Siapa sangka penyakit Kanser Payudara yang biasanya dihidapi oleh golongan wanita turut menyerang lelaki.Mungkin agak jarang didengari dan dihidapi tapi itulah ketentuan takdir dan ujian buat lelaki ini.
“Saya tidak menjangkakan jadi sebegini tetapi terima ujian ini sebagai takdir tuhan,” kata pesakit barah payudara, Md Fairul Ab Rahman, 42, bapa kepada enam anak yang disahkan menghidap penyakit itu Januari lalu.
Penyakit itu kini berada di tahap empat dan kini, Md Fairul tidak dapat bekerja sebaliknya hanya menjaga empat daripada enam anaknya berumur lima bulan hingga lima tahun manakala dua lagi tinggal bersama bekas isteri.
Berkongsi pengalamannya sebagai pesakit barah payudara, Md Fairul berkata, tanda penyakit itu mula ada sejak dua tahun lalu tetapi tidak dapat dipastikan sehingga doktor mengesahkannya.
“Payudara kanan saya mula membengkak selepas salah seorang anak melompat di dada dan saya ingatkan ia bisul.
“Lama kelamaan, bengkak itu semakin serius hingga nanah pecah dan berdarah selepas anak saya membaling mainan di bahagian dada.
“Akhirnya, bahagian bernanah itu jadi busuk dan pemeriksaan awal mendapati saya menghidap barah sebelum doktor mengesahkan penyakit berkenaan sudah di tahap tiga pada 20 Januari lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pangsapuri Lagoon Perdana,Bandar Sunway, di Petaling Jaya.
Menurut Md Fairul, penyakit itu merebak dengan pantas kerana dua hari lalu, doktor memaklumkannya barah yang ada sudah berada di tahap empat.
Katanya, sukar untuk menerima kenyataan itu tetapi terpaksa kuat kerana memikirkan anak yang masih kecil.
“Rasa seperti hendak terjun bangunan sewaktu diberitahu doktor, kelmarin mengenai perkembangan penyakit saya namun cuba tenangkan diri dengan beristighfar.
” Sejak disahkan menghidap barah, emosi saya sukar dikawal malah penyakit ini juga menimbulkan rasa tidak selesa dan ada kalanya tertekan hingga tanpa sengaja melepaskan kemarahan pada anak.
” Namun, saya pujuk semula mereka kerana apa yang berlaku bukan salah
sesiapa sebaliknya takdir dan ujian Allah buat saya,” katanya.
Di sebalik ujian itu, Md Fairul bersyukur kerana keluarganya mahupun isteri banyak memberi sokongan termasuk bantuan kewangan sewaktu
memerlukan.
” Dulu, saya ke klinik untuk mencuci luka tetapi kos untuk satu kali cucian saja mencecah RM60.
” Bagi menjimatkan kos, saya beli sendiri barangan diperlukan di farmasi
manakala isteri membantu mencuci luka pada bahagian payudara saya di
rumah,” katanya.
Sementara itu, isterinya, Siti Sapiah Hasan Basri, 28, berkata, sejak suaminya disahkan menghidap barah payudara, dia yang mengambil alih tanggungjawab untuk menyara keluarga.
Katanya, selain mencari rezeki, rutin hariannya kini kini adalah membantu mencuci luka suaminya ketika di rumah dengan mempelajarinya berdasarkan pemerhatian sendiri memandangkan tiada latar belakang dalam bidang perubatan.
” Ibarat patah kaki juga kerana sebelum ini, suami yang memandu untuk ke mana-mana tetapi sejak dia sakit, saya perlu berdikari.
” Namun, apa yang terjadi buat saya lebih kuat dan belajar untuk bersyukur kerana tahu, ramai lagi yang lebih susah dah kurang bernasib baik di luar sana.
“Alhamdulillah, majikan memahami keadaan saya dan ketika ini, biarlah saya berkorban demi suami serta anak,” katanya.
Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan dan membantu keluarga ini boleh menyumbang menerusi akaun Maybank, Md Fairul Ab Rahman (164258444764).
MW: Sesungguhnya penyakit kanser menyerang tanpa mengira usia dan jantina. Semoga keluarga ini terus diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini. Sama-sama kita mendoakan dan membantu mereka.
Sumber: Hmetro