
Isteri ‘hilang nyawa’ di tangan suami ketika ‘live’ di Facebook. Seorang lelaki nekad menikam isterinya hingga meninggal dunia. Gara-gara cemburu dengan isteri kerana sering menghubungi bekas suaminya.
Isteri ‘Hilang Nyawa’ Di Tangan Suami Ketika ‘Live’ Di Facebook
Lelaki yang dikenali sebagai Agus Herbin Tambun itu bertindak sedemikian ketika isterinya sedang ‘live’ di Facebook dan karaoke bersama keluarganya pada malam Sabtu lalu. Insiden itu turut disaksikan warganet yang menonton siaran langsung tersebut.
Mangsa, Hertalina Br Simanjuntak ditikam sebanyak lima kali oleh suaminya, Agus yang merupakan warga Desa Suka Damai Kecamatan Sei Bambam, Kabupaten Serdang Bedagai di Indonesia.
Menerusi klip video berdurasi 32 saat itu, ahli keluarga yang lain turut menjerit ketakutan apabila Agus yang datang dari arah belakang menikam isterinya secara tiba-tiba.
Pelaku bagaimanapun melarikan diri selepas insiden itu. Ahli keluarga mangsa kemudiannya membawa mangsa ke Rumah Sakit Chevani dan disahkan meninggal dunia.
Setelah laporan dibuat kepada polis, Agus berjaya diberkas pihak berkuasa dalam tempoh kurang 24 jam setelah dia bersembunyi di rumah saudaranya.
Siasatan awal mendapati suspek mengaku tindakan itu didorong oleh rasa sakit hati dan cemburu kerana Hertalina masih berbaik dengan bekas suaminya.
“Pisau yang dijadikan senjata adalah milik mangsa yang biasanya digunakan untuk memotong jeruk,” kata jurucakap polis.
Sumber: (Agensi) Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Suami Curang, Isteri Kerja Luar Negara, Tanggung Nafkah Keluarga, Saya Macam Kahwin Dengan Biawak Hidup
Suami Tak Mampu Bersama, Isteri Berhak Mohon Fasakh
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
“Mayat orang terendam nie bau dia dari jauh dah boleh hidu. Kulit mereka pun dah tertanggal. Biasa badan mereka licin, beza dengan kematian biasa.
“Satu petua bila bau mayat begini, pantangnya jangan ludah. Sebaiknya telan air liur dan insya Allah bau mayat akan hilang serta merta.

“Biasanya bagi pengurusan mandi jenazah begini, kita akan lapik kain putih dahulu dan baru letak jenazah atasnya. Jangan gosok kerana isi dah lerai.
Ambil sabun dan taburkan. Paip air kita bungkus atasnya dan jirus perlahan pada jenazah. Tak lama, biasa sekejap. Habis mandi, kulit-kulit tertanggal kita satukan sekali…
Ikuti kisah pengalaman tukang mandi jenazah, Puan Lasminah Dul Siraj yang berpengalaman berpuluh tahun dalam pengurusan jenazah di Lembah Klang.
Ikuti video penuh temubual bersama dirinya di YouTube Mingguan Wanita dan Facebook jam 8 malam ini. Jangan lupa subscribe YouTube Mingguan Wanita.
Lokasi temuramah :- Tanah Perkuburan Islam Kg Kerinchi, Bukit C2 Pantai Dalam.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Gigi Rongak Jadi Punca Muncul Benjolan Kecil BERNANAH Di Gusi!”

Isi Kandungan
ToggleTak sangka ya, asalnya cuma sebab gigi rongak tetapi anak boleh jadi sampai demam dan hilang selera makan. Haaa… itulah yang dilalui oleh Doktor Muhammad Uwais Al Qorni apabila anak lelakinya sampai ada nanah di gusi sebab giginya rongak.
Nak tahu kenapa sampai anak boleh demam, jemput baca perkongsian ini dan pastikan mak ayah boleh bertindak dari awal kalau gigi anak dah mula rongak…
Gigi Anak Rongak
Kadang kala anda pasti pernah melihat gigi anak anda rongak di beberapa batang gigi terutama si kecil anda yang suka memakan gula gula dan minuman manis. Mungkin ada mak ayah anggap perkara ini biasa sahaja sebab anda rasa nanti gigi baru akan tumbuh menggantikan gigi rongak itu.
Tetapi tahukah anda, gigi rongak tak boleh dibiarkan begitu sahaja sebab boleh menyebabkan terkumpulnya nanah dalam gigi tersebut. Keadaan ini disebut sebagai dental abscess.
Dental abscess boleh terjadi kepada sesiapa sahaja sama ada kanak-kanak mahupun dewasa, dan ia adalah satu penyakit yang memerlukan bantuan dan rawatan kecemasan kerana beberapa komplikasinya yang amat serius.
JENIS-JENIS DENTAL ABSCESS
Terdapat beberapa jenis dental abscess tetapi doc tidak akan menghuraikan secara terperinci kerana doc bukanlah orang yang arif tentang gigi, tetapi cukup sekadar maklumat sahaja. (Gambar 1)
1. Jenis pertama dinamakan gingival abscess. Gingival bermaksud gusi. Dalam kes ini, anda akan melihat beberapa benjolan kecil di gusi dan bewarna merah jambu kekuningan.
2. Jenis kedua dinamakan periodontal abscess. Periodontal bermaksud sekeliling gigi. Pesakit sebegini nanahnya terkumpul di sekeliling gigi yang masih sihat, dan melibatkan struktur di sekeliling gigi sahaja termasuklah gusi dan kawasan sekitarnya.
3. Jenis ketiga dinamakan periapical abscess. Penyakit ini biasanya dilihat apabila gigi telah rosak sepenuhnya dan akar gigi sudah mula mereput. Dalam kes ini, nanah akan keluar daripada celahan gigi yang rosak serta berbau busuk.
Ketiga-tiga jenis dental abscess ini boleh berlaku serentak mahupun satu persatu. Oleh itu, jika anda terlihat bahawa terdapat benjolan di gusi ataupun sakit pada kawasan gusi dan sekitar gigi yang sudah rosak, segeralah berjumpa doktor gigi berdekatan.
SIMPTOM DENTAL ABSCESS
1. Kerap demam
2. Kurang selera makan
3. Rasa sakit yang mencucuk terutama apabila menggigit atau menguyah makanan.
4. Gigi terasa sensitif terhadap makanan sejuk dan terlalu panas.
5. Bau busuk di sekeliling gigi ataupon gusi.
6. Benjolan atau bengkak di pipi disertai rasa sakit pada gusi atau gigi.
Untuk anak anda yang belum mampu bercakap, kalau tengok si kecil anda tak ceria, sering demam dan kurang selera makan, jangan lupa untuk memeriksa keadaan gigi dan gusi mereka. Mungkin terdapat bau busuk atau benjolan pada gusi dan gigi anak anda.
PUNCA DENTAL ABSCESS
Seperti yang anda sedia maklum, dental abscess adalah disebabkan pengumpulan nanah pada kawasan gigi ataupon di sekitarnya. Nanah adalah disebabkan oleh kehadiran bakteria yang dibunuh oleh system pertahanan badan. Jika terlalu banyak nanah terkumpul dalam suatu tisu yang tertutup, maka abscess (benjolan nanah) akan terhasil.
1. Menyusu botol atau susu badan sehingga lewat malam dan terbawa tidur adalah punca menyebabkan gigi rongak dan mudah haus di kalangan kanak-kanak.
2. Menggosok gigi dengan kuat atau menggunakan berus gigi yang kasar dan tidak sesuai adalah salah satu punca gigi boleh rosak dan dimasuki kuman bacteria.
3. Tidak menggosok gigi pula akan menyebabkan sisa makanan terlekat di celah gigi dan bercampur pula dengan kuman bacteria maka terhasilnya plak gigi ataupon taik gigi.
4.Penggunaan pencungkil gigi yang tidak bersih dan sambil lewa juga boleh menyebabkan berlakunya kecederaan pada gusi sekali gus menyebabkan kuman mudah masuk di celah kawasan luka tersebut.
5. Rawatan gigi yang tidak sempurna. Kadangkala setelah anda berjumpa doktor gigi untuk membuang plak gigi (scaling), anda merasakan bahawa gigi anda sudah bersih . Tetapi tekanan kuat sewaktu membuang plak gigi ini juga boleh menyebabkan kecederaan pada tisu gusi anda.
Oleh itu setelah selesai membuat rawatan gigi dan untuk mendapat kesihatan gigi optimum, anda harus lebih menjaga kesihatan gigi anda atau si kecil anda dengan sentiasa menggosok gigi setiap kali 30minit selepas makan.
RAWATAN DENTAL ABSCESS
Seperti yang doc katakan di atas, dental abscess adalah penyakit yang memerlukan rawatan segera, samaada terus ke jabatan kecemasan untuk dirujuk kepada doktor bedah gigi hospital atau berjumpa doktor gigi berdekatan. Doktor di klinik perubatan keluarga seperti doc tidak dapat merawat dental abscess tetapi kami dapat memberikan anda antibiotic dan ubat tahan sakit sahaja.
Bergantung dengan jenis abscess, beberapa kaedah rawatan digunakan.
1. Antibiotik makan(Oral). Bergantung dengan saiz abscess dan lokasi nanah tersebut, nanah yang kecil akan kecut atau pecah sendiri setelah mendapat rawatan antibiotic ataupon ubat kumur yang dibekalkan doktor gigi. Untuk kita di Malaysia,antibiotic jenis Augmentin , Unasyn atau Flagyl digunakan.
2. Pembedahan kecil (Incision and drainage). Nanah pada gusi yang lebih besar pula memerlukan gabungan antibiotic oral dan pembedahan kecil untuk mengeluarkan nanah tersebut.
3. Pembedahan (Surgery) Dalam kes periodontal abcess, anda perlu dirawat oleh doktor bedah gigi yang bertauliah untuk membuang nanah sahaja ataupon membuang sebahagian tisu gusi yang rosak di sekeliling gigi tersebut.

4. Rawatan salur akar. Rawatan ini dilakukan untuk gigi yang mereput, seperti contoh dalam kes periapical abscess di mana akar gigi dan gigi itu sendiri sudah rongak dan haus sepenuhnya. Rawatan ini melibatkan kos yang agak tinggi dan menyakitkan tetapi kebaikannya anda masih dapat menyimpan gigi anda. Rawatan ini boleh dibuat di klinik gigi swasta atau kerajaan.
5. Cabut gigi. Untuk kes dental abscess yang sangat teruk atau berulang, anda tiada pilihan selain mencabut gigi tersebut. Jika satu sahaja gigi yang rosak, anda masih boleh mencabut gigi di klinik gigi berhampiran tetapi jika banyak gigi yang rongak atau rosak, anda harus membawa anak anda berjumpa dengan doktor bedah gigi hospital untuk rawatan lanjut sebagai pesakit luar mahupun sebagai pesakit dalam.
KOMPLIKASI DENTAL ABSCESS YANG TIDAK DIRAWAT DENGAN SEMPURNA
Seperti mana abscess dan kumpulan nanah lain yang tidak dirawat dengan betul, jangkitan kuman bacteria boleh merebak ke seluruh badan.
1. Dental cyst. Apabila nanah yang terbentuk sebagai abscess tidak dibersihkan dengan sempurna, ia akan seterusnya membentuk kantung yang boleh membesar dan amat sukar dimusnahkan hanya dengan antibiotic makan. Pembedahan major mungkin diperlukan untuk membuang cyst yang besar dan bernanah di dalamnya.
2. Osteomyelitis. Jangkitan yang merebak ke seluruh badan boleh juga melibatkan tulang di sekitar gigi dan gusi seperti contoh tulang rahang(mandible), tulang pangkal hidung(nasal bone) dan tulang pipi (maxilla). Apabila ini berlaku, antibiotic harus diberikan secara dalam pembuluh darah (Intravenous).
3. Cavernous sinus thrombosis. Jangkitan kuman dalam darah boleh membentuk gumpalan darah pada satu jaringan pembuluh darah yang besar di bawah otak yang dipanggil cavernous sinus thrombosis. Kawasan ini perlu dibersihkan melalui pembedahan dan antibiotic untuk mengelakkan jangkitan sampai ke otak.
4. Brain abscess. Jangkitan kuman di mana-mana bahagian tisu muka dan telinga boleh menyebabkan jangkitan pada otak walaupon sangat jarang berlaku. Dalam keadaan ini, pesakit biasanya akan mula mengalami symptom seperti demam, sakit kepala dan lumpuh atau kesukaran bercakap. Pembedahan otak dan antibiotic sahaja yang dapat merawat komplikasi sebegini selain rawatan Hyperbaric oxygen therapy (HBOT) untuk mengurangkan tekanan dalam otak .
Ada beberapa kes yang doc sendiri saksikan di mana dental abscess ini tidak mendapat rawatan sempurna terutamanya apabila dirujuk ke bahagian pesakit luar jabatan kecemasan hospital. Hal ini mungkin kerana dental abscess ini bukan penyakit yang difahami oleh doktor biasa. Akan tetapi untuk doktor gigi, hal ini sangat dipandang serius terutama jika anda atau si kecil sudah mula menunjukkan bengkak di pipi dan kawasan mata.
Jadi, jika anda mengalami dental abscess dan terpaksa ke Jabatan kecemasan di hospital, pastikan anda meminta untuk dirujuk ke doktor gigi atau pakar bedah gigi yang bertugas untuk merawat anda dan si kecil.
Disclaimer :
Doc bukan doktor gigi dan tujuan doc membuat hantaran ini adalah disebabkan baru-baru ini anak bongsu doc dikejarkan ke hospital disebabkan penyakit ini.
Nota:
Tolong doakan juga kesembuhan anak doc yang diserang sawan beberapa kali kerana suhu badan beliau kerap naik mendadak setelah mendapat dental abscess ini.
Harap doa kalian dapat dipanjangkan dan diterima Allah SWT, mengiringi semangat kami sekeluarga dalam menempuh cabaran ini.
Dari Abu Hurairah ra, Nabi SAW, bersabda: “Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah senantiasa menolong hamba Nya selama hamba Nya itu suka menolong saudaranya”. (HR. Muslim)
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
6 Kelebihan Ini HANYA Ada Pada Hari Jumaat, Patutlah Istimewa & Ramai Nantikan Kedatangannya!

Isi Kandungan
ToggleHari jumaat pastinya menjadi hari yang cukup istimewa dan ramai yang menantikan kedatangan penghulu segala hari ini.Selain menandakan hampir memasuki waktu cuti hujung, hari jumaat mempunyai banyak kelebihan dan pelbagai keutamaan yang disediakan oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya. Punyalah istimewa hari jumaat ni, ini antara 6 kelebihannya.
1.Hari Mustajab Berdoa
Rasulullah SAW bersabda: “Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba Mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah SWT sesuatu kebaikan, melainkan Allah SWT memakbulkan doanya atau ia meminta Allah SWT melindunginya daripada sesuatu kejahatan, melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.” (Hadis riwayat Tarmizi).
Hari Jumaat adalah masa yang mustajab untuk berdoa terutama pada dua waktu terbaik iaitu di antara:
a. Imam duduk di atas mimbar sehingga solat selesai Jumaat.
b. Pada akhir waktu Asar.
Ibnu Qayyim Al-Jauzi mengatakan: “Di antara sekian banyak pendapat ada dua yang paling kuat, sebagaimana ditunjukkan dalam banyak hadis yang sahih, pertama saat duduknya khatib sampai selesainya solat. Kedua, sesudah Asar, dan ini adalah pendapat yang terkuat dari dua pendapat tadi.” (Zadul Ma’ad Jilid I/389-390).
2. Hari Dihapuskan Dosa
Diampuni dosa-dosanya antara Jumaat tersebut dengan Jumaat sebelumnya. Sabda Rasulullah SAW : “Solat lima waktu (sehari semalam) dan Jumaat hingga Jumaat merupakan penebus-penebus dosa (ketika itu) selama tidak dikerjakan dosa-dosa besar” (Riwayat Muslim)
3. Hari Lebih Utama Bersedekah
Kelebihan bersedekah pada hari Jumaat jika dibandingkan dengan bersedekah pada hari-hari yang lain adalah sama seperti bersedekah pada bulan Ramadan.
Ibnu Qayyim berkata: “Sedekah pada hari itu lebih utama dengan sedekah pada enam hari lainnya seumpama sedekah pada bulan Ramadan berbanding pada bulan-bulan selainnya”.
Hadis dari Ka’ab menjelaskan: “Dan Sedekah pada hari itu lebih mulia dibanding hari-hari selainnya.” (Mauquf Shahih).
4. Meninggal Pada Hari Jumaat Sebagai Tanda ‘Husnul Khatimah’
Meninggal dunia pada malam hari Jumaat atau siangnya adalah penanda ‘Husnul Khatimah’, iaitu dibebaskan dari fitnah (azab) kubur.
Diriwayatkan oleh Ibnu Amru, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Setiap muslim yang mati pada siang hari Jumaat atau malamnya, nescaya Allah akan menyelamatkannya dari fitnah kubur.” (HR. Ahmad dan Tirmizi, undian sahih oleh Al-Bani).
5. Hari Berlakunya Qiamat
Jumaat merupakan hari yang selalu dikaitkan dengan berlakunya ‘Qiamat’ (hari pembalasan). Dalam suatu hadis, Rasulullah SAW ada menyebut bahawa: “Pada hari Jumaat juga Qiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (Hadis Riwayat Muslim r.a.)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda : “Hari Yang Dijanjikan ialah Hari Qiamat. Hari Yang Disaksikan ialah Hari Arafah, dan Hari Yang Menyaksikan ialah Hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat.”
Semoga Hari Jumaat ini menjadikan kita insan yang lebih Bertaqwa, lebih Berhikmah, lebih Berjaya Dan Lebih Cemerlang di dunia & akhirat. Jadi, marilah sama-sama kita berdoa agar Allah SWT memilih kita di kalangan golongan yang diberikan kelebihan oleh Allah SWT.
6. Hari Paling Mulia
Hari Jumaat adalah hari yang paling utama dan merupakan penghulu segala hari. Terdapat beberapa peristiwa yang terjadi pada hari Jumaat ini, di antaranya:
- Allah SWT ciptakan Adam Alaihissallam
- Nabi Adam alaihissallam dimasukkan ke dalam syurga.
- Nabi Adam alaihissallam diturunkan dari syurga menuju bumi.
- Allah mewafatkannya Nabi Adam Alaihissallam.
- Hari Jumaat juga merupakan hari akan berlakunya Qiamat.
Dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Hari paling baik di mana matahari terbit pada hari itu adalah hari Jumaat. Pada hari itu Adam diciptakan, dan pada hari itu juga Adam dimasukkan ke dalam syurga, serta diturunkan dari syurga. Pada hari itu juga kiamat akan terjadi dan pada hari tersebut terdapat suatu waktu dimana tidaklah seorang mukmin solat menghadap Allah mengharapkan kebaikan kecuali Allah akan mengabulkan permintannya.” (HR. Muslim)
Semoga kita sama-sama merebut ganjaran kelebihan yang ditawarkan pada hari jumaat yang mulia ini.
Sumber:Shafiqqolbu
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bapa Ini Ada Lesen Jurulatih OKU Selam Skuba Pertama Di Malaysia

Isi Kandungan
ToggleTangan kirinya telah tiada. Tetapi itu bukan halangan untuk Mohd Yusnizal bin Mohd Yusoff untuk melakukan aktiviti yang disukainya iaitu selam skuba dan menunggang motosikal. Terkini, Yusnizal telah berjaya mendapat lesen yang membolehkan dirinya bergelar jurulatih selam skuba berlesen.
“ Tuhan tidak mahu kita mengeluh. Apabila Dia tarik sedikit daripada kita itu sebab Dia bagi kelebihan yang banyak yang kita tidak tahu. Saya banyak cuba buat aktiviti dengan menggunakan sebelah tangan.
“ Saya bersyukur sehingga sekarang tidak ada masalah dalam apa sahaja yang saya lakukan. Sekarang ini saya antara instructor OKU diving yang pertama di Malaysia. Saya boleh mengajar dan memberi lesen kepada sesiapa sahaja yang mahu melakukan aktiviti selam skuba. Lesen ini saya perolehi daripada Scuba Diving International (SDI).”
.
Suka Mencabar Diri
Jelas Yusnizal lagi, selam skuba jadi pilihan kerana dia dapat melihat keindahan di dalam lautan. Pemandangan di dalam laut sentiasa berubah walaupun penyelam berada di kawasan yang sama. Melihat pemandangan yang cantik juga boleh menghilangkan tekanan dalam dirinya.
“ Saya suka mencabar diri. Kalau orang lain boleh buat, kenapa saya tidak boleh buat seperti mereka. Saya cabar diri buat kali pertama dengan menyertai sukan paint ball. Saya memang suka sukan lasak. Banyak juga pertandingan yang saya sertai bersama-sama dengan pasukan paint ball saya.
“ Setelah saya jadi OKU, saya cabar diri sekali lagi dengan menyertai selam skuba. Perkenalan saya dengan selam skuba ini berlaku apabila saya bertemu dengan sekumpulan penyelam skuba berlesen. Mereka kata jika saya mahu bercampur dengan mereka, saya perlu ada lesen selam skuba.
“ Masa itu saya rasa tercabar. Saya pergi semua tempat selam skuba. Tetapi semua tidak mahu mengajar saya. Mereka tidak percaya saya boleh menyelam skuba. Walau ditolak saya tidak patah semangat.
“ Apabila kumpulan ini pergi melakukan aktiviti selam skuba, saya ikut tetapi saya buat aktiviti snorkelling. Namun apabila sampai di tempat tersebut saya telah berkenalan dengan seorang guru selam skuba. Dia tarik saya masuk belajar selam skuba. Dia ajar saya sehingga dapat lesen selam skuba,” ujarnya lagi.
Contoh Kepada OKU Lain
Selepas mendapat lesen selam skuba, Yusnizal mula melangkah jauh dalam bidang selam skuba ini.
“ Saya ambil lesen ini sebab saya mahu tunjukkan kepada orang lain bahawa OKU seperti saya juga boleh jadi tenaga pengajar. Untuk mendapat lesen ini memang susah. Memang orang tidak akan percaya OKU boleh melakukannya.

“ Apabila saya ada lesen, saya boleh menjadi contoh kepada OKU lain yang berminat untuk menceburi selam skuba ini untuk menceburinya sama. Sekarang ini saya lebih yakin dengan kebolehan diri. Saya juga lebih bermotivasi. Tidak ada benda yang mustahil yang tidak boleh kita lakukan.”
Selain selam skuba, Yusnizal juga suka menunggang motosikal. Pada Disember 2018, dia telah berjaya mencatat rekod Malaysia dengan menunggang motor menggunakan sebelah tangan di jalan yang mempunyai 1000 selekoh di Thailand.
.
KISAH YUSNIZAL SELANJUTNYA BOLEH DIKETAHUI DALAM RUANGAN KU GAPAI BINTANG, MAJALAH MINGGUAN WANITA VOLUME 2 DISEMBER 2019.
Foto: Azfarina Sulaiman dan koleksi peribadi Mohd Yusnizal
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI