Jangan dikritik bila isteri garang dalam rumah tangga, bukan buat-buat tetapi biasanya ada sebab tertentu yang buat dia berubah sikap.
Nak-nak pula buat dua kerja sekali gus, manalah isteri tak jadi garang. Kadang baru nak duduk, anak-anak dah meragam. Itu belum bercampur lagi dengan arahan boss kat tempat kerja, memang tertekan kalau suami tak faham keadaan ini.
Jadi, sebelum terlepas cakap pasal isteri garang, cuba hadam pandangan dari sudut seorang suami, saudara Firdaus Shakirin dulu. Agak-agak mampu tak kurangkan sikap garang isteri bila dah ada jawapan ini?
Kenapa isteri zaman sekarang ni garang, kasar dan tak lagi lembut macam isteri zaman dulu-dulu?
Dia jadi macam tu sebab dah terlalu banyak beban yang dia pikul, lebih dari beban dan tanggungjawab yang sepatutnya dipikul oleh seorang isteri. Kudrat dia dengan kudrat suami tak sama, letih dia dengan letih suami pun tak sama, tugasnya bukan sekadar menjadi seorang isteri, seorang ibu tapi dia juga terpaksa keluar mencari rezeki untuk bayar itu ini. Apa yang dia buat tu dah lebih dari tenaga yang dia ada. Jadi macam mana dia nak jadi “lembut” jika dia memerlukan kekuatan dan kecekalan untuk terus bertahan dalam kehidupannya?
Dia garang sebab tekanan, dia tak lagi berlembut sebab keadaan.
Tekanan dan keadaan itu yang menjadikan siapa dia pada ketika ini, pada hari ini. Kalau kita sebagai suami faham, kita pasti akan mengurangkan beban yang dipikul mereka. Tapi sayang, ramai lelaki memiliki wanita, tapi tak ramai lelaki yang memahami hati seorang wanita. Apa yang dirasainya, apa yang dilaluinya, kenapa dia jadi garang, kenapa dia jadi kasar, kenapa dia cepat marah, kenapa dia suka beremosi.
Jangan tunggu dia meletup baru kita nak sedar.
Dia tak minta kita ganti tempat dia, ambik alih jaga anak, kemas umah, basuh baju, memasak dan sebagainya. Dia cuma minta kita FAHAM dia, HARGAI dia supaya apa yang dia buat tu, bukan sia-sia.
ITU SAHAJA… tak kan itu pun susah?
Cuba tolong meringankan kerja-kerja dia dan jangan letak semua beban tu atas bahu dia. Kekuatan dia dan kita berbeza, mental dia dan mental kita pun berbeza. Dia beremosi dengan kepayahan, keletihan dan kepenatan yang dilaluinya.
Bukan sebab dia lahir-lahir dah garang, dah kasar, dah panas baran TAPI sebab keadaan dan tekanan yang dihadapinya.
Jangan persoalkan kelembutan dia sebab wanita itu pada fitrahnya memang hamba Allah yang lemah lembut, tapi jika dia terlalu berlembut, kita akan pijak kepala dia.
Sama-sama lah kita sebagai suami membantu isteri, isteri itu bukan hamba dan kita bukan tuannya.