Ramai isteri suka kalau suaminya sentiasa ingat akan dirinya dan mengutamakan dirinya dan anak-anak berbanding hal-hal lain. Maka sebab itulah ada isteri yang cuba mengawal atau kontrol suami. Ops! Itu silap ye puan-puan!
Ada isteri yang terang-terang mengaku, dia memang ‘queen control’. Tapi, benarkah dia bahagia dan hati suami sentiasa melekat pada dirinya? Tidakkah itu hanya membuatkan isteri itu sentiasa stres kerana sentiasa cari jalan supaya suami ‘tunduk’ kepadanya. Bukan dalam erti kata pakai ilmu sihir, tapi dengan cara mengawal suami.
Isteri Boleh Jadi Cemburu Buta!
Sekejap-sekejap telefon suami walau pun tahu suami sedang bekerja. Semua perkara suami kena lapor pada dia. Kalau ‘lupa’ memang perang besar. Kalau di rumah, suami tak dibenarkan keluar tanpa dirinya. Walau pun suami hanya nak keluar bawa anak-anak ke taman permainan, tetap tak dibenarkan. Diajak, tak nak pergi pula dengan alasan penat! Aduh, macam mana tu? Jauh sekali nak benarkan suami keluar dengan kawan-kawan.
Belum lagi bab semak semua call dan whatsapp suami dan sebagainya. Alasan caring, tapi buat suami tertekan. Uih. Tak penat ke asyik nak kontrol suami? Dah masuk bab cemburu buta pun ada. Apakah dengan cara ini hati suami akan sentiasa melekat pada isteri?
Isteri UTAMAKAN Suami
Walau pun ada anak-anak kecil yang perlu diberikan sepenuh perhatian, jangan abaikan suami hingga dia berasakan dirinya bukan lagi jadi keutamaan. Nampak tak logik. Takkan suami cemburu dengan anak sendiri. Bukan soal cemburu, tapi suami tetap ingin isteri mendahului dan mengutamakan dirinya dalam segala hal.
Isteri Iringi DOA Bila Suami Keluar Kerja
Nak ‘gam’ suami agar suami sentiasa ingat kita, bukan dengan cara kawal dia. Bahkan kata orang, lagi kita cuba ikat dia, lagi dia akan jauh daripada kita.
Isteri kena tunjukkan bahawa anda percayakan dia walau pun dia tak ada di depan mata. Tiap kali suami nak keluar bekerja, salam, cium tangannya sambil doakan agar segala tugasannya dipermudahkan dalam mencari rezeki untuk kita dan anak-anak. Ha..bila dengar kata-kata tu, mesti suami rasa bersemangat dan dia juga akan sedar bahawa dia keluar mencari rezeki untuk anak isteri.
Berbeza kalau kita cakap; “abang jangan nak mengatal pulak kat tempat kerja. Nahas saya tahu..”. Agaknya kalau suami tak ada niat nak mengatal, terus ada keinginan. Sebabnya, dia geram. Niatnya bangun pagi keluar cari rezeki, tapi awal-awal lagi isteri dah tunjuk tak percayakan dia.
Nak Isteri Jaga PERUT Suami
Ramai wanita yang mungkin tak rasa ini penting. Ada yang cakap, sama-sama sibuk cari rezeki, suami kenalah faham. Ye, memanglah suami faham. Tapi tidakkah ada rasa kasihan pada suami (dan anak-anak) kalau asyik makan kedai je?
Paling kurang, masaklah seminggu sekali untuk suami. Tak sempat masak sarapan, masak makan malam. Atau hari cuti, boleh masak kan? Tentu dia akan rasa gembira. Tak percaya? Survey dan tanya suami-suami. Siapa yang tak nak isterinya masak? Tapi, mereka faham kesibukan dan kepenatan isteri kerja, sebab itu mereka tak ‘wajibkan’ isteri masak hari-hari.
Tapi rugi bagi isteri yang tak gunakan cara ini untuk ‘gam’ suami. Kalau begini, jangan salahkan suami kalau asyik nak keluar makan di kedai. Sebabnya, dia dah terbiasa makan di kedai daripada di rumah. Apa pun, belum terlambat. Rajinkan diri untuk masak, walau pun sekadar satu lauk. Tengoklah perubahan suami nanti.
Suami Nak Ruang Bersama Kawan
Mungkin ramai isteri yang kurang setuju untuk beri ruang pada suami keluar bersama kawan-kawan. Tapi, kalau nak ‘gam’ suami, ini juga salah satu caranya. Alah, bukan tiap hari, mungkin seminggu sekali je. Anda fikir lah ye, tidakkah lebih baik kalau dia keluar dengan persetujuan dan keizinan anda, berbanding secara diam-diam?
Ada lelaki memang jenis duduk rumah. Tak keluar tak apa. Ada lelaki pula yang suka keluar sebab tapi sebab malas nak gaduh dengan isteri, dia pendamkan saja hasrat. Ini yang kita takut. Nanti dia buat perangai dalam diam lagi susah. Jadi, eloklah bagi ruang untuk dia asalkan kita tahu dia ke mana dan dengan siapa.
Aktiviti Bersama
Tak semestinya hobi bila dikatakan kena buat aktiviti bersama. Ada suami yang suka ajak isteri keluar walau pun sekadar nak ke pasar. Tapi isteri pulak bagi macam-macam alasan. Malas bersiap lah, banyak kerja rumah lah.
Tak terfikirkah wahai isteri, itu tandanya suami nak luangkan masa dengan anda? Tak apa kalau perlu bawa anak bersama. Bila kita buat aktiviti bersama, ia makin mendekatkan perasaan kita. Tak perlu kawal, kita dah ‘gam’ hati suami.
Nak Isteri Yang Tak Demand
Adatlah orang perempuan, banyak kehendak. Tapi, tolong tengok kemampuan suami. Kalau pun suami mampu, tapi asyik minta itu ini, tak patut juga.
Mungkin suami tak lafazkan dengan kata-kata tapi di sudut hati tentu dia sedih dengan perangai isteri yang seolah-olah tak pernah rasa cukup. Nak ‘gam’ hati suami, jadilah isteri yang sentiasa bersyukur dan menyejukkan hati suami. Kalau suami ada masalah, ambil tahu walau pun tak mampu bantu. Picit bahunya, pasti dia lebih lega dan rasa anda prihatin pada dirinya.
Terpulang Masing-Masing
Mungkin ada yang tak setuju dengan apa yang ditulis ini. Terpulang pada diri masing-masing. Apa pun, isteri adalah individu yang paling ‘kenal’ hati suaminya macam mana. Jadi, pasang strategi ikut kesesuaian. Tapi, KAWAL suami bukan jalan terbaik untuk ‘gam’ hati suami pada isteri. Berapa banyak suami yang kononnya dikawal isteri tapi di belakang isteri bukan main lagi, hingga ada yang sampai kahwin lagi!
Artikel berkaitan: Mak Mentua Jadi ‘Orang Ketiga’ Dalam Rumah Tangga, Hubungan Anak Menantu Berantakan
Isteri Cerminan Suami, Suami Jalankan Peranan Memimpin Isteri Dalam Rumah Tangga
Suami Isteri Kalau Nak Rumah Tangga Bahagia, Lihatlah Kelebihan Pasangan Bukan Cari Kekurangan