Siapa sangka penyakit Kanser Payudara yang biasanya dihidapi oleh golongan wanita turut menyerang lelaki.Mungkin agak jarang didengari dan dihidapi tapi itulah ketentuan takdir dan ujian buat lelaki ini.
“Saya tidak menjangkakan jadi sebegini tetapi terima ujian ini sebagai takdir tuhan,” kata pesakit barah payudara, Md Fairul Ab Rahman, 42, bapa kepada enam anak yang disahkan menghidap penyakit itu Januari lalu.
Penyakit itu kini berada di tahap empat dan kini, Md Fairul tidak dapat bekerja sebaliknya hanya menjaga empat daripada enam anaknya berumur lima bulan hingga lima tahun manakala dua lagi tinggal bersama bekas isteri.
Dikesan 2 Tahun Lalu
Berkongsi pengalamannya sebagai pesakit barah payudara, Md Fairul berkata, tanda penyakit itu mula ada sejak dua tahun lalu tetapi tidak dapat dipastikan sehingga doktor mengesahkannya.
“Payudara kanan saya mula membengkak selepas salah seorang anak melompat di dada dan saya ingatkan ia bisul.
“Lama kelamaan, bengkak itu semakin serius hingga nanah pecah dan berdarah selepas anak saya membaling mainan di bahagian dada.
“Akhirnya, bahagian bernanah itu jadi busuk dan pemeriksaan awal mendapati saya menghidap barah sebelum doktor mengesahkan penyakit berkenaan sudah di tahap tiga pada 20 Januari lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pangsapuri Lagoon Perdana,Bandar Sunway, di Petaling Jaya.
Merebak Pantas, Tahap 4
Menurut Md Fairul, penyakit itu merebak dengan pantas kerana dua hari lalu, doktor memaklumkannya barah yang ada sudah berada di tahap empat.
IKLAN
Katanya, sukar untuk menerima kenyataan itu tetapi terpaksa kuat kerana memikirkan anak yang masih kecil.
“Rasa seperti hendak terjun bangunan sewaktu diberitahu doktor, kelmarin mengenai perkembangan penyakit saya namun cuba tenangkan diri dengan beristighfar.
” Sejak disahkan menghidap barah, emosi saya sukar dikawal malah penyakit ini juga menimbulkan rasa tidak selesa dan ada kalanya tertekan hingga tanpa sengaja melepaskan kemarahan pada anak.
” Namun, saya pujuk semula mereka kerana apa yang berlaku bukan salah sesiapa sebaliknya takdir dan ujian Allah buat saya,” katanya.
IKLAN
Di sebalik ujian itu, Md Fairul bersyukur kerana keluarganya mahupun isteri banyak memberi sokongan termasuk bantuan kewangan sewaktu
memerlukan.
” Dulu, saya ke klinik untuk mencuci luka tetapi kos untuk satu kali cucian saja mencecah RM60.
” Bagi menjimatkan kos, saya beli sendiri barangan diperlukan di farmasi manakala isteri membantu mencuci luka pada bahagian payudara saya di rumah,” katanya.
Isteri Ambil Alih Tanggungjawab Keluarga
Sementara itu, isterinya, Siti Sapiah Hasan Basri, 28, berkata, sejak suaminya disahkan menghidap barah payudara, dia yang mengambil alih tanggungjawab untuk menyara keluarga.
IKLAN
Katanya, selain mencari rezeki, rutin hariannya kini kini adalah membantu mencuci luka suaminya ketika di rumah dengan mempelajarinya berdasarkan pemerhatian sendiri memandangkan tiada latar belakang dalam bidang perubatan.
” Ibarat patah kaki juga kerana sebelum ini, suami yang memandu untuk ke mana-mana tetapi sejak dia sakit, saya perlu berdikari.
” Namun, apa yang terjadi buat saya lebih kuat dan belajar untuk bersyukur kerana tahu, ramai lagi yang lebih susah dah kurang bernasib baik di luar sana.
“Alhamdulillah, majikan memahami keadaan saya dan ketika ini, biarlah saya berkorban demi suami serta anak,” katanya.
Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan dan membantu keluarga ini boleh menyumbang menerusi akaun Maybank, Md Fairul Ab Rahman (164258444764).
MW: Sesungguhnya penyakit kanser menyerang tanpa mengira usia dan jantina. Semoga keluarga ini terus diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini. Sama-sama kita mendoakan dan membantu mereka.
Normal jika wanita akan jadi stres ketika ‘datang bulan’. Kesan paling ketara, pengaliran darah haid menyebabkan badan wanita lebih lesu pada awal peringkat. Tetapi tidak cukup dengan dugaan itu, anda mungkin melalui pengalaman darah haid ‘bocor’ hingga kesannya boleh terkena pakaian anda. Jangan panik, tip kali ini membantu anda untuk cuci dengan lebih mudah dan cepat.
1. Kesan Darah Baru
Siramkan pakaian kotor anda dengan air suam-suam kuku dan siram di bahagia kotor. Aliran air akan membuat kesan darah luntur. Tapi jangan guna air panas ya. Kemudian anda boleh menggunakan sabun untuk menghilangkan sisa-sisa kesan darah. Gosokkan sabun di bahagian terkena darah dengan menggunakan sikat atau jari. Sabun mandi biasa atau sabun cuci tangan lebih cepat hilangkan kotoran degil.
2. Kesan Darah Lama atau Kering
Celupkan kain lap dalam cecair cecair peluntur, sapu di baju yang terkena darah. Tetapi jangan tuang secara terus, nanti rosak baju anda. Kemudian siram baju dengan air sejuk dan cuci seperti biasa. Penggunaan cecair peluntur ini lebih sesuai untuk pakaian warna putih atau terang sebab cairan ini boleh membuat warna kain pudar.
Kalau anda tidak ada sabun, cecair peluntur, atau detergen, anda boleh cuba gunakan pil aspirin untuk membersihkan kesan darah. Caranya hancurkan pil aspirin, larutkan dalam air. Kemudian sapu aspirin di bahagia kotor dan cuci hingga bersih.
Cara Lain
Satu lagi cara mudah untuk menghilangkan kesan darah adalah dengan menggunakan baking soda. Caranya cukup mudah, sapu baking di bahagian darah, kemudian gosok sehingga pudar dan cuci seperti biasa.
Ingat ya, kalau darah sudah kering, lebih sukar untuk membersihkannya. Semoga info ini memudahkan kerja harian anda.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kalau tahu mak-mak bersalin CZER, laju sangat yang lontar komen dan soalan pelik-pelik. Seolah-seolah mak yang bersalin czer itu tak berusaha nak keluarkan anak secara normal.
Allah… ini yang silap dan boleh jadi perang! Nak-nak pula kalau jumpa jenis orang yang cakap tak bertapis. Maka berduka dalam diam lah mak-mak yang bersalin czer ni.
Jadi lepas ini jika nak pergi menziarahi orang lepas bersalin, mak-mak kena pandai berlapik tanya soalan. Lagi manis jika baca dulu luahan mak yang pernah bersalin CZER ini dulu…
Sesiapa yang pernah ikuti perkembangan Juru Urut Bertauliah dan Pengamal Warisan Perbidanan Melayu Lama, Puan Siti Aisyah, dia pernah menulis tentang emosi dan perasaan ibu bersalin czer ini apabila rata-rata wanita meroyan yang datang ke pusat rawatannya mempunyai masalah dengan orang sekeliling (kaum keluarga malah suami) yang tidak memahami tekanan selepas melahirkan bayi secara pembedahan.
Mengapa kaum ibu tertekan apabila terpaksa melahirkan anak melalui pembedahan?
1. Diluar jangkaan proses bersalin yang diidamkan.
Berapa ramai wanita di luar sana yang BELUM BERKAHWIN meletakkan “bersalin secara csect” sebagai salah satu impian dalam hidup mereka?
Pernah kau dengar cita-cita bakal pengantin; “nnti sayang nak lahirkan anak abang seramai 5 orang. Semuanya melalui PEMBEDAHAN.” Ada? Ada?
Jari kena hiris dengan pisau pun dah meleleh air mata, inikan pula nak tadah perut kena lapah semata-mata untuk keluarkan anak.
Czer ni dikira rancangan akhir nak lahirkan anak. Akhir yang macam mana? Akhir sebelum MATI!
2. Trauma dari proses pembedahan.
Bayangkan. Kau dah sakit berjam-jam. Tiba-tiba doktor beritahu anak kau dah makin lemas. Ok… itu dah satu trauma.
Lepas tu tiba-tiba kau dikerumun oleh pakar perubatan. Cucuk sana sini. Masuk wayar itu ini (wayar pundi kencing paling azab). Mereka dok kalut-kalut nak selamatkan kau dan anak-anak kau.
Kau disiap-siapkan dan disorong jumpa suami kau. Suami kau muka blur sebab tak sempat hadam kenyataan kau nak kena bedah. Kau nak bgtau kat suami kau yang apapun terjadi kau sayangkan dia dan anak-anak yang lain (jika ada). Dan kau takut jika itu adalah saat terakhir kau jumpa dan pegang tangan suami kau! Kau terpikir kau tak habis bermanja dengan suami. Kau tak sempat minta maaf dengan anak-anak yang seban hari kau termarah tanpa sedar.
Tapi sekarang kau dalam perjalan 50-50; hidup atau mati.
Kau disorong sorang-sorang (suami tak dibenarkan ikut untuk kes emergency csect) masuk dalam O.T. Kau dengar doktor cerita pasal breakfast nasi lemak. Pastu ada cerita pasal dilwale. Yang kau tengah bertarung minda samada sakit atau tidak kena lapah nanti. Lepas tu bila kau nak dibius, kau tengok jarum epi tu punya besar, kau dah tau yang jarum itu akan masuk ke dalam badan kau untuk biuskan kau.
Melainkan kau dibagi tidur (aku dah merasa kedua-duanya. Aku prefer tidour. Kurang takut. Nak mati pun terus pergi lah kot. Wallahualam. Naizubillah. Takut aku nak pikir)
Kemudian kau dah start rasa ada benda kena tekan-tekan atas badan kau. Tapi kau tak nampak. Kau rasa mereka tolak-tolak badan kau ke kiri. Ke kanan. Ko tak boleh gerak. Masih tak dengar suara baby.
Tapi alhamdulillah…baby selamat. Ok kau boleh lega dah. SEKEJAP!
3) Momen terindah?
Setiap kali orang tgk anak mereka, mereka teringat kali pertama melihat mata si anak sejurus lepas bersalin. Aku? Anak depan aku. Aku tak nampak mata. Blur. Bius. Tidur. Tahu-tahu aku nampak muka doktor dulu. Muka anak? lepas aku dah sedar baru nampak.
Dan bila aku tengok muka anak-anak… aku terkenang cerita trauma setiap sorang. Momen indah? Aku dapat masa 1st bonding menyusukan anak. Alhamdulillah.
Selain doktor, patutnya aku yang dapat tengok anak aku dulu. Tapi disebabkan aku dibius tidur, nenek, atuk, kakak katil sebelah, makcik cleaner dah dulu melihat wajah yang aku tunggu selama 9 bulan 10 hari. Takde eksklusiviti. Takde surprise. Takde cinta pandang pertama.
4) Jihad penyusuan
Anak kau keluar sihat. Comel. Alhamdulillah. Tiba-tiba, anak kau melalak. Kuat. Nurse datang ambilkan anak letak kat kau. Tapi kau?
Kau bertarung kesakitan dengan tempat luka. Kau tengok muka anak kau. Kau nak pujuk. Tapi badan kau tak boleh bergerak.
Bila badan kau dah boleh bergerak, kau nak letak anak atas badan untuk menysukan, terkena perut kau yang baru dilapah. Kau menahan kesakitan.
RIMAS!!!! Aku nak susukan anak aku dengan selesa macam ibu disebelah! Ttp ibu itu bersalin normal!
Dan kau mula tertekan.
5) Mulut puaka.
Datang mereka-mereka yang menziarahi. Tanya “kenapa czer?” Aku mula bercerita perjalann cuba bersalin normal tetapi anak lemas bla bla bla….
Kemudian yang bertanya sambung cakap “punggung kau kecik sebab tu tak boleh beranak normal kot.”
Maksudnya?
Aku cacat? Sebab tu aku tak mampu bersalin normal? Dan dia pun pulang tertonggek-tonggek dengan punggung lebar dia yang normal itu tanpa dia sedari dia telah mengguris hati aku. Dan keyakinan aku.
6) Proses Penyembuhan.
Luka pembedahan dan luka hati
Kau dipaksa berjalan. Untuk elakkn darah beku. Pedih. Rasa badan nak tertanggal dua. Kau dah usaha sebaik mungkin. Tetapi kau tak mampu. Orang mula cakap kau mengada-ngada. Kau baru lepas dipotong 7 lapis kulit daging dan isi. Kau tak boleh tunjuk kau sakit. Kau kena tunjuk kuat. Kau tak ada ruang untuk menjadi LEMAH. Semasa, even selepas bersalin!
Perut kau berlipat dua tak boleh terus dibengkung rapat ke badan. Melihat badan di cermin saban hari benar-benar menyedihkan. Aku siap menangis mendayu-dayu bila ibu aku bersihkan badan aku sambil cakap “Badan akak dah buruk, bu.”
Dan ibu pujuk,
“Stop crying. Nanti kita pantang elok-elok. Akak akan dapat balik badan lama akak.”
Tapi hakikatnya, tak semudah itu. Berpantang orang czer perlu berlebih. Setahun baru dapat saiz badan asal. Masih bersisa cacat di celah lipatan pembedahan. Tak sama dengan perut bersalin normal. Sekata dan rata.
Mohon Orang Luar Memahami
Tulis Puan Siti Aisyah lagi, minta sangat agar mak-mak di luar sana faham kenapa ibu-ibu yang bersalin czer ni over sensitif. Haaa… bukan saja mengada-ngada tetapi golongan ini juga keliru. Pendek kata mak-mak yang bersalin CZER pun tak ada jawapan kenapa “kami tak mampu bersalin normal macam orang lain.”
Jadi sila simpati. Letak empati pada ibu bersalin czer.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Assalamualaikum puan. Sebenarnya masalah yang saya ingin kongsi ini adalah berkenaan dengan sahabat baik saya, M, yang relakan dirinya ‘disimpan’ lelaki kaya demi menanggung kekasihnya. Manakala kenali saya sebagai K.
Saya dan M sebaya, berasal dari satu kampung, di sebuah negeri di pantai timur. Kami mula rapat sejak di tingkatan dua. Mak M dah lama meninggal dunia, sejak usianya 10 tahun dan dia dijaga oleh ayahnya. Sebelum menduduki SPM, ayahnya pula meninggal dunia akibat kemalangan maka M hilang tempat bergantung.
Yatim Piatu
Sebenarnya M seorang pelajar yang cemerlang namun kematian ayahnya memberi impak besar pada dirinya hingga dia tiada lagi semangat untuk berjaya. Saya tahu segala kisah suka dukanya dan menjadi tempatnya meluahkan perasaan. Keluarga saya juga banyak membantunya, mana yang kami termampu.
Dipendekkan cerita, selepas SPM, saya melanjutkan pelajaran di sebuah kolej manakala M tidak menyambung pelajarannya. Hubungan kami renggang kerana masing-masing membawa haluan sendiri.
Kami jarang jumpa kerana dia sudah tak balik ke kampung sejak bekerja. Universiti tempat saya belajar pula berlainan dengan negeri tempatnya bekerja. Hanya sesekali kami berbual menerusi telefon kerana M tak ada FB atau IG.
Kembali Rapat
Selepas tamat pelajaran, saya mendapat pekerjaan di sebuah syarikat di KL dan meminta pertolongan M yang memang tinggal di sana. Dia yang carikan rumah sewa untuk saya. Pernah saya tanya, tak bolehkah saya menyewa bersamanya, tapi dia memberi alasan dia tinggal di nurseri tempatnya bekerja.
Jika ada masa terluang, kami akan keluar bersama dan biasanya M yang akan datang ambil saya di rumah dengan kereta miliknya. Hairan juga saya kerana melihatkan kereta yang M pakai bukan murah, kereta jenama luar negara. Takkan dengan gaji guru tadika dia boleh pakai kereta sebegitu? Tapi saya bersangka baik, mungkin dia ada kerja sampingan lain.
Kekasih M
Satu hari saya diperkenalkan dengan seorang lelaki yang merupakan kekasih M. Orangnya memang handsome tapi kali pertama bersua, saya tidak menyukai lelaki itu. Saya dapat rasakan dia tidak ikhlas terhadap M. Pandangan matanya juga menakutkan saya. Tapi saya dapat rasakan M benar-benar sayangkan lelaki itu.
Pada satu kesempatan, saya mengajak M bermalam di rumah sewa kerana kebetulan waktu itu tiga rakan serumah pulang kampung. Ketika itu saya cuba selidik tentang teman lelaki M. Dia mengakui, lelaki itu sangat dicintainya dan dia sanggup berkorban apa demi lelaki itu. Malah, kepada lelaki itulah yang diserahkan kehormatan dirinya. Terperanjat besar saya dibuatnya. Tak sangka M sejauh itu.
Tanggung
Lebih membuat saya terkejut, M mengakui, dia yang menanggung teman lelakinya itu yang masih belajar di sebuah kolej swasta. Paling membuat saya tak percaya, M mengaku demi untuk mendapatkan wang lebih, dia sanggup menjadi perempuan simpanan kepada seorang lelaki kaya kerana ingin memberikan kemewahan kepada teman lelakinya itu! Mengucap panjang saya mendengarnya.
Sebagai sahabat, saya hanya mampu menasihati tapi saya tak mahu terlalu berkeras dengannya kerana cara itu akan membuatkan dia lagi jauh daripada saya.
Puan, saya sayangkan M dan anggap dia seperti adik-beradik kandung. Saya kasihankan dia yang sanggup merosakkan diri kerana seorang lelaki yang tak ikhlas cintakan dia. Saya berani katakan begitu kerana dalam diam, teman lelaki M pernah cuba menggoda saya!
Saya juga risau kalau lelaki kaya yang membela M tahu akan tembelang M, sesuatu yang buruk akan terjadi pada M pula. Bagaimana caranya saya boleh lakukan untuk membantu sahabat saya ini keluar daripada maksiat itu dan menyedarkan dia bahawa teman lelakinya itu hanya mempergunakan dia demi duit saja? Nak berkongsi dengan mak ayah saya, takut merek tak dapat terima keadaan M dan mungkin akan minta saya jauhi M pula…
Cik K, Putrajaya.
Jawapan:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Saudari adalah antara orang yang memelihara hubungan dalam persahabatan. Malah persahabatan yang saudari jalinkan sejak kecil hingga menganggapnya seperti adik beradik sendiri adalah tindakan yang mulia. Saya memahami bagaimana saudari mahu agar sahabat saudari kembali ke pangkal jalan, tidak lagi bergelumang dengan dosa dan membiarkan diri dipermainkan lelaki.
Untuk membawa insan lain ke jalan yang diredai Allah bukan suatu yang mudah. Sebagai insan yang ingin membantu insan lain, saudari hanya berusaha, yang akan menentukan dia berubah adalah hidayah dari Allah. Maka, kesabaran perlu ada untuk membawa insan lain kembali ke jalan yang diredai. Mungkin beberapa tip ini boleh membantu saudari untuk membantu rakan saudari.
Pendekatan
Pertama, anggap saudari membantunya sebagai ikhtiar untuk dia berubah, hanya Allah yang mampu mengubahnya dengan usaha saudari dan usahanya sendiri.
Kedua, dekatinya dengan santun. Dengar apa yang diluahkan. Saudari boleh jadi pendengar yang setia. Cuba lihat adakah cara berceritanya ada sedikit penyesalan tetapi tidak tahu nak atasi macam mana atau berbicara itu tanpa ada menyesal pun dengan apa yang dilakukannya.
Cara mendekatinya mungkin sedikit berbeza. Jika tidak nampak bunga-bunga penyesalan, cara dekatinya agak berbeza. Pendekatan saudari perlu dengan cara tanya persoalan-persoalan tentang erti kehidupan, biar dia menjawab soalan itu. Nasihat tidak sangat memberi kesan.
Persoalan Dan Jawapan
Beberapa soalan yang boleh tanya bergantung kepada dua keadaan yang saya nyatakan di atas. Antara soalan-soalan yang jika dia tidak nampak rasa penyesalan boleh ditanya seperti berikut:
1. Apa tujuan hidup kita?
2. Kenapa kita dilahirkan?
3. Ke mana destinasi akhir kita?
4. Adakah apa yang M lakukan itu diterima Allah? Diredai oleh ibu bapa M yang telah mati?
5. Bagaimana ibu bapanya yang telah mati. Adakah jika mereka hidup mereka suka cara hidup M begitu?
6. Bayangkan jika M jadi ibu dan anak M jadi seperti M sekarang, apakah yang M rasa?
7. Dan beberapa persoalan yang saudari rasa sesuai ditanya yang boleh menimbulkan kesedaran kepadanya untuk kembali ke jalan Allah.
Beri masa dan ruang padanya untuk menjawab soalan-soalan itu. Malah jika ditulis adalah lebih baik. Jawapannya mesti ikhlas datang daripadanya.
Jika nampak ada sedikit penyesalan dan dia mahu berubah, tetapi buntu bagaimana ingin berubah maka antara soalan-soalan yang boleh ditanya:
1. M benar-benar mencintai K (katakan kekasihnya). Adakah K setia padanya? Jika ditakdirkan K menjadikan orang lain dalam hidupnya apa M akan buat?
2. M sedar atau tidak bahawa K hanya mengambil kesempatan terhadapnya?
3. Sampai bila M akan berterusan begitu. Jika K2 (orang kaya yang menyaranya) dapat tahu apa agaknya akan berlaku?
4. M mahu berubah atau tidak daripada cara hidupnya sekarang? Mengikuti cara hidup yang lebih baik mengikut landasan agama? Jika jawapannya Ya, maka saudari perlu pandu soalan-soalan bagaimana atau apa langkah-langkah yang dia perlu buat.
5. Jika masih belum bersedia, tanyakan soalan-soalan yang boleh menyedarkan dirinya bahawa apa yang dilakukan sebenarnya amat merugikan dirinya.
Ingatkan Dia Tentang Solat…
Dekati dia dengan santun dan sering ambil berat terhadapnya. Perlahan-lahan beri dia ilmu keagamaan yang membawanya kepada kehidupan sebenar. Selalu hadiahkan sesuatu, walaupun kecil tetapi tanda ingatan. Selepas hadiah berbentuk ini, hadiahkan buku agama, telekung dan sejadah agar tanda saudari menyayanginya kerana Allah.
Bila saudari bersamanya, sedaya mungkin cuba ajak dia solat sekali, membaca ayat-ayat Allah mana yang dia tahu. Sering ingatkan dia tentang solat. Jika mampu sering ingatkan dia jangan tinggal solat. Walau buat maksiat pun sekali-kali jangan tinggal solat, yang ini selalu memperingatkan dia. Jika dia berkata, “aku buat maksiat, buat apa solat, Allah tentu tak terima”. Katakan bahawa Allah itu Maha Pengasih..Maha Pengampun…solatlah walaupun bergelumang dengan dosa. Itu pesanan yang saudari berikan padanya. JANGAN TINGGAL SOLAT.
Mohon Pertolongan Allah
Seterusnya, sering-seringlah menghantar artikel atau kata-kata melalui whatsapp yang mengajak kepada kebaikan dan kehidupan yang diredai Allah. Berbicara yang paling baik dengannya tentang erti kehidupan yang sebenar dan diredai Allah. Teruskan mengajaknya kepada kebaikan.
Saudari sendiri perlu banyakkan solat memohon Allah mengampunkan dosanya. Dan saudari perlu yakin bahawa Allah akan bantu saudari untuk membantunya jika saudari juga kuat solat dan selalu berdoa agar Allah lembutkan hatinya dan membawanya pulang ke jalan yang diredai Allah.
Moga sedikit panduan ini dan kegigihan saudari membantu membawanya pulang ke jalan Allah diperkenankan Allah.
** Persoalan ini telah dijawab oleh Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor dan Penulis Bebas, juga penulis tetap ruangan Ya Tuhan di dalam majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bella & Caprice akhirnya berdamai. Menerusi ruangan komen, majoriti netizen menyambut baik perkara tersebut dan berharap tiada lagi perbalahan antara Bella Astillah dan Caprice.Malah...