Sememangnya suami orang paling sedih apabila mengetahui isteri kesayangan sakit. Begitu jugalah yang dialami oleh penyanyi senior Nizam Laksamana, 55, apabila isterinya Salwati Zulkifli, 46, disahkan menghidap kanser payudara.
Salwati yang menghidap kanser di peringkat awal mula menjalani kemoterapi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru-baru ini.
Malah Nizam turut menyatakan isteri begitu sedih apabila menerima berita tersebut.
“Isteri saya amat sedih dan menangis selepas mendapat berita itu tapi saya banyak berikan dia semangat,” kongsinya.
Sebagaimana yang dilaporkan Harian Metro, Nizam Laksamana menerangkan dia kini sedang berusaha menyediakan yang terbaik untuk proses kemoterapi isteri kesayangannya.
“Saya akan berusaha menyediakan yang terbaik untuk proses kemoterapi isteri. Yang diperlukan hanyalah doa daripada rakan-rakan dan peminat,” luah Nizam.
Malah Nizam juga turut memberitahu proses kemoterapi berjalan lancar, namun apabila memasuki kitaran keempat hingga keenam, dos ubat berharga RM21,000 perlu dimasukkan.
“Ubat ini perlu diambil tapi tiada dalam jadual yang disediakan hospital. Insya-Allah saya akan dapatkan untuk kitaran keempat hingga keenam ini.
“HKL ada Jabatan Sosial. Doktor sendiri cadangkan saya buat permohonan bantuan daripada mereka. Doktor juga uruskan surat untuk saya mohon di Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Kalau ada rezeki Insya-Allah akan dapat,” ungkapnya yang tidak mahu memohon sumbangan daripada rakan-rakan dan peminat kerana tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak.
Baca Disini Juga:
“Sayunya Tengok Muka Suami, Sakit Pun Dia Gagahkan Juga Mencari Rezeki” Isteri Atu Zero
Walaupun Isteri Diberi ‘Me Time’, Hakikatnya Hati Tetap Pada Keluarga Juga, Percayalah!
Jangan Mengharap Suami Beri Itu Ini, Isteri Belajarlah Gembirakan Hati Sendiri
Menurut Nizam, memandangkan pendemik Covid-19, ramai yang terkesan dari segi ekonomi. Dek kerana itu dia akan berusaha sendiri untuk membiayai kos rawatan isteri.
“Biarlah saya berusaha sendiri dengan simpanan yang ada. Selain itu, saya cuba nasib seperti arahan doktor. Mereka ada hubungan dengan Majlis Kanser Nasional (Makna).Sekiranya gagal mendapat bantuan daripada mana-mana pihak, saya akan berusaha mencari duit dengan kudrat sendiri menjual produk Muruku Lejen,” ceritanya lagi.
Sumber: Harian Metro
Sumber Foto: Nizam Laksamana
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita