Tahniah buat pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad, 35, yang bakal menimang cahaya mata ketiga.Nabil berkongsi berita gembira tersebut didalam Instagramnya dengan memuat naik gambar sekeluarga beserta imbasan kandungan bayi.Malah turut berkongsi kapsyen berikut;
“Alhamdulillah dah Lekat”
Nabil mengakui teruja apabila doktor mengesahkan isterinya, Nazirah Ayub,30 atau Zira, kini hamil lima minggu.Nabil berkata, berikutan kedua-dua puteri mereka sudah pun besar, justeru kehadiran cahaya mata ketiga yang dijangka kelahirannya pada Jun tahun depan sangat dinantikan.
“Jika diikutkan perancangan keluarga, kami mahu jarakkan anak setiap dua tahun. Dua anak pertama kami pun sudah besar, jadi rezeki cukup bermakna Allah berikan ini dikira tiba pada masa sangat sesuai.
“Alhamdulillah, selepas isteri membuat pemeriksaan doktor semalam, kandungannya sudah mencecah lima minggu,” katanya.
Tambah Nabil, dia berharap kali ini mereka dikurniakan anak lelaki pula selepas memiliki dua cahaya mata perempuan, Naira Mikayla, 6, dan Leyla Medyna, 3 tahun.
Calon beberapa kategori Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-31 itu turut memberitahu dirinya mahu sekurang-kurangnya lapan anak kerana yakin kemeriahan keluarga lebih dirasa dengan zuriat yang ramai.
“Adik-beradik saya sendiri ada tujuh orang, jadi kalau boleh saya mahu memiliki sekurang-kurangnya lapan anak. Apapun, semua itu terpulang pada rezeki yang diberikan.
“Paling penting, semoga isteri dipermudahkan menjalani proses kehamilannya. Doakan kami ya!” katanya yang mendirikan rumah tangga pada 30 September 2011.
Mingguan Wanita mengucapkan tahniah buat Nabil Ahmad dan isteri. Semoga dipermudahkan segala urusan kehamilan dan bayi yang dikandung membesar dengan sihat dan sempurna hendaknya.