Mak aiii, bila balik rumah, tengok isteri tak ada. Bila telefon, rupa-rupanya sedang bertandang ke rumah jiran, tengah rancak bergosip. Bila disuruh balik, barulah terhegeh-hegeh nak balik.
Pernahkah situasi yang sama terjadi kepada anda, pulang kerja isteri tak ada di rumah? Itu belum lagi ketika dia bergayut dengan kawan-kawan atau di grup whatsapp. Sampai lupa anak suami! Disuruh bancuh minuman pun muncung panjang sedepa. Marah kerana ‘mengganggu’ kerancakan dia bergosip.
Isteri sebegini boleh dikatakan kaki gosip atau zaman sekarang ini digelar ‘makcik bawang’. Ada saja topik yang dibualkan dengan rakan-rakan. Sebagai suami, tentu anda tak selesa jika isteri berperangai begini. Tak kira sama ada yang bergelar suri rumah tangga mahu pun ada karier. Sikap suka ‘membawang’
itu tak terbatas secara bersemuka saja. Dengan SMS atau whatsapp pun boleh!Mungkin ada isteri beranggapan, anda sebagai suami tak patut larang mereka berjumpa dan duduk berbual dengan jiran tetangga pada waktu senggang. Yelah, semua kerja rumah sudah beres. Sambil bawa anak-anak bermain di sekitar kawasan rumah, waktu inilah mereka nak berjumpa dan beramah mesra dengan jiran tetangga. Nanti dicop ‘jiran tak bermasyarakat’ pula kalau asyik memerap dalam r umah.
Jelaskan pada isteri, bukan anda marah dia keluar dan berbual dengan jiran tetangga. Memang tak salah jika niat mereka nak bersilaturahim dengan jiran tetangga. Tapi anda tak suka kalau isteri sibuk bergosip dan ambil tahu hal orang lain. Lainlah kalau berbual dan berkongsi soal anak-anak, okay lah. Ini, balik saja ke rumah, mulalah isteri berkongsi dengan anda ‘cerita panas’ yang baru dia kutip ketika duduk berborak sebelumnya. Macam mana anda tak naik angin kan.
Bercakap dan berbual hal penting dan perlu saja. Tak kisah topik semasa atau apa tapi jangan sampai mengumpat atau gosip perihal orang lain. Paling penting, kena sentiasa ingatkan isteri, berdosa mengumpat dan mengata orang tu besar. Sanggupkah dia pikul dosa mengumpat saban hari?
Sebagai suami, anda ada hak untuk melarang isteri untuk bergaul dengan individu yang boleh memberikan pengaruh buruk terhadap isteri anda. Bukan tak boleh berkawan langsung, tapi berpada-pada. Tak perlu rapat dengan jiran/kawan yang kaki gosip
Sebagai isteri pula, kena terima teguran suami dengan hati terbuka. Suami faham kehendak anda untuk berkawan tapi jangan sampai menjadi satu dosa pula. Suami juga perlu tetapkan had masa yang isteri boleh keluar duduk melepak dengan jiran tetangga.
Biasalah, kadangkala asyik sangat berborak, tak sedar berjam-jam sudah berlalu. Begitu juga kalau berbual di telefon atau grup whatsapp. Sentiasa ingatkan isteri agar jangan terlalu leka sangat.
Kadangkala tak boleh salahkan isteri juga. Ada suami yang balik kerja, hanya duduk di depan TV. Bersembang dengan isteri pun jarang. Suami kena ingat, isteri juga ingin berbual dengan suami setelah seharian suami bekerja. Tak kisah topik apa, tapi ambil masa untuk berbual dengan isteri. Pasti banyak perkara boleh dibualkan. Ini juga masanya untuk anda menasihatinya jika ada yang tidak kena. Kalau anda dalam dunia anda sendiri, jangan salahkan isteri bila dia juga sibuk menelefon dan berwhatsapp dengan kawan-kawannya.