Isteri walau sebesar mana pun rintangan dalam rumah tangga, tetap akan cuba bertahan. Sentiasa ada di belakang suami, saat susah dan senang.
Namun, kesabaran isteri juga teruji dengan sikap suami. Makin lama makin menipis dengan sikap baran suami. Sikap itu makin memuncak di waktu PKPB ini. Ikuti luahan rasa isteri itu kepada MW.
Isteri Sedih Sikap Baran Suami
Assalamualaikum puan. Saya ibu kepada empat orang cahaya berusia 10, 13, 16 dan 17 tahun. Saya bekerja di sebuah syarikat swasta. Syukur, saya masih ada kerja dan pendapatan untuk kelangsungan hidup di saat pandemic Covid-19 yang ramai hilang kerja.
Suami juga bekerja di sebuah syarikat swasta dan selepas PKPP diumumkan, dia juga bekerja dari rumah. Hanya beberapa hari dalam seminggu dia ke pejabat.
Apa yang ingin kongsikan dan minta sedikit pandangan puan, sikap suami. Suami seorang yang panas baran. Sejak awal kahwin lagi saya memang tahu sikapnya itu dan sanggup menerima dirinya seadanya. Saya juga sentiasa berdoa agar dirinya akan berubah.
Makin Tua Makin Menjadi
Ternyata sikap orang teramat sukar untuk berubah. Namun saya tetap bertahan walau pun sikapnya itu makin menjadi-jadi. Sebabnya dia tak pernah pukul saya dan anak-anak walau pun dia baran. Hanya barang rumah ada yang akan pecah. Pintu rumah juga pernah rosak keran ditumbuknya. TV pernah rosak bila dibaling remote kerana anak-anak berebut siaran.
Tapi saya tetap sabar. Namun sikapnya itu makin menjadi-jadi bila usia lewat 40-an kini. Hal remeh akan jadi besar. Pantang salah ditengking dan diherdik. Bukan saya saja bahkan anak-anak. Biasanya saya hanya diam kerana tak ingin panaskan keadaan. Akhirnya saya menangis sakit hati.
Bila anak-anak makin besar, mereka dapat lihat layanan ayah mereka pada saya. Tapi saya sentiasa ingatkan anak-anak supaya jangan dilawan ayah mereka. Bersabar saja. Hanya anak lelaki sulung saya yang sering merungut di depan saya. Katanya dia bersabar demi saya. Tapi kalau ayahnya sanggup ‘naik tangan’ dia akan bawa saya lari.
Bila PKPB bermula kembali (saat e-mel ini saya hantar ke MW), saya risau kerana suami akan banyak masa di rumah. Tentu ada saja yang tak kena. Kalau tak saya, anak-anak akan jadi mangsa kemarahannya. Hinggakan anak-anak lebih rela berkurung dalam bilik daripada bersemuka dengan ayah mereka.
Isteri Lambat Masak Punca Gaduh Besar
Sehingga beberapa hari lepas, saya dimarah teruk kerana terlambat masak sedangkan ketika itu saya memang tak sihat. Dia pun tahu yang saya tengah sakit kepala. Diamuknya, habis periuk dilempar ke luar rumah. Saya juga dimaki hamun di depan anak-anak dan buat pertama kali, saya menjawab dan suami hampir menampar saya.
Saya terperanjat dan hanya mampu menangis. Tak sangka anak sulung saya melihat dari jauh. Selepas ayahnya beredar dia datang kepada saya dan mengajak saya tinggalkan rumah dan bawa adik-adiknya bersama. Katanya dia takut satu hari nanti ayahnya akan pukul juga saya. Bahkan katanya, dia tak kisah kalau saya nak bercerai dengan suami!
Saya tahu anak saya itu makin hilang sabar dengan sikap ayahnya itu. Namun saya tetap pujuknya dengan lembut. Saya nak dia bersabar bersama saya. Puan, saya sayangkan suami saya walaupun dia panas baran dan saya sentiasa menjeruk rasa sepanjang perkahwinan kami. Bagaimana saya nak cuba redakan perasaan sedih saya ini? Apa yang boleh saya lakukan untuk redakan panas barannya itu?
Ads
Isteri Terluka, KL
Jawapan:
Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Baran atau mudah marah dan melenting adalah satu tindakan agresif dari seorang pelaku. Ia boleh mengeluarkan serangan fizikal, kata-kata yang menyakitkan hati, atau serangan terhadap barangan yang berada di persekitarannya.
Sifat Diwarisi
Baran ini sebahagian besar diwarisi, dan juga proses sosialisasi daripada keluarga yang membiarkan sifat baran itu menjadi “habit” atau pelaziman kepada tingkah lakunya. Pelaziman ini akan membentuk karakternya sehingga dewasa. Dan apabila terbentuk sekian lama, maka karakter atau perangai tersebut agak sukar untuk diubah.
Saat manusia marah, syaitan memasuki salur darah individu menyebabkan berlaku hilang pertimbangan akal fikiran, manakala wajah mulai merah dengan degupan jantung berlari kencang.
Ads
Tindakan itu mendorong manusia bertindak di luar kotak fikiran yang waras hingga boleh mengancam nyawa orang sekelilingnya termasuk diri sendiri. Panas baran, ‘kepala angin’ atau ‘naik hantu’ berlaku kerana kesukaran menangani perasaan marah yang menyebabkan seseorang itu hilang malu sehingga sanggup bertindak di luar batasan dan tidak mustahil boleh mencederakan orang lain. Perasaan marah yang tidak terkawal boleh memusnahkan apa saja.
Sukar Diubah
Puan yang dirahmati Allah. Tidak dinafikan sukar apabila berhadapan dengan suami yang panas baran. Perkara sekecil kuman pun boleh jadi besar. Sikap panas baran memang sukar untuk diubah. Namun mungkin puan mampu mengubah diri puan untuk menanganinya.
Daripada apa yang puan ceritakan, saya dapat melihat puan seorang yang amat sabar dalam menangani baran suami. Kalau dari sudut Islam, puan adalah isteri yang solehah kerana ujian seorang isteri biasanya datang daripada karenah suami. Jika dapat bersabar dengan kerenahnya, amatlah besar pahalanya. Mungkin beberapa panduan ini boleh membantu puan untuk mendapat ketenangan dan keadilan buat diri puan.
Isteri Ubah Diri Sendiri Dulu
Seperti yang puan sedia maklum, bukan mudah untuk mengubah suami untuk berubah tingkah lakunya. Jika puan tidak mulakan untuk mengubah diri puan, maka puan akan berada dalam kesengsaraan seperti yang puan rasai kini. Maka perubahan itu perlu datang dari puan.
Ada seorang ibu bertanya, kenapa anak jadi biadab? Saya bertanya, siapa yang membiarkan anak menjadi biadap terhadap kita? Saya juga pernah ditanya oleh seorang suami, bagaimana nak atasi isteri yang suka queen control? Saya bertanya semula kepadanya, kenapa membiarkan diri di”control”?
Jangan Biarkan
Maka kalau ditanya macam mana nak hadapi suami baran yang selalu suka tengking dan pukul? Saya bertanya, siapa yang membiarkan diri ditengking dan dipukul? Bukankah diri sendiri ada maruah, ada harga diri.? Kenapa biar orang lain tengking dan pukul sesuka hati. Bukankah diri sendiri yang bergelar isteri adalah amanah Allah ? Selama bertahun dilahir dan dibesarkan oleh ibu bapa, tidak lah tertekan seperti mana yang dihadapi apabila telah berumah tangga.
Justeru, jika puan mahukan kebahagiaan, dan mahu suami berubah, maka puan sendiri perlu berubah. Dari sini yang bertanya akan terhenti sejenak, kenapa orang yang hampir dengan kita jadi begitu. Salah dia kah atau salah diri kita yang tidak mampu membentuk dirinya untuk jadi lebih baik?
Justru, dari sini, puan bahawa kita tidak mampu mengubah orang yang kita sayangi, orang yang hampir dengan kita, tetapi kita mampu mengubah diri sendiri yang nantinya insya-Allah mampu pula mengubah orang yang hampir dengan kita.
Luahan Hati ini dijawab oleh: Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor dan penulis bebas.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Tersangkut buaian ketika tidur.” Bayi 15 bulan meninggal di pusat asuhan di Sendayan, Negeri Sembilan. Allahuakbar!
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Apatah lagi, ini bukanlah kehilangan pertama, tetapi ini adalah kehilangan kedua iaitu anak kedua mereka juga meninggal ketika masih kecil.
Tersangkut Buaian Ketika Tidur
Pilu hati seorang bapa apabila menerima panggilan telefon daripada isterinya memaklumkan anak bongsu mereka tidak bernafas sebelum disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Sendayan, Negeri Sembilan, petang semalam.
Dalam kejadian 3 petang itu, Nour Rania Asyifaa Yuseri, kanak-kanak perempuan berusia setahun tiga bulan ditemui tidak sedarkan diri selepas dipercayai lehernya tersangkut pada kain buaian di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Taman Nusari Aman 2, Bandar Sri Sendayan.
Kejadian itu menjadi ujian berganda kepada pasangan berkenaan apabila pernah kehilangan anak kedua mereka ketika masih bayi akibat komplikasi pada 2020.
Bayi 15 Bulan
Jelas Yuseri Yusoff, 39, dia menerima berita mengenai anak perempuannya itu ketika berada di rumahnya di Bandar Sri Sendayan bersama anak sulungnya berusia tujuh tahun.
“Saya bergegas ke Klinik Kesihatan Sendayan dan ketika tiba doktor sedang cuba membantu memberi bantuan pernafasan sebelum dimaklumkan anak sudah tiada kira-kira 30 minit kemudian.
Anak tidak menunjukkan apa-apa masalah pada malam sebelum kejadian. Difahamkan ketika kejadian anak saya susah untuk tidur, jadi pekerja pusat asuhan menidurkannya di dalam buaian kerana sebelum ini dia tidak tidur di dalam buai,” katanya lagi.
Menurut Yuseri, dia menghantar anaknya ke pusat jagaan berkenaan sejak setahun lalu, malah pernah menghantar anak sulung ke pusat jagaan sama sebelum ini.
Tambahnya, Nour Rania adalah anak bongsu daripada tiga beradik dan anak keduanya meninggal dunia ketika masih bayi kerana masalah komplikasi.
“Saya terima kejadian ini kerana perkara sudah berlaku, yang selebihnya saya serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.
“Pihak pusat jagaan ada meminta maaf kepada kami sekeluarga atas kejadian ini. Difahamkan pihak polis ada merakamkan percakapan ibu bapa lain yang menghantar anak pusat itu,” katanya.
Mingguan Wanita : Tidak dapat bayangkan perasaan mak, ayah yang kehilangan anaknya ini. Team MW mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga anak syurga ini.
ZAMAN DAHULU BOLEH LAH NAK PERMAINKAN WANITA. SEKARANG ‘BIG NO’ Wanita hari ini PANTANG DICABAR!
Pernah diperlekehkan? Dipijak kepala? Buli atau takut berdepan masalah hidup? Dengar apa nasihat pakar. Jom sertai webinar sehari, AURA: Wanita Pantang Dicabar ini.
Kulit rapuh seakan sayap rama-rama, ibu ini takut anaknya tersentuh orang kerana mereka berdua mudah tercedera dan terluka.
Bayangkan bila kulit mak, ayah terlalu rapuh pasti saja mudah terluka dan berdarah. Membayangkan saja cukup menakutkan, apatah lagi berada di tempat ibu ini yang memiliki anak berkulit rapuh.
Kulit Rapuh Seakan Sayap Rama-Rama
Dua beradik di Sydney, Australia disahkan menghidap penyakit yang jarang-jarang berlaku iaitu Epidermolysis bullosa (EB).
Ia menyebabkan kulit mereka sangat rapuh di samping digelar ‘bayi rama-rama’ kerana keadaan kulit seperti sayap serangga itu, lapor The Independent.
Nur Siddiqah, 10, dan adiknya Muhammad Azraqee, 8, mewarisi genetik EB daripada ibu bapa yang juga pembawa genetik itu.
Itu menjadikan ibu mereka, Kida Azny, 36, sangat takut jika kulit anaknya itu ‘terkoyak’ akibat disentuh atau tersentuh dengan orang lain.
Anak sulungnya bersama suami, Mohd Aidil Aiman, 35, itu disahkan menghidap penyakit berkenaan beberapa hari selepas dilahirkan.
Ibu Ini Takut Anaknya Tersentuh Orang
“Kadang-kadang mereka bangun menjerit pada waktu malam kerana kesakitan atau mereka boleh tercekik makanan mereka semasa makan kerana EB juga menjejaskan saluran makanan,” kata Kida.
EB menjejaskan seorang dalam setiap 50,000 kanak-kanak dan ia jarang diwarisi.
Ia menyebabkan kulit menjadi sangat rapuh, mengakibatkan lepuh menyakitkan, jika ada trauma atau geseran pada kulit.
Keluarga itu pernah tinggal di Malaysia, di mana Kida merasakan kurang pemahaman mengenai gangguan masalah berkenaan.
“Sering orang bertanya, sama ada saya menjirus air panas ke atas anak-anak saya atau membakar mereka,” katanya.
Dia menambah, beban mental akibat EB adalah sama sukarnya dengan cabaran fizikal.
Anaknya perlu bangun tiga jam sebelum sekolah untuk memulakan proses membalut kulit mereka.
Mingguan Wanita : Semoga ibu dan kedua anak ini terus kuat berdepan penyakit yang dialami. Ternyata bukan mudah bagi seorang ibu untuk berdepan dengan masalah ini pabila melihat kesengsaraan anak-anaknya setiap kali terluka atau cedera.
Seksanya batin mak-mak apabila setiap hari perlu membasuh cadar yang dikencingkan anak sendiri. Bertambah tertekan apabila mak-mak sukar mengawal anak yang kerap kencing malam. Mak-mak, usah bimbang, bacalah panduan berkesan ini untuk menyelesaikan masalah anak yang kerap kencing di malam hari.
Menurut Dr. Ben Fadzil Mohd Salleh, kencing malam itu sendiri dikenali sebagai Noctural Enuresis. Enuresis membawa maksud tidak boleh mengawal keinginan kencing manakala Noctural bermaksud ianya berlaku pada waktu malam.
Noctural Enuresis adalah perkara biasa bagi kanak-kanak di bawah usia 5 tahun. Tetapi bagi kanak-kanak yang berusia lebih dari 5 ke 6 tahun perkara begini hanya bersifat sementara. Apabila mereka dapat mengawal keadaan sistem kencingnya sendiri, mereka boleh dipulihkan.
Kencing Malam Bukan Penyakit, Ia Perlu Dilatih
Hakikatnya, kencing malam bukanlah penyakit tetapi keadaan yang perlu dilatih, dikawal, dibaiki dan boleh diatasi. Secara natural, bukan semua kanak-kanak berumur lebih 5 tahun berhadapan keadaan kencing malam, jika ada pun ianya akan berlaku selama 6 bulan ke setahun sahaja.
Kencing malam di kalangan kanak-kanak disebabkan mereka belum dapat mengawal dan mengatasi dirinya sendiri untuk bangun dan pergi ke tandas untuk membuang air.
Ianya juga disebabkan punci kencing kecil, sejuk atau telah lama menahannya dan ia menyebabkan kanak-kanak mudah terkencing secara sengaja atau sebaliknya.
Tekanan akibat malu atau diperkecilkan kerana kekurangannya itu juga boleh menjadi punca. Begitu juga halnya dengan ketakutan atau pertukaran tempat akibat berpindah rumah.
Latihan membuang air kecil di tandas pada malam hari yang belum mencukupi juga membuatkan kanak-kanak mengalami kencing malam.
Bagaimana Hipnosis Bantu Anak Kencing Malam?
Kanak kanak adalah orang yang paling senang di hipnotise. Ini disebabkan minda kanak kanak ini mampu membayangkan sesuatu luar dari pemikirannya sendiri. Dalam konteks kencing malam, kanak kanak yang berumur seawal 7 tahun mampu di hipnotise dengan teknik-teknik hipnosis. Ada 3 cara untuk merawat kanak kanak yang kencing malam:
Secara Semulajadi:
Kanak kanak akan berhenti kencing malam secara semula jadi dan keadaan ini akan berkurangan “overtime”. Ianya akan mengambil masa selama 6 bulan hingga 1 tahun. Secara amnya ibu bapa perlu memahami kenapa kanak kanak ini kencing malam dan membantunya untuk mengatasi tabiat tidak sedar semasa kencing malam. Ibu bapa juga perlu bercakap kepada kanak kanak secara dewasa melalui soft approach (pendekatan berhemah).
Secara Tradisional:
Ibu bapa perlu mengawal kanak kanak tersebut seperti berikut:
1. Kanak kanak dilarang meminum air selepas pukul 6.00 petang
2. Tidak boleh memakan makanan yang masin atau memerlukan air untuk diminum selepas makan
3. Wajib membuang air kecil sebelum tidur
4. Perlu dikejutkan pada waktu tengah malam setiap 2 atau 3 jam untuk ke tandas
5. Perkara diatas akan berlaku sementara sahaja kerana ianya akan membuat ibu bapa itu menambah satu lagi tugasan harian.
Secara Hipnosis:
Kanak kanak ini akan diberi rawatan Hipnosis dan Hypnotherapy seperti berikut:
1. Seorang hipnoterapis akan berbual dengan kanak kanak tersebut secara:
2. Hypnotic Conversation iaitu berbual tanpa sedar.
3. Memahami dan mendalami masalah yang dihadapi oleh kanak kanak tersebut dari segi gangguan dan ketakutan serta sebab-sebab kanak kanak itu tidak boleh mengawal sistem kencing dirinya.
4. Meletakkan kanak kanak itu di dalam keadaan“Progressive Relaxation untuk membuang stress yang sedia ada disebabkan ibubapa, pemindahan, pergaulan dengan persekitaran dan lai- lain.
5. Melakukan proses imaginary (gambaran) “walk through” untuk proses kencing di malam hari.
6. Bersambung dengan perbualan hipnotik dan memberitahu kanak kanak tersebut bahawa dia adalah seorang dewasa dan bukan kanak kanak lagi, sebab orang dewasa tidak kencing semasa tidur.
7. Kanak kanak tersebut akan diberi keterangan cadangan seperti:
√ Mengawal keadaan diri dan tabiat kencing di tempat tidurnya
√ Membuang perasaan ketakutan disebabkan gelap terhadap kanak kanak tersebut agar dia boleh bangun untuk ke tandas.
Dengan Kerjasama : Dr. Ben Fadzil Mohd Salleh, lulusan Business Forensic Psychologist, Grand Master Hypnotherapist dari Tactite Training & Consultancy Sdn Bhd
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sekeluarga dirempuh treler pemandu microsleep, ibu belum tahu anak meninggal kerap tanya mana anak sulung. Sebuah keluarga yang menaiki kereta proton saga mengalami detik...