, kasih, cinta, rindu, mabuk angau dan sebagainya dalam diri seseorang jika dia terasa kekosongan dalam dirinya atau perasaan kecewa yang dialaminya.
Pun terdapat beberapa faktor lain yang merangsang dirinya dengan perasaan yang disebutkan di atas kerana nafsu dan emosi yang tidak dikawal dan diurus dengan baik mengikut batasan adat dan agama.
Individu sebegini mudah terlupa kepada realiti kehidupan dan tanggung jawab serta amanah yang dipikul. Malah tidak dapat membezakan mana yang baik, mana yang buruk, mana yang berdosa mana yang pahala…mana yang boleh mengundang murka Allah dan sebaliknya.
Tak Tergoda
Tahniah diucapkan kepada puan kerana tidak terpengaruh dengan hasutan syaitan untuk terus bersamanya. Puan mengetahui batas dan sempadan dalam budaya dan agama. Tindakan puan menukar nombor telefon bimbit adalah tindakan yang praktikal dan bijak. Sekurang-kurangnya tidak memberi ruang dan peluang kepadanya mengganggu puan melalui telefon bimbit.
Bagi menjawab persoalan yang puan kemukakan sama ada perlu atau tidak untuk memberitahu suami, saya rasa puan sendiri mengenali suami sama ada boleh menerima penjelasan daripada puan atau tidak. Jika suami mempercayai puan, dan kurang dari segi sifat cemburunya, maka mudah puan untuk menjelaskannya.
Jika sebaliknya, puan perlu kebijaksanaan dalam menceritakan apa yang telah berlaku. Puan sendiri yang tahu suami boleh menerima ini atau sebaliknya memburukkan lagi keadaan jika puan memberitahunya.
Sebaiknya biarlah puan sendiri yang menceritakan kepada suami, berbanding jika suami dapat tahu daripada orang lain. Atau lebih buruk, mungkin lelaki itu sanggup berbuat apa sahaja seperti menyamar dan memberitahu suami puan bahawa puan ada hubungan sulit dengan lelaki lain, atau mungkin juga dengannya. Kebarangkalian dan kemungkinan ini boleh berlaku dalam keadaan yang tidak diduga, malah bukan dalam pemikiran rasional kita.
Tindakan Bijak
Tindakan puan menjauhkan diri daripadanya adalah langkah bijak. Seboleh mungkin elakkan daripada bertembung dengannya atau melalui jalan yang biasa dilaluinya. Jika dia sering turun ke jabatan puan, cuba elakkan dari bertembung dengannya. Jauh sekali untuk bertegur sapa. Jaga penampilan dan pakaian puan daripada berhias secara berlebihan.
Jika boleh, pakai tudung yang lebih labuh daripada biasa. Jaga pandangan mata apabila bertembung dengannya. Elakkan daripada memberi sebarang respons dalam apa jua bentuk, sama ada lisan, atau bukan lisan.
Puan mungkin tidak tahu sejauh mana “kegilaannya”. Mungkin dengan cara mengelak dan tidak memberi respons, lama- kelamaan berkemungkinan dia bosan. Jika masih diganggu walaupun puan cuba mengelaknya, beritahu dia bahawa puan akan beritahu isterinya tentang perilaku suaminya. Ini semua perlu ketelitian dalam memberi sebarang respons. Pelbagai insiden mungkin tidak dijangka.
Kawal
Ada orang yang tidak dapat mengawal emosi, minda dan nafsunya. Jika nafsu mengatasi pemikirannya, apa sahaja boleh berlaku. Ilmu hitam tidak mustahil boleh digunakan jika nafsu tidak dikawal dan hilang sebahagian iman daripada dirinya.
Akhir sekali, carilah “pendinding diri” dengan mengamalkan ayat-ayat suci al – Quran. Amalkan doa-doa tertentu yang boleh dicari daripada guru agama. Pada kali ini puan mungkin berjaya, namun puan akan sentiasa terdedah kepada godaan dan pengaruh yang tidak dijangka. Banyakkan berdoa agar puan dilindungi dari sebarang ujian dunia. Wallahualam.
**Permasalahan ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor dan Penulis Bebas, yang juga penulis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tidak berpuas hati wasiat yang ditinggalkan, seorang anak sanggup bakar kubur arwah ayahnya. Barangkali jika ayahnya masih hidup, mahu dia luahkan amarah dan meminta ayahnya menukar wasiat.
Barangkali tindakan dia membakar kubur ayahnya dapat mengurangkan sedikit tekanan yang dialaminya. Namun tindakan yang pemuda ini amatlah tidak wajar, apatah lagi ayahnya kini sudah tiada.
Seorang Anak Sanggup Bakar Kubur Arwah Ayah
Viral tentang kisah seorang pemuda di Jakarta, Indonesia nekad membakar kubur arwah ayahnya kerana tidak berpuas hati dengan wasiat yang ditinggalkan, lapor Suara.com semalam.
Menerusi rakaman video yang dimuat naik di @nenk_updatee, seorang lelaki dilihat turun daripada kenderaan membawa tong yang dipercayai berisi minyak tanah sebelum menuju ke arah sebuah tapak kubur.
Apabila tiba di kubur ayahnya, lelaki itu bertindak menyiram kawasan itu dengan minyak dan melemparkan mancis berapi ke atasnya.